Home Novel Thriller/Aksi Bidadari Encik Mafia (Completed)
BEM 43

SAIF terkejut dengan kehadiran si adik ke bilik kerjanya. Dengan wajah cemberut. Sudah pasti Haura ada masalah. Jarang adiknya yang satu ini ada masalah. Entah masalah apalah yang Haura alami ketika ini.

"Ada apa ni? Kenapa masam sangat muka tu?"

"Adik nak tahu pasal Hilmi. Semalam adik ada dengar yang si bongok tu cakap pasal pembelot. Dia pernah jadi pembelot ke? Sebab tu ke, Abang Kizo keras-keras melarang adik rapat dengan dia?"

Saif kehilangan kata-kata. Abang Kizo pernah melarang Haura daripada berkawan dengan Hilmi? Baru sekarang dia tahu.

"Ya. Abang pernah jadi pembelot."

Haura mendongakkan kepalanya. Tak tahu pula yang Hilmi ada di dalam bilik ini juga. Semasa masuk ke dalam bilik ini tadi, tidak pula dia perasan akan kewujudan Hilmi. Saif sendiri pun tak sempat nak beritahu.

"Kenapa?" soal Haura dengan kening terjongket sebelah. Tak puas hati. Semalaman dia tidak dapat melelapkan matanya. Hanya gara-gara memikirkan tentang Hilmi. Dia sendiri akui yang dia sudah mulai jatuh suka pada Hilmi. Cuma dia berani luah dalam hatinya sendiri saja.

"Abang silap pilih jalan. Terlalu ikutkan hati."

Mudah betul jawapan Hilmi berikan kepada Haura membuatkan dia digasak dengan perasaan tidak puas hati.

"Semudah itu aje jawapannya? Silap pilih jalan? Terlalu ikutkan hati? Lepas tu, dengan apa yang terjadi, sikit pun abang tak rasa serba-salah?" marah Haura. Dari duduk, dia terus berdiri. Pandangannya tajam merenung seraut wajah Hilmi yang kelihatan tenang itu.

"Kalau abang cakap yang abang menyesal tak sudah? Haura percayakan abang? Hidup abang tak aman. Abang terseksa. Qarizh sendiri dah hukum abang sampai abang sedar yang abang ni bodoh. Lahir dalam dunia ni, jadi orang yang tak guna."

Haura mengigit bibirnya. Serba-salah rasanya menanyakan soalan itu kepada Hilmi. Masalahnya sekarang ni, kenapa dia nak panas sangat? Lelaki itu sempat berubah dan sekarang Hilmi sendiri akui yang dia sudah menyesal dengan apa yang dia buat sebelum ini.

"Abang sedar yang abang tak layak untuk dapat kemaafan orang lain. Tapi, Qarizh beri abang peluang terakhir. Dan abang takkan sia-siakan peluang yang ada. Walaupun abang tahu, kalau kebenaran terungkap. Ramai yang akan membenci abang. Hilmi Nazran seorang pembelot. Dengan tak malunya mendapat peluang daripada orang yang pernah dia sakiti suatu ketika dulu."

Haura diam. Saif turut hanya mendiamkan diri. Dari pandangan Hilmi, Saif tahu yang Hilmi sukakan Haura. Kerana sejak akhir ini, Hilmi berhubung rapat dengan Haura. Ke mana saja pasti Haura yang dipanggilnya. Tapi, dia tidak tahu pula bagaimana dengan isi hati Haura. Adiknya itu memang sejenis yang jual mahal. Tak mudah dia jatuh hati dengan mana-mana lelaki.

"Kalau abang tak jadi pembelot, mesti Qasrina masih hidup. Dia mati sebab abang. Abang yang buat dia mati. Abang yang buat kehidupan orang lain huru-hara. Abang sedar semua tu. Abang dah berjanji dengan Qarizh dan Indira yang abang akan jaga betul-betul peluang yang dia orang bagi."

Qasrina. Memang benarlah Hilmi sangat menyayangi Qasrina. Adik perempuan kesayangan Qarizh. Haura sendiri tidak pasti dengan hatinya ketika ini. Sama ada dia benar-benar jatuh hati dengan Hilmi ataupun tidak. Mulut lelaki itu tidak berhenti menyebut nama Qasrina. Pasti nama itu akan terpacul dari mulutnya. Adakah Haura berasa cemburu? Cemburu dengan orang sudah tiada. Gila namanya tu.

