Home Novel Thriller/Aksi Bidadari Encik Mafia (Completed)
BEM 44

SEBAIK saja brek tangan ditarik, dia terus menolak tubuhnya keluar dari perut kereta. Langkahnya dibawa lari masuk ke dalam bangunan hospital yang terletak tidak jauh dari parkir kereta. Aditya menggelengkan kepalanya. Puas dia menasihati Haura agar bersabar. Jangan bersikap gopoh-gapah. Kizo sudah melepaskan dengusan kasar. Dimas di sebelah hanya membisu.

"Haura Sahirah!" panggil Kizo dengan suara lantang. Namun panggilannya hanya sia-sia. Haura sudah pun jauh ke hadapan masuk ke dalam hospital.

"Abang! Abang!" Haura menjerit-jerit memanggil nama abang keduanya. Hazim Saif.

Saif yang duduk di ruang menunggu dengan keadaan kepala dan lengannya berbalut, perlahan menolehkan kepala ke arah si empunya suara yang menyeru namanya. Thakif, Adiyan, Irham dan Zane turut memandang ke arah Haura. Cuma kelibat Hilmi saja tidak kelihatan.

"Abang, abang okey tak? Adik risau sangat!" Haura melabuhkan punggungnya sebelum memeluk tubuh Saif dengan erat. Takut sangat apa-apa terjadi pada abang kandungnya itu.

"Haura, terkejut abanglah. Abang okey. Jangan risau. Sikit aje." Saif memujuk. Dia tahu yang Haura berasa susah hati apabila mendapat panggilan daripadanya sebentar tadi. Keadaan yang teruk sekarang ni adalah ketuanya. Tengku Qarizh Nadim.

Qarizh ditahan wad kerana mengalami kecederaan yang agak parah. Terutamanya di bahagian tubuh badan. Penuh dengan luka-luka dalam. Silap mereka kerana lambat hadir melindungi ketuanya. Ini belum Qarizh tahu yang mereka gagal menemui Indira. Sekali lagi, perkara ini berlaku.

"Kak Dira mana?"

Soalan Haura membuatkan Saif terkedu buat seketika. Jawapan apa yang hendak dia berikan kepada Haura.

"Kita orang lambat jejak dia. Abang rasa orang Yazir dapat jumpa dia."

Haura mengerutkan dahinya. "Takkanlah Kak Dira kena culik? Abang biar betul? Kalau Abang Qar tahu mahu mengamuk besar dia."

"Ya, abang tahu tu. Dan sekarang ni, dia dekat dalam wad. Doktor tengah rawat dia. Dia mengalami kecederaan yang agak parah. Masa abang dengan yang lain datang pun, tubuh badan dia dah penuh dengan darah."

Haura terdiam seribu bahasa. Dia mengalihkan pandangannya ke arah Thakif, Zane, Irham dan akhir sekali Adiyan. Hatinya tertanya-tanya di manakah Hilmi?

"Abang, Abang Riel dengan Abang Hilmi mana?"

"Dia orang pergi cari Indira."

Indira menghembuskan nafas lega tanpa sedar. Takut apa-apa akan berlaku pada Hilmi.

"Kalau macam tu Haura pun nak cari Kak Dira lah."

"Kau jangan nak memandai, Haura Sahirah. Aku tak izinkan. Kau duduk dengan aku dan juga Saif. Aku takkan benarkan kau ke mana-mana. Ingat sikit, kau tu perempuan."

Suara garang Kizo membuatkan niat Haura terbantut. Tercebik bibirnya. Kenapanya kalau dia perempuan? Tak bolehkah dia membantu mereka dalam keadaan susah macam ni? Apa, ingat semua perempuan lemah ke?

"Abang ni, adik nak..."

"Aku kata tak boleh tu. Tak bolehlah. Kenapa kau tak faham bahasa?" tengking Kizo kepada Haura.

"Bang, janganlah tengking adik macam tu." Saif menarik Haura masuk ke dalam pelukannya.

