Home Novel Thriller/Aksi Bidadari Encik Mafia (Completed)
BEM 10

Lima tahun yang lalu,

ALDI berpegangan tangan dengan isterinya sebaik saja keluar dari perut kereta. Rumah bungalow dua tingkat itu dipandang sekilas sebelum jari telunjuk naik menekan punat loceng rumah sehingga kedengaran loceng itu berbunyi nyaring.

"Abang, nak jumpa dia untuk apa? Bukan urusan hari tu dah selesai?" soal si isteri.

"Memang dah selesai. Abang dengan dia ada hal sikit nak dibincangkan."

"Abang percayakan dia ke? Entah-entah dia pun musuh kita dalam selimut. Macam mana?"

Aldi tersenyum sambil menggelengkan kepalanya sekali. Dia faham akan perasaan isterinya yang risau akan dirinya kerana selama ini mudah percayakan orang sehingga mereka dikhianati.

"Kali ni abang percaya dia. Lagipun sayang ingat, kan? Yang abang selamatkan dia."

Si isteri mencebik. "Boleh jadi juga kalau dia nak khianat kita."

Aldi tertawa kecil. Tangan si isteri digenggam erat. "Jangan risau, sayang. Percayakan abang kali ni aje, ya?"

"Yalah."

"Selamat datang, Aldi," sapa Hilmi sebaik saja pintu pagar dibuka secara automatik menggunakan remote di tangannya.

"Hilmi, kan? Qarizh ada dekat rumah?"

Hilmi angguk sekali. "Masuklah. Bos dah tunggu dekat dalam."

Aldi menarik isterinya melangkah bersama masuk ke dalam rumah mewah itu. Sesekali mereka mengimbas isi dalam rumah yang cantik reka bentuknya. Tak nampak langsung seperti rumah seseorang yang digelar mafia.

"Aldi."

Aldi menoleh ke sisi. Kelihatan Qarizh sedang duduk di atas sebuah sofa single sambil membasahkan tekaknya dengan segelas air kosong sejuk.

"Qarizh, akhirnya aku jumpa juga rumah kau ni."

Qarizh herot bibirnya ke tepi. Gelas diletakkan di atas di atas meja kecil bersebelahan dengan sofa yang didudukinya itu. "Duduklah."

Serentak Aldi dan isterinya melabuhkan punggung di atas sofa berangkai dua bertentangan dengan Qarizh.

"Jadi, aku tak nak cakap banyak. Memandangkan kau dengan kumpulan kau dah selamatkan aku dan juga kumpulan aku. Aku letakkan kepercayaan dekat kau bahawa kau bukan musuh aku."

Aldi angguk sekali. "Aku tak minta banyak pun. Cukuplah sekadar kita ada..."

"Perkongsian." Laju Qarizh mencantas percakapan Aldi. Kedua-dua belah sikunya ditahan di atas pahanya kemudian dagunya ditongkat.

Aldi senyum kecil sebelum kepalanya dijatuhkan beberapa kali.

"Kau pun dah letakkan kepercayaan dekat aku?"

"Ya. Aku dah letak kepercayaan aku dekat kau. Dan, aku harap sangat yang kau tak akan pernah mengkhianati aku."

"Aku anti pengkhianat. Sekali aku jumpa, jangan harap aku akan lepaskan. Hancur badan dia aku kerjakan," jawab Qarizh dengan suaranya yang tertekan-tekan. Nampak sangat dia betul-betul anti dengan pengkhianat.

"Baguslah macam tu." Aldi menganggukkan kepalanya.

Maka, bermulalah perbincangan mereka sehingga lewat malam.

QARIZH mencelikkan matanya semula. Angin sepoi-sepoi bahasa menampar wajahnya perlahan. Laut yang terbentang luas di hadapan pandangannya ditenung lama. "Aku minta maaf, Di. Aku tak patut ego pasal benda tu. Kalau tak, mesti kau tak tinggalkan aku. Macam mana aku nak cari orang yang setia macam kau? Sedangkan bekas anak buah aku sendiri khianat aku, weh."

Qarizh meraup wajahnya kasar. Sungguh dia kesal kerana menjunjung egonya selama ini. Kerana ego jugalah dia kehilangan orang yang sudah dianggap seperti keluarga sendiri. Hanya Aldi saja yang setia dengan kumpulannya. Dan juga, Aldi yang banyak membantunya menentang musuh. Macam-macam muslihat dan strategi yang diajar oleh Aldi selama mereka bersama. Sehingga sekarang dia masih menggunakan ilmu ajaran sahabatnya itu.

"Uncle..."

Qarizh mendongakkan kepalanya. Wajah comel milik Alana memenuhi ruang kornea matanya. "Hmm?"

