Home Novel Thriller/Aksi Bidadari Encik Mafia (Completed)
BEM 4

IZZ BENAZIR memandang wajah Indira dan Qarizh bersilih ganti sebelum dia melepaskan keluhan panjang. Dirinya dihurung dengan perasaan risau yang menggunung sebaik saja mendengar cerita dari mulut Qarizh. Alana sudah pun masuk ke dalam biliknya, disuruh oleh Indira.

"Macam mana boleh jadi macam ni? Ya Allah..." Izz meraup wajahnya perlahan lalu mendongak kembali memandang ke arah Indira dan Qarizh.

"Kita ada musuh ke, angah?" soal Indira penuh ingin tahu. Inilah kali pertama dia ditimpa kejadian sebegini. Belum pernah terjadi lagi sebelum-sebelum ini.

Lambat-lambat Izz menggelengkan kepalanya. Dia sedang berfikir. Setahu dia, keluarga mereka tidak pernah ada musuh. "Angah tak pasti. Tapi, selama ni yang angah tahu. Keluarga kita tak pernah ada musuh.

"Berhutang?" teka Qarizh. Tangan dibawa naik silang ke dada.

"Excuse me. Teruk sangat ke muka kita orang ni nak berhutang? Kita orang ni boleh fikir lagi kalau nak berhutang sekalipun." Indira mula naik angin. Panas bila lelaki di sebelahnya itu selamba menuduh keluarganya mempunyai hutang.

"Eh, kau jangan nak angin pulak. Aku tanya aje. Tanya dengan tuduh lain." Qarizh membela dirinya. Seperti biasa, dia hanya menayangkan wajah bekunya itu. Langsung tidak gentar melihat wajah Indira yang sedang marah.

"Huh..." Indira menggolengkan matanya lalu tangan disilangkan ke dada. Malas mahu layan Qarizh yang selalu sangat menyakitkan hatinya.

"Tak apalah. Asalkan adik dan Lana selamat. Angah bersyukur sangat. Terima kasih ya, Qarizh."

Qarizh menggelengkan kepalanya lalu dia bangun dari duduknya untuk meminta diri pulang ke rumah.

"Angah nak tengok Lana sekejap. Risau tengok muka dia pucat tadi. Adik hantarlah Qarizh sampai depan pintu pagar. Lepas tu, rehat okey?"

Indira hanya menganggukkan kepala. Dia turut bangun lalu mengekori langkah Qarizh sehingga ke pintu pagar rumahnya. Tangannya masih lagi bersilang ke dada. Susuk tubuh Qarizh yang berada di hadapannya, diimbas.

"Aku balik dulu. Kau jaga diri. Aku bukan hero kau, nak kena 24 jam selamatkan kau."

Fuh! Baik punya mamat ni perli aku. Kurang asam betul. Bengang Indira di dalam hati.

"Aku tak ada mintak kau jadi hero aku pun. Kau yang tiba-tiba muncul. Mana aku tahu." Kedua-dua belah bahunya dijongketkan dengan bibirnya sedikit terjuih. Saja menayangkan wajah annoyying. Kalau tak kerana lelaki ini telah membantunya tadi, sudah lama dia hadiahkan tendangan padu Qarizh. Sabar saja....

"Aku ni masih ada hati dan perasaan nak selamatkan orang dalam kesusahan. Tak sampai hati pulak nak biarkan kau kena serang macam tu, kan?" bohong Qarizh. Selama ini dia tidak pernah pedulikan tentang kehidupan orang lain. Sekiranya ada orang lain yang ditimpa kesusahan di hadapan matanya, dia hanya berlalu pergi begitu saja tanpa ada niat mahu tolong.

Indira mengangguk-anggukkan kepalanya. Malas mahu bertelagah lagi dengan lelaki ini. Tiada manfaatnya. Sekarang ini, dia perlukan istirahat yang secukupnya. Sengal-sengal badan dibuatnya akibat bergelut dengan lelaki-lelaki jahat itu tadi.

