Home Novel Thriller/Aksi Bidadari Encik Mafia (Completed)
BEM 3

TUBUH Alana dibawa ke dukungannya sebelum melangkah keluar dari perut kereta. Hari ini, dia mahu meluangkan masa bersama Alana memandangkan Izz Benazir sibuk menjalankan tugas sebagai seorang arkitek. Pesan si abang keduanya itu, kemungkinan dia akan pulang ke rumah lewat kerana ada satu projek besar bakal dibina pada hujung tahun ini. Maka, menimbunlah kerja seorang Izz Benazir.

"Mama, boleh tak Lana nak beg sekolah baru? Boleh pakai esok." Alana merangkul leher Indira sambil tersenyum lebar sehingga kedua-dua belah matanya kelihatan sepet. Memang dia suka membuat Indira cair melihat senyumannya itu.

"Eh, beg yang lamakan elok lagi. Tak baik membazir tau."

"Ala, mama. Bolehlah. Boleh tukar-tukar. Please..." Kedua-dua belah tangan dicantumkan sesama sendiri sebelum diletakkan dibawah dagu. Matanya pula dikelip-kelipkan beberapa kali tanda dia mahu memujuk Indira Callista.

"Okeylah. Pastikan pakai dua-dua, okey? Jangan membazir." Kepala Alana diusap-usapnya penuh manja dan kasih sayang sebelum melabuhkan sebuah kucupan pada dahi si anak kecil itu.

Beria-ria Alana menganggukkan kepalanya. Dia mengeratkan lagi rangkulannya pada leher Indira. Tidak sabar mahu mencari beg kesukaannya yang kini menjadi trending. Tak lain tak bukan, beg sekolah design Unicorn.

Troli ditarik sebelum meletakkan Alana di dalam troli tersebut. Kemudian, Indira menyorong troli itu dengan kedua-dua belah tangan masuk ke dalam pusat membeli-belah yang berdekatan dengan rumahnya. Hanya mengambil masa 40 minit untuk sampai ke pusat membeli-belah itu.

"Nak pergi makan dulu atau cari beg yang Lana nak tu?" soal Indira kepada Alana yang sedang leka memerhatikan keadaan sekeliling. Riuh dengan suara kanak-kanak dan tangisan bayi. Ada beberapa buah kiddie ride vending machine yang diletakkan di sebelah deretan kedai, mampu menarik perhatian ramai kanak-kanak yang dalam lingkungan setahun sehingga 12 tahun.

"Nak main tu, mama!" Alana menunjukkan ke arah sebuah kiddie ride vending machine yang berbentuk kuda Unicorn.

Indira menghelakan nafasnya. Lain soalan yang diberikan, lain jawapan yang dia dapat. Sabar sajalah kalau melayan satu-satunya anak saudaranya ini.

"Come..." Tubuh Alana didukung kemudian troli diletakkan di sebelah bangku berwarna coklat. Dua helai duit kertas bernot RM1 dimasukkan ke dalam mulut mesin tukar syiling secara layan diri itu.

"Yeay!" Alana bersorak kegembiraan sehingga kedua-dua belah tangannya diangkat ke udara. Duit syiling yang berada di atas telapak tangan Indira diambilnya dengan laju sambil tersengih lebar.

"Baik-baik naik tu," pesan Indira kepada Alana sebaik saja dia menurunkan tubuh kecil itu di hadapan permainan tersebut.

Dengan penuh berhati-hati, Alana menunggang permainan mesin kuda Unicorn itu. Duit syiling tadi dimasukkan ke dalam tempat yang disediakan sebelum permainan kuda Unicorn itu bergerak sekali gus memainkan lagu kesukaan kanak-kanak zaman kini.

"Dara Alana, look at the camera. Smile..." Indira menghalakan lensa kamera Oppo Reno 5 Pro ke arah Alana yang tersenyum lebar.

"Smile!" balas Alana sambil melebarkan lagi senyumannya tatkala memandang ke arah Indira.

