Home Novel Thriller/Aksi Bidadari Encik Mafia (Completed)
BEM 11

TUBUH dihempaskan kasar di sebelah Alana yang sudah diulit mimpi sejak dalam perjalanan pulang ke rumah. Ketika itu juga, Izz Benazir baru saja memarkirkan keretanya di dalam garaj. Pelik Indira dibuatnya. Semakin kerap angahnya itu pulang lewat ke rumah. Bila ditanya, kerja yang menimbun tak pernah habis. Musykil.

"Haih, aku geram betullah. Siapa yang iri hati sangat dengan aku ni? Apa yang Qarizh buat dengan lelaki tu? Banyak betul soalan bermain dalam kepala otak aku. Boleh jadi gila macam ni...," bebel Indira seorang diri dengan nada perlahan. Tidak mahu si kecil yang sedang lena tidur terganggu dengan suara bebelannya.

"Angah pun asyik balik lambat aje. Kerja arkitek dah serupa kerja Perdana Menteri. Apalah dia buat sampai tengah malam macam ni baru nak balik?"

Matanya dipejam kasar kemudian dicelik semula sambil kedua-dua belah tangan menepuk geram selimutnya. Tubuhnya yang tadinya baring kini sudah duduk. Wajahnya diraup beberapa kali.

Kali pertama mereka diserang, Alana mahu diculik. Kali kedua pula, dirinya hampir saja mahu ditikam. Apa sebenarnya yang mereka nak? Setahu dia, tak pernah lagi dia menganggu kehidupan sesiapa pun. Musuh jauhlah sekali. Kalau betullah musuh, kenapa baru sekarang muncul?

"Argh! Stres!" Indira menekup wajahnya dengan bantal lalu melepaskan jeritannya sekuat hati.

"Mama..."

"Aduh..." Indira menepuk dahinya. Habislah Alana sudah tersedar. Semua salah dirinya yang tidak mampu mengawal diri sendiri yang terlalu tertekan.

"Shh... mama ada dekat sini. Sorry, ya. Mama bising sangat. Mama sayang Alana."

Tubuh si kecil itu dipeluk erat. Alana tidak membuka matanya, sekadar kaki dan tangannya saja yang bergerak memeluk tubuh si ibu saudaranya dengan erat. Sepertinya tidak mahu dilepaskan walaupun sesaat.

"Sayang dia ni..." Indira mengucup dahi Alana sambil membelai rambut panjang milik Alana. Tangannya ligat mengusap rambut Alana sehingga kelopak matanya mula layu secara perlahan-lahan.

Dan akhirnya, dia turut menyertai Alana masuk ke alam mimpi.

Izz Benazir menutup kembali pintu bilik adiknya dan Alana dengan begitu perlahan. Tidak mahu menghasilkan sebarang bunyi. Lekas-lekas dia menuruni anak tangga sambil tangannya menatal skrin telefon bimbit. Mencari kontak untuk dihubungi.

Tut... tut...

"Hello..." Satu suara garau serak menjawab panggilannya.

"Apa jadi hari ni? Ada apa-apa yang aku tak tahu ke?" soal Izz kepada lelaki di hujung talian itu.

"Adik kau hampir kena tikam dengan Hesta."

Tidak semena-mena Izz mengenggam kedua-dua belah tangannya sehingga urat hijaunya timbul. Sama sekali dia tidak boleh menerima berita yang disampaikan oleh lelaki di hujung talian itu.

"Dia orang nak apa kacau adik aku? Duit?"

"Aku tak pasti. Masih dalam siasatan. Qarizh pun tengah panas hati tu. Hesta tak bagi tahu dia siapa ketua dia."

"Hesta mati?"

"Ya."

Izz meraup wajahnya sebelah tangan. Dengusan dilepaskan secara kasar. Kaki mengorak langkah ke dapur. Satu gelas kaca yang berada di rak pinggan-mangkuk dicapai. Dia menuang air kosong yang berada di dalam jag di atas kabinet. Air di dalam gelas itu diteguk sekali.

