Home Novel Thriller/Aksi Bidadari Encik Mafia (Completed)
BEM 20

Kedebam!

TERLOKOP meja bulat yang ditolaknya itu dengan penuh perasaan marah. Dadanya berombak laju. Dirinya bagaikan disimbah dengan api yang menyala marak. Anak-anak buah yang berdiri bertentangan dengannya dipandang dengan tajam. Kizo yang berdiri di sisinya tidak ketinggalan juga direnung lama seperti mahu makan.

"Mana adik aku? Korang buat apa, hah? Tidur ke apa? Aku suruh korang pantau adik aku!" amuk Izz Benazir. Habis semua barang di atas meja makan ditepis kasar sehingga jatuh bertaburan. Amarah dia kali ini tidak boleh dibawa berbincang lagi. Semakin marak!

"Maafkan kami, bos. Kami dah dapatkan nombor plat kereta tu. Kami dah kejar. Cumanya mereka lagi bijak pandai menghilangkan jejak," jawab Amri selaku anak buah Izz.

"Kau dah dapatkan nombor plat kereta tu, kan?" Suara Izz berubah kendur. Tidak lagi melengking seperti tadi. Dalam otaknya juga terfikir, kalau dia marah seperti tadi pun tidak akan menyelesaikan masalah. Mujur Amri memberikan jawapan yang serba-sedikit menyedapkan hatinya.

Amri angguk diikuti dengan rakan-rakannya yang lain. Kizo yang berdiri di sebelah hanya diam seperti tunggul. Tapi dalam pada masa yang sama, otaknya berfungsi untuk mencari si penculik yang menculik Indira Callista. Hatinya sudah dapat meneka siapa yang menculik adik kepada ketuanya itu.

"Aku nak korang plan strategi. Pastikan berjalan dengan lancar. Cari adik aku sampai dapat. Aku dah tahu setan mana yang berani culik adik aku. Dari mula adik aku kena serang, sampai sekarang dia kena culik. Aku yakin ini mesti kepala ketua yang sama."

"Baik, bos. Arahan diterima," jawab Amri dengan nada serius.

"Kizo, kau ikut aku," suruh Izz sebelum kaki dihayun masuk ke dalam bilik istirahatnya.

"Kau dapat agakkan siapa yang culik adik aku?" soal Izz sebaik saja pintu biliknya dikunci agar tiada sesiapa yang boleh menganggu mereka pada waktu ini.

Kizo angguk sekali. Dalam tidak sedar, dia mengenggam tangannya sehingga urat hijau menimbul. Dia memang marah setiap kali musuh 'mengusik' kumpulannya. Dia sudah menganggap Izz Benazir dan Indira Callista seperti saudara sendiri. Selain alasan itu juga, dia berhutang budi dengan arwah Ilman Renaldi yang telah menyelamatkan dia dari dibunuh oleh para musuhnya.

"Aku minta maaf. Patutnya aku lebih cekap dan tangkas dalam segala hal ni. Aku tak sangka dia orang boleh sentuh Indira," ujar Kizo dengan suaranya tertahan-tahan. Dia sedang marah ketika ini.

"Bukan salah kau. Salah aku juga. Aku tak macam along aku yang tangkas dalam buat kerja. Kumpulan ni dah sendu, sebab tu tak bergerak pantas. Aku cuba nak aktifkan semula kumpulan ni. Tapi aku gagal. Aku gagal menjalankan apa yang arwah tinggalkan dekat aku."

Kizo mendongakkan kepalanya perlahan. "Kau jangan cakap macam tu. Sekarang ni, bukan itu yang kita kena fikirkan sekarang. Indira dalam bahaya. Kita kena selamatkan dia. Kumpulan dia memang licik. Dasar kepala setan. Aku takut dalam kita membuang masa ni, apa-apa boleh jadi dekat adik kau tu."

Izz angguk sekali. Dia faham apa yang dimaksudkan oleh Kizo. Sekarang ini, dia tidak boleh membuang masa dengan memikirkan perkara yang temeh. Dia kena fikir macam mana nak selamatkan Indira. Apa-apa yang terjadi pada Indira, sama sekali dia tidak memaafkan dirinya sendiri.

