BUNYI deruman air terjun membuatkan Indira tersenyum sendiri seraya matanya dipejamkan rapat. Kedua-dua belah tangannya didepakan ke udara. Dia menyedut oksigen segar yang secukupnya sekali gus menenangkan hatinya. Sudah lama dia tidak menjejakkan kaki di kawasan air terjun. Kali terakhir ketika dia masih kecil lagi.
Sungguh dia tidak sangka, Qarizh datang dengan menunggang motorsikal kemudian dirinya dibawa ke sini. Masak-masak dia ingatkan Qarizh membawanya ke pusat membeli-belah. Memang kekok benar tatkala dia membonceng motorsikal berkuasa tinggi dengan lelaki itu.
"Tenang?" soal Qarizh kepada Indira. Dia mengambil tempat tidak jauh dari gadis itu seraya tangannya dibawa silang ke dada.
Indira mengerling Qarizh dari ekoran matanya. Lelaki itu tidak menoleh ke arahnya sebaliknya merenung air sungai yang sedang mengalir deras.
"Ya, tenang. Terima kasih sebab sudi bawa aku pergi sini. Aku dah bertahun-tahun tak..."
"Aku nak kau dengar apa yang aku nak sampaikan ni."
Mulut Indira sedikit melongo tatkala percakapannya dipotong oleh Qarizh tanpa sempat dia habiskan. Sakit hatinya hanya Tuhan saja yang tahu. Kut ya pun, berilah dia habiskan ayatnya itu dahulu. Lelaki di sebelahnya ini memang suka cari gaduh dengannya.
"Apa benda?" soal Indira berbasa-basi. Malas nak beria-ria. Nanti tak fasal-fasal Qarizh potong lagi apa yang dia nak cakapkan.
"Aku nak upah kau jadi penjaga adik perempuan aku. Skop kerja kau senang saja, jaga adik aku. Jaga itu bermaksud semua. Terutamanya keselamatan dia. Sebab aku tahu kau aje yang boleh jagakan dia untuk aku, kalau-kalau aku jauh dari dia."
Tubuhnya dibawa pusing menghadap lelaki itu. Mulutnya terlopong kecil. Jari telunjuk naik menuding dirinya sendiri dengan dahinya yang sudah berlapis-lapis kerana berkerut. Apa yang lelaki itu cuba fikirkan? Dia jadi penjaga kepada adik perempuan Qarizh? Apa lelaki itu ingat muka dia, muka seorang penjaga yang berwibawa ke?
"Penjaga? Apa yang kau cuba maksudkan? Aku tak faham."
"Penjaga. Jaga adik aku. Tak akan itu pun tak faham?" Pandangan Qarizh kini sudah beralih ke arah Indira yang turut berkerut memandang ke arahnya. Dia cakap Bahasa Melayu rasanya. Bukan bahasa asing yang membuatkan gadis itu lambat tangkap apa yang dia cuba sampaikan.
"Okey, itu aku faham. Tapi, kenapa aku? Dalam berbilion manusia dalam dunia ni, kenapa kau pilih aku?"
"Sebab aku kenal kau," balas Qarizh dengan wajah bekunya itu. Langsung tiada reaksi apa-apa.
"Pfft... sebab kau kenal aku? Kau baru aje kenal aku. Bukan dah lama, weh."
Indira menggeleng-gelengkan kepalanya. Sungguh dia tidak faham dengan fikiran Qarizh. Baru jumpa tak sampai berbulan lagi, jauh sekali bertahun. Setakat jumpa, itu pun bukan secara sengaja. Terserempak dalam insiden yang tidak dijangka sama sekali.
"Aku serius, Indira. Aku tak main-main. Adik aku tu satu-satunya keluarga yang aku ada. Aku tak nak dia dalam bahaya seorang diri."
"Adik kau umur berapa sampaikan kau nak upah penjaga bagai ni?"
"23 tahun."
Terkelip-kelip mata Indira merenung wajah Qarizh sekali gus mulutnya ternganga besar. Umur 23 tahun, cara dia bercakap sepertinya adik perempuannya itu berusia tiga tahun. Apa kena dengan mamat seorang ini?
"Seriously? Umur 23 tahun, suruh aku jaga? Kau dah hilang akal ke apa? Dia boleh jaga diri sendirilah!"
Indira menyuarakan ketidakpuasan hatinya. Umur 23 tahun dah boleh berdikari sendiri. Sama seperti dia dulu sewaktu arwah Ilman Renaldi dan Izz Benazir sibuk dengan kerjaya masing-masing.
