QARIZH bangun. Kesakitan yang menjalar seluruh tubuh badannya tidak dihiraukan sama sekali. Jantungnya bagaikan hendak pecah melihat Haura yang sudah tidak sedarkan diri dalam keadaan berlumuran darah. Sama seperti di mana Qasrina alami sebelum dia menghembuskan nafas terakhir. Tak, dia tak boleh kehilangan Haura. Gadis itu tidak sepatutnya merisikokan dirinya.
"Kau memang tak guna! Tak cukup lagi ke kau dah bunuh adik aku, sial!" amuk Qarizh sambil menarik kedua-dua belakang baju Yasmin dan Harun sebelum ditolak kasar ke atas lantai.
Indira sudah menangis teresak-esak. Perlahan dia merangkak ke arah Haura. Kepala gadis itu dipangku di atas ribanya. Airiel yang barusan saja dapat melepaskan diri dari anak-anak buah Yazir, terkejut melihat suasana yang agak tegang itu. Matanya terpaku pada Qarizh dan Indira bersilih ganti.
"Adik!" Mahu gugur jantung Saif melihat adiknya yang dipangku oleh Indira. Begitu juga dengan Kizo. Diikuti dengan Izz yang berada di sisi.
"Haura... Haura..." Hilmi menggeleng-gelengkan kepalanya. Laju dia berlari ke arah Haura. Duduk melutut di tepi gadis itu. Tubuh Haura ditariknya dari pangkuan Indira.
"Jangan tinggalkan abang, Haura. Haura kuat, kan? Haura kena bertahan. Kita pergi hospital..." Mengigil-gigil tangan Hilmi menyelak rambut Haura yang menutupi dahi.
Thakif memanggil kawan-kawannya untuk membalas serangan anak-anak buah Yazir yang tak kenal erti berhenti. Dari tadi saling melepaskan tembakan.
Yazir yang terbaring, berkerut-kerut menahan sakit pada belakang tubuhnya. Tak lama itu, dia menghamburkan tawanya sehingga terpercik darah keluar dari mulutnya. Matanya dibawa pejam seketika dengan kepala yang tergeleng-geleng beberapa kali.
Sudah puas menghamburkan tawa, dia kembali bangun. Tidak semudah itu dia mahu mengalah. Indira Callista seharusnya menjadi milik dia. Bukan Tengku Qarizh Nadim. Lelaki itu patut mati. Dan secara automatik, gadis itu akan menjadi hak miliknya. Dia akan bawa pergi jauh Indira dari orang ramai. Itulah angan-angannya selama ini. Hidup bersama dengan gadis pujaan.
"Qarizh... aku belum mati lagi." Yazir tersengih. Darah yang meleleh celah bibirnya dibiarkan mengalir. Gayanya sudah seperti orang psiko saja. Otak mereng.
Qarizh mengalihkan pandangannya ke arah Yazir yang sudah berdiri sedikit senget. Tak mampu nak menegakkan tubuhnya angkara dua das peluru yang berada di belakang badannya. Itu pun masih tidak serik lagi.
Adiyan, Aditya dan Airiel sudah mengambil alih Harun dan Yasmin agar tidak menganggu Qarizh. Diikatnya tangan dan kaki kedua-dua orang tua itu. Yasmin menjerit-jerit minta dilepaskan. Darah yang mengalir pada betisnya sama sekali tidak meraih simpati di antara mereka bertiga. Harun saja yang risau melihat darah yang melimpah itu. Takut-takut Yasmin kehilangan banyak darah.
"Diamlah, orang tua. Dah tua pun masih lagi tak reti nak bertaubat," perli Adiyan dengan selamba. Diheretnya tubuh Harun dan Yasmin sehingga mereka tersandar pada belakang sofa.
"Lepaskan dialah, bawa dia pergi hospital! Dia kehilangan banyak darah!" marah Harun sambil menendang-nendang kakinya ke arah Adiyan dan Airiel.
"Eh, eh orang tua ni. Kau sedar tak yang perempuan tua ni dah tembak adik kawan kita orang sampai tak sedarkan diri. Apa-apa jadi siapa nak tanggungjawab, hah? Tak apa. Bertahanlah, ya. Lepas sudah semua ni, polis akan datang jemput korang. Nanti dirawatlah kat penjara. Jangan risau," ujar Adiyan, sesudah memastikan tali yang diikat ketat dan tak mampu dileraikan oleh mereka.
"Sial! Puih!" Harun meludah ke arah Adiyan tetapi lelaki itu cekap mengelak.
