Home Novel Thriller/Aksi Bidadari Encik Mafia (Completed)
BEM 16

KERTAS-KERTAS yang siap disusun diletakkan di dalam fail mengikut bahagian. Itulah kerja sehariannya kalau tiada Qasrina. Kalau tidak, pasti mereka akan membahagi-bahagikan tugas dan buat bersama-sama. Tapi hari ini, hanya dia saja yang kena uruskan.

"Lepas ni, kerja aku dekat pejabat ni sajalah. Budak tu pun dah tak nak aku jadi penjaga dia. Nak buat macam mana, kan? Disebabkan si sepupu dia tu, sanggup buang aku dengan Qarizh. Entah apa yang hebat sangat tentang Tengku Yazir tu pun, aku tak tahulah." Indira melepaskan keluhan. Tertanya-tanya juga dia. Baik sangatkah Tengku Yazir itu sampaikan Qasrina terlalu marah pada Qarizh?

"Dira..."

Suara garau milik Qarizh sedikit memeranjatkan Indira yang sedang leka menyusun fail di dalam rak. Secara refleks kepalanya mendongak. Anak mata mereka bertembung sesama sendiri.

"Ah, ya. Dah siap. Ngam-ngam. Terkejut aku." Indira mengusap dadanya lembut. Sudahlah sunyi. Yalah, dah jam lima petang. Ramai sudah yang pulang ke rumah. Dia saja yang tak reti nak pulang ke rumah memandangkan ada kerja yang belum dia siapkan lagi tadi.

"Angah ambil kau ke?"

"Tak. Dia tak berapa sihat sangat. Aku larang dia ambil aku. Nak drive macam mana, kalau dah tak sihat macam tu. Bahaya. Aku memang pantang kalau sakit-sakit nak drive bagai."

Qarizh hanya angguk. Pasti Indira masih dalam trauma tentang kematian abang sulungnya itu. Lama dia anak matanya merenung dalam sepasang anak mata Indira Callista.

Aku minta maaf, Dira. Kalau kau tahu perkara yang sebenar, mesti kau benci dekat akukan? Aku yang buat abang kau kemalangan. Hanya disebabkan benda temeh saja. Aku takut nak berterus-terang dengan kau.

"Qar, kau okey tak ni? Kau fikirkan Qas ke?"

Qarizh terdiam. Kepala digeleng sekali. "Tak apalah. Aku tahu Qas selamat kat sana. Biarlah dia nak ambil ketenangan sendiri. Dia nak merasa kebebasan tu macam mana. Aku tahu dia pandai jaga diri. Dia sendiri ada skil. Jadi, aku rasa tak perlulah aku khuatir sangat."

"Tak apalah. Aku doakan hati dia lembut nanti. Kau nak balik dah ke?"

"Aku nak ajak kau makan dekat luar memandangkan angah tak ambil kau. Sudi tak?"

Indira tertawa kecil. Kepala diangguk sebanyak tiga kali. "Kan aku dah pernah cakap. Kalau bab makan ni, nombor satu dalam hidup aku. Nampak aje badan aku kecik, tapi aku kuat makan tau."

Qarizh senyum sekali gus kepala dijatuhkan sekali. "Jom. Aku belanja kau makan. Kau cakap aje nak makan apa. Aku nak gembirakan sikit hati aku hari ini. Serabut fikiran aku dengan macam-macam masalah."

"Alright, bos. Tak ada masalah. Jom!" Beg silang disambarnya lalu selamba saja dia menarik lengan Qarizh sehingga keluar dari bangunan Mestika Royal Holdings. Ini kalau ada staf-staf yang nampak. Mahu bakal jadi kontroversi.

Qarizh sedikit tergamam tatkala terasa tangan Indira hinggap pada lengannya walaupun berlapikkan baju kemejanya. Tapi dia tetap terasa kehangatan tangan gadis itu. Sekali gus jantungnya berdetak laju. Dah kenapa pula dengan jantungnya ini? Janganlah Indira perasan akan air mukanya yang berubah.

"Qar, aku nak drive kereta kau boleh tak?"

Pertanyaan Indira mengejutkan Qarizh dari lamunannya. Dan ketika itu juga, Indira tidak lagi memegang lengannya. Bolehlah dia menarik dan menghembus nafas dengan sempurna. Hampir sesak nafas dirinya apabila gadis itu memegang lengannya erat.

"Kau nak drive? Kau yakin?"

