SENYUMAN Qarizh tidak lekang dari bibir. Hatinya berbunga-bunga dapat meluangkan masa bersama dengan Indira pada petang ini. Hilang sedikit bebanan yang membengkung di dalam kepala otaknya. Lagi-lagi bila dia sudah meluahkan perasaannya pada Indira sebentar tadi. Lega sangat hatinya. Sekarang cuma tunggu jawapan dari mulut Indira sendiri.
"Kenapa kau suka aku, Qar?" soal Indira sebaik saja mereka berdiri di hadapan kereta Qarizh.
"Aku suka kau sebab personaliti kau yang lain daripada perempuan dekat luar sana. Dan sebab kau juga, aku tekad nak ubah diri aku supaya tak kena buli lagi dengan orang."
Indira tersenyum. Kepala diangguk sekali. Sengaja dia bertanya soalan seperti itu kepada Qarizh. Entah kenapa, dia rasa macam mimpi sekarang ni. Dia tak sangka ada lelaki yang menyimpan perasaan terhadapnya.
"Kau boleh tunggu, kan?"
"Tunggu apa tu, Dira?"
"Tunggu jawapan aku. Kau tak akan jemu?"
Bibir Qarizh ternaik sebelah. Kepala dibawa geleng sekali. "10 tahun aku tunggu kau untuk muncul dalam hidup aku, Dira. 10 tahun aku cari kau dengan hasil titik peluh aku sendiri. Aku sanggup upah orang untuk cari kau."
Indira terdiam seketika. Bibirnya dikemam lembut. Sungguh dia tidak menyangka setekad itu lelaki di hadapannya ini mahu mencarinya. Sampai upah orang!
"Terima kasih, Qar. Aku hargai hasil usaha kau untuk cari aku. Aku harap kau tak kisah bagi aku masa untuk aku fikir semua ni."
Qarizh angguk bersama dengan senyuman. "Aku tak kisah. As long as you with me, itu dah cukup bagi aku."
Fuh, cakap omputih terus mamat ni. Aku rasa dia ni ada banyak sisilah. Bukan main romantik dia malam ni. Aku ingatkan dia ni memang jenis tak ada perasaan. Rupanya ada. Omel Indira di dalam hati.
"Kau nak balik?"
Qarizh pandang Indira dengan kening terjongket sebelah. Bibirnya tersungging sebuah senyuman penuh makna. Dah kenapa pula lelaki ini? Buang tabiat ke apa?
"Dah kenapa pandang aku macam tu?" soal Indira dengan nada sepertinya tidak selesa apabila Qarizh memandangnya dengan pandangan yang sukar ditafsirkan.
"Alahai, aku baru senyum macam tu dah cuak. Ikut kaulah nak balik ke tidak. Aku tak kisah. Karang kau yang kena bebel dengan angah."
"Pandai kau, eh. Yalah. Jomlah, balik. Badan aku ni pun dah penat. Kaulah ajak aku berkejar-kejaran satu taman ni." Indira mencebik. Bijak betul dia menuding jari kesalahannya sendiri kepada Qarizh.
"Eh, aku pulak yang kena. Bukan kau ke, yang tiba-tiba ajak aku main kejar-kejar?"
Indira menjelirkan lidahnya sebelum tubuh ditolak masuk ke dalam perut kereta Qarizh. Lelaki itu hanya menggelengkan kepala saja melihat telatahnya. Macam-macam ragam sungguh Indira Callista ini.
"Sunyi je jalan raya malam-malam macam ni. Padahal baru je pukul sembilan malam," ujar Indira sebaik saja kereta sudah meluncur laju di atas jalan raya membelah suasana malam yang sunyi dan sepi itu.
Qarizh angguk setuju. Ketika itu juga matanya mengerling ke arah cermin sisi sebelahnya. Ada sebuah kereta berada di belakang keretanya. Entah kenapa, hatinya kuat mengatakan yang kereta di belakangnya ini merupakan musuhnya. Sedari tadi, kereta itu mengekori mereka. Bila Qarizh ke kanan. Kereta itu turut ke kanan.
"Kenapa kau high speed ni?" soal Indira sambil memegang tali pinggang keledarnya. Seram pula tiba-tiba kelajuan kereta yang dipandu oleh Qarizh meningkat.
