Home Novel Thriller/Aksi Bidadari Encik Mafia (Completed)
BEM 13

KEMEJA biru gelap itu dimasukkan ke dalam seluar slack berwarna hitam supaya kelihatan kemas. Hari ini hari pertama dia akan bekerja di Mestika Royals Holdings atas suruhan Qarizh sendiri. Selain skop kerjanya menjaga Qasrina, kini dia berpeluang untuk mencari pengalaman bekerja di dalam suasana pejabat. Dia dilantik untuk menjadi kerani pertanyaan kaunter bersama Qasrina. Di mana ada Qasrina, di situ wujudnya dia.

Anak-anak buah Qarizh yang sudah diberikan kepercayaan untuk menghantar dan menjemput Alana di sekolahnya. Izz Benazir juga sudah memberikan keizinan kepada mereka. Jadi, tiada apa yang perlu Indira khuatirkan sekarang ini.

"Kak, siap dah? Abang Hilmi dah tunggu kita dekat luar. Abang dah gerak dulu tadi sebab ada meeting pagi ni."

Indira menganggukkan kepalanya. Faham akan tugas Qarizh selaku CEO syarikat. Langkah disusun mengekori Qasrina dari belakang menuju ke kereta yang akan dipandu oleh Hilmi.

"Bye, Qas dengan Dira! Hati-hati kerja tu!" Bersungguh-sungguh Zane dan Irham melambaikan tangan mereka ke arah dua orang gadis itu.

"Jangan lupa ambil Lana!" pesan Indira kepada mereka.

Terangguk-angguk kepala Zane dan Irham menerima pesanan Indira. Takut benar Indira sekiranya mereka lupa menjemput Alana di sekolah tepat pada jam satu tengah hari.

"Sudah?" soal Hilmi kepada Indira yang duduk di sebelahnya. Tangan sebelah mengenggam stereng. Sebelah lagi tangan memakaikan kaca mata berwarna biru pada matanya.

Indira senyum. Kepala diangguk sekali. Kenalah akur duduk di hadapan bersama Hilmi. Qasrina gemar duduk di belakang berbanding depan. Reda saja.

"Bang, singgah beli sarapan boleh tak? Malas nak makan dekat kafe. Mesti ramai waktu macam ni," pinta Qasrina.

"Okey. Nak beli dekat mana?"

"Tanya akak."

Hilmi mengerling sekilas ke arah Indira di sisinya. Inilah kali pertama dia melihat penampilan Indira secara formal. Sebelum-sebelum ini, gadis itu tidak akan berpisah dengan jaket kesayangannya sama seperti Qasrina dan Qarizh.

"Hmm... drive-thru KFC sajalah?"

Laju Qasrina menganggukkan kepalanya. "Nice choice, sis."

Hilmi diam tanpa respons. Brek tangan diturunkan. Gear yang berada di P ditukar kepada D. Lantas, kereta yang dipandu meluncur di atas jalan raya. Dia hanya memandu kereta dengan menggunakan satu tangan saja. Sebelah tangannya lagi direhatkan di atas brek tangan.

Sesekali Indira mengerling ke arah Hilmi yang kelihatan segak ketika memandu kereta. Sudah serupa gaya Qarizh setiap kali melihat Hilmi. Orang kanan kesayangan Qarizh, mestilah nampak sama, kan?

Selepas membeli sarapan di KFC, tidak sampai 15 minit kereta sudah diberhentikan di dalam petak kosong betul-betul di hadapan bangunan megah Mestika Royals Holdings. Hilmi menarik brek tangan dan kemudian gear ditukar kepada P. Lantas dia membawa tubuhnya keluar untuk membukakan pintu buat Qasrina selaku adik kepada CEO syarikat itu.

"Akak, Qas masuk dulu. Nak cari tandas. Sakit perut pula." Terkocoh-kocoh Qasrina berlari anak masuk ke dalam syarikat. Tampaknya seperti tidak dapat menahan lagi.

