Home Novel Keluarga NASI PUTIH AIR KOSONG
Bab 25

Sejak cerita dan gambar-gambar Makyung Bedah tersiar di akhbar, namanya mula dikenali ramai terutama kepada para penggiat seni. Nama yang sudah lama tidak disebut mula disebut kembali. Semua ingatan lama muncul semula.

Warga Kampung Gual Ipoh, ikut rasa bangga bila nama kampung itu ikut disebut-sebut dan dikaitkan dengan seorang primadona makyung.

“Wah! Kau dah macam artis Bedah. Kau lebih dikenali daripada dulu. Dulu hanya orang di Kelantan ini saja yang kenal kau. Sekarang seluruh Malaysia dah tahu siapa Makyung Bedah. Kata Imran, tak mustahil kau akan dihantar keluar negara untuk memperkenalkan makyung kepada orang luar,” kata Mak Semah dengan wajah ceria. Dia ikut gembira dengan apa yang sedang dilalui oleh sahabatnya.

“Kau dengan anak kau sama merepeknya,” balas Makyung Bedah dengan ketawa kecil.

“Apa yang merepeknya. Memang betul apa yang aku cakap.”

“Aku ni dah tua, Semah. Sepatutnya aku tak sebut lagi pasal makyung ni. Jangankan ke luar negeri, dalam negeri pun aku tak nak terlibat lagi. Yang lepas tu biarlah lepas. Kalaulah Abang Mail ada...”

“Abang Mail pun ikut bangga dengan kau,” potong Mak Semah dengan cepat.

“Aku berhenti menari makyung kerana dia. Dia nak aku jadi isteri dan ibu yang baik. Aku buat apa yang dia mahu. Aku menjadi ibu yang baik hingga anak-anak aku jadi yang terbaik di antara anak-anak orang kampung ini. Namun....”

“Dahlah. Jangan diingat hal budak-budak tu.” Mak Semah segera menepuk bahu Makyung Bedah. Dia tidak mahu Makyung Bedah terus hanyut dengan rasa kesalnya.

Makyung Bedah membetulkan duduk. Untuk kesekian kalinya dia berikrar kepada dirinya untuk melupakan apa yang dibuat oleh anak-anaknya.

“Aku ni cuba tak nak ingat semua ni, Semah. Tapi semakin aku nak lupa semakin kerapa pula kenangan lama tu muncul. Kadang-kadang aku menyesal dengan diri sendiri.”

“Menyesal kenapa?”

“Sudahlah. Malas nak ingat lagi.” Makyung Bedah membuang pandangannya ke arah sawah milik Haji Awang yang terbentang di hadapannya. Tanah milik keluarga Imam Yunus akhirnya bertukar tangan kepada Haji Awang. Semuanya gara-gara dia tidak mampu membiayai perbelanjaan anak-anaknya di universiti ketika itu.

“Kau tak payah jual Bedah. Kau gadai saja. Nanti kalau anak-anak kau dah kerja, kau tebus balik dari aku. Aku ni nak tolong kau saja,” kata Haji Awang ketika itu.

“Tak apalah, abang haji. Saya terus jual lagi senang. Saya tak nak fikirkan apa-apa lagi mengenai tanah ini. Abang long dan kak ngah pun dah setuju begitu.”

“Baiklah kalau macam tu. Aku beli tanah ini. Nanti kalau kau rasa kau nakkan balik tanah ni, aku sedia menjualnya semula pada kau. Arwah bapa mertua kau tu kawan baik aku. Aku tak sampai hati sebenarnya,” balas Haji Awang lagi.

Angin dari sawah menyentuh pipinya. Semua kenangan itu semakin menjebak perasaannya.

Ketiga-tiga anaknya sudah berjaya. Tetapi tanah itu tetap menjadi milik Haji Awang. Tidak ada seorang pun yang teringat untuk membeli balik tanah itu. Memang tidak pernah ada yang menyebut lagi kisah tanah itu.

“Kau ingat tanah tu?” tunjuk Makyung Bedah kepada Mak Semah.

Mata Mak Semah beralih arah. Dilepaskan pandangan matanya kepada sawah yang sedang menghijau itu.

“Masakan aku lupa. Di lopak sawah itu kita berkubang. Kita mengutip siput dan menahan bubu untuk menangkap ikan sepat dan seluang. Kadang kala pula menahan tukil untuk menangkap ikan laga.”

Makyung Bedah tersenyum. Imbauan masa lalu yang dikatakan oleh Mak Semah itu memang sangat manis untuk dikenang.

“Tanah itulah yang menyelamatkan budak-budak itu dari terpaksa berhenti belajar.”

“Ya. Tanah itu besar maknanya kepada kau. Sayangnya budak-budak terlupa akan kisah sebidang tanah itu.”

“Mereka bukan saja lupakan tanah itu. Tapi mereka juga lupakan aku!” kata Makyung Bedah dengan suara bergetar.

Mak Semah menelan air liur. Suara itu menzahirkan luka hati yang sangat dalam dan parah.


Previous: Bab 24
Next: Bab 26

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.