Haura hanya mendiamkan diri. Tak fasal-fasal dia ditengking oleh abang sulungnya. Degil sangat. Tapi niatnya baik. Mahu menolong. Tak salah rasanya.

"Kau jaga adik kau. Pecah kepala otak aku kalau sorang-sorang hilang. Izz dah dalam perjalanan ke sini lepas aku bagi tahu yang Indira dah hilang. Buat sekali lagi. Aku rasa lepas ni. Kita semua hadaplah baran Izz tu. Termasuk Qarizh sekali."

Saif hanya diam. Begitu juga dengan yang lain. Kejadian hari ini, memang mereka tak jangka akan berlaku seteruk ini. Yazir memang semakin melampau. Saja menggunakan kekerasan. Dia memang betul-betul tekad mahukan Indira. Sanggup buat apa saja sampaikan hampir membunuh orang.

"Haura, teman aku. Kita pergi kafe," ajak Aditya. Kasihan pula dia melihat Haura ditengking oleh Si Kizo. Dia pun sudah masak dengan perangai Kizo tu. Memang suka-suka saja menengking orang tanpa pandang kiri dan kanan. Kalau dah tengah marah, macam tulah perangainya.

"Okey..." Haura mengikut tanpa membantah. Pelukan Saif dileraikan perlahan. Dia mengikut langkah Aditya yang sudah ke depan.

TERLALU berat dia hendak mengangkat kelopak matanya. Bagaikan ada runtuhan batu-bata yang menghempap kepalanya ketika ini. Berkerut-kerut dahinya. Memaksa diri untuk mencelikkan mata. Bau-bau ubat mula menusuk ke rongga hidungnya.

"Doktor, pesakit ni dah sedar."

Sayup saja suara seseorang itu melolos masuk ke pendengaran telinga Indira. Dia sudah berjaya mencelikkan matanya. Cumanya pandangannya masih kabur. Pejam celik, pejam celik beberapa kali. Barulah penglihatannya sedikit jelas. Tangannya naik menyentuh kepala yang berbalut.

"Puan, jangan banyak bergerak. Puan ada sakit dekat mana-mana?"

"Kepala saya saja yang berat. Saya dekat mana, ya?"

"Puan dekat hospital. Puan terlibat dalam kemalangan."

Indira kembali berkerut. Kemalangan? Bila? Di mana? Sekarang ni, Qarizh dekat mana? Dia mahukan Qarizh.

"Sa... saya nakkan suami saya. Mana dia?"

"Suami puan? Saya tak pasti dia dekat mana. Yang hantar puan tadi ke sini, seorang lelaki tua dalam lingkungan 50an."

Makin bingung Indira dibuatnya. Lelaki tua dalam lingkungan 50an? Siapa pula yang hantar dia ke sini?

"Saya... kena balik. Nanti suami saya cari saya. Mesti dia tengah risaukan saya sekarang ni. Doktor kena tolong saya."

"Tapi, puan. Keadaan belum pulih sepenuhnya. Luka pada tubuh puan masih belum kering. Puan kena berehat dulu. Nanti baru puan balik, ya."

Keluhan panjang dilepaskan. Jantungnya ketika ini berdegup kencang. Sungguh dia mahukan Qarizh ketika ini. Dia takut yang Qarizh sedang menunggunya di rumah dalam keadaan risau. Qarizh kalau dah risaukan fasal dia, memang tak boleh dibawa bincang lagi. Pasti Qarizh mengamuk pada semua orang.

"Puan rehat dulu, ya. Nanti luka dah kering. Puan boleh balik," pujuk doktor itu buat sekali lagi.

"Baik, doktor. Terima kasih." Indira pun tidak mampu nak melawan banyak. Seluruh tubuh badannya terasa lemah sekali. Sepertinya tiada kudrat.

"Sama-sama, puan. Saya keluar dulu. Apa-apa puan boleh tekan butang merah ni, ya."

