DARI tadi telinganya didendangkan dengan pelbagai bunyi tumbukan dan tendangan dari dalam bilik yang terletak di antara dapur dan juga ruang tamu. Dia hanya duduk seperti tunggul seorang diri di atas sofa sambil memakukan pandangannya pada pintu bilik khas itu. Dulu, pernah sekali dia menjejakkan kaki ke bilik itu tetapi kantoi pula dengan si abang. Sampai sekarang dia tidak jejak lagi bilik itu. Bilik itu memang mengundang aura seram dan ngeri bagi sesiapa yang berani melangkah masuk ke situ.
"Haih... bosannyalah. Apa bendalah yang abang aku buat dengan Si Adiyan tu? Teruk juga bunyi aku dengar dari dalam bilik tu. Teringin juga nak tengok."
Qasrina melepaskan keluhan panjang sambil melepaskan ikatan rambut sehingga rambutnya yang panjang terurai melepasi pinggang. Wajahnya diraup sekali. Luka pada lengannya tadi sudah siap berbalut dengan kemas.
"Buat apa?" soal Hilmi yang baru saja melangkah masuk ke dalam rumah sambil menyelitkan Glock 19 ke belakang kocek seluarnya.
"Menunggu dan terus menunggu. Penat!" jawab Qasrina sambil mendepakan kedua-dua belah tangannya atas bibir sofa. Kepala didongakkan merenung siling.
"Bos dekat dalam lagi?"
Qasrina angguk. "Abang Hilmi tak payahlah masuk sana. Dah ramai tadi dengan abang Qas tu. Apa kata teman Qas dekat sini." Bibirnya dicebikkan. Dia betul-betul kebosanan. Hendak memejamkan mata langsung tak boleh. Mungkin matanya sudah terbantut mahu tidur dek dirinya diculik oleh Si Adiyan yang merupakan bekas anak buah abangnya itu.
"Kenapa tak tidur?"
"Tak boleh tidur. Macam mana nak tidur kalau bunyi bising macam tu?"
Hilmi mengerling ke arah pintu bilik itu sebelum menganggukkan kepalanya sekali. Nak tak nak, dia akur dengan permintaan Qasrina. Kasihan juga sekiranya ditinggalkan gadis ini sendirian tanpa teman. Selagi Qarizh tidak menyeru dirinya, bolehlah dia menemani Qasrina buat sementara.
"Tak mengantuk?"
Qasrina menggelengkan kepala. Dia pandang saja Hilmi yang sedang melabuhkan punggung betul-betul di sebelahnya. Bercantum kening dibuatnya. Dah macam tak ada sofa yang kosong nak diduduknya. Nak juga duduk dekat dengannya.
"Abang mengantuk sebenarnya tapi tulah..." Hilmi merenggangkan otot-ototnya yang terasa kejang. Sudah lama dia tidak merasai nikmat tidur seperti orang lain.
"Tidur jelah. Nanti Qas kejut." Senyum Qasrina.
"Eh, mana boleh. Nanti mengamuk abang Qas. Mati abang dikerjakannya."
Tergeleng-geleng kepala Hilmi membayangkan Qarizh mengerjakan dirinya sehingga patah riuk segala tulang-temulangnya. Hanya gara-gara dia tertidur saja. Ketuanya itu bukan boleh dibuat main. Tersilap langkah ibarat dibaham dengan buaya.
"Erm..."
Qasrina tidak menjawab sebaliknya selamba saja dia melentukkan kepalanya pada bahu Hilmi membuatkan lelaki itu sedikit terkejut. Rambut lebat milik gadis itu memenuhi ruangan kornea matanya.
"Qas..." Tertelan air liurnya tatkala terasa tubuh Qasrina terlalu dekat dengannya. Ini kalau Si Qarizh tu nampak. Mahu dia kena lambung dari rumah ini terus sampai ke negara lain.
"Qas, mengantuk...," jawab Qasrina lalu dia menguap kecil. Tak cukup dengan melentukkan kepalanya, dia memeluk pinggang Hilmi ibarat memeluk bantal guling kesayangan yang berada di rumahnya.
"Aduh..." Hilmi mengurut pelipisnya. Habislah Qarizh nampak ni. Mati dia. Mati!
TUBUHNYA disandarkan pada dinding dengan tangannya disilangkan ke dada. Anak mata coklatnya merenung tajam ke arah Adiyan yang sedang duduk di atas kerusi dalam keadaan berikat. Peluh bercampur darah berjuraian pada wajah Adiyan sama sekali dia tidak peduli. Hatinya terlalu sakit. Sakit dikhianati oleh orang yang selama ini dia percayai.
