BELIKAT disandarkan ke belakang. Tangan dibawa bersilang ke dada. Keringat yang menjejeh di dahi, diseka menggunakan belakang telapak tangannya. Pandangannya dipusatkan pada si isteri yang sedang ligat menumbuk punching bag tanpa ada niat mahu berhenti. Seakan-akan melepaskan dendam sepuas-puas hatinya. Lagipun sudah lama, mereka tidak mengasah skil menggunakan punching bag. Sibuk sangat menguruskan orang gila yang tidak kenal erti serik.
"Fuh!" Indira melepaskan jeritan lega sambil melompat kecil. Dia memandang ke arah Qarizh yang sedang duduk di atas sofa.
"Awal pancit?" Indira tersengih.
Qarizh mencebik kecil. "Penatlah. Lagipun, nak bagi ruang dekat sayang. Dah lama tak asah, kan?"
"Eleh, pandai nak cover. Padahal dah pancit." Galak Indira mentertawakan suaminya. Dia membuat senaman ringan dengan melakukan larian setempat.
Qarizh cuma senyum. Fikirannya menerewang memikirkan Yazir. Sehingga sekarang anak-anak buahnya dan Izz tidak dapat menemui lelaki durjana itu.
"Hubby, termenung apa jauh sangat tu? Fikirkan hal kerja ke apa?" Punggung dilabuhkan bersebelahan dengan Qarizh. Pinggang suaminya dipeluk erat.
"Huh? Tak... tak ada apa. Penat sikit." Qarizh mengusap belakang Indira. Dia berasa serba-salah dengan isterinya itu. Sepatutnya Indira tahu yang Yazir masih lagi bebas di luar sana agar isterinya boleh bersedia sekiranya berlaku apa-apa yang mereka tidak dapat jangkakan.
"Sayang... I want to tell you something. Before that, please forgive me. Hubby tak ada niat nak sorokkan daripada sayang. Hubby tak nak sayang risau sampai stres."
Indira mengerutkan dahinya. "Apa dia? Sounds serious." Nada suara Indira sudah berubah tegas. Hatinya terasa apabila Qarizh menyembunyikan sesuatu perkara daripadanya. Tetapi dia tidak mahu bertindak melulu. Biar dia dengar dulu apa yang Qarizh mahu sampaikan.
"Yazir still out there. Dia masih bebas. Hanya Yasmin dengan Harun saja yang dapat ditangkap."
Indira terdiam seribu bahasa.
"Why are you keeping that secret from me? You knows right that Yazir wants me?" Dalam renungan mata Indira pada Qarizh.
Qarizh melepaskan nafas panjang. Kedua-dua belah tangan Indira digenggam.
"I'm sorry. I know that, sayang. Sebab tu, hubby bagi tahu. Hubby dalam dilema."
Indira diam.
"Jangan marah. I'm sorry."
"Hmmm...." Indira menyandarkan kepalanya pada dada Qarizh.
"Jadinya sekarang ni, Yazir masih bebas. Still hunting me, right?"
Qarizh mengusap rambut panjang isterinya. Bibirnya tersungging sebuah senyuman.
"Hubby janji yang hubby takkan bagi dia sentuh sayang. Sekali dia sentuh, tahulah hubby nak buat apa."
Indira mendongakkan kepalanya. Merenung wajah Qarizh dengan jarak yang dekat.
"Promise me. Hubby takkan risikokan diri hubby."
Qarizh hanya senyum. Tak berani dia mahu berjanji.
Chup!
Terbuntang Indira apabila tiba-tiba saja Qarizh mengucup bibirnya.
"Haish, menyempat pulak hubby ni." Indira memuncungkan bibirnya.
Chup!
"Hubby!"
Mengekek Qarizh ketawa. Suka dia dapat menyakat Indira.
"Siapa suruh muncung macam tu? Geram hubby tengok."
Indira menampar manja dada Qarizh. Dia mengubah posisi duduknya kepada baring di atas riba si suami. Dagu Qarizh dicuit-cuit.
"Hubby, nanti kita travel nak? Angah suruh ikut dia pergi Indonesia kan nanti?"
Qarizh angguk.