Krik. Krik.
Qarizh tidak memberikan sebarang respons. Dia hanya mendiamkan diri seraya merenung dalam sepasang anak mata milik Indira yang tidak terlalu jauh daripadanya. Melihatkan gadis itu sepertinya sedang memarahinya membuatkan hatinya tercuit. Wajah Indira sama seperti seorang perempuan yang selama bertahun-tahun dia cari.
"Hoi! Boleh pulak kau termenung?" marah Indira namun Qarizh masih lagi berdiri statik seperti tadi. Itu membuatkan perasaan marah Indira semakin bertambah-tambah. Sebal hatinya melihat lelaki ini.
"Eh, kau ni. Tak pernah kena side kick, eh?"
Indira menyingsing kedua-dua belah lengan bajunya sambil melangkah laju ke arah Qarizh. Ada sebiji batu besar yang terletak bersebelahan dengan lelaki itu, dengan sepantas kilat dia melompat atas batu itu. Namun...
"Arghh!"
Indira tersilap langkah membuatkan dirinya tergelincir. Hampir saja mahu terjun ke dalam sungai yang sedang mengalir deras itu. Akan tetapi, Qarizh bertindak pantas menarik lengan Indira lalu tubuh gadis itu terjatuh di dalam dukungannya.
Gulp. Indira menelan air liurnya kesat. Macam mana dia boleh tersilap langkah tadi? Menyesal dia mengambil keputusan melompat di atas batu licin itu tadi. Fikirkan dirinya boleh berdiri seimbang dan bolehlah dia menghadiahkan side kick kepada Qarizh. Tapi, dia yang terkena semula. Balasan pada diri sendiri.
Qarizh tidak bersuara malah dia mengambil kesempatan mengimbas wajah mulus Indira dengan lebih dekat membuatkan jantungnya sekali lagi berdetak tidak serirama. Sama seperti pertama kali dia berjumpa dengan Indira sewaktu kejadian di tempat parkir kereta tempoh hari.
"Turunkan aku," bisik Indira dengan nada perlahan. Mahu ada mata-mata yang ternampak aksi percuma ini. Tak fasal-fasal dirinya diviralkan. Secara tiba-tiba Indira Callista menjadi seorang terkenal bagaikan selebriti.
Qarizh tidak menjawab sebaliknya dia menurunkan tubuh Indira. Dia mengundur setapak ke belakang. Tiba-tiba terasa janggal dengan aksi tadi. Tak pernah seumur hidupnya menyentuh perempuan bukan mahram.
"Maafkan aku. Niat aku cuma nak tolong kau je."
Indira angguk sekali. Matanya melingas memerhatikan suasana sekeliling hutan dan sungai itu sekali gus mahu menyembunyikan perasaan malunya yang semakin menggunung. Dia sendiri pun seumur hidup, tak pernah lagi didukung seperti tadi oleh para ajnabi. Ini kalau angah tahu, mahu dia membebel panjang.
"Aku harap kau boleh fikirkan tentang tadi."
"Kiranya kau nak aku kerja dengan kaulah?"
Qarizh angguk.
"Dapat gaji?"
Qarizh sekali lagi menganggukkan kepalanya.
"Okey, nanti aku contact kau semula. Bagi aku masa sebab kau tahukan aku ada tanggungjawab lain. Aku nak jaga Alana..."
"Kau boleh bawa dia sekali sewaktu kau bekerja. Aku tak kisah. Janji kau boleh jaga adik aku. Itu saja. Lagipun, aku tengah cari kawan perempuan untuk dia. Dia kesunyian. Kawan-kawan aku semua lelaki. Tak ada perempuan."
Indira sekadar menganggukkan kepalanya. Mungkin ini yang dikatakan rezeki. Dapat kerja yang boleh membawa Alana sekali bersama dengannya. Mana dia nak dapat pekerjaan seperti ini. Jadi penjaga sekali gus menjadi seorang teman buat si adik perempuan Qarizh.
"Esok aku bagi kau jawapan. Bagi aku fikir dulu dan berbincang dengan angah aku."
Qarizh angguk.
"Sekarang ni, memang kita nak duduk berkhemah dekat sini ke apa?" soal Indira dengan tangannya dibawa bersilang ke dada.
Qarizh mengangkat bahunya sekali gus kening kanannya terjongket sebelah.
"Kau dah kenapa pandang aku macam tu? Aku ada hutang dekat kau ke?"
Qarizh terdiam seketika sebelum menggelengkan kepalanya.