"Good girl. Nice!" Indira tertawa kecil sebelum kakinya mengorak langkah ke arah Alana.

Buk! Tubuh Indira berlanggar dengan tubuh tegap milik seseorang sehingga menyebabkan Oppo Reno 5 Pro milik Indira jatuh mencium lantai bangunan pusat membeli-belah itu. Indira tercengang seketika tatkala melihat telefon bimbitnya yang selamat menyembah lantai.

Habislah skrin telefon aku tu. Sempat lagi dia bermonolog di dalam hatinya.

"Jalan tu, tengok depan. Bukan tengok skrin." Suara garau yang memberi teguran itu menampar gegendang telinga Indira sekali gus menyedarkan Indira untuk melihat gerangan siapa yang telah melanggarnya. Apa dia tak cukup besar ke sampai nak kena langgar?

"Eh, siapa yang langgar siapa? Macamlah belakang aku ni tak ada jalan, ya?" balas Indira dengan nada cukup selamba lalu mengambil Oppo Reno 5 Pro yang masih lagi mencium lantai.

Sepi. Tiada balasan dari lelaki itu. Indira mengangkat wajahnya betul-betul di hadapan gerangan yang melanggarnya tadi.

Pendeknya aku. Asal dia ni tinggi sangat? Aku syak masa dia kecik, dia suka makan kayu galah. Gumam Indira di dalam hati.

"Kutuk aku?" tanya Qarizh kepada Indira dengan kening dijongketkan sebelah. Dahinya berkerut halus.

"Jangan nak perasan sangat." Indira menggelengkan kepalanya. Reaksi wajahnya tampak tenang saja. Padahal baru saja sekejap tadi, dia mengata lelaki itu di dalam hati.

"Eh, kejap." Qarizh mengimbas kembali wajah Indira dengan tempoh selama 10 saat sekali gus mengarahkan kotak ingatannya itu bekerja untuk mengingat kembali siapa perempuan di hadapannya ini. Tak sampai 10 saat, kotak ingatannya memberi respon lalu mengimbau kembali kejadian beberapa hari lepas di Alamanda Shopping Centre.

"Kau."

Indira menjungkitkan bahunya. Tangan dibawa silang ke dadanya. Seperti tadi, masih menayangkan wajah tidak bersalah. Dia langsung tak ingat siapa lelaki ini. Perlu ke dia nak ingat? Siapa lelaki ini?

"Kau, perempuan hari tu yang berani lutut perut aku."

Indira terdiam sejenak. Memaksa otaknya untuk bekerja keras mengembalikan semula memori yang lepas. Wujud ke lelaki ini di dalam memorinya untuk beberapa hari yang lalu?

"Ohhhh..." Indira mengangguk-anggukkan kepalanya. Lelaki ini yang telah menjumpai Alana sewaktu mereka mencari Alana di Alamanda Shopping Centre. Kecil betul dunia ini. Tidak sangka dia menjumpai lelaki ini sekali lagi.

"Jadi, kau nak suruh aku buat apa? Perangai kau yang menjengkelkan. Memang mendapatlah kau dengan aku walaupun kau yang jumpa Alana."

Qarizh hanya menayangkan wajah bekunya seperti biasa. Tiada riak. Membuatkan Indira berkerut kecil.

"Hello, aku cakap dengan tunggul ke apa?" Indira melambai-lambai tangannya tepat di hadapan wajah Qarizh. Namun masih sama. Tiada riak apa-apa.

"Sahlah, kau ni kena sumpah jadi tanggang dekat dalam mall ni. Kau nak aku panggil sekuriti ke apa?" Tangan ditarik semula bersilang ke dadanya. Sempat lagi dia mengerling ke arah Alana yang masih menunggang permainan itu walaupun sudah berhenti.

"Moron." Hanya sepatah saja yang terpacul dari dua ulas bibir milik Qarizh sebelum dia mengorak langkahnya meninggalkan Indira begitu saja.