Indira tersenyum lebar sambil mengangguk-anggukkan kepalanya. Sekarang dah luar di waktu bekerja. Tak salahkan kalau dia nak membodek Qarizh. Dia sudah anggap Qarizh seperti kawan baiknya sendiri. Walaupun dulu dia rasa kekok setiap kali bersama dengan lelaki itu. Sekarang tiada lagi perasaan kekok itu. Malah, dia rasa sangat selesa dan selamat bersama Tengku Qarizh Nadim.

"Boleh. Dengan satu syarat."

Indira menyilangkan tangan ke dada. Anak matanya dipakukan ke arah wajah Qarizh yang turut memandang ke arahnya. Buat seketika mereka saling merenung sebelum Qarizh kembali bersuara.

"Erm, kau bawa jangan macam nak drift dekat Sepang pula. Dan lagi satu, kau yang pilih tempat makan. Aku tak ada idea nak bawa kau makan dekat mana."

Semakin lebar senyuman Indira. Lantas dia mendekati Qarizh lalu menghulurkan telapak tangannya. "Nak kunci kereta."

Entah kenapa, mudah saja bibir Qarizh tersenyum melihat telatah Indira yang seperti keanak-anakkan hari ini. Comel sangat. Kalaulah Indira tahu akan isi hatinya, adakah Indira akan membalas semula? Atau hanya dia saja yang bertepuk sebelah tangan?

NASI goreng kampung yang pedas berasap itu dinikmati dengan penuh selera. Air teh ais kaw-kaw sesekali disedut sambil matanya terpejam. Betul-betul dia menikmati juadah makan malamnya itu. Qarizh yang duduk bertentangan hanya tersenyum melihat gelagat gadis itu. Indira ini memang mempunyai aura tersendiri sehinggakan Qarizh sedikit pun tidak dapat melupakannya. Dan gadis inilah yang selama ini dia cari tanpa rasa jemu.

"Sedap sangat ke, nasi goreng tu sampai macam tu sekali muka kau menikmati?" tegur Qarizh sebelum dia kembali menyuap mi goreng basah ke dalam mulut.

"Pergh! Sedap, weh. Kena dengan tekak aku. Betul-betul pedas dia menaikkan selera aku. Aku dah lama tak pergi kedai makan dekat sini. Selalunya arwah abang long aku yang bawakan. Tak sangka aku masih ingat lagi jalan dia."

Qarizh terdiam seketika tatkala Indira menyebut tentang arwah Ilman. Patutkah dia bertanya tentang itu? Ataupun nanti-nanti saja. Takut-takut akan memudarkan keterujaan Indira ketika ini.

"Baguslah macam tu. Aku pun selera tengok kau makan. Kalau tak cukup, kau boleh bungkus."

"Terima kasih, Qar. Kau tahu tak? Kaulah kawan aku yang paling rapat selain jadi majikan aku. Aku mana ada kawan lain. Selama ini, hidup aku ada angah dengan Lana saja. Entahlah, aku rasa diri aku ni kut yang introvert sangat sampaikan tak ada kawan langsung."

Qarizh tersenyum. Terharu hatinya mendengar omongan yang keluar dari mulut Indira sebentar tadi. Walaupun baru digelar sebagai kawan rapat pun cukup membuatkan hatinya berbunga-bunga. Berbaloi dengan penantian dan pencariannya selama ini. Dia tidak sangka, semudah ini dia boleh rapat dengan Indira. Dia sendiri pun tak ada kawan yang rapat selain anak-anak buahnya itu.

"Aku pun sama, Dira. Bukan kau saja. Aku dulukan kena buli. Siapa aje nak kawan dengan aku?"

Dahi Indira berkerut seribu. "Kau tak ada kawan. Habis tu? Yang duduk dekat rumah kau tu siapa?"

Qarizh terkaku seketika. Aduh... macam manalah dia boleh tentang hal itu. Apa dia nak bagi jawapan sekarang ni? Sah-sahlah Indira pandang pelik dekat dia. Tak akan nak cakap yang dia orang tu anak buah dia. Nanti dia fikir anak buah tu, anak saudara dia pula. Aduhai....

"Tak. Maksud aku. Kawan... kawan perempuan. Aku tak pernah ada kawan perempuan serapat kau macam ni. Itu maksud aku. Yang dekat rumah tu memang kawan-kawan aku."

Indira ketawa lalu menganggukkan kepalanya. "Oh, cakaplah dengan jelas lain kali. Ingatkan apalah. Pelik aku bila kau kata, kau tak ada kawan."

Qarizh hanya tayang sengih. Fuh... selamat satu perkara.

"Aku nak minta maaf kalau sepanjang perkenalan kita, aku ada buat silap dekat kau. Sakitkan hati kau. Disebabkan kau juga, aku jadi rapat dengan Qasrina walaupun sekarang ni aku macam dipinggirkan. Tapi aku faham."