Indira sekadar menganggukkan kepalanya. Tak lama itu, perlahan kelopak matanya terpejam semula. Dia tak mampu nak bertahan lama. Tubuh badannya serasa membisa.

"Sayang janji, sayang akan balik dekat hubby. Bagi sayang tidur kejap, ya."

Dia yang memerhatikan Indira dari tadi, hanya melepaskan keluhan panjang. Serba-salah pula dia kerana telah melanggar Indira secara tidak sengaja. Sungguh dia tak perasan. Salahnya juga kerana terlalu laju memandu kereta. Mujur Indira tidak apa-apa. Kalau terjadi apa-apa pada gadis itu, tak tahulah dia nak berdepan macam mana nanti. Teruk dia dikerjakan.

HAURA menongkat dagunya. Sesekali dia menyedut air latte iced yang dibeli oleh Aditya. Sekarang ini, dia berada di kafe hospital. Otaknya ligat memikirkan keberadaan Indira. Dia sudah berjanji mahu menjaga Indira. Namun, sekarang ini terbukti yang dia gagal melindungi Indira seperti yang Qarizh mahukan. Walaupun lelaki itu tak pernah menyuruh dia untuk melindungi Indira.

"Kenapa termenung jauh ni, hmm? Fikir apa lagi? Penat aku beli air tu bagi kau tenang," tegur Aditya.

"Tak adalah. Fikirkan Kak Dira je. Risau apa-apa jadi dekat dia. Ini kalau Haura dapat Si Yazir ni. Memang kaw-kaw dia kena dengan Haura. Dah tak ada belas kasihan lagi dah. Ini dah melampau tau. Dia nak bunuh semua orang agaknya." Haura meluahkan perasaan geramnya.

"Aku tahu. Aku pun marah jugak. Kali ni, Kizo dah suruh semua berkumpul. Nak berdepan dengan Yazir tu. Tunggu Izz sampai aje. Haih... memang gila Si Yazir ni. Cukup baiklah Qarizh tu tak nak apa-apakan dia. Tapi, dia. Kau tengoklah. Makin naik lemak. Sekarang ni, entah ke mana dia bawa Indira tu." Aditya melepaskan keluhan dengan perasaan sebalnya.

"Haura nak ikut. Please. Haura nak cari kakak juga. Dia kakak Haura. Haura kena selamatkan dia."

"Aku tak sure lah, Haura. Kau dengar tadikan apa yang abang kau cakap. Sampai tinggikan suara."

"Ala, Haura dah biasa. Bukan baru tadi je Haura dengar dia tengking. Dari kecik lagi, Haura dah biasa dengar dia tengking Haura dengan Abang Saif. Dah lali sangat."

Aditya hanya diam. Tak tahu dah nak cakap apa dengan orang degil macam Haura ni. Walaupun dia tahu, niat Haura baik. Terlalu sayang pada Indira sehingga sanggup mahu mencari Indira.

"Kau jangan risau, Haura. Kau ikut saja plan abang kau. Kita orang akan cari Dira sampai dapat. Aku janji. Okey?" Aditya memujuk seraya mengusap-usap lembut bahu Haura. Dia sudah menganggap Haura seperti adiknya sendiri.

"Hurm, yalah..."

Hilmi yang dari tadi berdiri di sebalik dinding berdekatan dengan meja Haura dan Aditya, hanya mengeluh. Dia sendiri pun masih dalam keadaan terkejut. Qarizh cedera parah disebabkan dia. Selamatkan dia daripada terkena mata pisau yang diacukan oleh Zafi, anak buah Yazir. Sepatutnya dia yang selamatkan ketuanya, bukan Qarizh yang selamatkan dia. Sungguh dia berasa kesal kerana lambat bertindak.

"Aku memang tak guna betul." Wajahnya diraup kasar.

"Jangan cakap macam tu, Mi. Kau patut bersyukur yang kau masih selamat. Qarizh nak kau cari Indira," pujuk Adiyan yang terdengar omongan halus Hilmi sebentar tadi.

"Aku yang patut selamatkan dia. Bukan dia selamatkan aku."

