"YOU tak boleh nak lari dari I, sayang. Tak ada siapa yang nak selamatkan you. Qarizh tak tahu you ada dengan I." Yazir melepaskan tawa besar. Rambutnya yang basah disebak ke belakang. Matanya meliar mencari susuk tubuh Indira yang berjaya melarikan diri. Tapi dia yakin yang gadis itu masih lagi berada di dalam rumah. Tak beraninya nak keluar dari rumah ini kerana anak-anak buahnya semua sedang berjaga-jaga.
Indira melepaskan keluhan kasar. Diintipnya Yazir yang berdiri membelakanginya. Puas dia cari jalan keluar. Semuanya sudah dikepung dengan anak-anak buah Yazir. Buntu dia dibuatnya ketika ini. Dia tak boleh rushing. Dia kena fikir dengan baik supaya tidak tersilap langkah.
"Bagus. Dia naik atas." Indira bersorak perlahan apabila melihat susuk tubuh Yazir sudah menghilang sebaik saja lelaki itu mendaki anak tangga untuk ke tingkat atas. Mungkin lelaki itu fikir, dia berada di tingkat atas. Sedangkan dia bersembunyi di belakang celah rak kabinet kayu yang terletak di ruangan antara dapur dan ruang tamu.
"Abang tahu yang Min ada kaitan dengan kematian Muzaphar dan isterinya."
Sebaris ayat yang keluar dari mulut Tengku Harun membuatkan jantung Indira berdegup laju secara tiba-tiba.
"Kenapa kau nak ungkit benda tu tiba-tiba? Perkara tu dah lama."
Indira memerhatikan Tengku Harun dan Tengku Yasmin yang sedang berborak di tengah-tengah ruang tamu. Dia memasang telinga untuk mendengar perbualan itu dengan lebih lanjut. Kematian ibu dan ayah Qarizh ada kaitan dengan ibu Yazir?
"Memang dah lama. Tapi abang tak sangka Min sanggup buat macam tu. Apa yang menyebabkan Min sanggup bunuh adik Min sendiri?"
Hujung bibir Yasmin sedikit ternaik. Pandangannya cukup sinis. Tengku Harun sudah membuat silap kerana membangkitkan kisah silamnya. Kalau boleh dia dah tak nak ingat. Tapi lelaki di hadapannya ini membuatkan dia ingat semula kisah itu.
"Cemburu."
Tengku Harun berkerut nipis. "Cemburu? Kerana cemburu Min sanggup bunuh adik Min sendiri? Bukan ke dia terlalu sayangkan Min?"
"Sayang tak membawa apa-apa, kalau sifat cemburu dalam diri aku dah bermaharajalela. Dia dah rampas kebahagiaan aku. Sepatutnya aku berkahwin dengan Muzaphar. Bukan dengan kau. Tapi mak bapak aku sibuk nak kahwinkan Muzaphar tu dengan dia. Dan aku betul-betul menyesal bersetuju nak berkahwin dengan kau."
Harun terdiam sejenak. Bagaikan ada jarum-jarum halus yang menyucuk-nyucuk hatinya kini. Rasanya dia sudah silap membuka topik. Tidak sepatutnya dia membangkitkan semula hal yang lama. Cumanya dia nak tahu. Kenapa Yasmin sanggup bunuh adik dia sendiri? Sedangkan dulu, dia tahu Yasmin dan adiknya rapat. Dalam diam, kakak sendiri tikam adik sendiri. Hanya kerana perasaan cemburu.
"Aku ingat kalau aku bunuh dia, aku akan berkahwin dengan Muzaphar. Tapi, Muzaphar pun mati sekali dengan dia waktu kemalangan tu. Aku langsung tak boleh nak terima." Air mata Yasmin bergenangan di kelopak mata. Bila dia ingat semula, hatinya menjadi sakit. Dia silap merancang. Sendiri yang terkena balik. Mahu membunuh si adik, si kekasih hati turut mati dalam kemalangan tragis itu.
"Maafkan, abang. Abang tak ada niat nak...."
"Tak payahlah. Kau dah buat aku ingat semula kisah lama. Tapi tak apa. Aku tak kisah pun. Aku dah lupakan semua tu." Yasmin melabuhkan duduknya di atas sofa. Air matanya diseka menggunakan belakang kekura tangan.