"Dira nak ajak hubby pergi travel dekat Indonesia."
"Indonesia tu besar, sayang. Serius nak travel satu Indonesia? Malaysia pun kita tak habis travel lagi."
Indira tersengih. Kepala digeleng sekali.
"Bukan travel satu Indonesia. Travel satu tempat lahir Adit tu aje. Tak sempat nak merantau kampung dia tu. Best tau!"
Qarizh angguk. "Kalau macam tu, kita suruh Adit ikut sekalilah. Boleh jadi tour guide. Tak adalah sesat nanti."
Laju saja Indira menganggukkan kepalanya. Pipi Qarizh diusap lembut. Semakin hari sayang dan cintanya, semakin bercambah. Layanan Tengku Qarizh Nadim sentiasa mencairkan hatinya. Lagi-lagi kalau mood manis dan manja lelaki itu datang, mahu panas wajah dibuatnya.
"I love you, sayang. Forever and ever. Do you love me?" Qarizh mendekatkan wajahnya pada wajah Indira.
Tengok tu. Baru aje cakap. Mood manis dan manja dia dah sampai. Suka buat hati seorang Indira Callista tergolek-golek.
"Of course, I love you. Will you hold my hands for today, tomorrow and forever?" Indira menghulurkan tangannya.
Qarizh sambut huluran tangan isterinya sambil menganggukkan kepala. Hidung mereka bergesel sesama sendiri.
"Hubby takkan pernah lepaskan tangan sayang sampai bila-bila. And I always be in your heart."
Indira tersenyum lebar. Pabila Encik Mafia dah berjiwang, rasanya gelaran Encik Mafia tu dah tak sesuai dengan dirinya lagi. Yalah, mafiakan ganas. Ini mafia jiwang.
"ADUH, sakitlah abang! Kenapa ni?" Haura merentap pergelangan tangannya dari cengkaman tangan Kizo. Dah gila ke apa abangnya seorang ini? Tiba-tiba nak naik angin. Dekat hospital pun nak mengamuk sakan. Tak boleh nak kawal langsung.
"Kau apa hal datang dengan jantan tu? Kau ni kan, makin lama makin naik lemak. Aku perhati aje kau ni tau. Kecik besar, kecik besar aje. Tahulah Saif tu selalu backup kau. Tapi aku ni pun abang kau juga. Lagi banyak pengalaman daripada Saif tu. Aku cakap jangan rapat sangat dengan Hilmi tu. Apa yang kau tak faham bahasa?"
Haura melepaskan dengusan kasar. Tak habis-habis. Balik-balik itu saja yang dibangkitkannya. Penatlah. Tak boleh ke dia nak hidup normal macam orang lain? Suka dengan pilihan hati sendiri tanpa diganggu oleh sesiapa pun.
"Abang ni kenapa? Benci sangat dengan Abang Hilmi tu. Ya, adik tahu dia pernah buat salah. Semua orang pernah buat salah? Abang tak pernah buat salah ke? Takkan hidup abang tu perfect aje setiap hari?" Haura melawan. Sudah lama dia bersabar. Biasanya dia akan mendiamkan diri sekiranya Kizo bercakap mengenai Hilmi. Untuk hari ini, dia tidak mampu tahan lagi.
"Aku tak cakap yang aku ni perfect. And yes, aku pun pernah buat salah. Tapi kesalahan aku tak adalah sampai nak membelot dan mengkhianat member sendiri sampai mati!"
Hilmi yang ingin mendekati Haura, terhenti langkahnya apabila terdengar suara lantang Kizo.
"Ya, dia pembelot. Bekas pembelot. Dia dah menyesal dah pun, abang. Dia dah berubah. Everyone deserve a second chance. Kalau abang dekat tempat dia, mesti abang akan tertekan!"
Kizo mengetap bibirnya sehingga merah. Tangan kirinya digenggam erat sehingga urat menegang.
"Kau memang degil, Haura Sahirah. Aku pasti yang kau takkan bahagia dengan dia kalau kau kahwin dengan dia. Dia tu tak ada apa-apa. Aku tahu semua latar belakang hidup dia. Kau tu dibesarkan dalam keadaan yang mewah. Dari kecil sampai besar, kemahuan kau semua tertunai. Kalau kau kahwin dengan dia, kemahuan kau tak dapat ditunaikan dan hidup susah. Apa yang kau akan buat?"