"Maafkan Haura. Haura tak patut masuk campur dalam hal ni. Haura... naik dulu. Sekali lagi Haura minta maaf. Haura tak ada niat nak kecilkan hati Abang Hilmi." Segera Haura membawa langkahnya keluar dari bilik itu. Dia harus menenangkan hatinya ketika ini. Macam-macam yang bermain di dalam kepalanya.

"Kau okey, Mi? Sorrylah. Aku tak tahu adik aku tu kenapa. Mungkin dia stres sebab semalam kut. Itu kali pertama dia kena serang mengejut dengan Si Yazir tu," soal Saif sambil mengusap-usap bahu Hilmi.

"Tak ada apalah, If. Aku okey jelah. Aku pulak yang over meluah semua dekat dia. Dia pun baru aje datangkan. Maybe dia terkejut. Orang yang dia rapat sebenarnya pembelot."

"Bekas pembelot, Hilmi."

Saif dan Hilmi mendongakkan kepala mereka serentak. Kelihatan Qarizh dan Indira berdiri di muka pintu sambil berpegangan tangan. Lihat dari gaya penampilan mereka, sepertinya mahu keluar berjalan.

"Sudah-sudahlah gelarkan diri kau pembelot. Semua orang layak dapat peluang. Macam mana Indira bagi aku peluang untuk jadi seorang suami. Macam tu juga aku bagi peluang kepada kawan baik aku yang aku sayang."

Hampir saja Hilmi mahu menitiskan air mata. Mafia pun ada juga berperasaan hati tisu juga. Tak semestinya memanjang dia mengganas saja.

"Terima kasih, Qar. Aku minta maaf..."

"Dah aku tak nak dengar. Aku pun nak minta maaf sebab seksa kau dulu. Aku tak layak pun seksa kau sebenarnya." Qarizh memeluk tubuh Hilmi. Tangannya menepuk-nepuk belakang tubuh sahabatnya itu.

Indira yang banyak mengajarnya untuk berubah dengan perlahan-lahan. Kata Indira, nak jadi mafia boleh. Tapi bila perlu saja. Tiada aktivti membunuh dan juga penyeksaan. Mafia jenis apa kalau tiada aktiviti semua itu? Qarizh sendiri pun tak tahu. Dia ikutkan saja kehendak isterinya yang satu itu. Bidadarinya.

KERETA siap diparkir di dalam kotak yang disediakan. Betul-betul depan bangunan restoran yang mereka pilih untuk dijadikan tempat mereka menjamu selera pada pagi ini. Restoran inilah tempat pertemuan awal mereka suatu ketika dulu. Tanpa sedar, Qarizh tersenyum sendiri sebaik saja dia mengunci keretanya.

"Senyum apalah tu? Ingat memori lama ke?" perli Indira sambil memeluk lengan Qarizh.

"Yalah, sayang. Aku teringatkan memori lama kita. Rasa kelakar pula."

Indira melepaskan tawa kecil. Kepalanya dilentuk pada bahu suaminya.

"Qar, why not kita tukar panggilan? Takkanlah Qar nak beraku-kau dengan isteri sendiri. Dan takkanlah Dira nak panggil nama aje dekat Qar. Kurang sopan namanya tu."

Ah, sudah. Garu kepala Qarizh dibuatnya. Dia sendiri pun tak tahu nak gelarkan diri dia sendiri apa. Lagipun, dia sudah terbiasa beraku-kau. Kalau nak tukar panggilan lain, mahu tersasullah dia nanti.

"Sayang nak aku panggil apa?"

"You already call me 'sayang'. I will call you 'hubby'. So, hubby kenalah gelarkan diri tu hubby."

Qarizh hanya tersengih. Hubby? Ya ampun, terbelit lidahnya. Rasa geli pun ada nak gelarkan diri 'hubby'. Tapi, dah isteri yang membuat permintaan. Kenalah ikutkan. Kalau tak ikut, merajuklah Indira Callista ni nanti.