"Teruskan kerja kau."

"Okey."

Talian serentak dimatikan. Izz termenung sejenak memikirkan dua kali kejadian yang menimpa Indira Callista. Belum pernah lagi sesiapa yang berani menyentuh adiknya itu. Memang menempah maut musuh-musuh di sekelilingnya itu.

"Aku tak akan bagi sesiapa pun sentuh adik aku. Kalau aku dapat, memang hancur sekor-sekor aku kerjakan," ucap Izz dengan nada perlahan. Hanya dia seorang saja yang dengar.

Bingkai gambar keluarganya yang tergantung pada dinding ruang tamu ditenungnya dari dapur. Lama dia merenung pada wajah si dia yang paling rapat dengannya sejak kecil lagi sebelum memejamkan matanya lama.

"Aku rindu kau, along..."

TEPAT jam lapan pagi, Qasrina keluar dari kamar tidurnya lalu menuruni anak tangga. Kelibat Airiel tidak kelihatan sejak semalam. Mungkin keluar mencari anak perempuannya yang sudah dibawa lari oleh bekas isteri. Tidak tahulah ke mana bekas kakak ipar sepupunya itu membawa si anak saudaranya pergi. Tekad sungguh abang sepupunya itu mahu mencari anaknya.

"Qas, dah bangun?" soal Indira yang sudah sejam lepas sampai. Dia menyediakan sarapan buat si adik majikannya itu.

"Ui! Akak dah sampai? Kenapa tak naik atas?"

"Akak nak buatkan kau sarapan ni. Abang kau dah pesan dekat akak."

Qasrina tersenyum lebar. Punggung dihenyakkan di atas kerusi meja makan. Laju saja tangannya mencedok bihun yang digoreng oleh Indira. Baunya yang semerbak membangkitkan selera makannya secara membuak-buak. Seketul ayam goreng diambil dari dalam mangkuk.

"Sedapnya sarapan pagi ni. Siap ada ayam goreng lagi," puji Qasrina.

"Belum makan lagi dah puji. Akak goreng biasa aje tu. Mana yang akak mampu."

Qasrina tersengih. "Tak kisahlah, kak. Janji perut ni kenyang. Lana sekolah, eh? Abang mana?"

"Lana sekolah dah tadi. Ayah ngah dia hantar. Abang kau, tadi akak nampak dia tergesa-gesa keluar. Katanya nak ke pejabat."

Qasrina angguk sekali. "Mesti dah lambatlah tu. Terlajak tidur."

Indira terdiam sekejap. "Eh, abang kau pandai nak terlajak tidur, eh? Aku ingatkan dia tu tak payah tidur pun tak apa."

"Eleh, dia tu. Kalau dah banyak termenung, mesti dia tak sedar bila dia tidur. Lepas tu, lupa nak kunci jam. Itulah jadinya."

Indira angguk. "Oh, abang kau kerja apa?"

"Dia kerja sebagai CEO syarikat keluarga kita orang. Mestika Royal Holdings."

Terkelip-kelip mata Indira mendengar nama syarikat itu. Syarikat itu pernah disebut oleh Izz ketika mereka saja berbincang mengenai syarikat-syarikat yang popular di negara Malaysia. Mestika Royal Holdings termasuk dalam senarai. Bahkan, Izz sendiri pernah menjejakkan kaki di bangunan itu.

"Dia CEO? Serius?"

Qasrina yang sedang fokus menikmati santapan paginya hanya menganggukkan kepala bagi menjawab persoalan Indira.

"Patutlah serius macam tu. Angah akak cakap, biasanya CEO dekat Malaysia ni muka boleh dikatakan semuanya jenis beku tak beriak."

"Qas setuju dengan angah akak tu. Abang sejak dia jadi CEO semakin tinggi tahap kebekuan dia tu. Mengalahkan ais dekat antartika."

