INDIRA menggosok telinganya dek jeritan angahnya yang kononnya sangat terkejut apabila Qarizh menghubunginya pagi tadi memberitahu tentang perkahwinan mereka. Siapa saja yang terkejut? Baru beberapa hari saja mendarat di Malaysia, terus saja mahu berkahwin? Tak nampak gelojoh sangat ke?
"Aduh... angah. Sakitlah telinga adik. Janganlah jerit macam tu. Ya... Qarizh lamar adik nak jadi isteri dia. Angah restukan tau! Kita orang dah dua tahun berpisah. Tak akan angah nak pisahkan kita orang lagi. Lagipun pasal kemalangan along tu bukannya salah dia. Tu salah saudara dia yang belah sana tu."
Izz Benazir melepaskan keluhan panjang. Wajahnya diraup sekali. Anak matanya ditunakkan ke arah Alana yang sedang bermain dengan anak patung bersama Cempaka. "Adik dah fikir masak-masak ke? Qarizh tu tak ada cakap apa-apa ke pasal dua tahun lepas? Dia tak ada marah adik?"
Soalan Izz dibiar sepi buat beberapa saat. Kepala otak ligat berfikir jawapan apa yang sesuai hendak diberikan kepada Izz. Nak kena sedapkan hati abangnya itu agar dia merestui perkahwinan dirinya dan Qarizh. Dia tidak mahu lagi menyakiti hati lelaki itu lagi. Cukuplah dua tahun lepas. Ini pun dia tidak tahu sama ada Qarizh sudah memaafkannya atau belum.
"Tak adalah, angah. Mana ada dia marah. Dia faham lepas adik terangkan dekat dia apa yang jadi dekat adik dua tahun lepas. Kenapa angah tak beritahu dekat dia sebelum bawa adik ke Indonesia?"
Kali ini, Izz pula kehilangan jawapan. Tangan naik menggaru kepalanya yang tidak terasa gatal. Dia sendiri pun tidak tahu kenapa dia tidak memberitahu Qarizh terlebih dahulu sebelum mereka berangkat ke Indonesia. Mungkin disebabkan dia terlalu marah kerana Qarizh ada kaitan dengan peristiwa kemalangan Ilman. Qarizh orang yang terakhir berjumpa dengan alongnya itu sebelum Ilman terlibat dalam kemalangan bersama dengan Kaisara.
"Angah... angah tak terfikir nak beritahu dia. Masa tu, angah marah sangat sebab dia orang yang terakhir berjumpa dengan arwah along. Angah tak fikir panjang masa tu. Angah fikir keadaan adik yang masa tu teruk sangat. Tumpuan angah dekat adik saja masa tu. Maafkan angah."
Indira hanya menghelakan nafasnya. Tidak boleh nak disalahkan Izz seratus peratus. Satu-satunya abangnya itu sanggup berkorban untuknya apa saja. Tak akan dia nak marahkan Izz pula. Sedangkan ketika itu, abangnya sedang merisaukan tentang keadaannya yang lemah semangat itu.
"Tak apalah, angah. Perkara dah lepas. Adik tak mintak banyak pun. Nak mintak tolong angah jadi wali adik untuk perkahwinan adik dengan Qarizh. Adik jujur. Adik mengaku yang adik mula cintakan dia sejak dua tahun lepas. Dia lelaki pertama yang berjaya buka pintu hati adik. Angah janganlah halang dan pisahkan kami lagi."
"Baiklah, sayang. Angah akan restukan perkahwinan korang. Bincang dulu baik-baik. Jangan rushing. Angah tak nak apa-apa akan terjadi lagi bila dah masuk ke alam perkahwinan ni. Angah tak nak adik angah ni sakit lagi. Cukuplah dua kali angah menjadi saksi adik sakit teruk macam tu."
Indira tersenyum. Kepalanya diangguk sekali. Macamlah Izz nampak bila dia mengangguk tu. "Terima kasih, angah. Sayang angah sangat-sangat. Nanti apa-apa adik akan maklumkan kepada angah lepas keputusan perbincangan kami muktamad. Sampaikan salam rindu dan sayang pada Alana. Rindu sangat dekat dia dan juga angah. Oh ya, sampaikan juga salam dekat semua ahli keluarga Didit."
"Baiklah. Jaga diri dekat sana. Nak buat sesuatu tu, tolong fikir berjuta kali. Jangan buat angah susah hati dekat sini, okey?"
"Baik, angah. I love you so much. Take care too!"
"I love you more, sayang. Okay, bye."
