"SAKITLAH! Lepaskan aku!" marah Qasrina tatkala pergelangan tangannya direntap oleh seorang lelaki yang tidak dikenalinya.
Pang! Terdiam dibuatnya apabila menerima habuan dari telapak tangan lelaki bertopeng hitam itu. Kepalanya terteleng. Pipinya serasa pijar menyengat. Ditambah pula, sakit tubuhnya diheret masuk ke dalam sebuah bilik. Dia sendiri tidak tahu dirinya ketika ini, di rumah siapa. Akan tetapi, dia sepertinya dapat mengecam mobil kepunyaan Yazir yang berada di luar rumah tadi sebelum dia diheret masuk.
Kedebum!
Indira yang sedang duduk termenung terkejut dek pintu biliknya ditolak kasar dari luar sehingga berlanggar dengan dinding. Dahinya berkerut seribu melihat dua susuk tubuh yang memasuki ruangan biliknya itu.
"Qasrina?" tegur Indira dengan nada suaranya terkejut. Tubuhnya masih lagi terasa sakit menyebabkan pergerakannya terhad. Beberapa hari dia di sini, teruk dia dibelasah oleh sekumpulan anak buah Yazir dan Yasmin dek mahu melarikan diri dari rumah ini. Dirinya seperti sudah berada di dalam penjara. Langsung tidak dapat mengesan jalan keluar.
"Akak..." Sayu saja pandangan Qasrina kepada Indira. Terkejut dirinya melihat Indira dalam keadaan seperti itu. Wajahnya penuh dengan lebam dan luka. Dia tidak tahu angkara siapa semua ini.
"Duduk diam dalam ni. Jangan nak cari pasal. Kalau tak, habis korang kena kerjakan lagi," pesan lelaki itu sebaik saja tubuh Qasrina ditolak sehingga gadis itu terjatuh di atas katil bersebelahan dengan Indira.
"Abang Hilmi?" Qasrina sepertinya dapat mengecam suara lelaki itu walaupun mulutnya tertutup dek topeng mulut hitam yang dikenakan pada wajahnya.
Sepi.
"Betul ke tu Abang Hilmi?" Kolam air mata Qasrina terasa panas. Bertakung. Kalau betul itu lelaki yang dikenalinya, kenapa Hilmi bertindak sedemikian? Apa salahnya kepada lelaki itu?
Hilmi melepaskan dengusan halus sebelum menarik topeng mulut dari wajahnya. Rambutnya disingkap ke belakang sekali gus tubuhnya bersandar pada dinding bilik itu. Mata redupnya menikam pandangan Qasrina. Tangan dibawa bersilang ke dada. Bibirnya sedikit terherot ke tepi. Sinis.
"Abang? Kenapa?" Air mata Qasrina akhirnya jatuh menitis ke pipi. Bibirnya terkemam-kemam menahan esakan.
"Abang? Aku bukan abang akulah. Sejak bila aku jadi abang kau? Abang kau tu Si Qarizh tu. Bukan aku. Tak ingin aku nak jadi abang kau. Lakonan aku dah tamat." Hilmi tersenyum senget. Tangannya mendarat di atas kepala Qasrina sebelum diusap lembut.
Pak! Dengan beraninya, Qasrina menepis tangan Hilmi sehingga tangan lelaki itu beralih dari kepalanya. Jelas kerut-kerut kemarahan terlukis pada wajah Qasrina. Sungguh hatinya panas ketika ini. Dia tidak sangka selama ini dia silap mempercayai orang. Inilah balasannya kerana meninggalkan abangnya.
"Arghh!" Qasrina meringis kesakitan apabila Hilmi merentap rambutnya sehingga kepalanya terdongak ke atas.
Mereka saling berbalas pandangan.
"Sakitlah! Lepaslah!" tempik Qasrina sekali gus menendang perut Hilmi menggunakan kudrat kewanitaannya. Dadanya berombak laju. Sama sekali dia tidak boleh menerima situasi sekarang ini.
Indira memejamkan matanya seketika sambil tangannya menekan perutnya yang terasa sakit. Tubuhnya sedikit menggeletar dek menahan rasa sakit yang semakin lama semakin menjalar itu.
"Tak guna. Kau dengan abang kau sama jelah! Bodoh!" caci Hilmi. Dia kembali bangun dari lantai kemudian menindih tubuh Qasrina sehingga mereka berdua terbaring di atas katil.