"Min... bagilah abang peluang, sayang. Kita mulakan hidup baru. Abang janji yang abang akan...
"Aku benci perkataan 'janji'. Dalam kamus hidup aku tiada istilah 'janji'. Tolonglah jangan paksa aku. Aku dah penat. Aku nak hidup sendiri sampai akhir hayat aku. Aku tak kisah kalau kau nak jadi peneman aku. Cukup sajalah sekadar peneman. Kita tak ditakdirkan bersama. Yazir dah mula terima kau. Aku rasa itu pun dah cukup baik."
Harun menundukkan pandangannya. Nampaknya dia gagal mengambil hati Yasmin. Yasmin memang tidak boleh menerimanya lagi. Hanya sebagai peneman. Bolehkah dia? Kalau itu yang Yasmin mahukan. Dia akan cuba. Cuba yang sebaik mungkin untuk membahagiakan Yasmin. Janji dia dapat menebus semula dosa-dosanya yang lama.
"Aku tak sangka kau selicik itu, Tengku Yasmin."
Perlahan Indira melangkah keluar dari celah kabinet. Jatuh air matanya sebaik saja rahsia lama terbongkar. Terketar-ketar bibirnya menahan sebak. Walaupun bukan berkaitan dengan dia, dia tetap merasai kesakitan itu. Agak-agaknya Qarizh tahu tak tentang perkara ini? Mak saudara sendiri yang membunuh ibu dan ayahnya. Saudara kandung.
Yasmin terkaku. Begitu juga dengan Harun.
"Korang anak-beranak memang tak guna! Sanggup bunuh orang yang tak bersalah hanya kerana nak memuaskan hati korang!" tempik Indira sepuas hatinya. Hatinya ketika ini terasa sangat sakit.
"Kau diam, Dira. Kau tak ada kaitan," balas Yasmin dengan bibirnya terketap-ketap menahan marah.
"Siapa cakap aku tak ada kaitan? Orang yang kau dah bunuh tu ibu dengan ayah mentua aku. Ibu dengan ayah suami aku. Teganya kau bunuh keluarga kau sendiri? Apa yang kau dapat, weh?" Indira sudah naik berang. Melihatkan wajah Yasmin yang sepertinya tidak ada rasa bersalah, membuatkan api kemarahan Indira semakin canak. Mahu saja dia melepaskan tumbukan pada wajah si tua itu.
"Kau jangan nak masuk campur. Aku diam dari tadi sebab nak jaga hati anak aku. Kalau ikutkan hati aku, dah lama aku bunuh kau! Menyusahkan aku. Buat anak aku sampai tergila-gilakan kau!" Yasmin menerpa ke arah Indira secara mendadak dengan tangan kanannya sudah diangkat tinggi.
Pang!
Indira memejamkan matanya. Namun, tidak pula pipinya terasa sakit.
"Apa yang ibu buat ni?" soal Yazir dengan nada hujung suaranya bergetar. Dia paling pantang kalau sesiapa menyentuh Indira. Hanya dia saja yang boleh. Orang lain tidak akan dia izinkan sama sekali.
Yasmin tergamam. Dia sudah terlepas cakap. Harun di sebelah turut terkejut.
"Apa yang ibu buat? Ibu buat semua ni sebab terpaksa ke? Bukan ibu buat dengan rela hati ibu ke? Sebab tu selama ini, ibu tak pernah cari Dira? Ibu tipu Yaz ke?" tengking Yazir.
Indira mengetap bibirnya. Rupa-rupanya Yazir yang menerima tamparan itu. Bukan dia. Patut pun, pipi dia tak terasa sakit. Entah bila masa lelaki itu muncul, dia pun tak sedar. Marah punya fasal.
"Sayang, Yaz salah faham ni. Maksud ibu...."
"Argh! Yaz tak peduli. Ibu tipu Yaz! Memang patut pun, ibu selalu cakap yang ibu susah nak dapatkan Dira. Rupa-rupanya ibu tak suka Dira!" amuk Yazir. Dadanya sudah berombak laju.
Air mata Yasmin jatuh menitis ke pipi dek disergah oleh anaknya. Tak pernah-pernah lagi Yazir meninggikan suara seperti itu kepadanya. Tersentap hatinya ketika ini.