"Lana mana?" Jantung Izz berdetak laju. Baru sekarang dia teringat mengenai anak saudaranya yang satu itu. Masaklah dia kalau anak kecil itu pun diculik sekali.

"Ada dengan kumpulan Qarizh. Tapi aku ada suruh salah seorang anak buah dia hantar Lana dekat isteri aku. Kau jangan risau."

Izz menghelakan nafas lega sekali gus meraup wajahnya yang serabut dengan macam-macam hal. Para musuhnya semakin lama semakin aktif bergerak. Kemungkinan besar, macam-macam strategi yang sudah mereka rancangkan. Dia pula langsung tak boleh nak dapat agak apa yang akan dilakukan oleh musuh-musuhnya itu.

Kizo menatal skrin telefon bimbitnya selepas mendapat pesanan ringkas daripada si adik. Berkerut-kerut dahinya membaca pesanan ringkas itu. "Izz..."

"Hmm..."

"Adik aku cakap, semua kejadian yang terjadi ini adalah perbuatan daripada musuh yang sama. Musuh yang dah berjaya singkirkan Ilman dan Kaisara."

Laju Izz mendongakkan kepalanya. "Maknanya dia yang kau ceritakan tu ada kaitan dengan along dan kak long aku?"

"Memang ada kaitan. Dia pembunuh kepada Ilman dan Kaisara. Apa yang aku teka selama ni, memang benar belaka."

"Kurang ajar." Izz mengepal penumbuknya erat sehingga uratnya menegang.

"Aku bukan tak nak cerita dekat kau apa yang aku rasa selama ini. Sebab aku tak yakin. Aku takut aku salah info dan kita salah serang."

Izz menggelengkan kepalanya. "Tu bukan menjadi poin kita sekarang. Adik kau pun dah dapat maklumat pasal setan tu. Dan aku tak akan biarkan dia terlepas sampai mati sekalipun. Dia dah bunuh along aku sekarang ni dia sasarkan adik aku pulak."

Kizo terdiam seketika sebelum kepalanya dibawa angguk sekali. Sempat lagi dia membalas pesanan ringkas yang dihantar oleh adiknya sebentar tadi. Memberitahu yang maklumat itu sudah diterima oleh Izz dan juga dirinya.

"Sekarang ni, kita pergi rumah Qarizh. Aku dah tak boleh nak simpan rahsia ni lagi. Dia orang yang paling rapat dengan along aku dulu. Jadi aku kena tahu cerita yang sebenar dari mulut dia. Apa yang berlaku sebelum along meninggal dunia."

Kizo mencapai kunci kereta yang berada di atas kabinet hiasan. Kepala dibawa angguk sekali. Kemudian mereka melangkah keluar bersama-sama dari markas persembunyian mereka itu. Sempat lagi, Izz menitipkan pesanan kepada anak-anak buahnya agar tangkas dan aktif merancang strategi. Dia tidak mahu musuhnya kali ini terlepas lagi.

"INDIRA... Indira!"

"Bos..." Saif yang duduk di sisi katil ketuanya itu terkejut kecil apabila terdengar jeritan Qarizh.

"Urgh... Saif mana Indira? Mana dia?" soal Qarizh sebaik saja dia mengubah posisinya dari baring kepada duduk. Anak matanya membelingas mencari susuk tubuh gadis itu.

"Bos, bawa bertenang dulu. Bos masih belum sihat. Kami minta maaf sangat-sangat. Indira tak dapat kami selamatkan. Dia dah diculik oleh musuh yang selalu serang dia dan bos tu," beritahu Saif dengan perasaan serba-salah.

Dia sendiri juga hairan, kenapa sebelum-sebelum ini Hilmi tidak pernah bersungguh-sungguh mencari maklumat mengenai musuh yang menyerang ketuanya dan juga Indira? Sedangkan dia sendiri yang mencari maklumat itu, tidak sampai dua hari sudah dapat beberapa poin maklumat mengenai musuh itu.

"Siapa yang culik dia? Siapa musuh tu? Kau jawab Saif! Jawab!" amuk Qarizh yang sudah hilang kesabarannya. Kolar baju Saif ditarik mendekat dengan dirinya. Penumbuknya diangkat mahu menumbuk wajah anak buahnya itu.