"Kenapa uncle duduk sini sorang-sorang?"

"Saja. Nak ambil angin. Mana dia orang?"

Alana memalingkan tubuhnya sambil jari telunjuk dituding ke arah Indira dan Qasrina yang sedang berbual-bual sambil bergelak-tawa bersama.

Qarizh angguk sekali. Tangan kecil Alana ditariknya lalu didudukkan di atas ribanya. Tubuh si kecil itu dipeluknya erat dengan matanya dipejamkan seketika. Walaupun dia memegang status seorang mafia, dia memang mesra dengan kanak-kanak. Kerana setiap kali dia bersama dengan budak, pasti dia teringat akan kenangan dia bersama Qasrina ketika kecil.

Waktu itu, dia bahagia sangat.

"Uncle sedih, ya?" soal Alana dengan begitu prihatin.

"Mana ada uncle sedih. Pandai-pandai aje. Uncle ambil angin sajalah."

"Ohhh... Lana ingat uncle tengah bersedih sebab dari tadi muka uncle muram aje. Lepas tu, uncle senyap. Uncle memang tak banyak cakap, ya?"

Qarizh diam seketika. "Uncle penat sikit hari ni. Biasalah, macam-macam masalah kena fikir."

Alana menganggukkan kepalanya. "Lana asyik lupa aje nak ucap terima kasih dekat uncle sebab uncle selamatkan Lana hari tu. Lepas tu, maafkan mama tau sebab mama baling kasut dekat uncle."

"Tak apa, uncle tak kisah. Salah uncle juga masa tu."

Alana angguk sekali lagi. Dia merangkul leher Qarizh dan pada masa yang sama sisi wajahnya disandarkan pada dada lelaki itu tanpa ada rasa takut. Sepertinya sudah lama dia mengenali Qarizh walhal pertemuan mereka masih baru lagi.

"Abang, nak balik ke?" soal Qasrina yang tiba-tiba saja muncul di belakang mereka.

"Kau dah penat ke? Nak balik dah?"

"Hurm, boleh jugalah. Badan letih. Perut pun dah kenyang. Kak Dira kata dia nak balik. Esok Lana nak sekolah."

Qarizh angguk. Tubuh Alana dibawa ke dukungan. Qasrina memegang tangan Qarizh lalu mengorak langkah bersama ke kereta.

Indira yang sedang berdiri di sisi kereta Qarizh hanya memerhatikan dari jauh sambil sikunya ditongkat di pintu kereta. Mulutnya ligat mengunyah gula-gula getah yang dibelinya di kaunter pembayaran tadi. Dia memakukan pandangan ke arah Qarizh yang sedang mendukung Alana. Lama.

Qarizh turut memakukan pandangannya ke arah Indira yang sudah tidak jauh daripadanya. Sesaat kemudian, matanya tertancap pada susuk tubuh seseorang yang sedang berlari ke arah Indira.

"Indira!" Secara spontan Qarizh menjerit dengan nada suaranya yang cukup nyaring. Alana diserahkan kepada Qasrina di sebelahnya sebelum berlari laju ke arah Indira.

Indira agak terkejut mendengar teriakan Qarizh itu lantas memusingkan pandangannya ke belakang lalu dengan spontan dia menundukkan tubuhnya dari menjadi mangsa mata pisau yang digenggam oleh lelaki yang menyerangnya itu.

"Kau siapa?" soal Indira dengan nafasnya yang tidak terkawal. Perlahan dia menegakkan tubuhnya semula.

"Kau tak perlu tahu aku siapa," jawab si penyerang itu lalu bergelut dengan Indira menggunakan pisau lipat.

Buk! Buk! Indira melepaskan beberapa tumbukan pada wajah dan juga dada si penyerang itu tanpa henti. Hatinya sakit. Ingin sekali dia tahu siapa sebenarnya mereka yang selalu menganggu hidupnya.

"Kau nak apalah, bodoh? Kau cakap!" herdik Indira sambil merentap rambut lelaki itu lalu ditolaknya kuat sehingga kepala si musuhnya itu terhantuk kuat pada badan kereta Qarizh. Berdentum bunyinya.

"Ergh..." Si penyerang tadi meringis kesakitan sambil memegang kepalanya yang serasa bergegar.

"Urk!"

Giliran Qarizh pula melepaskan amarahnya dengan mencekak leher si musuh itu sehingga berdiri semula. Tersekat-sekat nafasnya tatkala Qarizh mengetatkan lagi genggaman pada lehernya. Sukar untuk dia menghirup oksigen dengan sempurna.

"Qar..." Indira teragak-agak mahu menyentuh bahu lelaki itu. Dia terkejut melihat aksi Qarizh yang seolah-olah mahu membunuh si penyerang itu.