Indira sekadar menggelengkan kepalanya saja. Belum sempat lagi dia keluar dari kereta sepenuhnya, sudah ditinggalkan oleh Qasrina. Sabar sajalah.

"Dira, sekejap."

Indira baru saja hendak menyusun langkah, terhenti dek seruan Hilmi. Pergelangan tangannya ditarik lembut oleh lelaki itu membuatkan dirinya sedikit terkedu.

"Ke... kenapa?"

Hilmi tidak menjawab. Sebaliknya, dia meninggung di hadapan Indira lalu mengikat semula tali kasut gadis itu dengan kemas. Tak sampai beberapa minit, Hilmi berdiri semula dengan senyuman kecil.

"Tali kasut kau tu longgar. Aku betulkan. Nanti karang tersungkur, kau yang dapat sakit."

Indira menggigit bibirnya sekali gus kepala dijatuhkan beberapa kali. "Thanks..."

Qarizh yang baru saja selesai menghantar kliennya sehingga ke pintu utama, sempat menyaksikan babak itu tadi. Entah kenapa, hatinya terasa panas melihat Hilmi mengikatkan tali kasut Indira. Adakah gadis itu tidak pandai mengikat kasutnya sendiri? Sedangkan Indira selalu memakai kasut setiap kali keluar bersamanya. Tak ada pula menyuruh dia membetulkan tali kasut gadis itu.

Tanpa berlengah, Qarizh membawa langkahnya masuk semula ke dalam pejabat dengan perasaan sebal yang semakin menggunung. Hilmi yang mahu betulkan tali kasut Indira secara sukarelawan ataupun Indira yang menyuruh Hilmi? Soalan demi soalan bermain di dalam kotak fikirannya.

SEPANJANG hari Qarizh hanya memerap dirinya di dalam bilik pejabat. Qasrina mengajaknya makan tengah hari bersama namun dia menolak. Langsung tidak kasihan kepada perutnya yang sudah berbunyi-bunyi mendendangkan pelbagai rentak lagu. Hatinya masih panas mengingati babak awal pagi tadi.

Tok. Tok.

"Hmm... masuk...," sahut Qarizh dengan nada malas. Gayanya acuh tidak acuh saja.

Indira yang mendengarkan sahutan halus itu segera masuk melangkah masuk sambil menjinjit satu plastik berisi bungkusan makanan. Dia baru saja balik dari makan tengah hari bersama Qasrina dan Hilmi. Sempat lagi ketika makan dia menjumpai Alana supaya hatinya serasa tenang bila melihat si kecil itu di hadapan matanya. Kini, Alana dijaga oleh anak-anak buah Qarizh sementara menunggu Indira pulang dari kerja.

"Qarizh! Kenapa tak keluar makan sekali dengan kita orang?" Selamba saja dia melabuhkan punggung di atas kerusi bertentangan dengan lelaki itu tanpa keizinan.

"Ada aku suruh kau duduk ke?" soal Qarizh tanpa memandang wajah Indira. Matanya melekat pada isi kandungan di dalam fail yang dibeleknya dari tadi.

"Erk..."

Indira lekas-lekas berdiri semula di tepi kerusi. Malu pula bila ditegur sebegitu. Dilihatnya wajah Qarizh yang beku seperti biasa. Akan tetapi, kebekuan lelaki itu pada hari ini sedikit tampak kelainan. Dia tengah marah ke? Pada siapa?

"Sorry, aku tak sengaja." Indira menunduk.

"Kau nak apa? Bukan tadi sebelum lunch kau dah hantar fail ke?"

Amboi, macam nak menghalau aku aje. Aku ada buat salah ke? Apasal mamat ni macam berangin semacam? Gumam Indira di dalam hatinya sendiri.

"Tak. Kau tak turun makan. Jadinya, aku tapaukan kau makanan."

"Ada aku suruh?" Qarizh mendongakkan wajahnya perlahan sekali gus belikat disandarkan ke belakang. Jari-jemarinya bertaut sesama sendiri dengan pandangan yang beku seperti biasa.

