SEPANJANG perjalanan, masing-masing hanya menyepi. Tiada seorang pun yang berani membuka mulut ketika ini dek wajah Qarizh yang menyinga itu. Alana yang duduk di atas riba Qasrina turut mendiamkan diri. Dahinya sekejap-sekejap berkerut. Hairan melihat mereka yang hanya membisu. Hendak bersuara takut dirinya dimarahinya.
"Qas minta maaf. Ini semua salah, Qas. Qas yang ajak akak keluar. Qas..."
"Diam."
Percakapan Qasrina terbantut tatkala sepatah perkataan keluar dari mulut Qarizh. Indira di sebelah hanya menjeling. Sama sekali tidak puas hati dengan cara Qarizh.
"Patutnya kau bersyukur yang kita orang selamat. Maksud aku, adik kau selamat. Benda dah jadi. Salah kau juga yang suka biarkan adik kau terperap dalam rumah. Overprotective."
Kereta berhenti secara mengejut di bahu jalan. Stereng dihentak sekali sebelum meramas rambutnya kasar. Tubuh dibawa keluar dengan dengusan dilepaskan. Indira mengerling ke belakang. Qasrina hanya mencebik.
"Lana duduk dengan aunty sekejap, ya?"
Alana menganggukkan kepalanya. Qasrina mengusap rambut si kecil itu sambil memerhatikan Indira keluar dari perut kereta untuk berdepan dengan abangnya yang sedang berangin satu badan.
Marah sungguh terhadap dirinya yang tersilap membuat keputusan, mengajak Indira keluar pergi ke pusat membeli-belah. Mungkin ini adalah salah satu sebab kenapa abangnya jarang mahu membawanya keluar dari rumah.
"Kenapa kau nak marah sangat, Qarizh? Benda dah jadi. Aku minta maaf sebab tak beritahu kau. Jangan marah Qas sampai macam tu sekali."
Sepi.
Indira meraup wajahnya kasar. Dia melompat duduk di atas bibir tembok berhadapan dengan Qarizh yang langsung tidak memberikan respons kepadanya.
"Qarizh, tak silap kau nak bersikap protective tapi jangan sampai buat adik kau jadi lemah. Perempuan ni sebenarnya tak lemah, weh. Jangan salah faham dengan istilah perempuan. Adik kau pandai berdikari. Dia teguh berhadapan dengan orang jahat tadi. Sepasang mata aku ni yang menjadi saksi semua aksi dia."
"Kau bukan sesiapa bagi dia. Kau tak tahu apa perasaan aku."
Indira tertawa kecil sehingga kepalanya tergeleng-geleng. "Aku dah anggap dia macam adik aku sendiri sejak hari pertama lagi. Apa-apa semua kami kongsi bersama. Kau sendiri suruh aku jadi penjaga dia."
Qarizh terdiam.
"Kau nak tahu tak? Arwah abang aku selalu pesan dekat aku satu ayat ni. Sampai sekarang aku pegang ayat tu sejak aku kecil lagi."
Qarizh masih lagi statik begitu. Indira mengerling ke arah Qarizh sebelum menyambung percakapannya.
"Dalam dunia ni, tak semua orang sentiasa boleh bantu kita termasuklah ahli keluarga kita. Dalam kubur nanti, kau keseorangan juga. Dekat dunia ni, janganlah tunjuk diri kau tu lemah sangat. Bangkit dan lawan orang yang hentam kau."
Sepantas kilat Qarizh menoleh ke arah Indira yang sedang bermain dengan jari-jemarinya. Ayat itu membuatkan seluruh tubuhnya terkaku. Ayat itu yang membuatkan dirinya bangkit melawan kepada sesiapa yang berani menyentuh dirinya dan juga Qasrina.
"In... Indira..." Tergagap-gagap Qarizh mahu memanggil nama gadis itu. Sungguh dia tidak menyangka. Gadis yang selama ini dia cari sudah ada di hadapan matanya.
"Hmm?" Indira mengangkat wajahnya. Dia ralit bermain dengan jari-jemarinya. Dahinya berkerut melihat wajah Qarizh yang tidak lagi menyinga. Mungkin sudah menjadi mengucing.
"Indira Callista, kau... kau yang aku cari selama ni..." Qarizh mendekati Indira. Matanya tidak lepas memandang wajah Indira. Sungguh dia berasa gembira kerana berjaya menjumpai Indira.