"Kau nak balik ke tak sebenarnya?" perli Indira sambil merenung wajah putih Qarizh yang tiada perasaan itu dengan matanya yang separa terbuka. Mengantuk dia menghadap lelaki ini.

Qarizh tidak menjawab. Dia menjeling lalu memboloskan dirinya masuk ke dalam kereta. Terbit rasa menyesal kerana membantu perempuan yang langsung tidak mengenang jasanya. Memerli saja kerjanya. Eh, sejak bila Qarizh peduli semua itu?

Indira mengunci pintu pagar lalu melangkah masuk ke dalam rumahnya. Qarizh hanya merenung saja susuk tubuh Indira sehingga hilang dari pandangannya.

Dzztt.... Dzztt....

Qarizh berdecit kuat tatkala melihat nama yang terpapar pada skrin telefon bimbitnya. Lambat-lambat dia menggeserkan butang hijau itu untuk mengangkat talian daripada Airiel. Entah apa yang sepupunya mahukan.

"Kau nak apa?"

"Qar, rumah kau kena attack. Qas kena culik!" cemas nada suara Airiel di hujung talian membuatkan Qarizh yang tadinya bersandar terus menegakkan badannya secara mengejut.

"What?" Kuat nada suara Qarizh mendengar berita yang disampaikan oleh Airiel.

"Balik, weh. Aku tunggu kau."

Qarizh mematikan talian. Dia menghentak tangannya pada stereng kuat sebelum brek tangan diturunkan lalu dia memecut kereta Toyota Vios miliknya pulang ke rumah.

NAFAS Qarizh naik turun dengan laju sambil anak matanya dipakukan pada titisan darah milik Qasrina yang berada di atas lantai ruang tamu. Kedua-dua belah tangannya digenggam erat sehingga urat hijau menimbul. Tegang.

"Macam mana rumah ni boleh kena attack? Kan aku dah suruh korang jaga? Apa yang korang buat, bodoh? Arghhh!" amuk Qarizh. Belum pernah lagi, musuh-musuhnya berani menyerang rumahnya ini. Biasanya di markas atau gudang.

"Sumpah, bos. Kita orang dah cuba lawan tapi dia orang terlalu ramai." Hilmi cuba membela nasib dirinya dan kawan-kawannya yang lain.

"Alasan!" tempik Qarizh. Dia menendang sofa yang berada di hadapannya sehingga bergerak dari kedudukkannya.

Jeda. Suasana menjadi hening seketika tatkala Qarizh mendiamkan diri. Perlahan-lahan anak matanya naik memandang ke arah Airiel yang berdiri tidak jauh daripadanya.

"Kau yang rancang semua ni, kan? Kau memang tak guna!" tuduh Qarizh secara melulu tanpa usul-periksa.

Airiel menggelengkan kepalanya. Untuk apa dia rancang semua ni? Sedangkan Qasrina yang sudi membantunya sewaktu dia dalam keadaan cedera parah. Tak tergamak dia mahu mengambil kesempatan untuk berbuat jahat pada sepupunya sendiri. Dia sendiri sudah keluar daripada kumpulan itu.

"Qar, aku tak rancang semua ni. Sumpah! Untuk apa aku nak buat semua ni? Tolonglah percayakan aku. Aku dah keluar dari kumpulan tu!" Airiel mencengkam kedua-dua belah bahu Qarizh lalu digoncangnya tubuh si sepupu itu.

"Lepaslah!" tepis Qarizh lalu menolak tubuh Airiel kuat sehingga sepupunya itu jatuh terduduk di atas sofa.

"Fikir aku ada masa nak fikir semua tu, huh?" amuk Qarizh lalu meluru ke arah Airiel yang berada di atas sofa. Dia duduk di atas badan Airiel lalu melepaskan tumbukan bertubi-tubi pada wajah Airiel.

