Home Novel Keluarga NASI PUTIH AIR KOSONG
Bab 31

Balik dari masjid, Makyung Bedah duduk merenung bintang di langit. Nombor telefon yang diberikan oleh Imran masih digenggam. Dia masih ragu-ragu dan keliru samada akan menelefon Maryam atau tidak.

Sudah lama hatinya tidak berdenyut sakit. Dia amat bimbang kalau kesakitan itu muncul semula. Sedang dia berkira-kira, telefon di ruang tamu berdering.

Makyung Bedah bangun dan segera menuju ke meja telefon.

“Assalamualaikum mak!” Suara Maryam di hujung talian.

Dada Makyung Bedah berombak. Dia menjawab salam itu penuh debar. Entah kenapa dia rasa begitu tidak tenteram dengan panggilan itu.

“Mak, saya ada hal nak bincang dengan mak.”

“Cakaplah.” Makyung Bedah menjawab tidak mesra. Dia sudah tahu apa yang akan dikatakan oleh Maryam. Dia bersedia.

“Kami dah bincang adik beradik. Dan kami dah buat kata putus. Kami nak mak kahwin dengan Pak Mud.”

Diam. Jantung Makyung Bedah semakin berdenyut kencang.

“Mak,dengar tak ni?”

Makyung Bedah masih mendiamkan diri. Dia tidak berani mengeluarkan patah-patah perkataannya. Dia bimbang akan terlanjur berkasar dengan Maryam.

“Mak setuju atau tidak, kami tetap nak mak bernikah dengan Pak Mud.”

“Apakah hak kamu nak memaksa mak begitu?” Makyung Bedah cuba berlembut walaupun hatinya sebenarnya sudah mengganas panas kawah lahar!

“Apa pula alasan mak untuk menolak? Kami buat semua ni demi mak. Kami tak nak mak tinggal sorang-sorang.”

“Kamu bukan buat kerana aku! Tapi kamu buat kerana diri kamu sendiri! Kamu tak nak aku keluar dari kampung ni. Kamu tak nak balik jenguk aku. Kamu tak nak...” Makyung Bedah terkedu. Dia mengulum ayat yang tertinggal. Debarannya terhambur menjadi ombak air mata. Dia tidak kuat untuk berdepan dengan situasi itu.

Giliran Maryam terdiam. Mungkin dia terkena dengan alasan yang disebut oleh Makyung Bedah itu.

“Apa salahnya mak bernikah dengan Pak Mud tu?”

“Apa yang kau merepek ni Yam? Aku ni dah tua. Bukan masanya nak berfikir soal nikah kahwin. Aku nak fikirkan soal nak mati saja,” jawab Makyung Bedah dengan cepat.

“Kalau mak kahwin dengan dia, kan mak boleh buat amal ibadat bersama-sama? Pak Mud tu pun tak ada isteri. Dia hanya ada Senah. Kalau Senah dah kahwin takkan dia nak terus tinggal dengan Pak Mud. Mesti dia akan tinggalkan Pak Mud dan ikut laki dia!”

“Apa kena mengena dengan aku, Yam?”

“Memang tak ada kena mengena tapi mak dengan Pak Mud senasib. Tinggal bersendirian tanpa anak. Lebih baik kalau mak dan dia bersatu. Masing-masing dapat menumpang kasih dan menghabiskan hari tua bersama.”

“Jadi, kau adik beradik boleh lepas tangan pada aku?”

Senyap. Tidak ada reaksi dari pihak Maryam.

“Yam, dengar sini baik-baik. Tolong kau cakap dengan abang dan adik kau, tak usah nak jual orang tua ni kepada seorang suami hanya kerana kamu semua nak bebas dari tanggungjawab. Aku tak akan kahwin dengan sesiapa. Aku masih sayangkan arwah ayah kamu!” kata Makyung Bedah dengan suara meninggi dan keras.

“Mak, ayah dah lama mati. Tak guna mak nak ingat dia lagi,” kata Maryam pula.

“Dia tidak mati dalam hati aku. Hanya anak-anak yang dah lupakan dia. Aku dah janji pada diri aku, tidak akan ada orang yang akan menggantikan dia dalam hidup aku.”

“Mak berhenti hidup dalam khayalan. Ayah dah mati!”

“Aku tak berkhayal. Aku tahu dia dah mati.”

“Jadi, kenapa mak tak nak mulakan hidup baru. Bina hidup baru dengan Pak Mud. Habiskan hari tua mak dengan gembira.”

“Aku bukan muda lagi, Yam. Aku dah nak mati. Sepatutnya dalam usia yang semakin lanjut ini aku hidup bahagia dengan anak cucuku bukan dengan lelaki lain. Tapi, anak cucuku semakin jauh dan cuba membuang aku.”

Makyung Bedah ingin meluahkan sepuas-puasnya isi hatinya yang berbuku selama ini.

“Mak, kami tetap akan nikahkan mak dengan Pak Mud. Mak suka atau tidak, pernikahan itu tetap akan berlaku. Saya dah atur semuanya dengan Pak Mud. Dia dah setuju. Mak jangan nak buat alasan lagi.” Maryam semakin tegas dan suaranya keras memaksa. Makyung Bedah rasa sangat teraniaya dan tercabar.

Beraninya Maryam mengatur perjalanan hidupnya. Di mana rasa kasih sayangnya kepada seorang ayah. Dia tidak akan lemah menyerah. Dia perlu berjuang dan kuat melawan.

“Cubalah kau buat kalau kau berani. Aku panggil orang surat khabar dan dedahkan hal ini kepada umum. Kau paksa aku kahwin gara-gara nak lepaskan tanggungjawab kau sebagai anak!” tegas Makyung Bedah.

Rasanya tidak ada apa yang perlu didengar lagi dari mulut anak bertuahnya itu. Dengan cepat Makyung Bedah meletakkan gagang. Sangat tersayat hatinya. Maryam tidak bertanya khabar dirinya. Sihatkah dia? Sudah makankah dia? Sebaliknya dia muncul dengan isu yang sangat menyakitkan hatinya.

Dia berjalan keluar ke anjung. Punggungnya dilabuhkan di situ.

“Abang, kenapa anak-anak abang jadi macam ni?” kata Makyung Bedah sambil mendongak ke langit. Bintang-bintang berkerlipan di langit yang cerah direnung dengan hati resah.

Dia tidak mengharapkan kasih sayang Mahmud untuk menggantikan cinta Ismail di hatinya.


Previous: Bab 30
Next: Bab 32

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.