Adiyan angguk. "Kau lupa apa yang Qarizh cakap dekat kita? Dia masih anggap kita sahabat. Dan dia sayangkan kita. Kalau dia kena tahan kat dalam wad tu, kaulah kena tolong dia cari Indira. Indira sekarang hilang."

"Ya, aku tahu. Thanks, Yan."

"Kau suka Haura ke, Mi?"

Soalan Adiyan membuatkan Hilmi menoleh ke arahnya secara mengejut. Orang tengah risau fasal keadaan sekarang ni. Dia boleh sempat tanya soalan cepu emas macam tu. Saja aje Adiyan ni.

"Kau dah kenapa tanya aku macam tu?"

"Tak adalah. Aku tengok kau ni macam resah-gelisah aje sejak Haura macam jauhkan diri dari kau. Kau tak try pujuk dia ke? Cara korang pandang, macam syok sesama sendiri. Kalau dah suka, confess jelah. Karang melepas. Kau yang putih mata. Sendiri merana."

Hilmi melabuhkan punggungnya di atas kerusi. Begitu juga dengan Adiyan.

"Aku tak terfikir lagi semua tu. Kalau kau dah kata macam tu, aku nak selindung apa lagi. Aku memang dah start sayangkan Haura. Tapi... aku macam tak sanggup nak khianati sayang dan cinta aku pada arwah Qasrina. Susah sangat untuk aku move on. Qas pergi dalam keadaan terluka. Aku yang buat dia." Kolam air mata Hilmi mulai terasa panas. Setiap kali dia mengenangkan peristiwa itu, pasti hatinya dihambat rasa pilu.

"Qasrina dah tak ada, Mi. Dia dah bahagia dekat sana. Dia sayangkan kau dan semestinya dia nak kau bahagia dekat sini. Mesti dia sedih tengok kau sedih dan tak bahagia macam ni. Kalau kau dah jumpa orang yang kau rasa boleh terima kau, cuba saja. Kita tak tahu hati orang macam mana."

"Nantilah aku fikirkan. Aku tak rasa sekarang masa yang sesuai. Macam yang aku cakap tadi. Susah untuk aku move on. Aku masih terasa dengan apa yang Qasrina cakap dekat aku. Suara dia terngiang-ngiang dalam kepala otak aku."

Adiyan menggelengkan kepalanya. Susah mahu menasihati Hilmi yang boleh dikatakan kepala batu juga. "Suka hati kaulah, Mi. Jangan kau menyesal buat kali kedua sudahlah. Aku nak ke tandas sekejap."

Hilmi hanya diam. Sedikit terusik dengan kata-kata Adiyan. Dia menyesal? Ataupun Haura yang menyesal kerana berkenalan dengan dia? Dia seorang pembelot. Bekas pembelot.

Haura mengetap bibirnya perlahan. Terbantut langkahnya hendak ke tandas dek terdengar perbualan di antara Hilmi dan Adiyan. Entah kenapa dia berasa kecewa mendengar omongan Hilmi itu. Haura akui yang dia memang sukakan Hilmi. Bila datangnya perasaan itu? Jangan ditanya. Dia sendiri tak tahu kenapa, bila dan macam mana dia boleh tersangkut hati pada lelaki bernama Hilmi Nazran itu.

Kalau lelaki itu masih belum boleh move on pada kekasih hatinya yang lama, untuk apa Haura terhegeh-hegeh pada lelaki itu. Lagipun, sudah dia dapat bayangkan sekiranya dia mempunyai hubungan dengan Hilmi. Pasti mengamuk besar abangnya. Awal-awal lagi Kizo sudah memberi amaran keras kepadanya.

"Cinta tak semestinya dimiliki. Lihat orang yang kita suka sedang bahagia. Kita pun akan merasai kebahagiaan itu. Walaupun agak memeritkan," ujar Haura sendiri dengan nada perlahan bersama dengan senyuman tipis.


Previous: BEM 43
Next: BEM 45

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh nurshaza