Talian serentak dimatikan. Perlahan bibir Indira menguntum sebuah senyuman lebar. Patutkah dia menghubungi Qarizh untuk ajak berbincang tentang perkahwinan mereka? Tak nampak sangat ke dia yang beria-ria? Sedangkan lelaki itu sudah menghubungi angahnya jam sembilan pagi tadi. Sekarang dah jam dua petang. Tiada satu panggilan pun yang dibuat oleh Qarizh kepadanya.
"Aku nak kena WhatsApp dia ke?"
Ting! Ting!
Sepantas kilat, Indira unlock skrin kunci telefon bimbitnya untuk melihat notifikasi yang berbunyi sebentar tadi.
Tengku Qarizh Nadim
Dira, dalam 20 minit lagi aku akan datang jemput kau untuk makan sama-sama. Lepas tu, ada aku nak bincang sikit dengan kau.
Indira mengenggam telefon bimbitnya sekali gus bersorak penuh gembira. Nasib baik dia tidak menghubungi lelaki itu. Kalau tak, nampak sangat yang dia tidak sabar mahu berkahwin dengan Qarizh. Buat malu saja.
JARINYA bermain-main di stereng kereta. Sesekali matanya mengerling ke arah jam tangan yang terbelit di pergelangan tangannya. Dia sampai tepat jam 2:20 petang. Namun, batang hidung Indira masih belum nampak lagi sehingga sekarang.
"Dia ingat aku driver dia ke? Nak kena tunggu lama macam ni. Ni belum kahwin lagi. Agaknya beruban rambut aku tunggu dia."
Indira yang baru saja membuka pintu kereta Qarizh, agak tersentak sedikit mendengar rungutan Qarizh. Mungkin lelaki itu tidak sedar yang dirinya sudah membuka pintu keretanya. "Sorry, Qar. Aku lambat sikit. Tadi tolong Aditya tu..."
"Aku tak nak tahu pun. Dah tutup pintu tu. Dah lambat dah." Laju saja Qarizh mencantas percakapan Indira. Tidak langsung memberi peluang kepada gadis itu untuk menerangkan apa yang berlaku sehingga menyebabkan dia terlewat sedikit. Lima minit saja lewatnya. Bukan lima jam! Macam nilah kalau manusia dah junjung ego sehingga tinggi melangit. Benda temeh pun boleh jadi masalah besar.
Indira mengetap bibirnya. Belum apa-apa lagi, dia sudah tersentap dengan perangai Qarizh yang dingin. Bukan setakat dingin saja. Tapi menyakiti hatinya tanpa sedar.
"Kau nak makan apa?" Sudah buat orang tersentap, pandai pula mahu beramah mesra. Mujur saja orang yang berada di sebelahnya, mencintainya. Kalau masih lagi member, lama sudah gadis itu menghantar tendangan padu kepadanya.
"Apa saja. Aku tak kisah."
"Tak ada restoran yang nama 'Apa saja. Aku tak kisah.'"
Indira terdiam seketika. Tadi nak marah kerana dia terlewat lima minit. Sekarang ni apa? Nak ajak bergurau pula. Tapi tak macam rupa bergurau saja.
"Haaa... tengok. Aku taip dalam Waze pun tak ada nama restoran macam tu. Baik kau beritahu aku. Nak makan apa? Berikan nama restoran. Aku boleh search dalam Waze."
Indira mengajuk percakapan Qarizh tanpa mengeluarkan suara. Hanya mulut saja yang bergerak.
"Tak baik mengajuk macam tu. Nanti dah kahwin dengan aku. Berdosa tau kau buat macam tu sebagai isteri."
Mulut Indira sedikit ternganga. Matanya tidak berkelip memandang ke arah Qarizh. Perlahan jari telunjuk naik menuding ke arah dirinya sendiri. Wah... pandai pula ketua mafia ni bercakap fasal agama, ya? Lagi-lagi bab perkahwinan.
"Dah kenapa tengok aku macam tu? Handsome sangat?" tanya Qarizh seraya kening kanannya ternaik sebelah.
"Restoran Ali Baba Tomyam," jawab Indira dengan nada malas. Tak boleh melayan sangat lelaki macam dekat sebelah dia ni. Makin dilayan, makin menjadi-jadi nanti perangainya.
"Haaa... macam tulah. Baru wujud bila search dalam Waze ni."
Tadi sentapkan hati aku. Sekarang ni, nak menyakat pulak. Apa masalah lelaki ni pun, aku tak tahulah. Menyakitkan hati betul. Getus Indira di dalam hati.
TIDAK sampai 60 minit, mereka akhirnya tiba di sebuah restoran bernama Ali Baba Tomyam. Seperti yang Indira katakan tadi. Indira terlebih dahulu menolak keluar tubuhnya dari dalam kereta sebaik saja Qarizh menolak gear kepada huruf P. Malas dia hendak menghadap wajah Qarizh yang menyebalkan hatinnya itu. Pakkal saja sayang, kalau tidak lama sudah dia ajak bergusti di dalam kereta tadi.