Indira hilang jawapan. Sungguh dia tidak mengerti akan sikap lelaki ini. Dingin semacam dengan dia. Sedangkan beberapa hari lepas, mereka banyak berkongsi cerita bersama. Qarizh yang dia kenal selama ini bertukar menjadi seorang yang banyak cakap. Tapi hari ini, lelaki itu berubah kembali kepada asal. Dia ada buat silap tanpa sengajakah?

"Tak salahkan aku risaukan kau sebagai orang yang pernah jadi hero aku? Pernah tolong aku masa aku susah? Dan pada yang sama, risau sebagai seorang kawan?" Indira mula bersuara.

Qarizh membisu. Ungkapan ayat Indira serba sedikit menyentuh hujung hatinya. Dia digelar sebagai hero di dalam diri gadis itu? Bukankah sepatutnya dia berasa gembira? Gadis di hadapannya inilah yang dinanti-nantikan selama 10 tahun lamanya.

"Terima kasih."

Qarizh terus melupakan hal kejadian awal pagi tadi selepas mendengar ungkapan ayat dari mulut Indira. Ibarat api disimbah air.

"Sama-sama kasih. Ingatkan betul-betul tak nak makanan yang aku belikan ni. Jangan sombong sangat. Aku tahu kau lapar."

Qarizh merenung dalam sepasang anak mata Indira. Perlahan bibirnya terjongket senyum. "Tak sangka kau boleh dengar perut aku berbunyi."

"Sampai luar sana berbunyi. Ingatkan bunyi siren kebakaran tadi."

Kening Qarizh bercantum. "Sampai macam tu sekali kau samakan bunyi perut aku?"

Indira menyilangkan tangannya ke dada. Kepala diangguk sekali. Sengaja dia menayang wajah serius. Apa, ingat Qarizh seorang saja yang boleh tunjuk muka ketat tu. Rasa macam nak longgarkan saja skru-skru yang ada dekat muka lelaki itu menggunakan pemutar skru.

"Duduklah. Teman aku makan," suruh Qarizh.

Indira mengajuk kata-kata Qarizh seraya melabuhkan punggungnya di atas kerusi itu semula. Tangannya masih disilang ke dada.

"Tak baik ajuk cakap orang tua. Nanti lambat kahwin," perli Qarizh. Mengaku pula dirinya sudah tua. Lagi tiga tahun saja usianya mahu berganjak ke 30-an.

"Eh, eh. Mengaku pulak kau dah tua, ya? Lambat kahwin apanya. Kau nak kutuk aku yang aku ni tak lakulah? Umur aku baru 25, muda lagi. Kau tu dah 27, kan? Patutnya kau yang kena kahwin dulu."

Qarizh menjongketkan kedua-dua belah bahunya sambil membuka bungkusan makanan. Semerbak bau nasi kandar yang dibeli oleh Indira. Nasi kandar salah satu makanan kegemaran Qarizh. Tidak sangka pilihan Indira menepati citarasanya.

"Pandai kau pilih menu makanan untuk aku. Qasrina bagi tahu kau ke?"

"Bagi tahu apa?"

"Nasi kandar, makanan kesukaan," jawab Qarizh sekali gus menyinsingkan kedua-dua belah lengan kemejanya sehingga ke paras siku.

"Oh, ya ke? Tak tahu pulak aku. Aku tak tanya Qas pun. Aku yang pilih sendiri ikut kata hati aku. Tak sangka pula ngam-ngam kesukaan kau."

Qarizh senyum. Suapan pertama sudah berjaya masuk ke dalam mulutnya dan dalam proses mengunyah. Sungguh dia menikmati santapan tengah harinya itu ditemani oleh Indira, si gadis pujaan hatinya dalam diam.

"Macam mana kerja kau hari pertama ni? Susah? Cabaran?"