Indira melepaskan tawanya. Geli pula hati mendengar ayat terakhir yang diungkapkan oleh Qasrina. Selamba saja dia mengutuk abangnya itu.

"Tengah hari nanti, akak nak ambil Lana dekat tadika. Kau kena ikut sekali. Abang kau cakap, kawan-kawan abang kau hari ini semuanya keluar. Ada hal kut."

"Selalu macam tu. Kak, apa kata kita keluar awal sikit. Kita jalan-jalan. Bosanlah terperap dekat dalam rumah ni." Qasrina mencebik.

"Lawa sangat cebik macam tu. Kalau abang kau marah akak macam mana? Kena minta izin dialah dulu."

Semakin lebar cebikan pada bibir Qasrina membuatkan tangan Indira pantas menampar lembut mulut gadis dua tahun daripadanya itu.

"Aduh..."

Indira sengih.

"Ala, akak... tak payahlah minta izin bagai. Qas dah 23 tahunlah. Bagilah freedom sikit. Bukannya keluar sorang. Dengan akak, kan?" Qasrina mengelip-ngelipkan matanya dengan bibirnya yang terjuih panjang.

"Ish, kau ni. Okeylah. Lepas makan ni, kita keluar."

"Cun! Pakai kereta abang yang ada dekat dalam garaj tu. Dah berzaman dia tak pakai kereta tu. Konon kesayangan. Tapi, terbiar macam tu. Baik akak pakai."

Berminat pula Indira mendengar cerita Qasrina mengenai kereta Qarizh yang sudah lama terbiar itu. Memandangkan dia pun belum mempunyai kereta sendiri. Tak salah kalau memandu kereta majikan sendiri. Lagipun bersebab. Nak bawa Si Qasrina keluar berjalan-jalan.

"Kereta apa?"

"Kereta BMW Z4."

Jawapan Qasrina membuatkan mata Indira berbintang-bintang. Sport car. Siapa yang tak tercengang bila dengar? Tak pernah-pernah seumur hidupnya memandu kereta mewah seperti itu. Makin tak sabar pula, dia mahu keluar berjalan bersama Qasrina sebelum menjemput Alana pulang dari sekolahnya.

TANGAN Indira Callista digenggamnya erat lalu melompat-lompat kecil penuh keterujaan. Perasaan seronok dia saat itu tak dapat diungkapkan dengan apa-apa perkataan. Jarang dia hendak menjejakkan kaki di pusat membeli-belah. Kalau nak tunggu abang dia bawa, boleh beruban rambut dia menunggunya.

"Kau nak beli apa?" soal Indira sambil mata ralit memerhatikan suasana sekeliling yang penuh dengan ramai pengunjung. Sempat lagi dia mengerling ke arah jam pada pergelangan tangannya. Waktu bekerja macam ni pun masih juga ramai orang.

"Ramai juga hari ni, ya? Walaupun waktu bekerja."

"Tak semua orang bekerja. Entah-entah ada yang cuti hari ini. Ataupun suri rumah yang nak membeli-belah," jawab Indira dengan nada bersahaja. Tangannya disilang ke dada.

"Jom beli baju, kak. Kita beli jaket ke? Yang sama warna."

Indira ikut saja permintaan Qasrina. Memang tidak dapat dinafikan, perasaan seronok semakin meninggi saat memiliki seorang teman yang sekepala. Lagi-lagi lasak dan ekstrem seperti Qasrina. Memang boleh jadi geng!

"Kak, warna merah gelap ke hitam? Ataupun kelabu?"

Indira mengusap dagunya. Rambang pula matanya melihat jaket berkulit licin yang ditunjukkan oleh Qasrina itu.

"Erm. Hitam?"

Qasrina tersengih. Kepala dianggukkan sekali. "Akak dengan Qas memang sama. Tak boleh berpisah dengan warna hitam. Even pada Qas warna merah gelap menarik juga."

Indira ketawa besar. Kepalanya dijatuhkan beberapa kali. Laju saja dia mengambil jaket hitam itu mengikut saiznya. Begitu juga dengan Qasrina.