"Oi, lajunya kau berjalan. Tak ingat ke kau keluar dengan siapa ni?"
"Dah kau lambat sangat. Jalan macam mat pondan saja," perli Indira sambil meneruskan saja langkahnya sehingga sampai di hadapan pintu masuk restoran itu.
"Aduh!" Indira terkejut sekali gus meringis kesakitan apabila Qarizh merentap pergelangan tangannya dari belakang.
"Kau siapa nak cakap aku macam tu? Mulut kau tu jaga sikit, eh. Aku bukan mat pondan. Kau nak jalan laju-laju apasal? Nak elak dari aku ke apa? Kau ingat aku bodoh sangat ke? Jalan sama-sama ajelah. Chill chill. Kenapa kau nak kalut sangat? Kau nak pergi mana lepas ni? Nak dating dengan lelaki yang selalu ikut kau tu ke?"
Indira terdiam. Anak matanya merenung wajah beku milik Qarizh itu. Hatinya sudah berkali-kali tersentap setiap butir kata yang keluar dari mulut lelaki itu. Kenapa sewenang-wenangnya Qarizh menuduhnya seperti itu? Dia dan Aditya hanya berkawan rapat. Bukannya lebih dari itu. Hatinya hanya untuk Qarizh.
"Aku tak pernah cintakan orang lain selain kau, Qar. Cinta dan sayang aku hanya untuk kau. Aditya hanya kawan rapat aku sewaktu dekat Indonesia. Dia sebaya angah. Dan aku dah anggap dia macam abang aku sendiri. Kau kenapa nak tuduh aku macam tu? Kau ingat aku perempuan murahan sangat ke?"
Qarizh mencebikkan bibirnya. Entah kenapa, dia rasa menyampah mendengar jawapan yang lahir dari mulut gadis itu. Langsung tidak memuaskan hatinya. Lagi menyakitkan hatinya adalah. "Kau yakin yang sayang dan cinta kau tu hanya untuk aku? Kalau betul, kenapa kau tinggalkan aku macam tu saja? Kau langsung tak kontak aku even kau dah duduk sana. Sekali pun kau tak ada kontak aku. Dua tahun tau aku tunggu kau. Kau ingat dua tahun tu dua hari ke?"
Lagi-lagi perkara yang sama Qarizh ungkit. Sehingga dia sendiri tidak tahu jawapan yang harus dia berikan. Selama dua tahun itu dia berubat secara habis-habisan. Dia melawan sakitnya demi mengembalikan kesembuhannya semula walaupun kadangkala emosinya jatuh. Tidak sempat dia hendak bersantai sambil memegang telefon bimbit. Fikirannya kosong. Begitu juga dengan jiwanya.
"Aku... aku dah tak tahu nak bagi jawapan apa dekat kau, Qar. Aku dah tak reti nak explain macam mana lagi. Kau sikit pun tak nak maafkan aku. Kau tak boleh nak terima jawapan yang aku bagi. Aku sakit. Bukan sakit biasa-biasa. Kau tak ada dekat tempat aku. Macam mana aku nak terima diri aku yang sekarang ni."
Qarizh berdecit sambil menggelengkan kepalanya. "Kau fikir kau sorang sajalah yang sakit? Habis aku ni tak sakit ke, Dira? Huh!" Suara Qarizh sudah naik seoktaf. Laju dia menarik Indira ke tepi bangunan restoran agar tiada siapa menyaksikan perbalahan di antara mereka itu.
"Aku tak nak gaduhlah, Qar. Aku tak nak sakitkan hati kau lagi. Kalau kau nak sakitkan hati aku saja, baik kita balik sajalah. Tak ada gunanya nak makan kalau selera aku dah mati. Lain kali sajalah kita bincang pasal perkahwinan tu. Itu pun kalau kau masih nak teruskan lagi. Aku... aku tak paksa." Pedih hati Indira tatkala ayat itu keluar mulutnya sendiri. Dia langsung tidak mahu perkahwinan itu dibatalkan. Dia benar-benar ikhlas mahu menjadi isteri kepada Qarizh.
"Tak. Kau tak akan pergi mana-mana selagi aku tak izinkan. Masuk. Kita pergi makan. Perut aku dah lapar." Qarizh terus melangkah masuk ke dalam restoran, meninggalkan gadis itu seorang diri.
"Jangan menangis, Dira. Jangan dia nampak yang kau ni lemah. Buat biasa saja..." Indira cuba menyerapkan aura positif ke dalam hati dan fikirannya. Dia tidak mahu emosinya jatuh lagi. Susah untuk dia mahu kembalikan emosinya seperti sediakala.