"Okaylah. I will try, sayang." Qarizh mengusap kepala Indira sambil tersenyum.

Indira menganggukkan kepalanya sambil membalas senyuman Qarizh.

"Sayang nak makan apa? Cakap saja dekat hu... hubby..." Masa macam inilah, dia nak tergagap. Dah macam apa dah mahu menyebut 'hubby'. Seperti budak tadika yang mahu belajar menyebut.

"So cute." Indira mencuit pipi Qarizh. Terhibur hatinya bila mendengar Qarizh cuba untuk menggelarkan dirinya sendiri dengan gelaran 'hubby'.

"Ish, janganlah tegur." Qarizh mencebik. Punggung dilabuhkan di atas kerusi.

Indira mengambil tempat bersebelahan dengan Qarizh. Kalau dulu, mereka duduk secara bertentangan. Biarlah kali ini, dia mahu duduk sebelah-menyebelah dengan suaminya. Dah jadi pasangan halal, kan? Tak salah mahu bermanja.

"Sayang nak oder...." Jari Indira bermain pada kad menu yang tersedia di atas meja.

Qarizh tidak fokus dengan percakapan Indira. Sebaliknya, anak matanya meliar melihat suasana sekeliling restoran. Sepertinya ada yang tak kena. Jantungnya pun tiba-tiba saja berdebar-debar.

"Hubby... dengar tak apa sayang cakap tadi?"

"Huh?"

"Hubby kenapa ni? Resah semacam aje? Anything wrong?"

"No, no. I am sorry. Sayang cakap apa tadi?"

"Sayang nak satu set ni. Boleh?"

Qarizh tersenyum sambil menganggukkan kepalanya. "Anything for you, my dear." Pipi Indira diusapnya lembut. Entah kenapa, jantungnya semakin lama semakin laju berdegup. Sekali gus, membuatkan dia takut sekiranya dia kehilangan isterinya. Dia tidak boleh terlepas pandang walau sesaat. Indira harus dijaga dengan penuh teliti. Bila-bila masa saja, Yazir boleh bertindak luar kawalan.

"SAYANG, hubby pergi bayar sekejap. Jangan merayau jauh-jauh," pesan Qarizh pada Indira. Dahi isterinya yang ditutupi dengan rambut itu dikucupnya lembut.

"Okay, hubby. Please hurry." Giliran hati Indira pula rasa tidak enak. Sepertinya ada yang sedang memerhatikan mereka sejak tadi. Yazir ke?

Indira memakukan saja pandangannya pada susuk tubuh Qarizh yang berada di kaunter pembayaran. Sesekali dia nampak Qarizh tersenyum kepadanya sekali gus mengenyit mata. Indira hanya tersenyum lebar saja. Hatinya begitu gusar ketika ini.

Bang! Bang!

Jantung Indira bagai direntap keluar dari tubuh. Bunyi tembakan itu membuatkan seluruh tubuhnya menggeletar. Terlalu terkejut.

"Semua dalam restoran ni keluar. Keluar!" jerkah Zafi sambil mengacukan pistol secara rawak ke arah orang ramai. Terkocoh-kocoh semua pelanggan melarikan diri. Pekerja-pekerja restoran turut keluar. Takut nyawa mereka menjadi sasaran.

Qarizh berdecit kuat. Segera dia berlari ke arah Indira yang masih terkaku duduk di atas kerusi. Dia tahu yang Indira dalam trauma. Mungkin terlalu terkejut. Tak sangka perkara begini boleh terjadi. Siang-siang hari pun, Yazir mahu menyerangnya. Memang tak bagi orang nak aman langsung.

"Hai, Tengku Qarizh Nadim. Kenyang dah makan dengan buah hati tu?" soal Yazir sebaik saja dia melangkah masuk ke dalam restoran tersebut. Hari ini, dia tidak bertongkat. Tapi, langkahnya sedikit terhincut-hincut. Memang tak sedar diri punya manusia.

"Dah kenyang dah. Kau nak apa, hmm?" Tangan di dalam poket seluar sudah memainkan peranan. Menghantar pesanan ringkas dengan menggunakan kod yang dicipta setiap kali dia dalam kesusahan.