"Aku pun sama, Dira. Aku nak minta maaf. Terima kasih sebab sudi tolong aku selama ni. Turutkan permintaan aku yang kadang-kadang aku rasa macam tak masuk akal. Betul juga apa yang Qas cakap. Aku ni selfish. Tak fikir tentang hati dia. Aku terlalu ikutkan sangat trauma aku."

Sudu dan garpu diletakkan di atas pinggan. Licin nasi goreng kampung dikerjakan olehnya. Dia menyedut air teh ais yang masih berbaki sebelum membalas semula percakapan Qarizh.

"Tak apa, Qar. Aku faham apa yang kau buat semua ni, untuk keselamatan Qas. Dunia sekarang dah penuh dengan orang jahat. Qas ada cerita macam mana kau boleh dapat trauma tu. Aku rasa, kau dengan aku tak ada beza. Aku dua kali trauma. Tapi pertama kali aku trauma tak seteruk yang kedua kali. Mak dengan abah aku meninggal dunia masa aku kecil lagi. Mungkin sebab tu aku tak rasa sangat."

Jeda. Tekun Qarizh mendengar kisah cerita gadis pujaannya itu.

"Tapi trauma disebabkan kematian arwah along dan kak long aku yang paling berkesan dalam hidup aku sampaikan aku dihidapi kemurungan selama sembilan bulan. Memang patut pun seminggu sebelum dia nak pergi tu, dia ada banyak bagi aku pesanan. Aku tak banyak tanya pun. Aku titipkan kemas-kemas pesanan dia tu dalam kepala otak aku."

Qarizh hanya membisu. Dia sendiri tak tahu nak memberi respons apa. Sudahnya dia hanya menyandarkan belikatnya sekali gus mencantumkan jari-jemarinya sesama sendiri.

"Aku rindu along dengan kak long aku. Entah kenapa, aku dapat rasakan kemalangan dia orang bukan secara tidak sengaja."

Dup dap, dup dap. Jantung Qarizh sudah berdetak laju. Tertunggu-tunggu ayat yang bakal keluar dari mulut Indira.

"Sebab selepas kematian mereka, aku selalu dapat mimpi tentang kemalangan along dengan kak long. Aku nampak ada sebuah kereta yang ekori mereka dari belakang dan kemudian kereta itulah yang sengaja melanggar mereka. Tapi aku tak yakin. Mimpi sekadar mainan. Ataupun boleh jadi juga realiti?" Soalan yang terakhir itu sepertinya Indira ditujukan kepada Qarizh untuk meminta jawapan dari mulut lelaki itu.

"Aku tak pasti, Dira. Polis cakap apa pasal kemalangan tu?"

"Tayar kereta belakang pancit. Brek gagal berfungsi."

Qarizh terdiam. Adakah mimpi Indira itu satu petunjuk bagaimana Ilman dan Kaisara terlibat dalam kemalangan? Tapi siapa yang ekori mereka?

"Tak apalah, Qar. Kau jangan pening kepala fikirkan semua ni. Aku pun dah boleh terima dan kawal diri aku sendiri. Aku tak nak rosakkan mood kita sekarang ni. Perut pun dah kenyang. Kau cakap nak jalan-jalan ambil angin, kan? Jomlah, kita pergi taman sana tu," ajak Indira dengan senyuman kembali terbit pada bibirnya. Sedaya-upaya dia mengusir jauh bayangan mimpinya yang dulu itu.

"Okey, aku pergi bayar dulu jap."

Indira sekadar menganggukkan kepalanya sambil menanti Qarizh di pintu utama restoran itu.

KEDENGARAN bunyi burung-burung berkicauan memeriahkan suasana taman itu. Jam yang terlilit pada pergelangan tangannya dikerling sekali. Sudah menunjukkan pukul 6:30 petang. Lagi setengah jam nak masuk waktu maghrib.

"Tenangnya bila jalan-jalan sekeliling taman ni kan, Qar?" soal Indira kepada Qarizh yang berjalan di sampingnya sambil bersilang tangan ke dada.

"Bertambah tenang lagi hati aku bila kau ada selalu dekat dengan aku, Dira."

Kakinya terus berhenti daripada melangkah. Dahinya berkerut seribu mendengar ayat balasan Qarizh. Apa maksud kata-kata lelaki itu?

"Apa maksud kau?"

Qarizh senyum kecil sebaik saja dia memusingkan tubuhnya menghadap Indira. Kelihatan bergaris-garis dahi gadis itu. Terkejut sangat nampaknya mendengar ayat yang diomongkannya sebentar tadi.