"Aku belanja kau makan," ujarnya lalu mengorak langkahnya menuju ke keretanya yang diparkir di bahu jalan. Selamba saja dia meninggalkan Indira seorang diri di dalam hutan itu.
"Tak guna punya mamat. Main tinggal aku macam tu je," gumam Indira. Omongannya hanya didengar oleh dirinya sendiri saja.
SEPANJANG perjalanan ke sebuah restoran yang berdekatan, masing-masing hanya membisu. Tiada sepatah perkataan pun yang keluar dari bibir Indira dan Qarizh. Sesekali Indira mengerling Qarizh yang sedang menumpukan perhatian sepenuhnya pada jalan melalui cermin sisi motorsikal berkuasa tinggi milik lelaki itu.
Gerenti rambut aku kusut semula ni lepas bukak helmet. Kenapalah lelaki ni bawa motorsikal? Kereta dia pergi mana? Haih.... Getus Indira di dalam hatinya.
"Spa dekat je kawasan sini. Kalau kau nak kejungkan rambut kau semula pun boleh, lepas makan nanti," ujar Qarizh cukup selamba dengan nada perlahan sebaik saja dia memberhentikan Yamaha MT-25 miliknya di dalam kotak pakir yang disediakan berhampiran dengan restoran yang hendak dituju.
Indira terkebil-kebil. Apa benda yang lelaki ini mengarutkan? Macam mana dia boleh dengar isi hatinya sebentar tadi? Qarizh memang seorang yang menjengkelkan.
"Tak payah," balas Indira lalu menurunkan tubuhnya sebelum helmet dicabut dari kepalanya.
Duk! Serentak Qarizh memalingkan wajahnya ke belakang. Kecil besar, kecil besar saja dia pandang helmet di tangan Indira.
"Sorry, tak sengaja." Indira hanya menayangkan wajahnya yang langsung tidak rasa serba-salah apabila helmet yang dipakainya tadi berlaga dengan badan motorsikal. Boleh dikatakan kuat juga bunyinya.
"Sini." Qarizh mengambil helmetnya dari tangan Indira kemudian dibelek-beleknya. Takut-takut jika helmet kesayangannya itu calar. Mahu terkoyak hati melihat calar-balar pada helmet tersebut.
"Ala, helmet aje pun. Belai macam bini. Nak makan ke tak ni?" perli Indira sambil tangan kirinya mencekak pinggang.
Qarizh mengerling Indira dengan kerlingan maut. Namun, kerlingan itu langsung tidak menggentarkan hati seorang Indira. Bukannya helmet itu terkopak dua seperti buah tembikai pun. Cuma bergesel dengan badan motorsikal saja. Buat apa mahu dramatik lebih?
Dia tidak menjawab soalan gadis itu sebaliknya mengunci dua biji helmet tadi pada badan motorsikalnya supaya tiada siapa yang boleh mencurinya lalu menonong berjalan masuk ke dalam sebuah restoran yang menyediakan menu makanan laut.
"Nak hadap mamat ni, memang memerlukan kesabaran yang tinggi. Amat tinggi!" Geram Indira lalu mengejar langkah Qarizh yang sudah jauh meninggalkannya.
"Jauhnya ambil tempat duduk. Kenapa tak masuk terus ke dapur restoran ni?" perli Indira setelah menghentikan langkahnya di hadapan sebuah meja yang terletak di hujung restoran. Agak jauh daripada orang ramai.
Qarizh yang sudah melabuhkan punggung di atas kerusi, mendongakkan kepalanya dan hanya merenung Indira tanpa sebarang respons. Makin sebal hati Indira Callista dibuatnya. Mahu saja dia luku muka lelaki itu supaya kemik. Puas hatinya!
"Ada apa aje dekat sini?"
"Makanan," jawab Qarizh sepatah sambil menongkat kedua-dua belah sikunya lalu mengelus jari-jemarinya sesama sendiri. Pandangannya dilemparkan ke luar tingkap yang betul-betul berada di sisinya.
Indira mengetap bibirnya. Ada karang dia terbalikkan meja ini. Tak fasal-fasal percuma saja dirinya diviralkan kepada orang ramai. Kesabarannya semakin menipis kerana melayan kerenah lelaki di hadapannya ini.
"Kau belanja, kan?"
Pandangan Qarizh statik pada suasana luar. Hanya anggukkan saja yang diberi sebagai jawapan kepada soalan Indira.
"Okey, cun."
Indira sudah tersenyum nakal sambil menyelak setiap helaian buku menu itu.
