Home Novel Thriller/Aksi Bidadari Encik Mafia (Completed)
BEM 50

PANDANGANNYA dipusatkan pada seraut wajah yang masih lagi tidak sedarkan diri. Dia bersyukur kerana gadis itu berjaya melepasi zon kritikal. Dapatlah dia menarik nafas lega. Betullah kata Saif, Haura memang seorang gadis yang sangat kuat. Sanggup mengorbankan nyawa sendiri untuk nyawa orang lain. Dia dan arwah Qasrina terlalu banyak persamaan membuatkan dia rasa susah untuk berjauhan dengan Haura. Tapi apakan daya, ada yang menghalang untuk mereka mencipta hubungan istimewa.

"Haura... maafkan abang. Mungkin lepas ni, kita tak dapat nak bersama macam dulu. Bukan kerana abang tak sayangkan Haura. Tapi abang terpaksa. Abang tak nak hancurkan hubungan Haura dengan abang Haura. Abang mengaku yang abang dah jatuh hati pada Haura. Bukan kerana rupa paras, tetapi hati Haura."

Air mata Hilmi menitis perlahan ke pipi. Teragak-agak dia mahu menyentuh tangan Haura. Mata dipejam buat seketika. Tangan gadis itu digenggam perlahan. Mungkin buat kali terakhir.

"Abang sayangkan Haura. Abang doakan Haura cepat sembuh. Jangan buat abang-abang Haura risaukan Haura lagi. Jangan risikokan diri Haura lagi. Abang tak sanggup tengok Haura terlantar macam ni."

Hilmi mengetap bibirnya. Dirinya tewas dengan emosi sendiri. Mengenangkan kisah silamnya yang tidak sempat membalas cinta arwah Qasrina. Kerana itu, dia mengambil keputusan untuk meluahkan perasaannya pada Haura walaupun gadis itu tidak sedarkan diri. Dia tidak mahu rasa menyesal buat kali kedua.

"Abang tak layak untuk Haura. Abang ni jahat, Haura. Sangat jahat. Sebab tu, Kizo susah nak terima abang. Dia susah nak maafkan abang sebab kesilapan abang yang dulu. Abang ni dah bunuh insan yang tak bersalah. Yang abang tak tahu dia cintakan abang dalam diam. Dia pergi tanpa sempat abang balas cintanya. Abang tak nak Haura rasa apa yang Qasrina rasa. Biarlah abang yang mengundur walaupun rasa perit yang mendalam. Sumpah, abang sayangkan Haura."

Hilmi melepaskan perlahan genggaman tangan Haura. Wajah ditundukkan. Tidak dapat menahan sebak yang semakin menyeksakan dada. Punggung diangkat lalu kaki mengorak langkah keluar dari wad Haura.

Tubuhnya melorot jatuh pada dinding ruangan menunggu yang terletak berhadapan dengan wad Haura. Terenjut-enjut bahunya menghamburkan tangisan. Tangan naik meraup wajah beberapa kali.

"Perasaan cinta ni tak semestinya kita akan sentiasa rasa bahagia. Adakalanya, kita terpaksa melalui keperitan yang tak dapat nak diungkap dengan kata-kata."

Hilmi mendongakkan kepalanya dengan wajah yang basah. Dipandangnya susuk tubuh Qarizh yang sedang berdiri di hadapannya sambil menghulurkan tangan.

"Aku tak nak kehilangan dia, Qar. Tapi... aku sedar yang tak sempurna untuk dia. Aku tak layak..."

Perlahan Hilmi menyambut huluran tangan Qarizh lalu dengan lemahnya dia bangun dari meninggung. Qarizh menepuk-nepuk bahu Hilmi. Menyalurkan sedikit semangat yang ada.

"Cinta tidak perlukan seseorang yang sempurna. Akan tetapi, cukup memadai dengan adanya orang yang buat kita rasa sempurna dalam hidup," ujar Qarizh.

"Kalau kau betul cintakan Haura, buktikan pada Kizo. Kau lelaki. Aku lelaki dan dia juga lelaki. Masing-masing ada ego tersendiri. Aku pernah junjung tinggi ego sampaikan aku rasa menyesal tak sudah. Aku tahu cara Kizo. Dia memang anti dengan orang yang pernah membelot. Sebab tu dia susah nak terima kau. Tapi aku percayakan kau, Mi. Aku percaya yang kau dah berubah. Aku pun nak berubah. Aku dah janji dengan Dira. Habis je semua ni, aku akan bina hidup baru dengan dia."

Hilmi mengangguk perlahan. Memang benar dia cintakan Haura. Tapi mampukah dia mengambil hati Kizo? Kalau mengenai Saif, dia tak perlu bimbang. Dia dengan Saif mempunyai hubungan yang baik. Saif sendiri pun tidak menghalang dia untuk menyimpan perasaan terhadap Haura.