"Weh! Seriously? Dia tinggalkan aku macam tu je? Padahal dia yang beria-ria tadi. Macam nak cari gaduh. Memang nak kena mamat ni!" Lekas-lekas, Indira mendukung tubuh Alana lalu dia mengejar langkah Qarizh yang sudah agak jauh darinya.

"Hoi!" jerit Indira dari belakang membuatkan Qarizh mengerutkan dahinya.

Perempuan ni kejar aku? Aku ingatkan dia brutal sangat. Rupanya sama je macam perempuan lain. Getus Qarizh di dalam hati. Dia menyambung semula langkahnya tanpa sedikit pun menoleh ke belakang.

Puk!

"Ssstt..." Qarizh berdecit kesakitan sehingga terpejam matanya. Siapa pula yang baling benda dekat dia ni? Memang berani betul. Dah salah cari fasal dengan dia ni. Lihatlah apa nasib si gerangan yang berani sangat tu.

"Tahu pula sakit. Aku ingatkan kau ni memang tak ada perasaan," ujar Indira dengan perasaan sebalnya terhadap Qarizh. Sudahlah langgar sampai telefon bimbit dia jatuh ke atas lantai. Lepas tu, mengajak dia ingat mengimbau perkara yang lepas. Langsung tak ada kata maaf. Memang taklah, dia nak lepaskan orang yang dah menyakitkan hatinya semudah itu.

Qarizh hanya membisu sebaik saja memandang ke arah gerangan yang membaling benda ke arahnya tadi. Betul-betul kena dekat belakang badan dia. Rupa-rupanya benda itu adalah kasut kepunyaan gadis itu. Memang tekad betul nakkan perhatian dia sampai sanggup baling kasut.

"Kau memang tak ada adab, eh? Langgar orang lepas tu blah macam tu je. Fikir kau tu anak raja ke? Kerabat tengku? Yang nak kena hormat?" Dengan satu nafas sahaja, Indira mengajukan soalan kepada Qarizh secara bertubi-tubi. Kasut dipakai semula pada kaki kirinya. Itulah kelebihan kasut kesukaannya itu. Sekali baling dekat orang boleh bengkak badan orang itu.

Sedikit pun Qarizh langsung tidak menjawab soalan-soalan Indira. Sebaliknya, dia merenung dalam sepasang anak mata milik gadis itu. Sepertinya ada sesuatu yang ada di dalam diri Indira sehingga menyebabkan jantungnya berdetak tidak berirama. Anak mata itu sepertinya dia pernah lihat. Tapi, di mana?

"Hoi, aku dah hilang sabar ni. Kau memang dilahirkan tuli ke apa?" Indira menurunkan Alana sebelum tangan anak saudaranya itu digenggam erat.

"Aku dengar. Apa yang kau tak puas hati?" soal Qarizh dengan nada biasa. Tidak ada menunjukkan yang dia sedang marah kepada gadis itu. Sedangkan semasa tindakan Indira melutut perutnya, dia pernah berpesan kepada anak-anak buahnya untuk mencari gadis ini sehingga dapat. Tapi bila dah ada depan mata, lain pula yang jadinya.

"Eh, eh mamat ni. Aku soal kau, kau soal aku balik." Indira menggeleng-gelengkan kepalanya. Makin menggunung perasaan sebalnya melihat lelaki ini. Memang sengaja nak cari gaduh dekat tengah-tengah bangunan pusat membeli-belah ini.

"Kau nak aku minta maaf?" soal Qarizh dengan nada suaranya diperlahankan sedikit. Antara dengar dan tidak dengar.

"Aku bukan hadap sangat nak kau minta maaf. Cara kau tu buat aku sebal tau. Hari tu pun sama. Ubah perangai kau tu," ujar Indira dengan nada sedikit menyindir sebelum dia meninggalkan Qarizh yang masih lagi tercegat di situ. Malas dia mahu membazirkan tenaganya mengajak lelaki itu bertekak. Tiada manfaat langsung.