Adiyan sekadar menggelengkan kepala. Dia berlalu dari situ meninggalkan Airiel dan Aditya yang menjaga mereka berdua. Tak kuasa dia mahu menghadap lelaki dan perempuan tua itu lama-lama. Buat sakit hati saja.
BERKERUT-KERUT dahi Yazir menahan sakit pada lengannya yang dipulas kuat oleh Qarizh sehingga kedengaran bunyi tulangnya. Bibirnya diketap kuat. Terluka.
"Aku takkan teragak-agak nak bunuh kau, Tengku Yazir. Aku harap malam ni, malam terakhir kau bernyawa. Kau tak guna hidup dekat dunia ni. Mendatangkan bala dalam hidup orang. Sedarlah diri tu."
"Puih!" Yazir meludah ke arah wajah Qarizh namun ludahannya tersasar kerana dapat dielak oleh lelaki itu.
"Kau nak ludah aku? Nak larikan fokus aku ke? Kesian. Taktik lapuklah kau guna, bangang!" Qarizh menyiku muka Yazir sehingga lelaki itu jatuh mengundur lalu terhentak pada dinding ruang tamu. Melorot tubuh Yazir jatuh ke bawah.
Tak cukup dengan itu, Qarizh mengangkat kakinya lalu disepak tubuh Yazir berkali-kali. Melepaskan geram yang sudah mencapai had maksima. Dia tidak mahu melepaskan peluang yang sudah terhidang di hadapan mata. Sudah banyak kali dia memberi lelaki ini peluang. Akan tetapi, Yazir tidak menghargai satu pun peluang yang dia dapat. Masih nak mensia-siakan hidup dengan berebut isterinya. Macam dah pupus perempuan dekat muka bumi ni.
"Uhurgh!" Tersembur darah dari mulut Yazir apabila Qarizh melutut dadanya kuat.
"Sakit ke? Tapi aku rasakan, tak sesakit bila kau rasa kehilangan. Kau tak pernah rasa sakitnya kehilangan orang yang kau sayang. Agak-agaknya kalau mak kau mati, kau gembira ke sedih, weh? Hmmm..." Qarizh meninggung di hadapan Yazir. Dagu lelaki itu dicengkamnya kuat menggunakan kuku.
"Jangan... sentuh... ibu... aku... sial..." Tersekat-sekat nafas Yazir mahu bercakap. Menahan sakit yang semakin membisa pada seluruh tubuh badannya.
"Kau dah bunuh adik aku. Aku bunuh mak kau. Win-win situation, meh. Adil, kan? Hidup dekat dunia ni kenalah adil. Mak kau tu pun dah sakit tu. Berdarah-darah kaki dia. Tu baru kaki. Belum kena dekat organ penting. Kau lepaskan tiga das peluru dekat adik aku. Tiga-tiga tu tepat, bro. Kau dah lupa? Jadi, apa salahnya aku buat benda yang sama dekat mak kau, kan?" Qarizh berura-ura untuk bangun. Pistol yang berada tidak jauh darinya dicapai.
"Jangan!" Yazir menerkam tubuh Qarizh sehingga mereka berguling sesama sendiri di atas lantai ruang tamu. Tangan Yazir tangkas merampas pistol yang berada di tangan Qarizh. Diacukan betul-betul pada dahi Qarizh.
"No!" jerit Indira. Kepalanya digeleng-geleng.
"Yazir, jangan. Aku merayu. Jangan bunuh Qarizh...." Indira merayu-rayu. Air matanya sudah berjuraian jatuh ke pipi.
"You ikut I atau dia mati. You buat pilihan sekarang. I dah tak ada masa!"
Qarizh memandang Indira sambil menggelengkan kepala perlahan. Matanya dipejam sesaat. Dia sanggup mati daripada Indira jatuh ke tangan lelaki setan seperti Yazir.
"Aku..."
Qarizh merenung Indira lama. Bibirnya bergerak-gerak seperti menyatakan sesuatu pada isterinya.
"Jangan ikut dia. I love you, sayang..."
Indira yang dapat membaca pergerakan mulut Qarizh, menggelengkan kepalanya berkali-kali.
"Aku...."
Bang! Bang!
Berasap muncung pistol Izz Benazir dek melepaskan dua das tembakan tepat mengenai perut Yazir. Ini bermakna, sudah empat das peluru yang menembusi tubuhnya. Sungguh liat nyawanya untuk mati.
Indira memalingkan wajahnya ke belakang. Qarizh menolak tubuh Yazir yang jatuh menghempapnya. Lelaki itu tidak menyedarkan diri lagi.