"Aku tak sedap hati. Kereta belakang ni follow kita dari tadi," jawab Qarizh.
Indira terus memakukan pandangannya ke arah sisi cermin sebelahnya. Lama dia memerhatikan kereta itu. Sepertinya benar apa yang dikatakan oleh Qarizh. Kereta itu sedang mengekori mereka. Musuh mana pula yang nak menyerang mereka kali ni?
Bang!
"Arghh!" Indira menjerit kecil apabila sedas tembakan dilepaskan dari kereta belakang.
Qarizh sudah tidak senang duduk. Pistolnya pula berada dalam laci dashboard. Tak akan dia nak suruh Indira ambil? Masaklah dia macam ni. Janganlah identiti dia diketahui oleh Indira. Sama sekali dia belum bersedia.
"Di... Dira kau ambil pistol dalam dashboard aku."
"Huh? Pistol? Kau ada pistol? Kegilaan apa kau ni simpan pistol dalam kereta?"
"Sorry, Dira. Nanti aku cerita dekat kau. Please sekarang ni kita dalam bahaya. Ambil pistol tu dan bagi aku. Aku nak kau kawal stereng ni."
Indira telan air liur. Dah serupa dalam filem aksi sekarang ni. Nak tak nak, dia membuka laci dashboard itu lantas sepucuk pistol diberikan kepada Qarizh. Kemudian sebelah tangannya mengawal stereng kereta.
Bang!
Indira sempat mengerling ke arah Qarizh yang sedang membalas tembakan dengan kereta belakang. Sekali tengok, Qarizh sepertinya sudah handal dengan senjata api itu. Siapa Qarizh sebenarnya? Macam mana dia boleh simpan senjata ni? Ada lesen ke?
"Dira, kita kena buat zig-zag supaya dia orang hilang jejak kita. Kau boleh tolong aku?"
"To... tolong apa?"
"Tembak dia orang."
Gulp. Sekali lagi Indira menelan air liurnya. Kali ini paling perit sekali dia nak telan. Dia pernah belajar menembak pun beberapa tahun yang lepas. Sewaktu itu, arwah along masih lagi ada. Sekarang ni, tak tahulah skil dia masih ada lagi ke tidak? Harap-harap tidak karatlah.
"Huh... okey..."
Pistol tadi sudah bertukar tangan. Tingkap di sebelah Indira diturunkan kemudian dia menyasarkan muncung pistol itu ke arah kereta tersebut. Qarizh sesekali mengerling ke arah Indira. Gaya gadis itu sepertinya pernah menembak. Tak salahlah dia menyuruh Indira menyerang musuhnya itu.
Bang! Peluru pertama yang dibebaskan oleh Indira berjaya menembusi cermin tingkap depan kereta itu sehingga berkecai.
"Kau nampak tak siapa, Dira?"
Indira menggelengkan kepalanya. Kereta itu menggunakan cermin tinted yang boleh dikatakan gelap. Dia tidak nampak siapa musuhnya kali ini. Kalau nampak, memang habis dikerjakan olehnya.
"Aku tak puas hatilah, Qar. Siapa dia orang ni? Dia orang nak apa? Tak habis-habis nak kacau keamanan kita," marah Indira. Matanya masih dipakukan ke arah kereta musuh yang masih lagi bergerak itu tetapi semakin perlahan.
Qarizh tidak menjawab sebaliknya hanya mendiamkan diri. Dia sendiri pun tak tahu siapa kepala musuhnya itu. Dan dia juga tertanya-tanya kenapa mereka sasarkan Indira sekali?
Tak mungkin ada kaitan dengan arwah Ilman.
Kedebang!
SAMPAI-SAMPAI saja Qarizh terus menghempaskan pintu masuk markasnya dengan kuat sehingga bergema-gema suasana ruangan itu. Anak-anak buahnya yang sedang duduk lepak, terus berdiri tegak dek terkejut mendengar bunyi hempasan itu. Airiel turut ada di situ, hanya memandang dengan dahinya yang berkerut-kerut.
"Hilmi!" tempik Qarizh sekuat hatinya. Wajahnya sudah tegang semacam, sampai terkeluar urat-urat hijaunya.
"Ya, bos." Hilmi terkocoh-kocoh keluar dari bilik. Segera dia mendapatkan Qarizh yang seperti mahu bertukar menjadi Hulk itu.