"Fikir baik-baik, Mi. Aku dapat rasa yang Haura pun cintakan kau. Aku perasan setiap korang berdua, dia punya senyuman tu nampak gembira sangat. Aku tahu sebab aku pernah rasa apa yang korang berdua rasa. Jangan buat keputusan yang menyakitkan hati masing-masing. Sendiri yang menderita. Percaya cakap aku, Mi. Kau lelaki, kena berani hadap cabaran. Anggap saja yang Kizo itu sebagai cabaran kau untuk dapatkan Haura," nasihat Qarizh. Dia sendiri pun terkejut dengan dirinya. Sejak bila pandai menasihati orang pun tak tahulah. Mungkin penangan Indira Callista sudah menyerap masuk ke dalam dirinya.

"Terima kasih, Qar. Kau memang sahabat aku yang terbaik." Hilmi memeluk tubuh Qarizh sekejap.

Qarizh mengangguk. Bibirnya tersenyum nipis.

"Hubby..."

Qarizh menoleh ke belakang apabila terdengar Indira menyerunya. Hilmi turut pandang belakang.

"Sudah, sayang?" Bahu Indira dirangkul dari tepi.

Indira senyum. Kepala dibawa angguk sekali. Dipandangnya Hilmi yang berada di hadapannya.

"Hilmi okey?"

Hilmi angguk.

"Qar, Dira... aku pergi kafe dulu sekejap. Nak lepak dengan dia orang."

Qarizh sekadar mengangguk. Dihantar susuk tubuh Hilmi yang sudah meninggalkan ruangan menunggu ini. Nafas panjang dihela perlahan. Macam-macam masalah yang dia nak kena hadap sepanjang bulan ini. Bilalah dia dapat merasai kebahagiaan yang sebenar bersama dengan isterinya?

"Kenapa hubby mengeluh? Penat, ya?" Indira mengusap pipi Qarizh. Raut wajah suaminya yang kelihatan penat itu, ditenung dalam. Masih ada lagi calar-balar yang belum hilang lagi kesannya.

"Penat sikit, sayang. Biasalah..." Qarizh senyum kecil.

"Dira faham. Banyak masalah kita kena hadap, kan? Dira harap lepas ni takkan ada masalah lagi."

"Harap-harapnya begitulah. Hubby pun dah penat sangat dah ni. Rasa nak surrender je."

Indira tertawa kecil. Ditarik tangan Qarizh menghampiri kerusi yang terletak di bahagian belakang mereka. Punggungnya dilabuhkan di atas kerusi. Begitu juga dengan Qarizh.

"Lepas ni, apa plan hubby?"

Qarizh sengih. Ditarik rapat tubuh si isteri sambil bahu dipeluk erat.

"Angah kata dekat hubby, yang dia suruh kita ikut dia balik Indonesia lepas semua settle. Hubby okey saja. Boleh hubby tolong dia nanti dekat sana, kan? Sayang pun suruh hubby cuci tangan. Hubby akan tunaikan permintaan, sayang."

Indira menjongketkan kening kanannya.

"Betul ke nak cuci tangan? Tak sayang dengan gelaran mafia tu?" Indira sengaja menguji Qarizh.

"Hmmm... entahlah. Rasa memang nak pencen awal jadi mafia ni. Biarlah hubby jadi mafia untuk sayang saja. Dapat melindungi sayang dan memastikan keselamatan sayang terjamin."

Indira mencebik. Menyampah pula dia mendengar ayat Qarizh yang agak chia-chia tu.

"Are you sure? Jangan nanti ungkit pula. Dira yang disalahkan sebab suruh cuci tangan. Sedangkan dalam hati tu dah terbiasa buat kerja macam tu."

Qarizh mengangguk-anggukkan kepalanya.

"Hubby dah tak nak libatkan diri dalam aktiviti mafia ni lagi. Setakat ada anak-anak buah untuk memantau keselamatan kita, tak salahkan? Dia orang semua kawan baik hubby. Takkan nak berpecah pula. Angah pun ada kumpulan sendiri, tapi dia dah tak buat aktiviti mafia. Sekadar memastikan keselamatan orang yang dia sayang dalam keadaan selamat aje."

Indira senyum. Wajah Qarizh dielusnya lembut.

"Dira tak kisah. Cuma Dira tak nak lagi hubby terlibat dalam aktiviti macam ni lagi. Melibatkan nyawa. Dira kalau boleh nak hidup selama yang mungkin dengan hubby. Nak cipta banyak memori."

Qarizh senyum.

"Ya, sayang. Hubby pun sama." Dahi Indira dikucupnya lembut.

KESIHATAN Haura semakin membaik. Hari ini, dia sudah dibenarkan untuk keluar dari hospital. Dia menunggu Saif untuk menjemputnya pulang. Perutnya sudah berlagu rancak. Tak sabar-sabar minta diisi.

"Manalah abang ni... orang dah lapar ni. Haish..." Haura melepaskan keluhan panjang. Diusap-usap perutnya yang semakin berbunyi kuat. Ini kalau orang lain dengar, mahu malu dia.

"Haura..."