"Sayang..." Qarizh memeluk tubuh Indira erat.
"Hisk... hisk..." Indira tidak kuat melihat situasi sekarang ni. Dia takut akan keadaan Haura. Gadis itu ditembak tepat kena pada dada sama seperti Qasrina. Adakah Haura akan pergi meninggalkannya juga?
"Don't cry, sayang. Please..." Nada suara Qarizh menjadi sebak. Dia turut takut apa-apa berlaku pada adik Kizo dan Saif.
"Dira takut. Dira takut dia pergi tinggalkan Dira. Sama macam Qasrina. Dira tak bersedia lagi." Indira menyembamkan wajahnya pada dada Qarizh. Tubuh si suami dipeluk seerat yang mungkin. Menggeletar tubuhnya ketika ini. Dia tak kuat. Kekuatannya melayang melihat Haura dalam keadaan yang menyakitkan.
Qarizh tak mampu membalas apa-apa. Sudahnya dia hanya membalas pelukan sambil memerhatikan anak-anak buahnya yang lain membuat kerja. Izz dan Kizo sedang bercakap sesama sendiri. Tak pasti apa yang mereka bincangkan. Licin sudah anak-anak buah Yazir dikerjakan oleh anak-anak buahnya. Harun dan Yasmin pula sudah ditidurkan oleh Airiel dan Aditya. Dua orang tua itu tak pasti mahu dicampak ke mana. Kalau nak dihantar ke balai polis, kena orang yang tidak berkaitan dengan mereka. Karang polis dapat hidup aktiviti mereka, matilah.
"AKU nak pindah. Masalah ni pun dah settlekan. Semua dah terungkap. Qarizh pun dah tahu punca kemalangan mama dengan papa dia. Macam tu jugak dengan punca kemalangan Aldi dan Sara. Aku nak bawa Haura pergi dari sini."
Izz mengerutkan dahinya. Tapi wajah Kizo tidak dipandang. Dia agak hairan dengan Kizo yang sepertinya terburu-buru mahu pindah keluar. Masalah ini belum selesai sepenuhnya, sudah mahu berpindah bagai.
"Kau kenapa ni? Aku tengok dari hari tu, macam risaukan sesuatu. Ada apa-apa yang kau sembunyikan ke sampai nak pindah ni?"
Kizo memejamkan matanya seraya keluhan panjang dilepaskan.
"Aku tak suka Haura berhubung dengan Hilmi. Kau tahukan lelaki tu pembelot. Dan kau tahukan yang aku ni sejenis yang tak suka pembelot. Pengkhianat."
Izz pandang Kizo dengan penuh hairan.
"Diakan dah berubah? Qarizh pun dah..."
"Aku tetap tak suka. Sekali aku tak suka, sampai mati aku tak suka."
"Haura tu dah besar, Kizo. Kau tak boleh buat nak kawal dia sesuka hati. Ikut suka dialah nak berkawan dengan siapa. Nak berpasangan dengan siapa. Kau sebagai seorang abang kenalah support dia. Itu tanggungjawab kita. Bukannya menghalang apa yang dia nak buat. Lainlah dia buat benda yang tak elok."
Kizo menggelengkan kepalanya. Hati sudah keras. Sampai bila pun takkan boleh berlembut lagi. Dia dah tekad untuk bawa Haura pergi selepas Haura pulih sepenuhnya.
"Aku tetap tak suka."
Izz pula yang bengang melihat perangai kepala batu Kizo ini. Belum pernah lagi dia melihat Kizo sekeras ini.
"Ikut kaulah. Sekarang ni, kita tak tahu lagi apa status keadaan Haura. Dia tengah dekat dalam operation room tu. Sepatutnya kau kena berdoa, bukan menceceh nak pindah bagai."
Kizo senyap. Tidak ada niat mahu membalas omongan Izz. Karang kalau melarat, takut bergaduh jadinya. Paling benci dia kalau bergaduh benda yang temeh. Ada baiknya dia berdiam diri. Fikiran Izz pun tengah serabut sekarang ni.
HILMI mencuri-curi dengar dari sebalik dinding tidak jauh daripada Izz dan Kizo. Hatinya pedih mendengar berita yang disampaikan oleh Kizo. Haura bakal jauh daripadanya selepas ini. Tapi sekarang, perkara itu tidak penting baginya. Yang penting sekarang ni nyawa Haura sedang diselamatkan oleh para doktor dan jururawat. Dua das peluru menembusi dada Haura. Sama seperti Qasrina. Cuma yang berbezanya, Qasrina terkena tiga das tembakan sekali gus. Bayangan Qasrina dan Haura terkena tembakan dari tadi bermain di dalam mindanya sehingga membuatkan dia rasa kusut. Hampir saja dia mahu menghentakkan kepalanya pada dinding berkali-kali agar bayangan itu hilang.