NASI PUTIH berlaukkan tomyam putih seafood itu dimakan dengan hatinya serasa kosong. Selera entah melayang ke mana. Hendak menatap wajah Qarizh yang berada di hadapannya itu, dia tidak mahu. Dia hanya menundukkan wajah sambil merenung saja santapan di hadapan matanya itu.
"Kau makan macam tu, sampai bila tak habis? Asal tak sedap ke? Kalau tak sedap, oder yang lain. Jangan nak tenung macam tu. Lepas makan ni, aku nak ajak kau berbincang. Jangan buang masa macam tu je."
Indira melepaskan nafasnya perlahan. Kepala hanya mengangguk. Tapi mata tetap merenung ke arah makanannya. Tadi cara makannya perlahan, kini sedikit laju selepas Qarizh menegurnya. Kalau tak diikut kata lelaki itu, pasti Qarizh akan menyentapkan hatinya lagi.
Dengan hanya mengambil masa dalam 45 minit, akhirnya mereka dapat menghabiskan hidangan mereka sehingga licin. Indira menyedut air jus tembikainya sehingga tinggal separuh. Manakala Qarizh menyandarkan belikatnya pada kusyen kerusi sambil jari-jemarinya dipaut sesama sendiri. Wajah bersih milik Indira ditenungnya lama. Dia tidak sangka, gadis itu sudah pulang kepadanya semula. Si gadis pujaan yang selalu dirindui tanpa jemu. Tapi dia lebih suka menjunjung egonya. Dia suka melihat wajah tersakiti Indira. Sudah gila agaknya dirinya itu.
"Jadi, kau nak perkahwinan yang macam mana? Aku ikut saja apa yang kau nak. Asalkan kita berkahwin."
Indira menggelengkan kepalanya perlahan. "Aku tak kisah. Tak payah bersanding pun tak apa. Bernikah saja terus. Itu yang wajib sebenarnya."
Qarizh mendiamkan diri dulu sebelum kembali bersuara. "Kau tak nak bersanding? Kita kahwin hanya sekali. Tak terasa ke nak bersanding atas pelamin?"
Sekali lagi Indira menggelengkan kepalanya. "Tak. Tak terasa pun. Janji kau ada dengan aku sebagai seorang suami dengan seikhlas hati tanpa sebarang sebab."
Giliran hati Qarizh tersentap dengan kata-kata Indira. Sepertinya gadis itu dapat membau rancangannya itu. Melihatkan wajah Indira yang tidak beriak itu membuatkan hatinya terusik. Dia tidak suka melihat wajah Indira seperti itu. Dia takut yang perasaan gadis itu terhadapnya menjadi tawar.
"Aku ikhlas nak jadi suami kau. Kau pulak, ikhlas ke nak jadi isteri aku?"
Indira mengangkat wajahnya dengan air mata sudah bergenang di tubir mata. Entah kenapa, dia cukup sensitif setiap kali bersama dengan Qarizh. Kadangkala dia terfikir, jahat sangatkah dia sehingga membuatkan lelaki itu berubah menjadi seperti sekarang ini?
"Aku lebih dari ikhlas, Qar. Sayang dan cinta aku hanya untuk kau. Kau cinta mati aku. Macam kau sendiri cakap waktu dekat parti. Depan Yazir. Aku cinta mati kau." Sedaya-upaya Indira menahan air matanya dari terus mengalir. Suaranya yang bergetar itu juga seboleh-bolehnya dikawal agar Qarizh tidak perasan.
Qarizh terdiam. Matanya tidak lepas dari merenung wajah Indira. Hatinya tercuit dengan perasaan serba-salah apabila melihat air muka gadis itu berubah keruh. Sepertinya mahu menangis. Lagi-lagi mendengar getaran pada hujung nada suara Indira. Teruk sangatkah layanannya pada gadis itu? Indira yang dia kenal dulu tidak pernah menunjukkan riak sedih atau menangis di hadapannya. Jarang.
"Baguslah kalau macam tu. Lega aku dengar. Aku ingat kau dah tawar hati dengan aku. Aku harap perkara tu tak akan berlakulah. Macam yang kau mintak. Hanya pernikahan saja yang diadakan. Aku akan turutkan. Nanti aku daftarkan nama kita untuk kursus kahwin dalam masa terdekat ni. Kita pergi sama-sama."
Indira sekadar menganggukkan kepalanya. Dia bangun dari duduk lalu meminta diri untuk ke tandas. Dia tidak dapat menahan lagi tangisannya dari terhambur. Hatinya sarat dengan perasaan sebak. Dia sungguh rindukan Qarizh yang dia kenal dulu.
"Aku rindukan kau yang dulu, Qarizh..."