Haura tersentak. Dahinya berkerut nipis. Sejak bila suara Saif berubah? Lain macam suaranya. Perlahan dia memusingkan tubuhnya ke belakang. Mengangkat wajahnya untuk memandang si empunya susuk tubuh yang sedang berdiri di hadapannya ketika ini.

"Abang Hilmi?"

Hilmi tersenyum sambil menganggukkan kepalanya. Beg sandang yang berada pada bahu Haura, ditarik perlahan lalu digalas pada bahunya. Tangan kanan dihulurkan ke arah Haura yang masih lagi terkaku begitu.

"Mana Abang Saif?" soal Haura. Teragak-agak dia ingin menyambut huluran tangan Hilmi.

"Dia tolong Qarizh. Ada kerja. Haura tak kisahkan abang yang jemput Haura?"

Haura tersenyum lebar. Sama sekali dia tak kisah. Malah lagi dia suka!

"Haura lagi suka. Hehehe...," jawab Haura sambil mengikut langkah Hilmi.

Hilmi tertawa kecil. Dia sudah fikir masak-masak. Sekalipun dia takkan lepas peluang yang ada. Walaupun dia kena hadap kebencian Kizo setiap hari, janji dia dapat melihat senyuman manis yang terukir pada bibir Haura. Itu pun sudah membuatkan hatinya rasa bahagia.

"Aduh..."

Laju kepala Hilmi menoleh apabila mendengar Haura mengaduh. Kedua-dua belah tangan Haura dipegang. Dahinya berkerut-kerut kerana risau.

Haura terpinga-pinga dengan tindakan Hilmi.

"Kenapa? Sakit dekat mana-mana? Nak abang panggil doktor ke? Kita masuk semula." Bertubi-tubi soalan yang keluar dari mulut Hilmi. Dah macam machinegun bunyinya.

"Erk..." Haura terkedu. Speechless dia mendengar soalan-soalan Hilmi.

"Haura?"

"Haa... Haura okey aje, abang. Cuma perut Haura lapar sangat...." Haura tersengih.

"Haish... cakaplah awal-awal. Buat terkejut abang sajalah. Ingatkan luka tu sakit lagi."

"Alahai... janganlah risau sangat. Tapikan comellah muka abang risau macam tu. Hik... hik..."

Hilmi menggelengkan kepalanya. Orang risau boleh pula dia ketawa comel macam tu. Buat dia rasa geram saja.

"Dah, dah. Jom abang bawa pergi makan. Lepas tu, kita balik okey? Haura kena banyak berehat. Luka tu pun baru nak baik. Jangan nak berlagak kuat," bebel Hilmi.

"Ya, ya, ya. Jangan bebel. Nanti yang dah tak sakit, jadi sakit nanti." Haura mencebik. Pantang betul telinganya mahu mendengar bebelan orang.

"Orang bebel sebab risau. Haura tu boleh tahan degil. Orang kata jangan. Dia kata ya. Lepas ni, dengar cakap abang. Kalau tak abang tak nak kawan dengan Haura."

Haura ketawa. Geli hati dia mendengar bebelan Hilmi kali ini. Inilah kali pertama dia mendengar Hilmi membebel berjalan macam tu. Rasa macam mimpi pula bila orang yang dia sayang terlalu risaukan dirinya.

"Nanti kalau abang tak nak kawan, abang yang kena tanggung rindu tu. Haura tak tahu..." Haura mengangkat-angkat bahunya dengan bibirnya yang sedikit terjuih.

Hilmi menjeling kecil. Ada saja budak kecil ni nak menjawab. Nasib baik sayang, kalau tidak lama sudah dia tinggalkan gadis itu di lot parkir kereta ini.

"Yalah. Abang bagi Haura menang kali ni. Dah, nak makan apa?" Pintu kereta bahagian belakang dibuka lalu beg sandang Haura diletakkan di atas tempat duduk.

"Nak makan dekat mamaklah."

"Tak habis-habis mamak dia." Hilmi menggelengkan kepala. Sepanjang dia mengenali Haura, mamak sajalah pilihan tempat untuk mengisi perut. Jarang-jarang mahu makan di restoran lain selain mamak. Kalau dia berkahwin dengan Haura suatu hari nanti, hari-hari kena hadap mamak sajalah.

"Ala, okey apa mamak. Sedap pun sedap. Lagi-lagi teh ais dia. Kaw-kaw punya!"

"Yalah. Mamak pun mamaklah. Janji Haura gembira." Hilmi mengalah.

"Hehehe... terima kasih, abang," ucap Haura sebelum menolak tubuhnya masuk ke dalam kereta setelah Hilmi membukakan pintu bahagian penumpang.

Hilmi senyum. Bahagia hatinya mendengar gelak-tawa Haura. Akan dia berjanji dengan dirinya, untuk membuatkan gadis yang dicintainya sentiasa berasa gembira setiap kali bersamanya. 


Previous: BEM 49
Next: BEM 51

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh nurshaza