"Kenapa mama marah sangat dengan uncle tu? Dia baik tau, mama. Dia yang tolong Lana masa Lana sesat tak jumpa mama dengan ayah ngah." Alana mendongakkan kepalanya. Bibirnya dimuncungkan sedikit. Sepertinya dia tidak suka Indira melayani Qarizh secara kasar begitu sedangkan lelaki itulah yang menyelamatkannya tempoh hari.

"Ya, mama tahu. Mama cuma geram dengan perangai dia. Dengan muka tak ada perasaan macam tu. Macam hebat sangat. Mama tahu dia selamatkan anak mama yang comel ni." Alana diangkat sebelum dibawa ke dalam dukungannya. Laju saja tangan anak kecil itu melingkar pada lehernya. Pipi Alana dikucupnya bertubi-tubi sehingga anak itu tertawa suka.

"Jom, kita pergi beli beg yang Alana nak. Lepas tu, kita pergi makan."

Terangguk-angguk kepala Alana tanda dia bersetuju dengan cadangan Indira. Troli yang masih lagi berada di tempatnya ditolak oleh Indira menuju ke sebuah kedai yang menjual barangan sekolah.

LANGIT yang tadinya bercerah sudah bertukar gelap. Awan hitam sudah mengambil alih awan putih. Sepertinya hujan akan mencurah-curah permukaan bumi tidak lama lagi. Jam sudah menunjukkan pukul enam petang. Hari sudah senja barulah Indira dan Alana menjumpai jalan keluar dari bangunan pusat membeli-belah itu. Sekiranya Indira leka, memang malamlah mereka akan pulang ke rumah. Mahu membebel Izz nanti bila dapat tahu. Bukannya tidak pernah terjadi, seringkali terjadi setiap kali Indira keluar berjalan bersama Alana.

"Okey, perut sudah kenyang. Kehendak semua sudah dapat. Semuanya cukup lengkap. Jadi marilah kita pulang, ya sayang."

Alana mengangguk-anggukkan kepalanya sambil tersenyum. Tubuhnya juga sudah berasa letih. Semestinya sebentar lagi, dia akan terlelap di dalam kereta ketika dalam perjalanan pulang ke rumah.

"Lana masuk dulu. Mama nak letak barang kat belakang. Pakai seatbelt terus," arah Indira yang sudah menarik pintu penumpang bahagian belakang. Beberapa beg kertas dan beg plastik mula dimasukkan ke dalam perut keretanya.

Alana akur. Dia terus memboloskan dirinya di bahagian penumpang sebelah pemandu. Tali pinggang keledar ditariknya kemudian dicantumkan pada kekuncinya. Dia memerhatikan Indira yang sedang ligat memasukkan barang melalui cermin pandang belakang.

"Arghhhh!" Indira menjerit kuat tatkala tubuhnya ditarik dari belakang sebelum belakang tubuhnya terhentak pada badan kereta. Berdecit sakit dibuatnya.

"Weh, ambil budak tu. Lekas!" arah lelaki yang sedang mengunci pergerakan Indira.

"Korang siapa? Jangan berani sentuh anak akulah!" tempik Indira sambil meronta-ronta kasar. Memang silap mereka mencari nahas dengannya.

Pang!

"Kau diamlah, perempuan!"

Pipi Indira ditampar kuat sehingga terteleng ke tepi dibuatnya. Mata turut terpejam sama tatkala menerima tamparan padu itu. Pipi yang terasa pijar diabaikan. Dia mengumpul kekuatan yang ada untuk melawan lelaki-lelaki yang menyerangnya itu.

Duk! Buk! Buk!

Dia melepaskan tendangan kaki kirinya tepat mengenai alat sulit lelaki itu sebelum tumbukan secara bertubi-tubi diaktifkan. Bagaikan dia sedang menumbuk punching bag kesayangannya itu. Memang sudah set di dalam kepalanya sekiranya dia diserang oleh orang jahat.