Indira tersenyum senget lalu menggelengkan kepalanya sekali. "Kerja yang kau bagi dekat aku, semua aku boleh buat. Syukur sangat ilmu-ilmu tu semua masih ada lagi dalam kepala otak aku. Cabaran tak ada setakat ni."

"Baguslah kalau macam tu. Kalau kau rasa tak boleh buat, beritahu aku. Dan, aku nak kau tumpukan perhatian kau lebih pada Qasrina. Rasa tak sempat nak siapkan, passkan dekat Qasrina. Biar dia yang buat. Janji kau bagi perhatian dekat dia."

Indira menjuihkan bibirnya. "Yalah, bos. Takut sangat adik bos tu hilang. Jangan risau. Aku akan jaga dia. Dia dah macam adik aku sendiri."

Qarizh angguk sekali sebelum kembali menikmati nasi kandar kesukaannya itu. Sesekali dia mengerling ke arah Indira yang sedang ralit menatal skrin telefon bimbitnya. Sesekali gadis itu tersenyum sendiri. Senyuman Indira membuatkan dirinya ditarik masuk ke dalam dunia lain. Sepanjang dia hidup, dia belum pernah rasa perasaan sebegini. Apa istimewanya Indira Callista ini sehingga membuatkan dirinya tidak tentu arah?

NAFAS dihela perlahan. Rambutnya diramas penuh tekanan. Tension dirinya menghadap kerja yang menimbun tidak sudah-sudah. Makin lama tugasnya semakin mencabar. Mujur perutnya sudah kenyang dek menikmati nasi kandar yang dibeli oleh si gadis pujaan hatinya. Terubat sedikit tekanan yang menggunung di dalam kepala otaknya.

"Bilalah kerja ni nak habis? Dari bulan lepas, aku stuck dekat sini. Kalau macam ni, aku boleh rugi besar," omel Qarizh sendirian.

"Cik abang kesayangan, mengomel apa itu? Orang ketuk pintu pun tak ada sahutan. Ingatkan tidur tadi...," perli Qasrina sebaik saja dia melangkah masuk ke dalam bilik pejabat abangnya itu. Lenguh jarinya mengetuk bilik, langsung tiada sahutan daripada Qasrizh.

"Tidur apanya. Banyak kerja aku ni, hah. Tak sudah-sudah. Aku stuck dari bulan lepas. Tension aku." Kini, wajahnya pula diraup sebelum menyandarkan belikatnya kasar.

"Sabar, sabar. Jangan tension-tension. Take a deep breath, brother."

Qarizh menjeling. Qasrina memang suka bermain dengannya walaupun dia menayangkan wajah serius semaksima.

"Arwah papa pesan, buat kerja jangan tension. Kena ikhlas. Barulah boleh siap dan membawa hasil yang berbaloi dari titik peluh kita sendiri."

Qasrina berjalan sehingga ke belakang kerusi Qarizh. Tangannya menyentuh kedua-dua belah bahu si abang sebelum mengurut.

"Qas tahu abang penat. Abang yang kena handle semua urusan syarikat keluarga kita ni. Sebab tu, Qas nak tolong abang. Tapi abang lambat sangat nak suruh Qas kerja dekat sini."

Qasrina mencebik sebelum menyambung semula kata-katanya.

"Kalau tak, mesti abang tak tertekan sampai macam ni sekali. Apa kata, abang ajar Qas semua benda alah ni. Boleh Qas bantu sebahagian dari kerja abang tu. Ringan sikit beban, kan?"

Qarizh memejamkan matanya sekali gus menghelakan nafas ringan. Benar apa yang Indira kata sebelum ini. Qasrina bukan lagi budak kecil yang perlu dijaga setiap masa. Cumanya perlu pantau saja, bukan sampai gadis itu terasa dirinya terkongkong. Silap dia juga. Takut gagal menjalankan tanggungjawab sebagai seorang abang.

"Aku minta maaf. Aku tak ada niat nak buat kau mereput dalam rumah tu. Kau tahu, kan? Aku sebenarnya..."