"Kau buat apa, Mi? Dia orang semua dekat kafe. Asal kau sorang dekat sini?" tanya Saif. Mahu pergi ke tandas, terserempak dengan Hilmi yang berdiri keseorangan di lorong itu.
"Aku risaukan Haura. Aku tak boleh. Bayangan Qasrina dengan Haura bermain dalam minda aku dari tadi. Sakit sangat kepala aku." Hilmi meraup wajahnya berkali-kali. Rambutnya juga diramas sehingga serabai.
"Sabar, Mi. Aku tahu perasaan kau. Aku pun tengah risau sekarang ni. Tapi kalau kita macam ni, tak siap kerja kita, Mi. Adik aku kuat. Dia boleh survive punya. Kita sama-sama banyakkan berdoa. Ya?" pujuk Saif sambil memaut bahu Hilmi.
"Aku tahu kau sayangkan adik aku lebih dari seorang adik. Aku sentiasa ada untuk kau, bro. Kita dah lama berkawan. Aku kenal kau macam mana. Kesilapan kau tu aku jadikan sebagai pengajaran untuk aku. Tak usahlah kita kenangkan kisah silam. Tak bawa apa-apa pun. Kau sendiri yang sakit nanti. Fikir masa depan kau. Kita muda lagi, bro." Saif melepaskan tawa kecil untuk menghidupkan suasana ceria. Walaupun hambar.
Hilmi sekadar menganggukkan kepalanya. Alangkah bagusnya kalau Kizo seperti Saif. Tapi itu semua takkan pernah terjadi. Saif sama seperti Haura. Jenis open minded. Kizo tidak seperti mereka. Mungkin sebab itu mereka hanya mempunyai pertalian tiri saja.
"Dah. Kau pergi kafe. Bos tengah tunggu kau kat sana. Aku nak ke tandas sekejap ni."
Hilmi mengeyakan sebelum melangkah ke kafe.
"SAYANG, are you okay?" Rambut Indira yang sedikit kusut itu disisir menggunakan jari-jemarinya. Sungguh dia merindui isterinya itu. Badan yang terasa sakit-sakit terus hilang bagaikan magis bila bertentangan mata dengan Indira Callista.
"Dira risau, hubby. Macam mana keadaan Haura? Dah tiga jam kita tunggu. Lamanya..." Indira melepaskan keluhan panjang seraya kepalanya dibaringkan di atas lengan.
"Doktor tengah selamatkan Haura. Jangan mengeluh macam ni, sayang," pujuk Qarizh sambil memaut bahu isterinya itu. Sisi dahi Indira dikucupnya sekali.
Indira tegakkan tubuhnya semula. Kepala dilentukkan pula di atas bahu Qarizh. Sungguh tubuh badannya terasa penat. Lesu semacam.
"Hubby minta maaf sebab lambat selamatkan sayang. Kalau Haura tak sedarkan hubby, tak tahulah apa jadi dekat sayang."
Indira yang memejamkan mata hanya menggelengkan kepala.
"Hubby tak terlambat pun. Waktu hubby tak sampai lagi, Dira dah lawan habis-habisan dengan Yazir tu sampai masuk dalam kolam. Dira boleh lawan dia, hubby. You trust me, right? Dira jadi macam dulu. Brutal. Kuat. Boleh lawan musuh sendiri."
Qarizh senyum kecil. Kepala Indira diusapnya lembut.
"I trusted you, sayang. Semestinya hubby percayakan sayang. Hanya sayang saja."
"Tapi... kekuatan Dira hilang bila Haura kena tembak depan mata Dira. Dira rasa masa tu, Dira tercampak dekat dunia lain. Dira tak rasa apa-apa. Kepala otak blank."
Qarizh angguk.
"Hubby faham perasaan, sayang. Sayang mesti penatkan sekarang ni? Can you close your eyes and have a nap? Hubby janji nanti doktor dah beritahu pasal Haura, hubby kejut sayang, okey?" Tangannya ligat membelai rambut Indira membuatkan isterinya hanyut dengan belaiannya.
Indira tak mampu nak bersuara lagi. Dia penat. Tak sampai beberapa saat, dia sudah terlena di atas bahu Qarizh.
"I love you, sayang...," ucap Qarizh sambil membetulkan sedikit tubuh Indira agar rasa selesa tidur di atas dadanya.