"Kau nak buat apa dengan aku, huh?" Qasrina meronta-ronta kuat menyebabkan Hilmi terjatuh di sebelahnya. Segera dia mengambil kesempatan itu dengan menghenyakkan punggungnya di atas perut Hilmi. Beberapa tumbukan padu dilepaskan dengan penuh amarah tepat mengenai wajah Hilmi.
Buk! Buk! Buk!
Indira memandang lemah ke arah mereka. Dia tidak dapat membantu Qasrina dek keperitan yang ditanggung. Matanya meliar, cuba mencari kunci atau apa-apa yang boleh digunakan untuk dia keluar dari sini. Tidak betah lagi untuk terus terperangkap di dalam neraka buatan ini.
"Arghhh!"
Kedebuk! Tubuh Qasrina menyembah lantai apabila Hilmi berjaya melepasi diri dari terus ditumbuk olehnya. Berkerut-kerut dahinya menahan sakit pada punggung dan pinggangnya yang terhentak tadi.
"Nak lawan dengan aku sangat, kan?"
Qasrina mendongakkan kepalanya perlahan. Sekali lagi dia bertatapan anak mata dengan si pengkhianat. Gunung amarahnya semakin meluap-luap. Tunggu masa saja hendak meletup. Terlalu sakit hatinya ketika ini.
"Sampai hati abang buat Qas macam ni. Qas sayangkan abang lebih dari seorang kawan. Lebih dari seorang abang. Qas percayakan abang. Ini yang abang balas dekat Qas? Apa salah Qas dekat abang? Bagi tahu!" tengking Qasrina sekali gus air matanya sudah lebat mengalir membasahi pipinya. Dia jujur yang dia sayangkan Hilmi. Erti mudah, dia jatuh cinta dengan Hilmi sejak mereka menjadi rapat lagi.
Hilmi terpempan seketika mendengar luahan yang terpacul dari bibir Qasrina. Tangan yang tadi menggenggam penumbuk perlahan-lahan kendur sebelum dijatuhkan semula ke sisinya. Jantungnya ketika itu berdegup tidak sekata.
"Apa salah Qas pada abang? Jawablah!" tempik Qasrina. Bagaikan mahu terkeluar anak tekaknya.
"Hoi! Apa benda yang bingit sangat ni sampai ke tingkat bawah dengar? Dah kena sampuk setan ke apa?" marah Yazir yang tiba-tiba saja muncul di hadapan pintu masuk bilik. Berkerut-kerut dahinya menahan marah. Bengang. Mahu pekak telinganya mendengar jeritan Qasrina dari tadi.
"Abang Yaz. Abang Yaz buat apa? Kenapa bawa Qas ke sini? Qas nak balik! Qas nak abang!" Qasrina bangkit lalu memukul-mukul dada Yazir dengan sekuat hatinya. Geram.
"Aduh! Sakitlah sial." Yazir menolak kasar tubuh Qasrina sehingga sepupunya jatuh terduduk di atas karpet.
"Korang nak apa sebenarnya?" tengking Qasrina berselang-seli dengan esakannya. Terenjut-enjut bahunya.
Indira hanya memerhatikan mereka. Mulutnya dikunci rapat. Dalam genggamannya terdapat kunci kereta milik Hilmi. Sewaktu Qasrina dan Hilmi bergelut, dia sempat menarik kunci kereta lelaki itu dari dalam saku seluar milik Hilmi. Sekarang ni, dia hanya memikirkan bagaimana mahu keluar dari rumah ini.
"Nak hapuskan kau dengan abang kau dari muka bumi ni. Semua harta keturunan Tengku akan jatuh dekat tangan aku dan ibu aku. Lagipun Qarizh beria-ria sangat marah dekat aku sebab aku tak ambil kisah pasal syarikat tu. Sekarang ni, aku dah ambil kisah. Jadi korang tak payahlah risau lagi." Yazir tersengih. Rambutnya yang terjuntai pada dahi diselakkan ke belakang dengan wajah angkuhnya itu.
Qasrina terdiam. Langsung dia tidak menyangka sama sekali. Saudaranya sendiri yang mahu membunuh mereka. Dan silap dirinya sendiri kerana mempercayai mereka dari Qarizh. Abang kandungnya. Sekarang ni, dia tidak tahu apa yang harus dia lakukan sekarang. Sekuat mana pun dia, dia tetap kecundang. Berjaya masuk ke dalam perangkap mereka.
"Mi, jom. Ibu aku panggil makan. Kunci bilik ni. Jangan bagi perempuan-perempuan ni keluar. Biar terkurung," ajak Yazir seraya menapak keluar dari bilik itu.