"Kau buat kerja ke tak? Satu apa info pun kau tak beritahu aku. Pasal kematian Hesta. Ketua dia dah tahu belum? Siapa musuh yang ramai sangat attack aku dengan Indira?" tengking Qarizh kepada Hilmi. Dia betul-betul sudah hilang sabar.
Hilmi terdiam seketika. Mencari jawapan untuk soalan yang diajukan oleh Qarizh itu tadi. "Hurm... saya masih tak dapat lagi info tentang ketua Hesta tu, bos. Cuma apa yang saya dapat, kumpulan yang serang bos tu memang licik. Dia orang ada ramai anak buah yang handal."
Jawapan Hilmi sama sekali tidak memuaskan hati Qarizh. Sepantas kilat, tangannya merentap kolar baju anak buahnya itu. "Kau jangan nak buat aku naik angin, Hilmi! Selama ni kerja kau laju je! Tak sampai sehari kau dah dapat info. Tak akan benda macam ni kau tak boleh nak handle. Apa masalah kau sebenarnya? Kau tahu tak, bukan sekali dua aje yang serang aku. Ni tadi, ada lagi yang serang aku masa aku nak hantar Indira balik!"
Bergema-gema suara Qarizh. Tiada siapa yang berani masuk campur. Airiel turut terdiam. Terkaku tubuhnya di atas sofa. Ini kali pertama dia melihat Qarizh mengamuk besar seperti ini.
"Saif!"
"Ya, bos," sahut Saif dengan segera. Tidak mahu dia menjadi mangsa Qarizh yang seterusnya.
"Aku nak kau cari info kumpulan tu. Aku bagi kau masa dua hari saja! Kalau tak, kepala sorang-sorang aku penggal!" Kolar baju Hilmi dilepaskan kasar sehingga Hilmi terduduk di atas sofa yang berada di belakangnya.
"Thakif, Zane dengan Irham. Aku nak korang pantau Indira untuk aku. Aku tak nak dia kena sentuh dengan sesiapa pun. Faham?" Terjegil mata Qarizh memandang ke arah tiga orang anak buahnya itu.
"Ya, bos. Kami faham." Serentak mereka bertiga menjawab.
"Kau, Hilmi. Kalau aku tak ada, aku nak kau jaga Indira. Jangan bagi sesiapa sentuh dia walau sikit pun. Tu dah cukup senang kerja kau, aku bagi. Kau tak boleh buat juga, nantikan balasan daripada aku," pesan Qarizh kepada Hilmi sebelum dia melangkah masuk ke dalam biliknya. Kusut kepala otaknya hari ini. Mujur Indira tak banyak sangat bertanya tadi. Kalau tidak, mati dia kalau Indira tahu siapa dirinya yang sebenar.
"Kau okey tak, Mi?"
"Okey. Tak apa. Salah aku juga. Lambat buat kerja. Kau boleh handle tak, If?"
Saif angguk sekali. "Boleh je. Dah lama jari-jemari aku tak bersenam ni. Aku buat kerja dulu. Lagi cepat lagi bagus dapat info, kan?"
Hilmi hanya senyum tipis. Kepala diangguk sekali. Tak sedar, kedua-dua belah tangannya dikepal kuat sehingga urat tangannya tegang. Hanya Airiel saja yang perasan akan perubahan Hilmi itu. Berkerut dahinya melihat Hilmi yang sudah pun melangkah keluar dari markas. Ke mana pula lelaki itu pergi malam-malam macam ni? Tak ada pula Qarizh mengeluarkan arahan menyuruh dia untuk keluar.
"Something fishy Hilmi ni. Patut ke aku ikut dia?" Tak berfikir lama, punggung diangkat lalu menyambar kunci kereta yang berada di atas meja kopi. Dia kena ikut Hilmi. Hatinya kuat mengatakan ada sesuatu yang Hilmi rahsiakan.
Sekiranya dia bertandang ke markas ini, dia tidak pernah nampak Hilmi melakukan apa-apa pekerjaan. Lagak pun dah macam dia sendiri yang ketua. Tak ada pula dia sibuk mencari info tentang musuh yang Qarizh suruh itu. Itu yang membuatkan Airiel rasa curiga dengan Hilmi.