Haura menggeleng perlahan. Nampaknya Kizo tidak mengenalinya dengan lebih mendalam. Ya, memang dia membesar dalam keadaan yang serba-serbi kemewahan. Apa yang dia mahu, semuanya dia dapat dalam sekelip mata. Tetapi dia bukan macam perempuan di luar sana, yang menjadikan kemewahan itu sebati dalam diri. Membiasakan diri untuk sentiasa hidup mewah. Tidak sama sekali. Selama dia menyambung pengajian di luar negara, dia banyak berdikari sendiri. Duit yang Kizo dan Saif salurkan ke akaunnya setiap dua minggu sekali, pasti dia akan bahagikan kepada dua. Keperluan dan juga simpanan.
"Abang tak kenal adik macam mana. Memang adik dah biasa hidup mewah. Tapi itu tak bermakna, adik tak boleh hidup susah. Adik ada pengalaman adik sendiri. Susah atau senang, adik akan bersama dengan dia. Adik cintakan Abang Hilmi."
Kizo menahan tangannya dari menampar pipi Haura. Sakit hati dia mendengar ungkapan terakhir adik tirinya itu.
"Kau jangan cabar aku, Haura. Jangan sampai aku buat benda yang bukan-bukan. Kalau kau sayang aku dengan Saif, dengar cakap aku!"
Haura terpempan. Kizo mengugut dia.
"Sampai hati abang ugut adik sampai macam ni sekali. Salah ke adik sayang dan cintakan Abang Hilmi? Dia baik dengan adik. Memahami dan sentiasa dengar luahan adik bila abang dengan Abang Saif sibuk. Adik tak pernah pun nak merungut. Adik sayangkan abang dengan Abang Saif. Sentiasa sayang." Air mata Haura menitis. Hatinya tersentap dengan sikap Kizo yang semakin melampau.
Kizo diam. Dia tidak sedar yang dia sudah terlepas cakap.
"Abang Hilmi bukan tak berusaha nak minta maaf dengan abang. Nak rapatkan hubungan dengan abang. Yang kena khianat tu Abang Qar dengan Kak Dira. Tapi kenapa abang yang lebih-lebih? Arwah Kak Qas yang meninggal dunia. Abang Qar sendiri mampu memaafkan Abang Hilmi, kenapa tidak abang?"
Hilmi yang mendengar segala perbalahan mereka berdua, berasa terharu dengan Haura. Dia tak sangka Haura sanggup membela dirinya. Dan ungkapan cinta yang diluahkan oleh Haura membuatkan hatinya menangis. Terlalu terharu.
"Adik sayangkan abang dan Abang Saif. Adik cuma mintak satu aje. Restu hubungan adik dengan orang yang adik cinta. Adik yakin yang dia dah berubah. Abang bagi dia peluang untuk buktikan. Tapi kalau dia tipu dan tak berubah, adik akan dengar cakap abang dan adik akan tutupkan hati adik daripada mencintai orang lain lagi."
Kizo diam tidak berkutik. Kata-kata Haura membuatkan hatinya rasa serba-salah.
"Kalau dulu kecik-kecik, adik boleh peluk abang. Tapi adik dah besar. Adik rindu semua momen kita masa kecik. Adik tak nak hubungan kita renggang hanya disebabkan ini. Dan sepatutnya hari ini hari bahagia abang dan kakak. Abang dengan kakak dah jadi ibu dan ayah. Abang dah ada cahaya mata. Abang sepatutnya senyum. Adik minta maaf kalau sebab adik, abang tak ceria pada hari bahagia abang."
Kizo merenung dalam wajah Haura.
"Jangan marah lagi, ya. Pergilah temankan kakak. Dia mesti tunggu abang tu, nak azankan baby. Adik nak keluar sekejap, depan sana tu je. Nanti apa-apa call ajelah adik."