"Ya, Qas tahu. Abang sayang sangat dekat Qas. Lepas arwah mama dengan papa tinggalkan kita. Abang berubah. Qas cedera sikit, muka abang terus pucat lesi. Qas tahu yang abang takut Qas tinggalkan abang sama macam arwah mama dengan papa, kan?"

Laju saja si adik mencantas percakapannya. Sungguh kata-kata Qasrina membuatkan lidahnya terkelu. Sama sekali dia tidak menyangka, Qasrina mampu membaca isi hatinya itu.

"Setiap yang hidup pasti akan mati, abang. Abang jangan risau. Qas akan jaga diri Qas sebaik yang mungkin. Qas pun ada ilmu pertahanan sendiri. Abang pun ada minta Kak Dira sentiasa bersama dengan Qas. Qas hargai semua pengorbanan, abang. Tapi tolong izinkan Qas untuk bantu abang juga."

Qarizh menarik tangan kanan Qasrina sehingga gadis itu berdiri menghadapnya. Kedua-dua belah tangan si adik digenggamnya erat. Anak mata redup milik Tengku Qasrina Najihah ditenungnya sedalam yang mungkin.

"Memandangkan kau dah tahu isi hati aku. Yang aku ni takut sangat kehilangan kau. Aku nak kau janji dengan aku. Sentiasa jaga diri kau. Jangan buat aku panik dan risaukan kau. Boleh, kan? Aku tak mintak banyak. Tu saja yang aku harapkan daripada kau."

Qasrina tersenyum seraya kepala diangguk sekali. Rambut Qarizh diusapnya lembut penuh kasih. Seperti mengusap kepala kanak-kanak. Dulu ketika dia kecil, dia selalu berbuat begitu kepada abangnya.

"Ya, abang. Qas janji. Abang jangan fikir sangat sampai abang stres. Tak elok untuk kesihatan abang."

Qarizh angguk sekali.

"Erm, abang. Qas nak tanya sesuatu, boleh tak?"

"Apa?" Qarizh kembali membelek fail-fail yang bersepah di atas meja kerjanya itu.

"Tengku Yazir tu sepupu kita, kan? Keluarga dia masih ada share dengan syarikat keluarga kita ni ke?"

Qarizh diam seketika sebelum menjatuhkan kepalanya sekali. "Diakan sepupu kita. Anak kepada kakak papa. Mestilah ada share. Kenapa?"

"Cakap pasal dia. Dah lama tak nampak dia. Tak silap Qas, kali terakhir kita jumpa dia sekeluarga masa kenduri tahlil arwah mama dengan papa, kan? Lepas tu, tak jumpa dah."

"Banyak kali aje dia ajak aku datang rumah dia. Bawa kau sekali. Tapi kau tahukan, aku tak ada masa."

Qasrina mencemik. "Alasan abang tu, Qas rasa nak smackdown je abang ni. Tak akanlah dalam setahun sekali tak boleh nak jumpa? Dia orang je keluarga yang kita ada. Haish, abang ni."

"Yalah, yalah. Bila kau nak pergi? Cakap dengan aku."

"Nak ajak akak sekali boleh tak?"

"Dia sentiasa ikut kau ke mana kau pergi."

"Even toilet sekalipun?"

Qarizh menjeling. Qasrina menayang sengih.

"Yes! Thank you, abang. Muah!" Pipi kanan si abang dikucupnya sebelum berlari anak keluar dari bilik kerja Qarizh.

Qarizh hanya menggelengkan kepala. Melayan saja kerenah si adik yang kadang-kadang terlebih masuk air. Pantang dah ada Indira, ke mana saja pergi pasti mahu mengajak gadis itu. Dia sendiri juga senang bila si gadis pujaan sentiasa di hadapan mata.

"Haih..." Kepala dibawa geleng sekali sebelum senyuman nipis terbit pada bibirnya.


Previous: BEM 12
Next: BEM 14

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh nurshaza