"Ada apa-apa lagi tak?" soal Qasrina.

Indira tidak memberi tumpuan kepada soalan Qasrina sebaliknya dia dapat merasakan sepertinya ada yang mengekori mereka dari tadi. Cumanya tadi dia beranggapan bahawa itu hanya perasaannya sahaja. Tetapi, semakin kuat pula hatinya mengatakan ada yang sedang memerhatikan mereka berdua.

"Akak?"

"Huh?" Indira blur.

"Akak okey? Akak cari siapa?" Qasrina turut menelengkan kepalanya ke kiri dan ke kanan. Mencari apa yang dicari oleh Indira.

"Akak rasa macam ada sesuatulah," bisik Indira sebaik saja dia menarik Qasrina dekat dengan dirinya.

"Err... ada orang ikut kita ke?"

Indira angguk sekali. Ditariknya Qasrina menuju ke kaunter pembayaran.

"Qas pun rasa macam tu sejak akak kata, akak asyik kena attack aje kan?"

"Itulah. Akak tak sedap hati. Akak takut kalau dia ikut kita sampai ke tadika Lana. Mesti dia tahu Lana sekolah dekat mana nanti."

Qasrina terdiam. Patut ke lepas ni dia harus bertanya pada Qarizh? Makin menjadi-jadi mula mereka kena serangan mengejut. Musuh mana yang tak serik-serik mengacau keamanan mereka?

"Tak apa, kak. Kita buat macam biasa. Kita jalan aje. Akak kena bersedia aje apa-apa yang berlaku. Kita tak ada apa-apa senjata melainkan diri sendiri."

"Okey." Indira sedikit berdebar. Difikir-fikir juga, berapa orang kali ini yang menyerang mereka? Mahu yang menyerang lebih dari seorang? Mampukah kudrat dua orang gadis menewaskan musuh-musuhnya?

"Jom, Qas nak pergi tanda sekejap..." Qasrina memeluk lengan Indira erat. Beg kertas dijinjit menggunakan tangan sebelah kirinya.

Serentak kaki mereka mengorak langkah menuju ke tandas yang terletak di hujung bangunan pusat membeli-belah itu. Tidak jauh dari situ, terdapat satu pintu untuk ke belakang bangunan. Sempat lagi, Indira mengerling ke arah pintu tersebut.

"Fuh, sunyinya tandas bahagian sini. Tak ada orang guna tandas ni pun?" omel Qasrina sambil membetulkan semula ikatan rambutnya.

Indira memerhatikan suasana sekeliling tandas tersebut. "Rasanya tandas baru lepas cuci kut. Tu ada tanda awas lantai licin tu." Jari telunjuknya naik menuding ke arah papan tanda awas itu.

"Hurmm... maybe..."

Bum!

Mereka berdua memalingkan tubuh secara mengejut tatkala pintu masuk tandas itu dihempas kuat dari dalam. Kelihatan satu susuk tubuh berpakaian serba hitam dan dilengkapi dengan topeng putih yang menutupi separuh wajahnya.

"Hai awek," tegur lelaki itu.

"Siapa awek kau?" soal Qasrina bernada mengejek. Indira di sebelah memakukan pandangan tajamnya ke arah lelaki itu.

"Janganlah jual mahal sangat, sayang. Abang datang ni nak jemput sayang atas arahan ketua abanglah. Nak jumpa abang sayang, takut tak sempat buka mulut dan kena makan penyepak."

"Pffft... pengecut sia..." Qasrina mengejek sambil menggelengkan kepalanya.

"Entah. Pengecut. Nak mengorat adiknya, kena hadap abangnya." Indira mencelah. Bibirnya diherotkan ke tepi. Sinis.

"Abang tak nak banyak cakap. Abang tak nak kasar-kasar dengan korang. Nanti kena label dayus. Apa kata korang ikut aje apa yang abang suruh?"