"Kenapa dengan kau ni? Okey tak?" Risau Qarizh.
"Aku budak lelaki yang kau tolong dulu, Dira. 10 tahun yang lalu."
Semakin berlapis-lapis dahi Indira dibuatnya. Apa benda yang Qarizh merepek pun, dia tidak tahu? Dia pernah tolong Qarizh 10 tahun yang lalu?
"Maksud kau? Aku tolong apa?"
"10 tahun yang lepas, masa tu hari sukan. Kau selamatkan aku dari kena buli dengan budak-budak sekolah aku."
Indira terdiam sejenak. Budak lelaki itu? Langsung anak matanya mengimbas Qarizh dari atas sehingga bawah. Satu perubahan yang sangat menakjubkan!
"Seriuslah budak lelaki tu kau? Lain gila, weh." Indira ketawa. Dia tidak sangka sama sekali budak lelaki itu merupakan Qarizh sendiri.
"Aku lain sebab kau. Aku pegang ayat yang kau cakap tadi sampai sekarang."
Indira tersenyum lebar. Tak sangka Qarizh memegang ayat itu sehingga membuat satu perubahan yang mengagumkan dirinya. Ayat pesanan arwah Ilman memang sangat berguna. Bukan untuk diri dia saja. Untuk semua orang.
"Baguslah, Qar. Aku tumpang gembira kalau kau dah berubah. Tak biarkan orang pijak kau lagi."
Qarizh tersenyum lebar. Inilah pertama kali Indira melihat senyuman pada bibir Qarizh yang kelihatan ikhlas itu. Hatinya tercuit melihat senyuman itu. Degupan jantungnya juga berubah rentak.
"Aku nak sangat jumpa kau. Dah lama aku cari kau. Tak sangka budak perempuan yang selama ni aku cari rupanya kau, Dira."
Indira tersenyum. Kepalanya diangguk sekali. "Dunia ni kecil, kan? Memang tak sangka. Aku pun terkejut tengok kau yang sekarang dengan yang dulu."
"Kenapa? Sekarang makin handsome?"
"Pfftt... tak sangka kau ni kuat perasan juga, ya?"
Qarizh ketawa. Senang hatinya ketika ini. Perasaan marahnya tadi bagaikan ditepis oleh angin kencang. Sekelip mata saja hilang.
"So, pasal tadi. Kau jangan marah lagilah. Kesian adik kau tu. Dia nak luangkan masa dengan aku aje."
"Kau tahukan. Aku cuma risau. Bukan dekat dia aje. Korang berdua. Dua-dua tanggungjawab aku. Kalau korang berdua diapa-apakan, sumpah aku tak boleh nak maafkan diri aku sendiri."
Indira hanya menganggukkan kepalanya. Faham apa yang dikatakan oleh Qarizh.
"Aku nak kau sentiasa hati-hati, Dira. Aku sendiri tak tahu kenapa semakin lama semakin ramai orang yang nak serang kita. Aku tak pasti apa yang dia orang nakkan sebenarnya."
"Aku sendiri pun buntu. Angah pun tak tahu. Aku risaukan keselamatan Lana. Aku takut dia orang tahu mana sekolah Lana dan kemudian apa-apakan Lana tanpa sempat aku selamatkan anak saudara aku tu. Dia pengarang jantung aku. Kau tahu, kan?"
Qarizh angguk sekali. Tiba-tiba saja semangatnya berkobar-kobar mahu mencari siapa dalang di sebalik semua serangan ini. Pasti ada di antara musuh-musuhnya yang tidak puas hati dengan dirinya sehingga membabitkan Indira dan Alana di dalam hal ini.
"Tak apalah. Kau jangan risau. Selagi aku ada, aku akan pastikan korang selamat. Itu janji aku. Aku memang dah pasang niat aku sejak dulu lagi selepas kau tolong aku."
Indira angguk. "Hah, ni lagi satu. Qas asyik mengadu dekat aku yang dia nak kerja dekat Mestika Royals Holdings. Kau ni pun satu. Tu kan syarikat keluarga kau, apa salahnya Qas nak kerja dekat situ? Dia dah 23 tahun kut. Ada diploma semua. Kenapa kau kurung dia dalam rumah tu?"
Mendengarkan bebelan Indira membuatkan Qarizh terusik. Perlahan bibirnya mengukirkan senyuman. "Yalah. Kau ni kalau tak membebel tak sahkan?"