Airiel menendang betis Qarizh sehingga lelaki itu terjatuh lalu terlanggar meja kopi yang berada di belakangnya. Airiel bangkit berdiri dengan pantas seraya mengundur beberapa tapak ke belakang. Dia tidak mahu bergelut dengan sepupunya itu.

"Kau pengecut, Riel!" Qarizh masih tidak puas hati dengan Airiel. Sekali lagi, dia menyerang Airiel dengan beberapa tumbukan dilepaskan pada wajah dan anggota badan Airiel.

Airiel tidak berdiam diri. Dia membalas tumbukan Qarizh untuk mempertahankan dirinya. Sepupunya itu memang sudah hilang akal. Tidak mampu mengawal diri lagi.

"Qarizh, sudahlah! Aku tak nak bergaduh dengan kaulah, weh!" tempik Airiel sekuat hati sebaik saja dia menolak tubuh Qarizh sehingga terhentak ke dinding.

"Disebabkan kau datang rumah ni, adik aku terus kena culik. Selama ni tiada siapa yang berani melepasi rumah akulah!"

Airiel melepaskan keluhan panjang. Sungguh dia tidak tahu kenapa perkara sebegini boleh terjadi. Kenapa ketika dia berada di dalam rumah ni, ada musuh-musuh yang berani menganggu kawasan rumah sepupunya itu?

"Sumpah, Qar. Aku tak buat semua ni. Aku merayu kat kau tolonglah percayakan aku."

Qarizh tidak membalas. Hanya renungan tajam sekali gus dadanya yang berombak laju menahan amarah yang semakin membuak-buak.

"Bos, jangan bergaduh lagi. Sekarang ni keselamatan adik bos dalam keutamaan. Dia orang dah culik Qasrina."

Qarizh terdiam sejenak sebelum dia memerhatikan suasana sekeliling rumahnya. Baru dia sedar yang adiknya diculik oleh kumpulan musuhnya itu. Dia memejamkan matanya buat seketika sebelum dia mencapai jaket dan kunci kereta yang berada di atas meja kopi.

"Qar, tunggu!"

Qarizh diam. Langsung tidak menoleh ke belakang. Tetapi, langkahnya dihentikan. Dia masih lagi bertolak-ansur dengan sepupunya yang seorang itu.

"Aku ikut kau, Qar. Aku cam nombor plat kereta musuh tu. Dan, aku tahu yang kau boleh detect nombor plat kereta melalui telefon bimbit kau."

Qarizh angguk sekali. Dia terus meloloskan tubuhnya masuk ke dalam kereta lalu enjin kereta dihidupkan. Airiel masuk ke tempat duduk sebelah pemandu sekali gus memberitahu nombor plat yang diingati tadi.

Qarizh tidak banyak cakap. Dia hanya memasukkan beberapa huruf dan angka yang disebut oleh Airiel di dalam satu aplikasi yang ada di dalam telefon bimbitnya itu.

QASRINA merenung tajam ke arah lelaki muda, mungkin sebaya abangnya berdiri di hadapannya dengan pandangan sinis. Separuh wajah lelaki itu ditutupi dengan topeng mulut berwarna hitam. Ini kali pertama dia tewas dalam pergelutan bersama dengan musuh-musuhnya yang menyerangnya tadi. Sememangnya kudrat lelaki jauh lebih kuat daripada kudrat seorang perempuan. Tapi, tidak bermakna dia akan menyerah diri semudah itu.

"Kau nak apa, huh? Pengecut sangat kumpulan kau ni nak serang musuh sendiri yang tengah tidur," sindir Qasrina seraya tersenyum senget. Lebih kepada senyuman menyindir. Fikir dia takut dengan lelaki di hadapannya ini. Langsung tidak.

"Aku tak sangka yang kau ni seorang perempuan yang cukup berani walaupun kelilingi ramai lelaki dan hanya kau seorang saja yang perempuan." Si dia meninggung di hadapan Qasrina. Dagu gadis itu disentuhnya lembut supaya pandangan mereka statik.