Indira menoleh ke sisi dan pada yang sama Qasrina juga menoleh ke arahnya. Kepala diangguk sekali.

"Okeylah. Kita orang pun tak naklah kasar-kasar. Sakit...," ujar Qasrina.

"Abang nak suruh kita orang buat apa?" Indira pura-pura sopan dengan lelaki itu. Rasa mahu termuntah pun ada juga tatkala memanggil lelaki itu dengan panggilan 'abang'.

Pintu dibuka kemudian lelaki itu mempersilakan Qasrina dan Indira untuk keluar. "Keluarlah. Ada tiga orang kawan abang tunggu. Jom..."

"Satu..." Qasrina mula kira dengan nada perlahan. Hanya Indira saja yang dapat membaca apa yang disebut oleh gadis itu.

"Dua..." Indira sambung dengan senyuman sinis. Rasa seronok pula mahu mengasah skil yang sudah lama tidak ditonjolkan.

"Tiga!" Qasrina menjerit kuat lalu berlari laju diikuti Indira di sisinya.

"Hoi! Mangkuk ayun betul!" jerit lelaki itu.

"Sini, Qas!" Tangan Qasrina ditarik lalu mereka keluar menggunakan pintu yang dikerling oleh Indira sebelum mereka masuk ke dalam tandas tadi.

"Fuh! Parking bahagian belakang. Kosong! Ada dua tiga buah kereta aje." Qasrina memusing-musingkan tubuhnya memerhatikan suasana sekeliling.

"Hoi!"

Indira menoleh ke kanan. Kelihatan lelaki itu sudah dapat menjejaki mereka. Kali ini, lelaki itu tidak keseorangan. Dia bersama dengan tiga orang kawannya lagi. Jadi, empat orang yang perlu mereka hadap ketika ini.

"Korang berani mara setapak, lebam muka korang aku kerjakan!" marah Qasrina sambil mengacukan penumbuknya ke arah mereka.

"Uuu... takutnya...," ejek salah seorang daripada mereka.

"Aku tak main-main. Aku serius. Korang sentuh aku. Abang aku tak akan lepaskan korang. Tengok ajelah nanti." Qasrina tersenyum senget. Sinis.

"Hoi perempuan! Kau rasa kita orang takut ke dengan ugutan kau tu? Tak sama sekalilah!"

"Oh, tak takut? Silalah serang kita orang!" Indira mencabar. Senyumannya meleret-leret pada bibir.

"Jo, perempuan tu cabar kita doh!"

Lelaki bernama Jo itu hanya tersenyum sinis. Kepala diangguk sekali. "Mal, Tom dengan Pali, apa tunggu lagi? Jom ah!"

Indira dan Qasrina sudah bersedia sejak tadi. Macam-macam aksi sudah dibayangkan di dalam kepala masing-masing.

Buk! Buk! Duk! Indira membuat lompatan front flip lalu sebelum mendarat, kaki kirinya membuat tendangan padu tepat mengenai dada Jo. Tak cukup dengan itu, dia menumbuk wajah lelaki itu secara bertubi-tubi sehingga darah hangat mengalir dari celah bibir dan hidung Jo.

Qasrina diserang oleh Mal, Tom dan Pali sekali gus. Namun tiada sebab dia gagal menewaskan tiga orang lelaki itu. Bibirnya melorek senyuman panjang. "Kau silap cari pasal dengan akulah..."

"Oh, ya ke? Buktikan...," balas Pali.

Qasrina angguk sekali. Jari telunjuk digerakkan ke depan dan ke belakang. Kononnya memanggil mereka bertiga untuk membuat serangan kepadanya.

Duk! Buk! Duk! Buk! Qasrina membuat tendangan dan tumbukan tanpa henti pada tiga orang lelaki itu. Keringat mula menjejeh pada wajahnya sama sekali tidak menganggu pergerakannya.

"Ah!" Qasrina menjerit halus tatkala pisau lipat yang berada di tangan Mal menghiris kulit pipinya.