"Mama! Mama!" jerit Alana dengan begitu kuat sehingga bergema-gema suasana parking lot yang sunyi itu. Hanya ada beberapa buah kereta saja. Tiada seorang pun berada di situ melainkan mereka.

"Korang memang setan!" Indira melompat ke atas bonet keretanya sebelum menerkam tubuh lelaki yang sedang mendukung tubuh Alana.

Buk! Buk! Buk! Dengan sepuas hati Indira melepaskan tumbukan pada wajah dan dada si penyerang sehingga darah mengalir dari hidung dan mulut lelaki itu.

"Mama!" Sekali lagi Alana menjerit. Kali ini lebih kuat berbanding tadi kerana ada seorang lagi lelaki yang sedang mara ke arah Indira dengan menggenggam sebilah pisau belati.

Belum sempat Indira mahu memalingkan wajahnya ke belakang, tubuhnya ditolak oleh seseorang sehingga dia jatuh terduduk di atas lantai parking lot itu.

"Korang memang tak guna!" Qarizh menarik belakang baju lelaki itu lalu dihentakkan kepala lelaki itu secara bertubi-tubi pada dinding berdekatan mereka.

Sepantas kilat, Indira memeluk tubuh Alana erat. Wajah Alana ditolak ke dadanya. Tidak mahu anak kecil itu melihat aksi yang mengerikan itu.

"Weh, cukup. Mati orang tu nanti."

"Biarkan dia orang mati. Dia orang dah lama sangat hidup," balas Qarizh dengan nada suaranya ditekankan.

Indira terdiam. Dia tidak menyangka Qarizh seberani itu. Melihat aksi yang ditunjukkan oleh Qarizh membuatkan dia berasa kagum. Selalunya dia hanya lihat aksi-aksi itu di dalam kaca televisyen. Sekarang, depan-depan mata!

"Mampus kau. Silap orang kau nak cari pasal." Qarizh menolak kasar tubuh yang terkulai tidak sedarkan diri itu ke atas lantai. Keringat dan percikan darah yang melekat pada wajahnya, dilap kasar menggunakan lengan baju. Rambutnya yang menutupi dahi, disebak ke belakang. Dia cuba menenangkan dirinya. Dadanya yang berombak laju, kini sudah kembali normal.

"Kau okey?" soal Qarizh penuh prihatin. Belum pernah lagi dia menunjukkan keprihatinannya pada orang luar adiknya sendiri. Hanya Tengku Qasrina Najihah saja yang selama ini dia ambil berat. Dengan orang lain, jangan harap dia akan berbuat begitu.

"Aku... aku okey. Terima kasih," ucap Indira. Teragak-agak dia mahu merenung wajah Qarizh yang kelihatan serius. Sangat serius!

"Aku ikut kau dari belakang sampai kau balik rumah." Qarizh berlalu pergi meninggalkan Indira dan Alana tanpa sempat Indira berkata apa-apa. Terkebil-kebil Indira dibuatnya.

"Lana okey, kan sayang?"

Alana hanya menganggukkan kepalanya. Indira turut menganggukkan kepala kemudian dia memalingkan wajahnya ke arah Qarizh yang sudah meloloskan diri ke dalam perut kereta. Berkerut nipis dahinya melihat sikap Qarizh yang tiba-tiba saja mahu mengekorinya dari belakang sehingga sampai ke rumahnya.

Biar betul lelaki ni nak ikut sampai ke rumah. Tak akanlah senang-senang aku nak dia tahu rumah aku dekat mana. Dia ingat, dia dah jadi hero ala-ala Tom Cruise tadi aku boleh terus percayakan dialah? Sabar sajalah aku dengan mamat ni. Aku harap sangat angah dah balik. Tak adalah aku risau sangat dengan lelaki ni. Creepy.


Previous: BEM 2
Next: BEM 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh nurshaza