Kizo angguk. Sepatah huruf pun tak terlahir dari mulutnya. Dia membiarkan saja Haura keluar dari hospital.
Hilmi menghelakan nafas panjang. Dia berlari anak mengejar langkah Haura yang sudah keluar dari bangunan hospital.
"Haura!" jerit Hilmi agar Haura menghentikan langkahnya.
"Eh, abang. Abang ke mana tadi? Haura ingat abang tunggu dalam kereta."
Hilmi senyum kecil. "Abang ke tandas sekejap tadi. Lepas tu, pergi beli air dekat mesin tu. Ni untuk Haura. Abang belikan sekali."
Haura tersenyum lebar. Nampaknya Hilmi dah hafal kesukaannya.
"Wah, air Milo. Terima kasih, abang!"
Hilmi menganggukkan kepalanya. "Dah tengok ke baby?"
"Dah, abang. Comelnya. Putih pulak tu. Sebiji macam kakak. Biasa lelaki ikut ibu dia, kan?"
Hilmi tertawa kecil. Suka dia melihat wajah keterujaan Haura.
"Abang..."
"Ya?" Terkejut Hilmi apabila mendengar suara mendayu Haura menyeru namanya. Tak pasal-pasal bulu romanya berdiri tegak. Macam baru lepas jumpa hantu.
"Jom kahwin."
Hilmi terkaku. Apa dia salah dengar? Begitu selambanya Haura mengajaknya berkahwin. Bagaikan mengajaknya pergi ke pusat membeli-belah. Barusan saja tadi, dia bertekak dengan Kizo pasal dia. Tiba-tiba ajak dia berkahwin. Biar betul budak kecik ni?
QARIZH merenung wajah Indira yang lena diulit mimpi. Malam ni, dia tidak dapat melelapkan mata. Tak tahulah apa yang dia fikiran sampai mata tak mampu nak dipejam. Kalau pejam pun, fikirannya menerewang memikirkan tentang Yazir. Mana lelaki itu pergi? Dan bila lelaki itu nak muncul? Dia mahu menamatkan semua ini dengan cepat. Mahu menunaikan permintaan Indira. Mahu berbahagia bersama dengan orang yang dia sayang.
"Hubby bukan tak nak janji dengan sayang. Hubby kena risikokan diri hubby juga kalau Yazir tu muncul. Kan hubby dah cakap yang hubby takkan bagi dia sentuh sayang lagi. Kali ni, hubby betul-betul tekad. Hubby tak nak sayang tengok sakit lagi. Sayang dah banyak tersakiti."
Qarizh mengelus rambut Indira perlahan. Ditahan air matanya dari jatuh. Sensitif pula dia dengan kata-kata sendiri.
"Biar hubby yang tanggung sakit sebab hubby lelaki. Hubby suami sayang. Sebagai suami kena lindungi isterinya. Pada masa yang sama, hubby nak tebus semua kesalahan hubby dekat sayang dulu. Hubby banyak sakiti sayang. Hubby buat sayang menangis."
Perlahan dia melabuhkan kucupan pada dahi dan pipi Indira.
"Cinta dan sayang hubby hanya untuk sayang. Sampai mati. Tiada siapa yang boleh pisahkan kita lagi kecuali ajal dan maut." Dia menarik selimut sehingga ke paras pinggang Indira. Diusap pipi isterinya sebelum bangun.
"Haus pulak tekak ni. Tadi rasanya dah banyak minum air. Kembung airlah kalau macam ni," omel Qarizh sendiri. Kakinya mengorak langkah keluar dari bilik.
Anak tangga demi anak tangga dipijak sehingga ke tingkat bawah. Suasana di ruang tamu sunyi, mungkin anak-anak buahnya berada di halaman luar rumah. Mereka menjaga kawasan rumahnya mengikut giliran.
"Riel ni entah ke mana hilangnya. Macam chipsmore. Kejap ada, kejap tak ada. Haih..." Qarizh menggelengkan kepala. Rindu pula mahu berbual-bual dengan sepupunya itu. Sudah beberapa hari, Airiel tidak pulang ke rumahnya. Sibuk merantau satu Malaysia agaknya.
Klik! Lampu dapur dihidupkan.