Indira menggolengkan matanya. Tubuhnya dibangunkan dari duduk. Entah macam mana dia boleh tersilap langkah. Kakinya tersadung dengan kakinya sendiri tatkala dia ingin mengorak langkah.
"Dira!" Laju saja Qarizh memaut pinggang Indira dari jatuh menyembam tanah.
"Aduh... kaki aku..." Indira memegangnya kakinya yang serasa terkehel. Uratnya bagaikan tersimpul sesama sendiri.
"Kau okey tak?"
"Aku okey. Lepaskan aku."
"Kau yakin? Kaki kau terkehel, kan?" Bersungguh Qarizh tidak mahu melepaskan pautannya pada pinggang Indira. Pandai betul dia mengambil kesempatan dalam kesempitan.
"Aku boleh jalan sendirilah." Indira tetap membantah. Bukan pertama kali, kakinya terkehel. Jadi dia sudah biasa menahan sakit pada kakinya. Sapu minyak nanti eloklah tak lama lagi.
Qarizh diam. Perlahan dia melepaskan pautan pada pinggang Indira. Lantas Indira menjauhkan dirinya daripada lelaki itu. Entah kenapa dia berasa gugup tatkala Qarizh menyentuh pinggangnya. Bukan kali pertama perkara ini terjadi, sudah masuk kali kedua. Kali pertama sewaktu mereka pergi ke air terjun.
Terhincut-hincut Indira membawa diri ke kereta Qarizh.
"Lambat." Tidak betah melihat Indira berjalan seperti itu. Lantas dia mencempung tubuh itu lalu berjalan semula ke keretanya.
"Weh, apa ni!" Indira menjerit. Gayanya seperti diculik oleh penculik.
"Diam. Kalau tak, bibir kau menjadi mangsa aku," ugut Qarizh dengan nada suara separa berbisik.
Weh, Qarizh ni kena sampuk dengan syaitan mana? Asal tiba-tiba dia berubah jadi macam ni? Seram aku sampai tegak segala bulu roma aku! Hesy! Getus Indira di dalam hati.
Tidak mahu mulutnya menjadi mangsa. Dia mengambil keputusan secara terpaksa untuk mendiamkan diri. Walhal, hatinya memberontak mahu turun. Fikir dia bidadari kayangan ke, nak kena dukung segala? Dia bukannya cedera parah pun. Setakat terkehel kaki saja.
DARI tadi bibirnya melengkung senyum. Langsung tidak lekang senyuman itu dari bibirnya. Babak tadi dimain semula bagaikan rakaman. Tidak sangka penantiannya selama 10 tahun sudah berakhir. Gadis yang dicari akhirnya muncul di hadapan mata. Masih single. Bolehlah dia bernafas dengan lega selepas ini. Tidak perlu lagi resah gelisah. Cumanya sekarang, dia mahu menawan hati gadis itu menjadi miliknya.
"Amboi... dari balik tadi abang duk senyum macam tu. Bahagia betul bila dah jumpa orang yang selama ni abang cari. Mujur akak tu single. Kalau dia dah kahwin, mahu kecewa seribu abang," ejek Qasrina yang baru saja melabuhkan punggungnya di atas sofa di dalam bilik Qarizh. Selamba saja dia masuk tanpa keizinan abangnya itu.
"Kau ni, dik. Memang suka aku ni kena heart attack, kan? Tak reti nak bagi salam ke? Tak ketuk pintu?" Qarizh memalingkan tubuhnya. Badan disandarkan pada pagar balkoni biliknya itu. Tangan naik bersilang ke dada.
Qasrina mencebikkan bibirnya. "Bukannya abang dengar pun kalau duk angau macam tu. Baik rempuh saja. Kira baiklah, bukannya sergah."
Qarizh menggelengkan kepala. Ada-ada saja telatah adiknya yang seorang ini.
"Ni, tadi orang upahan abang tu datang kirimkan fail ni dekat abang. Nasib baik Qas yang ada dekat luar tengah susun kasut. Terkejut Qas dia datang." Sekeping fail berwarna hitam diberikan kepada Qarizh.
"Abang cari anak arwah Abang Aldi tu ke?"
"Bukan anak aje. Keluarga dia sekali. Aku dah janji nak jaga keluarga dia. Tak ada sekor pun yang berani sentuh."
Qasrina hanya angguk sekali. Kebaikan masih terselit di dalam diri abangnya itu. Entah macam mana lagi dia hendak menasihati Qarizh lagi supaya cuci tangan daripada buat semua kerja ini.