"Baguslah. Aku rasa. Aku dah tak tahanlah nak tengok kemanisan korang berdua ni. Apa yang aku malam semalam tu, kau lupakan sajalah. Aku nak tuntut hak aku." Pistol di tangan diacukan ke arah Qarizh.

Tanpa membuang masa, Qarizh menarik pergelangan tangan Indira. Berlari keluar dari restoran itu menggunakan pintu belakang. Sekuat hati, Qarizh dan Indira melarikan diri. Qarizh terpaksa berbuat demikian setelah dia mengira bilangan anak buah yang ada bersama dengan Yazir. Tak cukup tangannya mahu berlawan dengan mereka semua. Lagipun, dia tidak mahu Indira jatuh di tangan Yazir buat sekali lagi.

"Bodoh! Pengecut! Woi, kejarlah apa lagi?" amuk Yazir sambil menuding jari ke arah Qarizh dan Indira yang sudah pun melarikan diri.

Zafi dan kawan-kawannya yang lain segera mengejar langkah Qarizh dan Indira. Tidak mahu dikerjakan oleh Yazir yang sudah naik angin itu.

"Sayang, hubby nak sayang lari dari sini. Telefon sesiapa yang boleh pickup sayang. Hubby tak nak dia orang dapatkan sayang. Kalau dia orang dapatkan hubby tak apa. Hubby boleh lawan. But, not you. Please..."

Indira ingin menangis. Dia menggelengkan kepalanya perlahan. Macam mana kalau apa-apa terjadi pada Qarizh? Dia bukan tidak tahu, bilangan konco-konco Yazir. Terlalu ramai. Macam mana Qarizh nak handle? Anak-anak buah Qarizh belum tentu boleh datang dalam masa yang tepat. Silap mereka juga, kerana tidak berjaga-jaga. Tak terfikir yang Yazir akan menyerang mereka dalam waktu begini.

"Please don't cry. I will be back as soon as possible. Okay?" Qarizh mengusap pipi Indira. Sesekali anak matanya meliar sekeliling mereka. Takut-takut mereka menjumpai mereka di sini.

"Promise?"

"Yes, sayang. I'm promise." Janji Qarizh. Dahi dan kedua-dua belah pipi Indira dikucupnya lama. Entah kenapa kali ini dia terasa lain. Seolah-olah ada yang lebih buruk akan berlaku. Tapi, dia akan rasa lega sekiranya Indira tidak diapa-apakan.

Biarlah nyawanya menjadi tarungan. Asalkan bukan Indira. Sudah banyak kali Indira tersakiti. Kerana dia...

"Itu dia!" jerit Zafi sambil menuding jari ke arah Indira dan Qarizh.

"Sayang, lari! Now!"

Indira menganggukkan kepalanya. Laju dia membawa langkahnya pergi meninggalkan Qarizh di belakang bersama dengan linangan air mata. Dia akur dengan permintaan Qarizh. Dia tahu yang Qarizh mampu menjaga diri.

Sesekali Indira memalingkan wajah ke belakang sambil berlari. Kelihatan anak-anak buah Qarizh sudah datang membantu Qarizh. Hatinya sedikit lega. Suaminya akan baik-baik saja. Dan Qarizh sudah berjanji akan balik ke pangkuannya semula selepas semuanya selesai. Baru saja dia ingin merasakan kebahagiaan menjadi pasangan suami dan isteri. Bilalah semua ini akan berakhir?

Pinnnnn!

Indira memalingkan semula wajahnya ke depan. Tidak sempat dia hendak mengelak dari dilanggar oleh sebuah kereta yang meluru laju ke arahnya.

Bammm!

Tubuhnya melayang sebelum terhentak kuat di atas jalan raya. Kepalanya memberat. Begitu juga dengan kelopak matanya. Pandangannya kabur terpaku pada Qarizh yang sedang bergelut dengan anak-anak buah Yazir. Jarak mereka agak jauh. Qarizh tak tahu yang dia kemalangan.

"Ma... maafkan Dira..."

Perlahan matanya terpejam rapat. 


Previous: BEM 42
Next: BEM 44

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh nurshaza