"Qar, sabar. Saif tak salah. Dia dah berjaya cari maklumat yang kau nak tu. Lepaskan dia." Airiel muncul menyelamatkan Saif daripada ditumbuk oleh sepupunya itu. Mujur dia terdengar suara amukan Qarizh sehingga ke tingkat bawah.

"Aku kena selamatkan Dira. Dia dalam bahaya. Aku tak tenang doh!" Qarizh menggelabah. Dia menolak selimut yang membaluti tubuhnya kemudian tubuhnya diangkat supaya berdiri.

"Arghhh!" Qarizh hampir saja mahu jatuh terduduk dek kesakitan yang menjalar seluruh badannya. Kesan tikaman tadi masih lagi terasa. Mujur Saif sempat menahan tubuh Qarizh daripada menyembah lantai.

"Bos, luka bos masih belum kering lagi. Tikaman yang bos tu dalam sangat. Sebab tu bos sakit macam ni sekali. Bos kena bawa bertenang dan berehat dulu."

Qarizh menjerit sekali gus melepaskan kemarahan yang membengkung perasaannya kini. Sama sekali dia tidak dapat menerima yang Indira diculik oleh musuhnya sendiri. Kenapa bukan dia? Kenapa mesti Indira? Indira langsung tak tahu apa-apa!

"Mana Hilmi? Dia ada keluar cari Indira tak? Aku dah pesan dekat dia suruh pantau Indira!"

"Kau percaya dekat Hilmi ke, Qar?"

Soalan Airiel membuatkan Qarizh membisu. Sepi suasana biliknya ketika ini. Jantungnya berdegup kencang. Pandangannya dialihkan ke arah Airiel yang masih lagi berdiri tercegat di muka pintu. Terlakar kerut-kerutan pada dahinya. Pelik dengan soalan yang diajukan oleh sepupunya itu.

"Apa maksud kau? Hilmi tu aku kenal lebih lama daripada dia orang semua ni. Aku rasa kau tahu."

Airiel angguk sekali. Wajahnya diraup sekali. "Sedangkan Adiyan yang kau kenal lama pun tikam belakang kau. Apatah lagi Hilmi. Adiyan dengan Hilmi boleh dikira kawan baik kau sebab kau dah kenal dia orang lama daripada mereka semua ni. Tapi kau sedar tak, Hilmi tak ada dengan kau sekarang ni? Aku sendiri nampak dia pun, kali terakhir sewaktu korang semua rushing masuk dalam markas ni disebabkan kau tercedera."

Qarizh terdiam seribu bahasa. Jantungnya semakin lama semakin laju mengepam sehinggakan senak dada dibuatnya. Tubuhnya menggeletar tanpa sedar. Antara marah dan takut. Dia takut yang Hilmi sama seperti Adiyan. Sedangkan dia lebih percayakan Hilmi daripada Adiyan sendiri.

"Kalau kau perasaan aku kerap keluar malam sebab aku ikut Hilmi. Setiap malam dia jumpa Qas dekat rumah mak long. Dan buat pengetahuan kau, Yazir kenal siapa Hilmi sedangkan aku rasa. Kita tak pernah kenalkan dia orang semua ni dekat keluarga ataupun saudara kita sendiri."

Sebaris demi sebaris yang keluar daripada mulut Airiel menambahkan lagi kemarahan Qarizh. Wajah Saif yang setia berdiri di hadapannya ditenung lama. Urat-urat wajahnya jelas timbul menandakan dia sedang menahan amarahnya daripada terhambur.

"Apa bukti kau nak cakap Hilmi pembelot?" soal Qarizh setelah sekian lama mendiamkan diri.

"Aku ada gambar dan video. Dalam video tu jelas semua suara dia orang bercakap. Kalau kau nak dengar, sekarang juga aku boleh tunjukkan. Hampir seminggu dah aku ikut Hilmi. Hilmi bekerjasama dengan Yazir. Yazir tu..."

"Musuh aku dalam selimut selama ni." Qarizh menyambung percakapan Airiel dengan nada suaranya bergetar kerana menahan marah.

"Dan aku nak kau tahu, Hilmi dah brain wash pasal kau dekat Qas sampaikan budak tu percaya bulat-bulat." Tambah Airiel.

"Sial. Memang tak guna. Setan!" tempik Qarizh.