"Qarizh! Mati dia nanti!" jeritnya kerana tidak sanggup mahu melihat lelaki itu tidak bernyawa di tangan Qarizh.

"Kau jangan jadi baik sangat, Indira! Dia dah serang kau!"

"Tapi..."

"Aku tak akan lepaskan siapa yang dah sentuh orang yang rapat dengan aku." Naik turun nafas Qarizh ketika mengungkapkan ayat tersebut.

Indira pegun. Mulutnya terkunci.

"Kau masuk dalam kereta dengan Qas. Aku nak selesaikan mamat tak guna ni!" Keras Qarizh memberi arahan kepada Indira. Kunci kereta diserahkan kepada gadis itu.

Indira lambat-lambat membawa langkah mendekati Qasrina dan Alana yang berdiri jauh daripada mereka. Qasrina tidak mahu Alana nampak aksi-aksi yang dilakukan oleh abangnya itu. Bahaya. Boleh takutkan budak kecil itu.

"Kita masuk kereta dulu," ujar Indira lalu mendukung tubuh Alana.

Qarizh mengheret tubuh yang sudah lemah dicekik olehnya jauh dari parkir kereta. Di celah semak-samun.

"Kau memang berani mati."

Topeng mulut yang melekat pada wajah musuhnya itu direntap kasar sehingga terputus talinya. Rambut lelaki itu direntap ke atas.

"Ja... jangan..."

"Apa yang jangan? Kau dah serang aku dengan perempuan tadi. Kau fikir senang-senang aku nak lepaskan kau?" Tertekan-tekan nada suara Qarizh menahan marah.

"Kau tunggu nasib kau malam ni. Riwayat kau dah tak lama." iPhone 12 yang disimpan di dalam kocek seluar jeansnya direntap kasar kemudian nombor telefon Hilmi yang sudah disimpan di dalam senarai kontaknya ditekan.

Dalam beberapa saat saja perbualan mereka. Qarizh menyuruh Hilmi membawa musuhnya itu ke markas mereka. Sementara menunggu kehadiran Hilmi, anak matanya terus-terusan merenung dalam sepasang anak mata milik musuhnya itu. Pandangan lelaki itu sepertinya meminta simpati daripadanya untuk dilepaskan.

"Kau dah serang aku. Tak ada jalan pulang untuk kau," bisik Qarizh betul-betul di telinga musuhnya itu.

JAKET kulitnya dilemparkan ke atas sofa sebaik saja dia melangkah masuk ke dalam markas. Hanya singlet hitam yang masih terlekat pada tubuhnya. Rambutnya disingkap ke belakang sambil melangkah masuk ke dalam sebuah ruangan. Ruangan yang dinamakan sebagai 'ruangan seksaan'.

Pisau bernama LHR Combat dicapai di atas meja yang terletak di hujung ruangan itu. Kemudian sebuah kerusi kayu ditariknya sehingga di hadapan musuhnya tadi. Bibirnya ditarik ke tepi. Punggungnya dilabuhkan di atas kerusi secara bertentangan. Kedua-dua belah lengannya ditahan pada bibir kerusi itu.

"Nama kau Hesta. Berasal dari Indonesia. Kau masuk dalam negara aku semata-mata nak kacau keamanan orang ke?"

Lelaki bernama Hesta itu mengangkat wajahnya yang dipenuhi dengan lebam dan luka akibat ditumbuk oleh Zane, salah seorang anak buah Qarizh.

"Aku dah lama menetap dekat sini," jawab Hesta dengan nada suaranya yang serak sekali gus menahan sakit pada seluruh tubuh badannya dan juga wajah.

"Oh, dah lama. Sekali gus kau dah lama hiduplah, kan? Dah tak nak hidup sebab tu kau menempah maut dekat aku!" Melengking suara Qarizh sehingga bergema-gema segenap ruangan itu.

"Lepaskan aku. Aku... aku cuma ikut arahan..."

Qarizh bangun. Dia menendang kerusi kayu tadi sehingga terseret ke tepi lalu tumbang ke atas lantai. Berdentum bunyinya. Dia menundukkan tubuhnya separas wajah musuh yang duduk di atas kerusi dalam keadaan berikat.

"Arahan? Kalau orang tu suruh kau makan tahi kau sendiri. Kau makanlah, kan?"

Hesta tidak menjawab.

"Sial kau ni. Betul-betul sial tau sebab kau dah sentuh aku dengan orang yang rapat dengan aku!"

"Aku tak salah. Lepaskan aku. Aku dah cakapkan yang aku hanya ikut arahan!" Hesta masih lagi mahu membela dirinya.

"Kau memang menguji kesabaran aku, weh. Sumpah aku cakap. Kau dah buat sisi kedua aku muncul. Kau dah buat silap." Qarizh menyeringai.

