Hati Makyung Bedah
berderau. Dia segera bersembunyi. Dia tidak mahu Shamsul melihatnya. Dalam masa
yang sama, dia ingin melihat kelakuan suami kesayangan Maryam itu.
“Mari sayang. Tidak ada
sesiapa lagi di rumah.”
“Isteri you?”
“Dia dah pergi
mengajar. Dia kan cikgu. Kita ni murid-muridnya!” jawab Shamsul dengan ketawa
miang.
“Murid yang ponteng
sekolah?”
Ketawa mereka pecah
bergema ke seluruh ruang. Tidak lama mereka hilang. Kedengaran pintu bilik di
tingkat atas ditutup dengan kuat.
“Astaghfirullahhalazim...
inikah kerja Shamsul selepas Maryam keluar? Alangkah kejinya!” Makyung Bedah
menutup mukanya dengan kedua tapak tangan. Dia malu membayangkan dosa yang
sedang dilakukan oleh menantunya di bilik tidur Maryam!
“Ya ALLAH! Apa yang
harus aku buat? Kenapa nasib Maryam jadi begini?”
Dia masuk ke biliknya.
Dia termenung panjang.
“Kenapa cepat sangat
kau nak kahwin Yam? Bukankah dulu kau janji akan kerja dan bela mak dulu
sebelum kahwin? Sekarang, kau baru saja kerja. Biarlah lama sikit. Kau kumpul
duit dulu. Mak mana ada duit nak buat majlis kahwin untuk kau. Setakat majlis
nikah tu, mak mampu.”
“Mak, Yam takut Abang Shamsul
berubah hati. Yam sayang sangat dengan dia.”
“Dia sayang kau tak?”
“Dah tentulah mak.
Kalau tak kenapa dia nak kahwin dengan Yam?”
“Kalau benar dia
sayangkan kau, dia akan tunggu sampai kau bersedia.”
“Sekarang Yam dah
bersedia,” balas Maryam dengan cepat.
“Masalahnya, mak tak
ada duit...”
“Mak, yang nak kahwin
tu Yam. Tahulah Yam uruskan majlis Yam tu. Mak jangan risau sangat. Abang Shamsul
tu ahli perniagaan yang berjaya. Syarikatnya ada di mana-mana. Keretanya ada
ada beberapa buah. Takkan nak buat majlis kami pun dia tak mampu,” potong
Maryam dengan bangga.
Maryam memang
menguruskan semuanya. Dia buat keputusan dan mengatur segala keperluan tanpa
menyusahkan Makyung Bedah. Malah Makyung Bedah langsung tidak dibawa berunding
dalam semua perkara!
Walaupun hatinya sakit,
dia terpaksa tersenyum demi Maryam. ‘Biarlah, asalkan Maryam bahagia.’ Dia
memujuk hati.
Bahagiakah Maryam?
Seminggu berada di
rumah Maryam, belum sekali dia bertemu muka dengan Shamsul. Setiap malam dia
akan duduk sahaja di biliknya. Bila siang, dia akan keluar jika semua orang
sudah keluar.
Shamsul tidak pernah
menyedari kalau perbuatan sumbangnya sedang diperhatikan oleh sepasang mata
seorang ibu.
Makyung Bedah menyimpan
semua rasa benci dan marah yang ada dalam hatinya dengan tabah. Namun semakin
hari dia rasa macam duduk di atas bara api. Dia rasa macam bersekongkol dengan
Shamsul yang begitu leka melakukan dosa.
Akhirnya malam itu, dia
munculkan diri ketika Shamsul dan Maryam sedang bersantai di ruang tamu.
“Bila mak sampai?”
tanya Shamsul, agak terkejut.
“Dah masuk dua minggu
mak di sini.”
“Hah? Awak tak cakap
dengan saya pun mak datang.” Shamsul menoleh kepada Maryam.
“Perlukah. Bukan ada
apa yang kurang pun kalau dia ada di sini,” jawab Maryam tanpa menoleh. Matanya
tertumpu kepada siaran TV.
“Saya ni suami awak.
Rumah ini rumah saya. Sekurang-kurangnya awak kena minta izin tuan rumah untuk
bawa sesiapa pun masuk ke sini.” Shamsul mula berang.
Hati Makyung Bedah rasa
bersalah.
“Mak dari rumah Abang
Man. Dia akan tinggal di sini buat sementara waktu,” balas Maryam.
“Siapa suruh awak
pandai-pandai buat keputusan ni?” Shamsul semakin melenting.
“Dia mak saya. Ini pun
rumah saya. Apa salahnya?”
“Soalnya awak tak
bincang dengan saya dulu. Awak buat keputusan sendiri. Awak tak tahu hukum ke?
Awak kena minta izin saya dulu.”
Maryam ketawa sinis.
“Kenapa ketawa?”
“Saya rasa kelakar bila
awak pandai bercakap pasal hukum. Sejak bila awak nak jadi pak imam? Tak
usahlah. Saya ni anak pak imam. Saya tahu hukum. Tapi, perlukan saya utamakan
hukum kepada orang yang tidak pernah ikut hukum?”
“Awak jangan kurang
ajar sangat!” tengking Shamsul dengan kaut.
“Awak yang tak pernah
ajar. Sebab itu saya kurang ajar!” jerit Maryam pula.
Makyung Bedah semakin
sesak nafas menyaksikan pertengkaran itu. Inikah kebahagiaan yang Maryam cari?
“Sudahlah. Jangan
bergaduh kerana mak. Mak yang salah kerana masuk rumah orang tak beri salam.
Maafkan mak,” kata Makyung Bedah, cuba berkias.
“Awak dengan mak awak
sama saja!” Shamsul bangun dan mencapai kunci kereta.
“Awak nak ke mana?”
“Suka hati sayalah!
Awak sendiri buat apa-apa tak ada nak cakap dengan saya!”
Deruman kereta Shamsul
berlalu pergi.