Hati Maryam sangat
sakit bila usulnya ditolak mentah-mentah oleh Makyung Bedah. Dia segera
menelefon Surya.
“Apa mak cakap, Kak
Yam?” tanya Surya, sedikit teruja.
“Mak tak terima
cadangan kita. Dia tak nak kahwin dengan Pak Mud!”
“Kalau macam tu, kita
paksa dia. Kita pakat dengan Pak Mud.”
“Surya, kau ingat
senang nak paksa orang tua. Lagipun, Pak Mud sendiri tak beri kata putus
mengenai hal ini. Dia serahkan pada mak.”
“Maknanya, dia pun nak
tapi takut dengan mak. Kalau macam tu, kita paksa mak.”
“Kalau kau berani,
pergilah telefon dia dan paksa dia. Akak dah malas. Letih nak layan kerenah
orang tua tu.”
Surya terdiam. Dia
sebenarnya lagi malas untuk menghubungi Makyung Bedah. Dia bimbang kalau disoal
dengan macam-macam pertanyaan. Paling malas kalau ditanya mengenai perkahwinannya.
“Kalau kau nak tahu
lagi, dia ugut akak.”
“Ugut apa pulak?”
“Dia akan dedahkan
semuanya kepada wartawan kalau kita paksa dia kahwin dengan Pak Mud.”
“Ish! Itu lagi haru
biru kak,” kata Surya dengan bimbang.
“Aku rasa macam nak
balik dan cekik-cekik budak Imran tu. Ini semua kerana dia. Kalau dia tak ada,
mesti mak tak tahu nak buat semua ni,” balas Maryam pula.
“Habis, apa kita nak
buat sekarang? Aku sangat bimbang kak.”
“Bimbang kenapa?”
“Abang Fazrin akan
mencari orang yang bernama Makyung Bedah. Dia nak senangkan hati mamanya. Aku baru
tahu bahawa dia dan keluarganya tu sangat sukakan seni. Mak mertua aku tu,
rupanya pernah belajar makyung masa mudanya. Aduh kak! Kalau mereka pergi ke
kampung macam mana?”
Maryam terdiam. Tidak
disangka kalau keluarga elit dan moden itu meminati makyung. Kalau benar
terjadi, habislah Surya. Semua orang akan tahu asal usulnya. Mungkin peminat
akan membuangnya. Dia akan dikecam dan tidak diminati lagi.
“Kak, tolong aku kak.
Kita mesti buat sesuatu. Cepat atau lambat keluarga mertuaku akan mencari mak
di kampung,” kata Surya semakin resah.
“Kenapa kau yakin
sangat?”
“Sebab dah cara mereka
macam tu. Kalau mereka sukakan sesuatu, mereka akan cari sampai dapat. Aku dah
terdengar, mak mertua aku suruh Abang Fazrin cari wartawan yang tulis kisah mak
di akhbar hari tu.”
Maryam semakin faham.
Memang bala sedang menunggu Surya!
“Kak? Kau faham apa
maksud aku sekarang?”
“Aku faham. Tapi kalau
kita paksa mak kahwin dengan Pak Mud pun tak akan selesaikan masalah. Mertua
kau masih boleh cari mak.”
“Jadi, apa akal kau kak?”
Maryam tidak terus
menjawab. Dia masih berfikir. Dia masih mencari jalan.
“Apa kata kita bincang
dengan Abang Man. Dia mungkin ada jalan. Akak dah buntu. Otak akak ni dah tak
boleh fikir. Mana nak fikir pasal hal ni. Mana nak fikir pasal keluarga akak ni,”
kata Maryam.
“Keluarga akak kenapa?”
“Akak ada masalah sikit
dengan Abang Shamsul. Biasalah, masalah rumah tangga. Tak apa, akak akan
selesaikan sendiri. Kau tu, selesaikan masalah ni dengan Abang Man,” kata Maryam sebelum menutup perbualan.
Akhirnya dengan berat
hati, Surya memaksa diri untuk menelefon Azman. Semua yang berlaku diceritakan.
Dari awal hingga ke akhirnya.
“Kalau macam tu, kita
kena bawa mak tinggal dengan kita,” kata Azman, membuat keputusan veto sebagai
anak lelaki tunggal.
“Hah? Itu bukan
selesaikan masalah, bang. Itu menambahkan masalah yang ada.” Hampir tercekik
pernafasan Surya ketika mendengar usul Azman itu.
“Menambah apanya?”
“Yalah, siapa nak jaga
mak nanti? Kat rumah siapa dia kena tinggal? Kat rumah Su, dah tentu tak boleh.
Abang, carilah jalan yang meringankan beban kita bukannya menambah beban yang
sedia ada,” kata Surya.
Azman diam seketika.
Mungkin dia ligat berfikir. Kata-kata Surya itu ada benarnya. Di rumah siapa
hendak diletakkan Makyung Bedah.
“Apa kata kita letak
kat rumah orang tua-tua?” usul Surya.
“Hah? Itu maknanya kau
nak gali lubang kubur!” jerkah Azman dengan kuat.
Surya terdiam. Baru dia
terfikir. Kalau Makyung Bedah diletakkan di rumah orang-orang tua, akan semakin
senang wartawan membuat terjahan. Akan keluar bermacam cerita.
“Tak apalah. Biar abang
bawa dia tinggal dengan abang dulu. Lepas tu kita fikir apa yang boleh kita
buat untuk langkah seterusnya,” kata Azman memutuskan bicara.
Hati Surya lega
mendengarnya. Satu masalahnya akan selesai. Dia tidak perlu bimbang apa-apa
lagi. Bila Makyung Bedah sudah tidak ada di kampung, tentu semua rahsia tidak
akan pecah. Tembelangnya akan tertutup.
“Bila abang nak pergi
ambil?”
“Tengoklah dulu. Nak
kena bincang dengan isteri abang dulu.”
“Kalau dia tak setuju?”
“Abang akan bawa juga
tapi mungkin akan letakkan di tempat lain.”
“Tempat lain?”
“Kau tak perlu tahu.
Kau tanggung beres saja. Abang tahu nak uruskan mak tu,” kata Azman menutup
kebimbangan Surya.
Surya tidak bertanya
lagi. Dia yakin dengan keupayaan abangnya. Lagipun, emaknya memang sangat
sayangkan Azman. Mesti dia tidak akan menolak kalau diajak tinggal di Kuala
Lumpur.