"Jangan sentuh akulah!" marah Qasrina sambil mengalihkan pandangannya secara kasar. Dia sama sekali tidak suka apabila dirinya disentuh oleh bukan para ajnabinya.

"Haha!" Dia ketawa sehingga kepalanya terdongak ke atas. Suka dia melihat keberanian yang tertanam dalam diri Qasrina.

"Kau memang dah gila."

"Aku tak gila. Aku masih waras lagi, sayang." Rambut Qasrina yang menutupi dahi diselitkan ke belakang telinga. Pipi lembut Qasrina dielus perlahan.

"Argh!"

Selamba saja Qasrina menggigit jari lelaki itu yang berada pada pipinya. "Aku dah bagi kau amarankan, jangan sentuh aku."

Pang! Terteleng kepala Qasrina tatkala pipinya mendapat habuan kasar daripada lelaki itu. Turun naik nafas lelaki itu kala anak mata mereka bertemu kembali. Pandangan itu masih lagi tidak cukup untuk membuatkan Qasrina gentar.

"Kau memang lelaki dayus. Sentuh perempuan. Kau tunggu nasib kau. Abang aku tak akan lepaskan kau." Qasrina tersengih seperti kerang busuk. Perit yang menjalar pada pipinya cuba ditahan sebaik mungkin.

"Bos, kawasan kita kena attack!" jerit salah seorang anak buah si dia. Masing-masing kelam-kabut mengambil posisi untuk membalas serangan.

Qasrina tersenyum lebar. Tak usah diteka lagi siapa yang menyerang markas musuhnya ini. Siapa lagi kalau bukan abang kesayangannya itu.

Bang! Bang! Kedengaran bunyi tembakan saling balas-membalas. Qasrina hanya duduk diam menanti si abang datang menyelamatkannya.

Bum!

"Bagi adik aku baliklah!" jerkah Qarizh sebaik saja pintu yang ditendang kuat terbuka luas sehingga berlaga dengan dinding. Berdentum bunyinya memeranjatkan semua ahli kumpulan musuhnya.

"Adik kau selamat lagi, Qarizh. Janganlah kau risaukan sangat. Aku saja nak main-main dengan adik kau yang cantik ni. Tak salah, kan?" Tawa si dia meledak sehingga bergema-gema suasana ruangan markas itu.

Bang!

"Arghhh!" Dia meringis kesakitan tatkala peluru yang dilepaskan oleh Qarizh tepat mengenai perutnya. Laju darah merah mengalir membasahi bajunya. Dia tertunduk cuba menahan kesakitan yang menyengat sekali gus menekup perutnya itu.

"Kau jangan cabar aku!" Keras nada suara Qarizh memberi amaran. Sempat anak matanya mengerling ke arah Qasrina yang duduk di atas karpet dalam keadaan berikat. Meluap-luap kemarahannya melihat adiknya dalam keadaan begitu.

"Riel, kau tolong adik aku. Aku nak habiskan mamat tak guna ni," arah Qarizh kepada Airiel yang sedang berdiri di sisinya dengan menggenggam Glock 19 pada tangan kanannya.

"Kalau kau dekat, sia-sia kepala adik kau pecah..." Si dia masih tidak mahu mengalah. Tangkas dia menghalakan muncung pistol ke arah Qasrina.

Qarizh melepaskan dengusan kasar. Sempat lagi dia menyumpah-seranah lelaki itu sebelum dia meluru ke arah musuhnya itu lalu tumbukan padu dilepaskan pada perut musuhnya yang cedera itu.

"Arghh!" Tersembur darah dari mulutnya. Belikatnya terlalu sakit kerana terhentak pada dinding markasnya akibat ditolak oleh Qarizh.