"Hoi! Pandang aku. Tatap muka aku ni. Muka yang bakal menamatkan riwayat kau!" Dagu Hesta didongakkan kasar agar pandangan mereka bersatu.

"Tuih!" Hesta ludah.

Qarizh secara refleks memejamkan matanya tatkala air ludahan Hesta tepat mengenai wajahnya. Anak-anak buahnya Qarizh terkejut dengan situasi itu.

"Heh... berani kau ludah aku. Tadi masa dekat semak, kau tak pula nak berlawan dengan aku. Kenapa?" jerkah Qarizh sebaik saja air ludahan itu dikesat menggunakan singlet hitamnya.

"Lepaskan akulah!"

Zup! Mata LHR Combat tadi sudah mendarat tepat pada lengan Hesta yang terdedah itu sehingga terkoyak panjang.

"Argghhh!" Hesta menjerit nyaring. Darah dari lengannya menjejeh-jejeh di atas lantai.

"Lah, sakit ke? Tadi beria-ria kau ludah aku. Fikirkan kau hebat sangat." Qarizh menggeleng-gelengkan kepalanya.

"Tu baru sikit, weh. Belum aku kerat leher kau tu."

Hesta meringis kesakitan dengan dahinya yang sudah berkerut seribu menahan sakit yang semakin menjalar.

"Arghhhh!" Sekali lagi ruangan itu bergema dengan jeritan Hesta apabila mata pisau LHR Combat tadi menghiris dalam kulit dadanya.

"Aku nak kau bagi tahu aku, siapa upah kau? Atau lebih tepat, siapa ketua kau?" Dahi Hesta ditunjal kasar sehingga lelaki itu tersandar ke belakang.

"Aku... aku tak akan bagi tahu kau..."

"Fuh! Setianya kau dekat ketua kau. Orang macam kau ni patut memberikan penghargaan yang tinggi. Susah nak dapat anak buah macam kau ni. Sayang ketua dia. Sanggup mati demi ketua dia." Qarizh tersenyum senget.

"Betul ni kau tak nak bagi tahu?" Sengaja Qarizh menguji.

Hesta masih senyap. Langsung tidak mahu membuka mulutnya.

Dap!

"Arghhhh!"

Qarizh memijak kaki Hesta sehingga terdengar bunyi keretakan tulang. Mulut Hesta yang ternganga luas itu ditumbuk sehingga salah satu gigi musuhnya itu patah. Hatinya puas mendengar jeritan demi jeritan itu.

"Aku rasa macam tak cukup lagilah, weh."

"Ke... ketua aku... tak akan lepaskan... kau..." Tersekat-sekat Hesta mahu mengugut Qarizh.

"Dalam keadaan macam ni kau masih boleh ugut aku? Kau memang terbaiklah!" Bahu Hesta ditepuk-tepuk sambil berpusing mengelilingi lelaki itu.

"Any last words, Hesta? Betul ni kau tak nak bagi tahu aku siapa ketua kau?"

Hesta diam. Masih mengeraskan badannya. Mulutnya dikunci rapat. Ada beberapa soalan yang bermain di benak fikirannya. Berbaloikah sekiranya dia setia dengan ketuanya itu? Dan pada yang sama, kalau dia beritahu Qarizh siapa ketuanya. Dia dibebaskan ke?"

"Kalau aku bagi tahu kau..."

"Hmm? Tukar fikiran ke?" Qarizh berhenti di belakang Hesta.

"Kalau aku bagi tahu, kau akan..."

Zup! Qarizh kelar leher Hesta dari belakang sehingga terpancut-pancut darah keluar membasahi lantai. Singlet hitam miliknya juga terkena percikan darah tersebut.

"Tak ada masa aku nak layan kau! Buang masa aku." Qarizh mengesat mata pisaunya yang dibaluti darah dengan sehelai kain.

"Aku nak korang buat macam biasa. Kemas sampai bersih. Lepas tu, Hilmi aku nak kau cari ketua dia ni siapa sampai dapat. Hantar jari si sial ni dekat dia orang supaya dia orang tahu yang anak buah yang setia ini sudah kembali ke tempatnya. Aku dah hilang sabar ni. Makin lama, makin melampau!" Bengang Qarizh.

"Baik, bos." Hilmi angguk sekali sebelum memberikan arahan kepada anak-anak buahnya.

Qarizh keluar dari markas lalu membawa tubuhnya masuk ke dalam kereta. Stereng dihentak sekali. Terngiang-ngiang situasi Hesta mahu menyerang Indira sebentar tadi. Sama sekali dia tidak boleh terima. Kenapa ramai musuh-musuhnya sasarkan Indira? 


Previous: BEM 9
Next: BEM 11

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh nurshaza