"Abang, abang sampai bila nak kotorkan tangan abang tu? Tak akan sebab ayat akak tu abang nak berubah sampai macam ni sekali. Agak-agak kalau akak tahu abang seorang mafia. Apa perasaan dia?"
"Dia tak akan tahu kalau tak ada siapa yang bagi tahu." Keras nada suara Qarizh menjawab sekali gus memandang tajam ke arah adiknya itu. Jantungnya sudah berdegup tidak seirama. Takut-takut apa yang diomongkan oleh adiknya itu menjadi kenyataan.
"Hmmm..." Qasrina diam.
"Aku buat semua ni sebab nak lindungi kau daripada orang jahat. Aku dah janji dengan arwah mama dan papa. Aku bukan bunuh orang sesuka hati. Aku bunuh mana yang berani sentuh milik aku."
"Abang masih cari siapa yang bunuh mama dengan papa? Abang yakin ke, kematian mereka ada yang merancang?"
Qarizh tidak menjawab. Sebaliknya hanya mendiamkan diri. Dia membaringkan tubuhnya di atas katil sambil membelek isi dalam fail tersebut.
"Tengoklah tu. Kalau orang tanya pasal ni, mesti dia mematung. Menyampahlah cakap dengan abang ni." Qasrina mengangkat punggungnya lalu keluar dari bilik abangnya itu dengan perasaan sebal.
Qarizh mengerling ke arah pintu biliknya itu. Kepala dibawa geleng sekali. Pasti adiknya itu merajuk dengannya. Belum masa yang sesuai untuk dia beritahu. Dia sendiri pun masih menyiasat perkara tersebut. Tapi, sejak dulu lagi hatinya kuat mengatakan ada yang dengki dengan mama dan papanya. Kematian mereka mesti dirancang.
"Aku tak akan mengalah sampai bila-bila. Aku nak tahu siapa yang dengki sangat dengan mama dan papa aku. Dapat aje orang tu. Tahulah apa nasib dia," ujar Qarizh pada dirinya sendiri.
Dari baring dia mengubah posisi kepada duduk. Ligat tangannya menyelak helaian demi helaian di dalam fail itu. Matanya tajam meneliti setiap isi kandungan di dalam fail tersebut.
"Huh?" Terkejut.
Lantas dia menolak tubuhnya turun dari katil kemudian berlari ke bilik adik perempuannya. Ketukan bertalu-talu diberikan tanda dia tidak sabar mahu memberitahu Qasrina.
"Ya Allah, abang ni dah kenapa? Nak roboh pintu bilik orang ni dikerjakannya. Ada apa?"
Qarizh tidak terus menjawab sebaliknya dia merempuh masuk ke dalam bilik Qasrina lalu duduk di atas katil.
"Aku dah jumpa keluarga Aldi!" ujar Qarizh dengan penuh teruja.
"Siapa?"
"Kau baca ni." Fail tadi sudah bertukar tangan.
"Abang biar betul? Serius?"
"Orang upahan aku yang dapatkan maklumat ni. Mestilah betul. Berani dia nak tipu aku ke? Memang aku penggal kepala dia cukup-cukup."
Qasrina mendengus. "Masalahnya perlu ke, sampai nak penggal kepala dia? Sudahlah malam. Sebut-sebut pasal penggal pulak. Karang orang tak boleh tidur. Qas kacau abang."
Qarizh hanya menayangkan wajah tidak bersalah.
"Sekarang ni, abang nak bagi tahu dia ke? Perkara yang sebenar?"
Keterujaan Qarizh menjadi malap. Entah kenapa bila soalan itu disoal kepadanya menjadikan dia serasa tidak enak di dada.
"Tak. Tak payah. Aku akan jaga dia tanpa pengetahuan aku. Aku tak nak dia tahu pasal kisah silam aku tu. Aku dah lupakan pasal kisah tu."
"Tapi, abangkan buat kebaikan dekat abang dia tu. Kenapa abang tak nak cerita dekat dia?"
"Sudah tak payah nak banyak soal. Pergi tidur sana. Aku nak buat kerja sekejap."
Qasrina menggaru kepalanya yang tidak terasa gatal. Hairan dengan sikap abangnya yang sepertinya mengelat sesuatu daripadanya. Setahu dia, belum pernah lagi abangnya menyembunyikan apa-apa daripada dia. Patut ke dia siasat?