"Ya. Ibu memang tak suka Dira. Ibu tak suka anak ibu terlalu obseskan perempuan macam dia. Ramai lagi perempuan lain yang boleh terima anak ibu. Ibu tak nak Yaz rasa sakit macam mana ibu rasa sakit dulu sampaikan ibu buat kesilapan yang besar. Ibu dah tua, Yaz. Ibu dah penat. Ibu dah banyak buat dosa dekat orang." Terenjut-enjut bahu Yasmin menghamburkan tangisannya. Dia mengaku yang dia banyak buat salah pada orang ramai. Hanay kerana mahu memuaskan hatinya. Tapi kini dia sedar, sebanyak mana pun dia buat demi memuaskan hati. Tetap hatinya tak pernah rasa puas. Sampai mati sekalipun....
Harun menahan tubuh Yasmin dari jatuh terduduk. Sungguh dia berasa simpati dengan bekas isterinya ini. Terlalu menderita.
"Hak Yaz lah, Yaz nak suka siapa pun! Ibu tak hak nak halang. Yaz benci ibu! Ibu tak sokong apa yang Yaz buat!"
Pang!
Yazir menerima tamparan kedua. Tetapi kali ini daripada habuan telapak tangan Indira sendiri. Anak mata gadis itu merenung tajam ke arahnya dengan nafas yang sedang berombak laju.
"Sejahat-jahat dia pun, dia ibu kandung kau. Yang melahirkan kau. Yang bersusah-payah demi kau. Apa yang dia cakap tu, aku sokong seratus peratus. Ramai yang boleh terima kau tapi bukan aku. Aku dah kahwin, Yazir. Kau kena terima hakikat. Aku isteri kepada Tengku Qarizh Nadim. Sepupu kau sendiri. Kenapa kau boleh jadi gila macam ni, Yaz? Kau tak nak bina life kau sendiri ke? Sampai bila kau nak jadi macam ni? Sampai bila!" jerit Indira sekuat-kuat hatinya. Bagi jelas di pendengaran Yazir. Baru terbuka kepala otak lelaki itu.
"I cintakan you, Dira. I sukakan you. Hati I terpaut dekat you!" Air mata Yazir sudah mengalir deras. Dia cuba meraih tangan Indira tetapi pantas gadis itu menepis.
"Move on, Yazir. I know it hurts. But for you own good. Aku tak boleh nak terima kau dalam hidup aku kalau aku belum kahwin sekalipun. Aku boleh anggap kau kawan. Tapi tak lebih dari tu. Hati manusia tak boleh dipaksa Yazir. Kau kena terima. Kau kena belajar. Kau tak boleh paksa aku. Aku dah penat. Aku nak merasa kebahagiaan aku dengan suami aku. Tolonglah. Aku merayu, weh!"
Perlahan tubuh Indira jatuh terduduk di atas karpet ruang tamu dengan linangan air mata. Yazir hanya mendiamkan diri. Merenung Indira yang menangis di atas karpet.
"I tak boleh... I nak you..." Yazir masih tetap dengan pendiriannya. Dia takkan lepaskan Indira. Sama sekali takkan.
"I tak boleh nak lepaskan hati I dekat orang lain. I dah sayangkan you. You faham tak? Why can you all understand me? Just once! Please, I am begging all of you. I love Indira Callista. I just want her!" tempik Yazir.
Bang!
"Arghhh!" Yazir jatuh terbaring di atas karpet bersebelahan dengan Indira sebaik saja sedas peluru melepasi betisnya.
Indira memalingkan wajahnya ke belakang. Kelihatan Qarizh sedang mengacukan pistol ke arah Yazir dengan penuh amarah. Tahulah dia yang Qarizh ketika ini sudah hilang kawalan. Tenggelam dalam lautan api amarah.
"Indira Callista, isteri aku. Selamanya dia isteri aku. Aku boleh serahkan apa saja tapi bukan dia. Kalau kau nak syarikat tu, aku boleh bagi. Kalau kau nak duit, aku boleh bagi. Tapi jangan sesekali kau mintak dia daripada aku. Aku takkan bagi sampai aku mati sekalipun," sembur Qarizh.