"Kau nak cakap apa lagi?"
"Aku minta maaf, Qar. Aku tahu aku salah. Aku..."
Bum! Qarizh yang tadinya cuba untuk menenangkan dirinya lantas menyepak kerusi kayu yang berdekatan dengannya sehingga berlanggar dengan dinding sebelum jatuh menyembah bumi.
"Aku tak nak dengar semua tulah! Kau dah sentuh adik akulah, sial!" amuk Qarizh lalu merentap rambut Adiyan sehingga kepala lelaki itu terdongak kasar. Dia menatap tajam anak mata Adiyan yang sepertinya meminta simpati padanya.
"Aku tak akan makan dengan muka simpati kau tu. Kau dah sentuh adik aku bermakna riwayat hidup kau dah tak lama. Kau lupa agaknya apa yang jadi dekat mangsa-mangsa yang pernah berani sentuh adik aku." Qarizh tersenyum penuh sinis. Sekali pandang memang sebiji senyumannya seperti seorang psiko.
"Aku akan ikut saja apa yang kau suruh, Qar. Jangan bunuh aku. Aku merayu."
Qarizh menggeleng-gelengkan kepala tanda dia tidak langsung termakan dengan kata-kata simpati Adiyan. Dia memalingkan tubuhnya ke belakang dengan tangan kanannya dicekakkan ke pinggang manakala tangan sebelah meraup rambutnya ke belakang. Bengang.
Airiel yang turut ada di dalam bilik itu hanya mendiamkan diri. Sama sekali dia tidak masuk campur. Dia faham perasaan Qarizh. Perasaan di mana seseorang yang pernah dipercayainya selama ini mengkhianatinya tanpa sebab yang kukuh.
"Aku bukan lagi Qarizh yang kau kenal, Yan." Sepucuk pistol Glock 18 dikeluarkan dari belakang poket seluarnya lalu dihalakan ke arah Adiyan membuatkan lelaki itu kecut perut melihatnya.
Bang!
Mata Adiyan terpejam rapat tatkala Qarizh melepaskan tembakannya. Akan tetapi, tembakan tadi tidak menembusi mana-mana anggota badannya. Perlahan-lahan dia membuka matanya lantas pandangannya terpaku pada Qarizh yang sedang meniup asap pada muncung pistolnya.
"Aku tak akan akhirkan riwayat kau malam ni. Sebab apa? Aku dapat rasakan yang akan ada musuh-musuh lain datang untuk serang kumpulan aku. Bukan aku tak tahu betapa liciknya kau ni, kan?" Bibir Qarizh tersungging sebuah senyuman sinis. Pistolnya tadi disimpan semula ke belakang poketnya sebelum keluar dari bilik.
"Qar, aku tak buat semua tu! Aku tak ada bersubahat dengan mana-mana kumpulan lain, weh!" jerit Adiyan cuba untuk memberitahu kebenaran yang sebenar pada Qarizh namun si ketua mafia itu langsung tidak mempedulikan dirinya.
"Qasri..." Terbantut seruan Qarizh tatkala melihat Qasrina yang sedang lena dibuai mimpi sambil berpelukan dengan Hilmi di atas sofa manakala lelaki itu pula sepertinya sedang tidur-tidur ayam sambil tangan kanannya melekap pada kepala si adik.
"Apa kena dengan dua ekor ni? Depan-depan aku dia orang buat aksi macam ni. Memang minta maut dengan aku ke apa?" bisik Qarizh pada dirinya sendiri lalu melangkah menghampiri dua susuk tubuh itu.
"Hoi!" jerkah Qarizh dengan suara lantangnya membuatkan Hilmi terus berdiri tegak manakala Qasrina jatuh terbaring di atas sofa. Terpisat-pisat dia membuka mata.
"So... sorry, bos." Hilmi menundukkan sedikit tubuhnya. Kecut perutnya mendengar jerkahan Qarizh.
"Sorry kepala hotak kau berjambul!" marah Qarizh.
"Apa abang ni, kacau jelah orang nak tidur. Mengantuk tahu tak? Wuarghh..." Qasrina menguap sambil menepuk-nepuk mulutnya. Dia betul-betul mengantuk saat ini. Langsung tidak peduli dengan wajah menyinga Qarizh.