"Err... maafkan saya, bos. Ada tetamu datang. Dia kata dia nak jumpa dengan bos." Terpaksalah Zane mencelah untuk memaklumkan kedatangan tetamu pada waktu begini.

"Siapa?" soal Airiel.

"Nama dia Izz Benazir. Abang kepada Indira Callista."

Ketika itu juga, jantung Qarizh sepertinya sudah berhenti berdetak. Masakan Izz tahu keberadaan markasnya ini?

"Izz... Izz Benazir?"

Zane sekadar menganggukkan kepalanya.

"Dia orang dah masuk ke?" Airiel menyoal dengan dahinya yang sudah berkerut.

Zane menggelengkan kepalanya. "Dia orang tak nak masuk selagi bos sendiri yang menjemput dia orang masuk."

"Dia orang? Ada orang lain selain Izz ke?"

"Haah. Ada dua orang. Dan saya ada ternampak juga ada beberapa orang lelaki duduk menunggu dekat kereta dia orang sendiri."

Qarizh melepaskan nafasnya panjang. Cuba menenangkan dirinya sebelum bersua muka dengan Izz Benazir. Kemungkinan besar, Izz sudah tahu siapa dirinya yang sebenar. Kerana dia sendiri kenal Izz siapa. Izz Benazir ialah adik kepada Ilman Renaldi.

"Saif, tolong bawa aku turun bawah. Riel kau ikut aku sekali."

Airiel hanya menganggukkan kepalanya. Saif memapah Qarizh sehingga turun ke tingkat bawah. Pintu utama dikuak luas oleh Airiel sebaik saja Qarizh melabuhkan punggungnya di atas sofa di ruang tamu.

"Qar." Nada suara Izz begitu serius. Sekali dengar boleh merinding segala bulu roma yang ada.

"Bang..."

"Aku tak nak cakap banyak, Qar. Aku kenal kau dah lama. Tapi aku diamkan hal ni disebabkan Dira. Dia sendiri pun tak tahu siapa sebenarnya abang-abang dia. Aku dulu pernah terlibat dalam kumpulan along aku tapi tak aktif sangat. Mungkin sebab tu kau tak kenal aku dulu."

Qarizh senyap. Tekun mendengar apa yang disampaikan oleh Izz Benazir.

"Dan aku tahu, kau orang yang paling rapat dengan along aku. Korang ada share sesama sendiri yang aku pun baru tahu sekarang ni. Along aku banyak tolong kau. Dan kau pun banyak tolong abang aku."

Qarizh angguk sekali. "Ya. Dia dan aku dah macam belangkas dulu. Aku dah anggap dia macam abang aku sendiri. Semua masalah aku dia tahu. Dan semua masalah dia aku tahu. Dia pernah pesan dekat aku suruh pantaukan keluarga dia."

Izz angguk sekali. Kizo di sebelah langsung tidak mencelah. Telinganya dipasang untuk mendengar setiap ucapan yang lahir dari mulut Izz dan Qarizh.

"Aku tahu sekarang ni, kematian along dan kak long aku disebabkan ahli saudara kau sendiri. Dan sekarang ni yang culik Indira pun ahli saudara kau sendiri. Tapi aku tak pasti sama ada dia yang ketua atau bukan."

Qarizh terdiam. Dia malu. Malu kerana Izz lebih cepat mendapat maklumat daripada dia sendiri. Sedangkan yang mencari ulah dengannya adalah sepupunya sendiri.

"Tapi aku nak tahu sangat, kenapa saudara kau tu sasarkan along dan kak long aku. Apa salah mereka pada dia? Aku nak tahu sangat. Aku curious, Qar. Sekarang ni, Indira diculik. Dan aku tak tahu ke mana dia orang bawa adik aku pergi."

"Aku... aku sendiri tak tahu kenapa dia orang sasarkan Aldi dan isteri dia. Malam sebelum dia orang terlibat dalam kemalangan, aku dengan Aldi ada perselisihan faham sedikit. Masa tu aku emo. Aku tengking dia dan aku halau dia balik."

Izz terdiam. Jawapan Qarizh sedikit sebanyak membuatkan dirinya berasa tidak enak.