"Aku dah lama pendam perasaan aku ni, Dira. 10 tahun yang lalu, kau penyebab aku berubah. Aku pegang ayat yang kau sampaikan dekat aku sampai sekarang. Dari situ, aku tekad nak cari kau dan aku tak sangka akhirnya aku dapat jumpa kau lagi."

Sepi.

"Aku sukakan kau, Dira. Aku dah berjanji, kalau aku dah jumpa kau. Aku akan luahkan perasaan aku ni dekat kau. Tapi kau jangan risau. Aku tak akan paksa kau untuk berikan jawapan tu sekarang. Cukuplah kau sudi berkawan dengan aku. Tu pun dah buat aku rasa gembira."

Kaki Indira bagaikan tidak lagi berpijak di atas tanah. Lututnya kendur. Jantungnya berdegup laju. Telinga dia tak salah dengar, kan? Lelaki itu meluahkan perasaan kepadanya.

"Mak... maksud kau, kau suka dekat aku sebagai kawan atau lebih?"

"Lebih." Ringkas tetapi padat.

Indira terdiam. Pandangannya dibuang dari terus memandang wajah lelaki itu. Janganlah dia nak blushing dekat sini. Sungguh itu bukan dia, kalau betul pipi dia tengah merah bak buah delima sekarang ni.

"Kau okey, Dira? Kau tak selesa ke?"

"Err... tak. Aku...." Aduh! Masa macam inilah dia nak tergagap-gagap. Janganlah tunjuk sangat perasaan gubra tu.

"Aku okey je. Cuma kau tahukan aku ni jenis macam mana. Belum pernah ada lelaki yang luahkan perasaan dia dekat aku macam tu. Jadi, aku terkejutlah juga. Aku tak sangka kau ada simpan perasaan dekat aku." Indira tayang sengih kekok. Nak pandang mata mamat tu pun, jantung dia macam nak melantun keluar.

"Tak apa. Aku faham. Aku tak mintak kau balas pun. Cukuplah aku dapat luahkan perasaan aku. Kalau kau dah ada jawapan dan kau dah bersedia. Kau boleh cakap dengan aku bila-bila aje nanti."

Indira angguk sekali. "Terima kasih sebab memahami aku. Aku tak janji nak bagi jawapan tu dalam masa terdekat. Bagi aku masa yang panjang sikit sebab ini kali pertama aku kena lamar."

Qarizh tahan tawa. Lamar?

"Eh, tak. Maksud aku..." Indira menggaru kepalanya. Dia dah tersalah cakap ke tadi? Kenapa Qarizh macam tahan ketawa?

"Tu bukan lamar, Dira. Tu luahkan perasaan. Lebih kepada confess. Kalau lamar tu, aku dah siap bagi cincin dekat kau. Ke kau nak aku buat macam tu?" Tak pernah-pernah Qarizh mengusik orang. Inilah kali pertama. Suka pula dia melihat wajah malu milik Indira itu.

"Ish. Bukanlah. Aku salah cakap. Aku ingatkan lamar dengan confess tu sama. Apa-apa sajalah. Kau jangan nak sakat aku."

"Haha!" Dek tidak dapat menahan tawanya, akhirnya terlepas jua. Tak dapat dia tahan lagi melihat wajah merah Indira sekali gus gadis itu sepertinya tidak senang duduk. Dah macam cacing kepanasan.

"Ish! Ambil ni!" Indira mencubit perut Qarizh sehingga lelaki itu berkerut-kerut menahan kesakitan. Tidak pula lelaki itu menepis tangannya.

"Aduhhh! Asal kau cubit perut aku. Sakitlah!"

"Blekk!" Indira berlari meninggalkan Qarizh di belakang.

"Weh, Indira! Tunggulah aku!" Qarizh menggelengkan kepala sekali gus tertawa kecil. Nak main kejar-kejar pula Si Indira ni dekat taman waktu petang macam ni. Bukannya selalu, kan?

Di sebalik kegembiraan mereka, ada sepasang mata yang sedang memerhatikan mereka sejak tadi dengan hati yang meluap-luap penuh kemarahan. Kedua-dua belah tangannya dikepal sehingga kelihatan urat hijau menimbul. Sesekali kedengaran dia melepaskan dengusan kasar.

"Jangan haraplah aku akan biarkan kau dapat perempuan tu. Perempuan tu aku yang punya. Jantan tak guna. Kau tunggu nasib kau nanti. Kita tengok siapa yang kalah dan siapa yang menang." 


Previous: BEM 15
Next: BEM 17

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh nurshaza