Hilmi sekadar menganggukkan kepalanya. Dia membetulkan sedikit penampilannya sebelum keluar dari bilik itu. Qasrina segera bangun lalu memulas tombol bilik itu berkali-kali. Air matanya berjuraian tanpa kenal erti lelah. Tubuhnya melorot jatuh, bersandar pada dedaun pintu itu.
"Akak... maafkan Qas. Maafkan Qas."
Indira tidak menjawab. Hanya menyepikan dirinya. Hatinya sudah terasa tawar. Tidak sepatutnya dia mengenali Qarizh dan Qasrina. Kalau tidak, pasti dia tidak akan berada di sini.
"Akak... akak okey? Muka akak pucat sangat. Akak sakit?"
"Tak payah peduli pasal aku."
Bergetar tangkai hati Qasrina tatkala mendengar jawapan dari mulut Indira. Perlahan dia bangun dari duduknya, tubuh Indira yang berada di hujung katil didekatinya.
"Jangan dekat dengan aku," larang Indira. Dia menggelengkan kepalanya perlahan.
"Maafkan Qas, akak. Qas tahu semua ni salah Qas. Qas rindukan akak."
"Aku tak nak ada apa-apa dengan kau lagi. Jauhkan diri kau dari aku. Korang semua ni pembunuh."
Qasrina mengetap bibirnya sehingga merah. Pilu hatinya tatkala Indira menuduhnya sebegitu. Dia langsung tak tahu perkara seperti ini bakalan terjadi. Tidak terfikir dek akal yang musuhnya merupakan ahli saudaranya sendiri. Tergamaknya mereka.
"Kau dan keluarga kau dah bunuh along dan kak long aku. Aku tak boleh terima sama sekali. Langsung tak boleh terima. Jangan kau berani dekatkan diri kau dengan aku. Kalau tak, aku yang bunuh kau nanti!" Keras nada suara Indira memberi amaran kepada Qasrina. Fikirannya terlalu serabut. Keadaannya seperti separuh sedar.
Qasrina membisu. Mengenai arwah along dan kak long Indira, dia langsung tidak tahu-menahu. Qarizh tak pernah menceritakan hal itu kepadanya.
Bagaimana dia hendak mengembalikan kepercayaan Indira Callista kepadanya?
Sungguh hatinya dibelenggu dengan perasaan serba-salah yang sangat berat.
YAZIR memerhatikan Hilmi yang sedang termenung jauh di ruang tamu. Semasa makan tadi pun, lelaki itu banyak mendiamkan diri. Entah apa yang merasuki fikiran Hilmi. Biasanya lelaki itu akan banyak bercakap dengannya.
"Hoi, Mi. Kau kenapa? Dari tadi aku tengok kau termenung aje. Ada masalah apa?" tegur Yazir sebaik saja dia menghenyakkan punggungnya di atas sofa bertentangan dengan Hilmi. Rokok elektronik yang tergantung pada lehernya disedut dengan penuh nikmat sebelum membebaskan asap wangi itu ke udara.
"Tak ada apalah. Letih sikit aje. Kena sepak terajang dengan Si Qas tu tadi."
Yazir tergelak kecil. Kepala dibawa angguk sekali. Sebab itu rupa-rupanya. Fikirkan ada sebab lain tadi. "Biasalah tu. Dia orang bukan macam perempuan lain dekat luar sana tu. Dua-dua dah macam taiko. Perut aku ni pun masih terasa senak lagi disebabkan Si Indira tu. Aku tak sangka dia tu sekuat itu. Salah anggap. Mendapatlah sendiri."
Hilmi hanya ukirkan senyuman nipis. Omongan Yazir langsung tidak menarik perhatiannya kini. Apa yang dia sedang fikirkan sekarang adalah luahan hati Qasrina. Masih lagi terngiang-ngiang ayat itu di dalam kepala otaknya.
"Sampai hati abang buat Qas macam ni. Qas sayangkan abang lebih dari seorang kawan. Lebih dari seorang abang. Qas percayakan abang. Ini yang abang balas dekat Qas? Apa salah Qas dekat abang? Bagi tahu!"
Hilmi memejamkan matanya. Ayat-ayat Qasrina bagaikan menembak-nembak hatinya. Terasa sesak dibuatnya. Namun seboleh-bolehnya dia mengawal wajahnya agar Yazir tidak perasan.
"Kau dah lama tak balik markas ni, Qarizh tak cari kau ke? Tak call kau?"