"Urk!" Qarizh tersentak apabila mata pisau menembusi perutnya.
"Haha! Matilah kau, Tengku Qarizh Nadim. Konon suruh anak-anak buah jaga rumah ni. Tapi semuanya bodoh. Aku ni handallah setakat nak cilok masuk rumah kau ni. Simpan sikit kebodohan kau tu!" Lantang suara Yazir bercakap. Memang niat dia mahu semua orang tahu yang dia berjaya masuk ke dalam rumah Qarizh.
"Kau... memang..."
Yazir merentap pisau yang tertusuk pada perut Qarizh kemudian diangkat tangannya tinggi untuk menikam dada lelaki itu.
Duk!
Yazir jatuh berguling apabila tubuhnya ditendang oleh seseorang.
"Kau memang tak reti serik, kan?" herdik Haura. Dirampas pisau yang berada di atas lantai. Dadanya berombak laju. Mujur dia cepat sampai ke situ, kalau tidak pasti pisau itu sudah mendarat ke dada Qarizh.
Qarizh menekup perutnya dengan tangan. Rasa sakit cuba ditahan.
"Haura... jangan... kau...."
Haura geleng. Dia mendekati Yazir yang meringis kesakitan. T-shirt putih lelaki itu sudah dibasahi dengan darah merah. Pasti lukanya tempoh hari berdarah semula dek ditendang olehnya.
"Kau ni memang penyibuk. Jangan kacau akulah, sial!" amuk Yazir. Dia bangkit lalu menerkam Haura sehingga mereka berdua berguling-guling di atas lantai dapur.
Qarizh segera mengambil tindakan. Dia memaut leher Yazir dari belakang sehingga lelaki itu melepaskan Haura. Kini, dia dan Yazir bergelut sesama sendiri.
"Arghhhhh!" Qarizh menjerit kesakitan apabila dia tidak sempat mengelak dari mata pisau yang dipegang oleh Yazir.
"Abang Qar!" jerit Haura apabila melihat pisau itu tercacak di atas dada Qarizh. Dia kena selamatkan lelaki itu.
"Hubby!"
Haura memalingkan wajahnya ke belakang. Kelihatan Indira berdiri terkaku. Dadanya berombak laju sama sepertinya.
"Sayang, no. Please...." Qarizh menggeleng-gelengkan kepalanya. Berkerut-kerut dahinya menahan sakit yang semakin menjalar.
"Kau memang siallah, Yazir! Ahhhhh!" Indira menolak kuat tubuh Yazir sehingga kepala lelaki itu terhantuk pada bucu kerusi meja makan.
Haura berlari ke luar rumah, memanggil Saif dan kawan-kawannya yang lain.
"Kau patut mati aje! Kau tak layak untuk hidup!" amuk Indira. Sepertinya sudah dirasuk oleh syaitan. Dia duduk di atas perut Yazir lalu ditumbuk wajah lelaki itu berkali-kali bagaikan dia menumbuk punching bag. Langsung tidak memberi peluang kepada Yazir untuk melawan semula.
"Abang Qar... tahan... Haura dah call ambulans." Haura memangku kepala Qarizh. Pisau yang sudah dicabut sendiri oleh Qarizh, ditepis menggunakan kaki.
Qarizh menarik perlahan tangan Haura agar gadis itu mendekatinya.
"Haura... jagakan... Dira... untuk... aku...."
Haura sebak. Dia menggelengkan kepala perlahan. "Abang tak boleh tinggalkan kakak. Haura jaga kakak tak sama dengan abang jaga dia. Abang suami dia. Abangkan dah janji dengan Haura hari tu, tak nak buat kakak menangis lagi. Abangkan kuat? Sikit aje ni. Macam Haura kena hari tu." Haura buat-buat ketawa.
Kelopak mata Qarizh semakin memberat.
"Aku... minta... maaf..."
Haura menepuk-nepuk pipi Qarizh agar lelaki itu kekal dalam keadaan sedar. Namun, sia-sia. Kedua-dua belah mata Qarizh sudah pun terpejam rapat. Dada lelaki itu semakin lama semakin berombak perlahan.
"Abang Qar...."