"Bodoh," marah Qasrina lalu kakinya diangkat tinggi kemudian menyepak pisau yang berada di tangan Mal.

"Tak guna!" Mal berlari hendak mengambil pisau itu namun Indira lebih bergerak tangkas daripadanya.

Dada Indira berombak laju. Wajah dan tubuhnya sudah dibasahi dengan peluh. "Korang nak apa sebenarnya? Siapa yang suruh korang attack kita orang, huh?"

"Jangan jadi bodoh. Kita orang tak akan beritahu korang," jawab Tom. Nadanya sedikit sinis.

Serentak Qasrina dan Indira menggelengkan kepala mereka. Rasa macam buang masa melayan mereka berempat. Seperti orang bodoh. Indira menarik tangan Qasrina untuk pergi dari situ.

"Hoi! Nak pergi mana?" soal Pali lalu pergelangan tangan Indira direntap manakala Tom dan Mal mengambil kesempatan untuk menahan tangan kanan dan kiri Qasrina. Jo pula sudah tidak disedarkan diri dikerjakan oleh Indira tadi.

"Eih! Lepaslah, bodoh!"

"Aku tak akan lepaskan kau. Peluang dah dapat. Buat apa nak lepaskan? Seronok dapat tunjuk skil dekat kita orang tadi?" perli Pali.

Indira geleng sekali. Kedua-dua biji matanya menggoleng menyampah. "Aku pantang kalau orang sentuh akulah. Lebih-lebih lelaki bengap macam kau!"

Wajah Pali yang tadinya sinis berubah bengis. Dia pantang sekali ada orang yang menghinanya begitu. "Kau betina memang cari pasal dengan aku, kan?"

"Eh, siapa yang cari pasal siapa sekarang ni? Aduh, makin bengap aku tengok kau ni," ejek Indira sekali lagi. Sengaja dia mahu menaikkan amarah lelaki itu.

"Tak guna!" Pali mencekak leher Indira menggunakan sebelah tangannya. Sebelah tangannya lagi mencengkam pergelangan tangan gadis itu.

Pergerakan Indira serasa terbatas. Tetapi, dia tidak cepat panik. Sebaliknya, dia memejamkan matanya buat beberapa saat sekali gus mengatur pernafasannya yang mula tersekat-sekat.

"Hai? Lemah dah? Baru kena cekak, weh. Alahai..." Tawa Pali meledak besar diikuti dengan Mal dan Tom.

"Aku dah cakap dah. Perempuan ni memang lemah...."

Hati Indira membara-bara kala perempuan dilabel sebagai lemah. Matanya dicelik secara besar lalu kedua-dua belah kakinya diangkat tinggi sebelum membuat tendangan pada dada Pali sekali gus pegangan tangan Pali pada pergelangan tangan dan lehernya terlerai.

"Uhuk! Uhuk!" Pali jatuh terbaring sekali gus memuntahkan darah. Memang padu betul tendangan yang dibuat oleh Indira. Bukan sebarang tendangan.

"Lepaskan adik aku!" jerkah Indira yang sudah hilang sabar. Segera dia membuat tendangan pada perut Mal manakala Tom pula ditumbuk sehingga kedua-dua lelaki itu terbaring lemah di atas jalan tar.

"Bodoh! Perempuan tak lemahlah, sial!" maki Indira. Tangannya menarik Qasrina rapat ke bahunya.

"Akak okey?" Qasrina memeluk pinggang Indira.

Indira tidak menjawab sebaliknya hanya menganggukkan kepala.

"Qasrina! Indira!"

Suara jeritan nyaring itu membuatkan kepala mereka serentak menoleh ke kiri. Berkerut dahi mereka dibuatnya.

"Siapa tu?" soal Indira dengan dadanya yang masih berombak laju tetapi tidak selaju seperti tadi.

Qasrina sudah terdiam tidak berkutik. Tahulah dia suara siapa yang menyeru mereka itu. 


Previous: BEM 10
Next: BEM 12

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh nurshaza