Buk! Buk! Qarizh tidak berhenti setakat itu saja. Dia memijak kaki kanan musuhnya itu sehingga terdengar bunyi retakan tulang sekali gus menumbuk wajah lelaki itu tanpa henti. Habis wajah musuhnya itu dipenuhi dengan darah dan juga lebam.

"Aku dah cakap tadi jangan cabar aku. Kau dah sentuh adik, aku tak akan lepaskan kau dengan mudah macam tu," ujar Qarizh lalu merentap topeng muka milik musuhnya itu sehingga putus kedua-dua belah talinya.

Qasrina yang sudah dibebaskan oleh Airiel segera berdiri di belakang tubuh tegap abangnya itu. Dia menekup mulutnya tatkala anak matanya memandang wajah penuh musuh yang menculiknya itu.

"Abang Yan?" Sungguh dia tidak dapat menerima hakikat bahawa bekas ahli kumpulan abangnya yang menculiknya. Tapi, untuk apa? Balas dendam? Bukan ke dia sendiri yang mahu keluar dari kumpulan abang atas dasar mahu cuci tangan? Kononnya ingin mencari kebahagiaan sendiri. Ini semua apa?

"Yan, kau memang sial. Aku tak sangka kau khianati aku. Sia-sia selama ni aku buat baik dengan kau. Dan yang paling teruk, aku pernah letak kepercayaan aku pada kau. Betapa bodohnya aku mempercayai kau." Topeng yang berada di tangan Qarizh dilemparkan tepat mengenai wajah Yan, atau nama sebenarnya Adiyan.

Adiyan tidak menjawab. Dia lebih rela menekur lantai daripada bertentangan mata dengan bekas ketuanya itu.

"Sampai hati Abang Yan buat Qas dengan abang macam ni. Tak cukup baik ke kita orang dekat Abang Yan? Qas percaya abang mati-mati tau yang abang dah tak nak kena mengena dengan kita orang sebab nak cuci tangan. Apa yang abang buat sebenarnya ni? Balas dendam ke?"

"Adik aku tanya tu, jawablah!" Kaki Adiyan ditendang kuat oleh Qarizh sehingga lelaki itu meringis kesakitan.

"Aku... aku..." Tergagap-gagap Adiyan hendak menjawab soalan Qarizh. Tadi bukan main cakap besar sewaktu identitinya masih lagi tidak diketahui mereka.

"Bodoh. Hilmi! Kau suruh budak-budak lain angkut si tak guna ni dengan anak-anak buah dia. Dia dah rindu agaknya nak tengok aksi-aksi aku.

"Qas... tolong abang Qas..." Adiyan ingin memeluk kaki Qasrina tetapi gadis itu pantas mengelat lalu keluar dari markas itu. Sungguh hatinya sakit melihat lelaki yang pernah dianggap seperti abang sendiri mengkhianati dia dan juga abangnya.

"Sorry, bro. Aku hanya ikut arahan," ujar Hilmi lalu mengikat kedua-dua pergelangan tangan Adiyan sebelum diheret keluar menuju ke kereta.

"Patutlah kuat semacam. Rupanya dia copy paste semua aksi abang.," ujar Qasrina sebaik saja meloloskan tubuhnya masuk ke dalam perut kereta milik abangnya itu. Airiel yang berada di bahagian pemandu hanya mendiamkan diri. Sesekali mengerling ke arah Qarizh yang berada di sebelahnya hanya membisu.

Qasrina melemparkan pandangannya ke luar tingkap. Perasaan sebal semakin menggunung di dalam hati. Darah pada lengannya akibat terkena hirisan pisau sudah mengering. Perlahan dia mengusap lengannya. Tahulah nasib Adiyan nanti bila tiba di markas mereka nanti. Pasti Qasrina akan tidur di markas abangnya itu memandangkan rumah mereka sedang dibersihkan oleh beberapa orang anak buah Qarizh.


Previous: BEM 3
Next: BEM 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh nurshaza