"Amboi, sedap kau peluk Si Hilmi ni. Ingat dia suami kau? Bukan main kau, ya." Qarizh menyilangkan tangannya ke dada. Kepalanya digeleng sekali. Makin besar makin menjadi-jadi perangai adiknya ini. Mentang-mentang dah biasa berkawan dengan anak-anak buahnya sejak dulu. Segala batas haram halal tidak dipedulinya lagi.
"Sorry, adik tak sedar. Mengantuk sangat." Qasrina menggaru-garu kepalanya yang tiba-tiba terasa gatal dengan wajahnya kemutnya.
"Pergi masuk bilik aku. Esok pagi ada benda aku nak bincang dengan kau. Aku tak boleh biarkan kau bebas macam ni dah. Aku nak upah penjaga yang boleh jadi kawan kau. Dan semestinya penjaga kau tu seorang perempuan. Kau tak boleh nak bantah. Keputusan aku muktamad," ujar Qarizh dengan nada tegas sebelum meninggalkan Hilmi dan Qasrina di ruang tamu. Dia meloloskan dirinya ke dalam perut kereta.
"Indira Callista." Sebaris nama penuh itu meniti pada dua ulas bibirnya dengan senyuman kecil.
SEKEJAP mengiring ke kanan. Sekejap mengiring ke kiri. Kemudian, ditolak tubuhnya baring secara menegak pula. Siling yang dicat berwarna biru pastel itu direnungnya lama. Alana yang sedang tidur, dikerling sekali sebelum merenung semula siling biliknya itu. Jam sudah menunjukkan pukul enam pagi. Dia menghabiskan masa dengan mengiring ke kanan dan ke kiri sejak tiga jam yang lalu. Matanya langsung tidak mahu dipejamkan. Tak pernah-pernah dia alami seperti ini. Tak akanlah dia terkena penyakit insomnia pula. Hairan...
"Siapalah tiga orang lelaki yang serang aku dengan Lana hari tu? Kejadian itu berlaku pertama kali sepanjang 25 tahun aku hidup. Musuh? Tak mungkin..." Indira bermonolog dengan dirinya sendiri.
Sudah tiga hari berlalu tetapi kejadian itu masih segar di dalam ingatan seorang Indira Callista. Waktu tidurnya pun sudah semakin singkat. Seolah-olah nikmat tidurnya ditarik oleh Tuhan. Selama ini, tidurnya sering lena sehingga terlajak ke waktu tengah hari. Matanya seakan-akan sentiasa bertenaga walaupun seharian tidak cukup tidur.
"Mama...," panggil Dara Alana dengan nada suaranya yang masih serak. Mata pun masih lagi terpejam.
"Ya, sayang...," sahut Indira sambil memusingkan tubuhnya menghadap si anak saudara kesayangan. Rambut Alana diusapnya lembut sebelum mengucup dahi si kecil itu.
"School?"
Indira menganggukkan kepalanya. Selimut yang membaluti tubuh Alana ditolaknya ke tepi. Lantas Alana menegakkan tubuhnya lalu menggeliat panjang sehingga terkemut-kemut wajahnya.
"Mimpi indah ke, sayang mama ni?"
Alana sekadar tersengih lalu menganggukkan kepalanya. Dia bermimpi bertemu dengan arwah daddy dan mummynya sehinggakan dia tidak mahu bangun sama sekali.
"Let's go take a shower, okay? Nanti lambat nak pergi sekolah."
Indira bangun kemudian dia membuat senaman ringan sebelum mencapai sehelai tuala yang tergantung pada penyidai. Alana berdiri di atas katil sambil melompat-lompat kecil. Indira menggelengkan kepalanya sambil mendukung tubuh Alana lalu melangkah masuk ke dalam kamar mandi.
Izz Benazir sedang leka menikmati sandwic telur buatannya sendiri. Dalam rumah ini, dialah orang pertama yang bangun untuk menyediakan sarapan. Jarang dia hendak melihat Indira bangun terlebih dahulu daripada dirinya. Dia pun sudah terbiasa dari kecil, bangun pagi dan menyediakan sarapan untuk arwah abangnya dan juga Indira.
"Good morning, ayah ngah!" sapa Alana yang sudah siap berpakaian seragam sekolah sambil menggalas beg sekolah barunya itu. Kerusi yang terletak bersebelahan dengan Izz dipanjat dengan penuh berhati-hati.
"Good morning, princess ayah ngah. How's your sleep last night?"
"Much better! I had a beautiful dream last night, ayah ngah."
Izz tersenyum. Kepala anak saudaranya itu diusap mesra. "What is it? Mind to share with me?"