Yazir tersenyum sinis. "Kalau mati, barulah aku boleh dapatkan dia, kan?"
"Kalau kau nak bunuh aku, dipersilakan. Kita lawan guna tenaga. Kalau itu yang buat kau rasa puas."
Indira menggelengkan kepalanya. Dia sama sekali tidak setuju dengan cadangan Qarizh. "Qarizh, please don't..."
Qarizh mengalihkan pandangannya ke arah Indira. Sungguh dia sangat merindui akan wajah itu. Perlahan bibirnya melakarkan segaris senyuman. "I will be okay, sayang. I'm promise."
Indira tetap menggelengkan kepalanya. Dia tidak percaya akan janji Qarizh. Melihatkan Yazir yang bagaikan disampuk syaitan membuatkan Indira kurang yakin dengan Qarizh. Dia tidak mahu kehilangan Qarizh.
"Aku memang nak kau mati, Qarizh. Kau mesti rindu dengan keluarga kau, kan? Terutamanya adik perempuan yang sangat kau sayangi. Aku boleh hantar kau untuk berjumpa dengan dia."
Qarizh menggelengkan kepala seraya tertawa sinis. "Kau fikir kau Tuhan ke?"
Yazir sengih. Sempat lagi, dia membetulkan urat-uratnya sebelum menerpa ke arah Qarizh. Bergelut sesama sendiri. Airiel yang dari tadi memerhatikan dari sebalik dinding dapur, diserang oleh salah seorang anak buah Yazir.
Buk! Buk! Buk!
"Kau memang tak guna. Kau tak memang tak tahu serik!" amuk Qarizh. Dilepaskan beberapa buah tumbukan pada wajah dan dada Yazir sehingga darah tersembur dari mulut lelaki itu.
Yasmin dan Harun cuba untuk membantu Yazir tetapi laju dihalang oleh Indira. Pistol yang dipegang oleh Qarizh tadi kini berada di tangannya. Diacukan ke arah Yasmin dan Harun.
"Korang dekat je, aku tembak. Aku takkan teragak-agak. Korang berdua memang busuk hati. Sanggup jadikan orang yang tak bersalah, mangsa kau demi kepuasan hati korang!" marah Indira.
Yasmin mengetap bibirnya kuat manakala Harun menggenggam kedua-dua belah tangannya.
"Urgh!" Yazir terhentak ke dinding dek ditolak oleh Qarizh. Habis wajah dan tubuhnya berlumuran dengan darah.
"Dulu kau boleh anggap aku lemah, Yaz. Tapi sekarang tak lagi. Kau dah silap orang nak cari pasal. Sekali kau dah cuit isteri aku, sampai mati aku akan kerjakan kau. Hadam baik-baik apa yang aku cakap dekat kau ni."
"Puih!" Yazir meludah tepat mengenai wajah Qarizh.
Refleks. Kedua-dua belah mata Qarizh terpejam. Dan ketika itu, Yazir mengambil kesempatan membalas serangan Qarizh tanpa henti. Wajah dan tubuh lelaki itu ditumbuk dan ditendangnya dengan penuh kepuasan. Bibirnya tersungging senyuman sinis.
"Matilah kau!"
"Qarizh!" jerit Indira.
Bang! Bang!
Tubuh Yazir jatuh menghempap Qarizh apabila dua das peluru menembusi belakang tubuhnya. Indira memandang tangannya yang masih erat menggenggam pistol. Muncung pistolnya tidak berasap. Bermakna bukan dia sendiri yang melepaskan tembakan. Perlahan dia memusingkan tubuhnya ke belakang. Kelihatan Haura sedang mengacukan pistol dengan dada yang berombak laju. Muncung pistol Haura berasap.
"Tak guna!" Yasmin menerkam Haura. Dirampasnya pistol yang berada di tangan Haura.
Bang! Bang!
"Haura!" Bagaikan nak terkeluar anak tekak Indira menjerit apabila dua das peluru selamat melepasi perut gadis itu.
Bang! Bang!
"Yasmin!" Harun segera mendapatkan Yasmin yang hampir rebah di atas lantai.
Indira terduduk di atas lantai. Kepalanya digeleng-geleng beberapa kali. Apa nak jadi dengan semua ini? Kenapa semua ini boleh terjadi?