"Aku oder aje apa-apa untuk kau, ya?"
Qarizh angguk. Langsung tidak memandang ke arah Indira yang sedang memberikan pesanan kepada pelayan restoran itu.
30 minit kemudian, makanan yang dipesan sudah memenuhi ruangan meja makan mereka berdua. Qarizh memandang makanan yang di atas meja dengan pandangan kosong. Walhal, dia tahu Indira sengaja memesan makanan banyak seperti ini. Sampai kena gabung meja sebelah!
"Kenapa kau tak oder satu buku menu tu je?" soal Qarizh sebaik saja dia menghirup sup sayur yang terletak di hadapannya.
"Eh, ikutkan nak rasa semua tapi tulah takut tak muat pula meja. Ni pun dah bergabung sampai dua meja. Tak akan nak gabung sampai tiga empat meja pula, kan?" Selamba saja Indira menjawab.
"Kau boleh habiskan ke?"
"Boleh kut. Kalau tak boleh, kaulah habiskan. Mana boleh membazir, kan?"
Qarizh tidak membalas. Dia lebih fokus menikmati makanan yang terpampang penuh pada kornea matanya, memandangkan perutnya sudah berdendang sayang.
Dia tak marah pun. Banyak kut aku oder ni. Sudahlah dia yang kena bayar nanti. Muka dia beku nak mati. Tak ada perasaan langsung bila tengok makanan penuh atas dua meja ni. Monolog Indira di dalam hati.
"Kalau tak habis, boleh bungkus. Tak ada masalah. Kau boleh bawa balik separuh, aku separuh."
Tiba-tiba saja Qarizh bersuara. Hampir saja mahu tersembur makanan di dalam mulut Indira. Mujur dia segera mengawal. Kalau tidak, yang menjadi mangsa semburan dia ialah Qarizh sendiri. Karang dia sendiri pula yang malu.
Macam tu je? Rosak rancangan aku nak kenakan dia. Indira mengeluh di dalam hati. Sia-sia saja rancangannya mahu menyakitkan hati Qarizh. Nasib baik bukan dia yang bayar nanti.
JAM sudah menunjukkan tepat pada angka lapan, Indira awal-awal lagi sudah tewas tidak dapat menghabiskan makanan yang dipesan sendiri. Qarizh sudah pun berpesan pada pelayan untuk membungkuskan lebihan makanan yang mereka tidak dapat habiskan.
"Terima kasih sebab belanja makan," ucap Indira dengan nada perlahan kemudian dia menyedut air jus epalnya sambil memerhatikan suasana sekeliling restoran. Baru dia perasan, tinggal mereka berdua saja di dalam restoran ini. Tak akan tak ada orang lain selain mereka?
Qarizh angguk. Dia bangun dari duduknya lalu ke kaunter untuk membuat pembayaran. Beberapa keping not RM50 selamat mendarat di atas telapak tangan juruwang yang bertugas. Matanya melingas memerhatikan suasana sekeliling dengan kerutan halus terbit pada dahinya. Awal betul orang ramai balik ke rumah? Biasanya waktu-waktu begini ramai menjamu selera bersama seisi keluarga.
"Indira, jom." Qarizh menjinjit plastik makanan lalu melangkah keluar dari restoran itu. Hatinya berasa tidak sedap. Seakan-akan ada sesuatu yang berlaku.
"Balik ke?" soal Indira yang berdiri di belakangnya.
"Kau tak rasa apa-apa ke? Kawasan ni sunyi. Biasanya aku ke sini dengan adik aku, suasana masih riuh." Qarizh meluahkan isi hatinya yang dari tadi berasa tidak enak.
"Perasaan kau je kut. Mungkin hari ni dia orang semua..."
Bang!
Qarizh memeluk tubuh Indira lalu ditariknya Indira berlindung di sebalik badan motorsikalnya itu.
"Qar... Qarizh... bahu..."
"Diam."
Qarizh mengerling ke arah bahunya yang berdarah akibat ditembak secara mengejut. Mujur dia pantas memeluk Indira kalau tidak, gadis itu menjadi mangsa kepada peluru tadi.
"Dia orang memang tak guna," bisik Qarizh membuatkan Indira menoleh ke sisi. Wajah Qarizh begitu dekat dengannya sehingga terasa deruan nafas masing-masing.
Siapa yang dimaksudkan oleh Qarizh? Kenapa mereka diserang malam ini? Adakah orang yang sama menyerang mereka? Soalan-soalan itu bermain di dalam minda dan juga hati Indira.