"Lana jumpa daddy dengan mummy. Dia orang bawa Lana pergi satu taman bunga. Lepas tu suasana taman tu semuanya warna putih. Cantik sangat!" Petah Dara Alana mengongsikan apa yang dimimpinya malam tadi dengan bibirnya yang mekar dengan senyuman lebar.
Izz hanya tersenyum sambil menganggukkan kepalanya. Bukan baru hari ini dia dengar Alana bermimpi seperti itu. Sudah kerap kali. Dia tahu yang Alana sangat merindui kedua-dua orang tuanya itu. Apa boleh buat? Sudah tertulis takdirnya hidup di muka bumi ini sebagai seorang anak yatim piatu yang disayangi oleh pak cik dan mak cik kesayangannya.
"Hmph! Sedapnya sandwic telur yang angah buat ni. Thanks, angah. I love you!" ucap Indira sengaja menukar topik. Hatinya dipagut sayu mendengar mimpi Alana. Dia juga terlalu merindui arwah along dan kakak iparnya itu.
"I love you more, adik." Senyum Izz.
"Angah kerja hari ni?"
Izz menggelengkan kepalanya. "Angah tak pergi site hari ini. Masuk pejabat sekejap untuk bagi fail yang angah dah siapkan. Lepas tu, angah free."
"That's a good news! Bolehlah kita..."
"Oh, tadi Qarizh ada chat angah." Laju saja Izz mencantas percakapan adiknya itu tatkala teringat pesanan ringkas yang dihantar oleh Qarizh melalui aplikasi WhatsApp.
Indira mencebikkan bibirnya. Tak habis-habis dengan lelaki bernama Qarizh itu. Ingatkan dah pencen jadi hero dia, rupanya belum lagi. Dia sama sekali tidak perlukan hero. Dia boleh pertahankan dirinya sendiri tanpa bantuan orang lain. Nampak sangat ke, dia seorang yang pentingkan diri sendiri?
"Hah, kenapa dengan mamat tu?"
"Dia ada nama. Apa mamat-mamat? Tak baik," tegur Izz membuatkan cebikan Indira semakin lebar.
"Yelah. Qarizh tu nak apa?"
"Dia nak ajak adik berjumpa. Katanya ada benda yang nak dibincangkan. Angah ada bagi contact number adik dekat dia, suruh beritahu adik. Tapi, dia cakap dia nak minta izin dekat angah dulu. Inilah ciri-ciri seorang lelaki yang gentleman." Izz tersenyum seraya mengangkat ibu jarinya. Bukan main dia memuji Si Qarizh itu.
"Gentleman la sangat. Menyampah. Benda apa yang nak dibincangkan? Bunyi macam penting sangat." Indira menggolengkan matanya. Meluat dia mendengar si angah memuji lelaki itu melambung-lambung.
"Mungkin penting. Antara hidup dan mati," ucap Izz dengan penuh berdramatik sambil telapak tangan kirinya dilekapkan pada dada manakala sebelah lagi tangannya diangkat ke udara. Izz Benazir memang seorang yang kuat dramatik!
Indira menggelengkan kepalanya. Nak tak nak, dia kenalah jumpa Qarizh itu. Kalau tidak, mahu dia kena jawab seribu satu soalan yang diajukan oleh Izz. Macam dia tak kenal angah dia yang satu itu. Kalau sekali abangnya itu sudah berkenan dengan seseorang, pasti diheretnya dia untuk sama-sama menyukai orang itu. Kalau dibantah, macam-macam soalan yang ditanya sampaikan Indira hilang jawapan untuk menjawab.
"Yelah. Pukul berapa dia nak jumpa?" soal Indira dengan nada malas.
Alana hanya memasang telinga tetapi satu apa pun dia langsung tidak faham. Dia lebih menikmati sandwic telur buatan Izz bersama hirupan air milo panas.
"Katanya dalam pukul sembilan nanti. Lana biar angah yang hantar dan ambil dia dekat tadika. Cik Indira Callista habiskan masa anda dengan Encik Qarizh, ya? Bukan selalu adik angah ni nak keluar dengan lelaki." Izz Benazir mengangkat-angkat kening kanannya sambil tersenyum lebar.
Indira menggelengkan kepala. Malas mahu melayan perangai si angah. Kalau makin dilayan, makin menjadi-jadi perangai angahnya itu. Baik dia akur saja dan berdiam diri. Pandai-pandailah dirinya nanti ketika berhadapan dengan Qarizh.