Hilmi menggelengkan kepalanya. "Aku rasa dia dah tahu. Sebab aku baru dapat tahu dari Fadil yang sepupu dia seorang lagi tu selalu ikut aku secara senyap-senyap. Aku pun tak perasan."
Dahi Yazir berkerut seribu. Sepupu yang mana pula ni? Berapa ramai sepupu yang Qarizh ada? Hairan.
"Sepupu? Yang mana? Setahu aku, sepupu dia aku seorang saja."
"Airiel. Sepupu sebelah bapa dia."
Yazir terdiam seketika. Cuba menggali nama itu di dalam kotak ingatannya.
"Tengku Airiel ke?"
Hilmi angguk sekali.
"Eh, aku ingatkan dia orang dah terputus hubungan."
"Memang terputus sebelum ni. Tapi laki tu muncul semula. Dia orang dah berbaik dah pun. Tinggal serumah. Sebab tu laki tu boleh kesan gerak-geri aku. Nampak aje dia diam. Tapi diam-diam dia berisi."
Yazir menganggukkan kepalanya sekali. Ada satu info baru yang harus dia beritahu ibunya itu. Rasa-rasanya Airiel itu tidaklah begitu bahaya untuk dirisaukan.
"Tak apalah. Thanks bagi tahu aku. Kau nak ke mana hari ni? Kelab malam ke?"
Hilmi mengherotkan bibirnya ke tepi. Dia menyandarkan belikatnya ke kusyen sofa. Kepala didongakkan ke atas. Merenung siling rumah agam itu dengan seribu satu perasaan yang bermain di dalam hatinya.
"Tak kut. Aku letih. Kau pergi ke?"
"Tak. Aku malas. Ada kesayangan dekat dalam rumah ni. Layan dia ajelah. Bidadari aku tu. Buat apa nak layan bidadari macam bangunan tak siap dekat sana tu." Yazir tergelak kecil. Selamba saja dia menghina perempuan-perempuan yang berkhidmat di kelab malam itu.
"Yang macam bangunan tak siap tu jugalah selama ni kau layan. Berkepuk-kepuk duit kau dah keluarkan."
"Tu dulu. Ni sekarang. Hidangan dah tersaji depan mata. Free of charge pulak tu. Mana boleh tahan."
Hilmi menggelengkan kepalanya. Malas dia mahu melayan perangai miang Si Yazir itu yang semakin menjadi-jadi. Mujur dirinya tidak seperti lelaki itu. Terlalu ramai perempuan yang sudah dibuat main. Setakat ini, dia tidak pernah lagi menyentuh mana-mana perempuan untuk dilepaskan nafsu serakahnya itu.
"Aku nak check Indira sekejap. Rindu pula dekat perempuan tu. Sejak dia berada dekat dengan aku ni, makin menjadi-jadi perangai aku ni nak melekat dengan dia. Asallah cantik sangat. Haish..."
Hilmi tidak menjawab. Hanya mendiamkan diri. "Kau jangan sentuh Qas. Dia aku punya."
Terhenti langkah Yazir dek mendengar pesanan yang diberikan oleh Hilmi itu. Keningnya terjongket sebelah. Tak pernah-pernah Hilmi berpesan seperti itu kepadanya.
"Sejak bila pulak sepupu aku tu kau punya? Kau dah tangkap cintan dengan budak hingusan tu ke?"
"Aku kata jangan tu janganlah. Tak payah banyak soal. Layanlah hak milik kau tu aje. Kalau kau nak privasi sendiri, panggil aku. Aku heret dia masuk bilik aku."
Yazir melepaskan tawanya sekali gus menggelengkan kepala. "Ada-ada sajalah kau ni. Haa... baguslah. Nanti jam lapan malam, ambil dia masuk dalam bilik kau. Aku nak spend time dengan kesayangan aku. Nanti dia tu tahu nak mengacau aku aje. Habis mood aku nanti."
"Hmm." Hilmi memejamkan matanya.
Yazir menyambung semula langkahnya naik ke tingkat atas. Perlahan dia menolak dedaun pintu yang menempatkan Indira dan Qasrina tadi sebaik saja kunci dibuka. Bibirnya tersungging sebuah senyuman penuh makna. Kelihatan dua susuk tubuh gadis itu sedang tertidur keletihan di atas katil.
"Malam ni, kita main lagi ya, sayang. Tak puaslah I nak main dengan you. Biar Qarizh tahu yang you ni hak milik I saja. Banyak kesan I dekat badan you tu. I ingat you ni perempuan yang brutal sangat. Tapi sebenarnya you tewas juga dengan buaya kacak macam I ni. Hehehe..."