"Aldi nak cuci tangan. Dia nak fokus pada keluarga dan kerjaya dia. Tapi aku tak boleh terima. Aku nak dia ada dengan aku sebab dia yang selalu bagi aku semangat. Setiap musuh yang menyerang, kami berdua bergabung tenaga untuk lindungi apa yang kami dah bina bersama. Terutamanya gudang senjata yang terletak dekat Pelabuhan Klang tu. Tiada siapa yang tahu kecuali kumpulan aku dan dia."

Sepi. Tiada sebarang respons daripada Izz mahupun Kizo.

"Aldi suruh aku tukar nama gudang tu kepada nama aku saja. Dia dah tak nak ada apa-apa share dengan aku lagi. Bukan setakat gudang tu je. Macam-macam yang kami bina bersama, dia suruh tukar nama. Aku tak nak. Dia cuba untuk paksa aku. Tu punca kami bergaduh."

"Tapi dia ada cakap yang hubungan aku dengan dia tak akan pernah terputus. Aku terus halau dia dari rumah dan suruh dia fikirkan semula. Tak sangka malam tu juga dia pergi tinggalkan aku buat selama-selamanya. Selama aku bersama dengan dia, sedikit pun aku tak pernah tahu Indira merupakan adik dia. Indira, budak perempuan yang selama ini aku cari selepas dia selamatkan aku waktu dekat sekolah dulu."

Izz meraup wajahnya kasar. Hatinya sakit mendengar cerita yang keluar dari mulut Qarizh. Dia masih tidak dapat menerima lagi kematian mengejut along dan kak longnya itu.

"Aku dah tahu kenapa along dan kak long aku mati. Semua sebab kau, Qar. Hati aku kuat mengatakan yang ahli saudara kau tu iri hati dengan along aku. Sebab along aku yang paling rapat dengan kau. Dan segala aktiviti yang dilakukan, pasti korang buat bersama." Izz mengetap bibirnya sehingga merah.

"Ataupun ahli saudara kau tu memang tak sukakan kau. Dan dia sengaja sentuh orang yang terdekat dengan kau supaya hidup kau merana." Tambah Kizo.

Qarizh mendongakkan wajahnya. Ditenungnya lama wajah Izz dan Kizo bersilih ganti. Tak mungkin Yazir sendiri yang bunuh Ilman dan Kaisara? Bukan ke dia berada di luar negara ketika itu kerana menyambung pengajiannya?

"Tapi..."

Izz bangkit dari duduknya diikuti dengan Kizo.

"Aku tak nak ada apa-apa hubungan dengan kau lagi. Sekarang ni, adik aku dah kena culik. Aku rasa menyesal sebab percayakan kau, Qar. Ahli saudara kau sendiri yang licik pun kau tak nampak. Macam ni ke, kau gelarkan diri kau seorang mafia?" sindir Izz. Bibirnya terjongket sebelah.

"Tapi, bang. Aku..."

"Aku tak nak dengar apa-apa lagi. Aku nak cari adik aku. Apa-apa terjadi dekat dia, sampai mati pun aku tak akan maafkan kau. Aku tak akan benarkan kau rapat dengan dia lagi. Titik. Tiada sebarang bantahan. Aku buat semua ni semua disebabkan keselamatan adik aku sendiri. Kau tak ada hak."

Terasa pedih hati Qarizh kini. Entah kenapa dia menjadi lemah apabila menghadap situasi seperti ini. Macam mana dia nak meneruskan kehidupannya selepas ini tanpa Indira di sisi? Dia sayang dan cintakan Indira. Hanya Indira saja yang mampu membahagiakan hatinya ini.

"Bang, bagi aku peluang. Aku janji aku akan cari Dira!" jerit Qarizh. Tapi sayang, Izz dan Kizo sudah pun hilang dari pandangannya.

"Qar, sabar. Jangan macam ni. Kau belum sihat sepenuhnya lagi," pujuk Airiel.

"Jangan sentuh aku!" amuk Qarizh. Fikirannya kusut. Dia tidak boleh terima sama sekali apa yang dikatakan oleh Izz.

"Aku... aku kena cari Indira sampai dapat!" jerit Qarizh sekuat hatinya sehingga bergema suasana markasnya itu.


Previous: BEM 19
Next: BEM 21

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh nurshaza