BEG-BEG kertas dijinjit di tangan kanan dan kiri. Macam-macam yang mereka beli sehingga tidak sedar yang hari cerah sudah pun bertukar gelap. Keluar saja dari bangunan pusat membeli-belah itu, Indira dan Haura berpandangan sesama sendiri sebelum melepaskan tawa secara serentak.
"Ya Allah, boleh tak sedar yang dah malam? Memang kaw-kaw kita shopping ni kak! Sampai tak tengok langsung dah pukul berapa. Abang Qar ada call akak tak? Karang mengamuk pulak dia bila isteri dia tak balik lagi."
Indira tersengih. Dia meletakkan beg kertas yang berada di tangannya di atas bangku coklat berdekatan dengan pintu masuk pusat membeli-belah itu tadi. Segera dia mengeluarkan telefon bimbitnya dari dalam beg silang.
"Hurm... tak ada pulak dia call akak. Chat dekat WhatsApp pun langsung tak ada. Mungkin sibuk sangat kut dekat pejabat tu."
Haura mencebikkan bibirnya. Tapi hanya seketika. Tidak mahu Indira perasan. Takut-takut gadis itu kecil hati dengan reaksinya. "Oh, ya ke? Tak apalah tu. Biasalah orang berniaga ni memang 24 jam sibuk saja. Fikir positif sajalah, kan?" Dalam bicara, ada tersiratnya yang disampaikan. Tapi dia tidak tahulah sama ada Indira perasan atau tidak akan maksud tersiratnya itu.
"Ya. Sebagai seorang isteri kenalah bersangka baik dengan suami. Karang jatuh dosa sia-sia saja. Sekarang ni, Haura nak balik ke atau nak ke mana?" Indira yang seakan-akan faham akan maksud percakapan Haura segera menukar topik. Dia malas mahu berfikir tentang Qarizh buat masa ini. Kesan kata-kata yang keluar dari mulut Qarizh pagi sehingga sekarang masih terasa.
"Jomlah, kita balik. Takut Abang Kizo membebel. Kalau dengan Abang Saif tu boleh bertolak-ansur lagi."
Indira menganggukkan kepalanya. Mereka menyambung semula perjalanan menunju ke kereta yang diparkir tidak jauh dari bangunan pusat membeli-belah itu. Suasana pada jam 10 malam itu sangat sunyi dan sepi. Angin pun bertiup agak kencang sepertinya mahu hujan.
Jantung Haura berdetak laju secara tiba-tiba. Matanya meliar ke kanan kemudian ke kiri. Indira pula sedang meletakkan barang di dalam butt kereta. Segera Haura mendekati Indira lalu meletakkan beg kertas yang berada di tangannya ke dalam butt kereta.
"Akak... Haura..."
"Argh!" Indira menjerit kecil apabila seseorang menarik lengannya dari belakang secara kasar kemudian belakang tubuhnya terhentak pada badan kereta.
"Kau siapa?" Laju Haura menyoal gerangan yang memakai serba-serbi hitam itu.
"Kau tak ada kaitan dalam hal aku. Aku hanya nak tuntut hak milik seseorang." Sinis lelaki itu membalas semula soalan Haura.
Haura melepaskan dengusan kasar. Dia menghayunkan tendangannya tepat mengenai perut lelaki itu sehingga terundur beberapa langkah ke belakang. Pergelangan tangan Indira ditarik lalu disorokkan ke belakang tubuhnya.
"Sekali kau sentuh dia, berganda kau akan kena balasan. Jangan cabar aku. Aku warning kau awal-awal." Haura memberi amaran keras.
Lelaki itu berdecit lalu menggosok perutnya yang terasa senak dek tendangan gadis itu. Boleh tahan kuat juga kaki Haura menendang perutnya. Nasib baik dia tidak memuntahkan isi perutnya.
"Kau tak ada kena mengena dalam hal ni. Boleh tak kau jangan masuk campur. Kau memang cari nahas, kan?"
"Kisah pulak aku? Kalau nak tuntut sangat hak seseorang yang kau cakap tu, hadap aku dulu. Aku tak akan izinkan sesiapa sentuh kakak aku."
Indira terharu mendengar percakapan Haura. Ayatnya sama seperti arwah Qasrina pernah ungkapkan dulu. Tiba-tiba saja hatinya menjadi sebak. Rindu pada Qasrina semakin membuak-buak.
"Kau ni memang sengaja, kan? Kau nak aku lawan dengan kau ke? Kau sedar tak yang kau tu perempuan? Kalau aku kick aje kau, melayang tubuh kau yang tak berapa nak besar tu."
Semakin panas hati Haura mendengar lelaki itu sepertinya menghinanya yang bertubuh kecil ini. Nampaknya lelaki itu memandang rendah kepadanya. Dia belum pernah kena makan siku dengan Haura agaknya. Habislah nanti....
"Wah... kau pandang sebelah mata nampak? Jangan komen apa-apa dulu kalau belum tahu bakat terpendam aku. Tendangan aku tadi tu baru permulaan. Jangan sampai kau kena makan dengan seluruh anggota badan aku ni." Haura tersenyum sinis. Syok pula bila dirinya dicabar oleh seorang lelaki yang tidak dikenali ini. Sudahlah memakai hud dan juga topeng mulut. Membuatkan dia gagal mengecam siapa gerangan di sebalik topeng itu.
"Aku tak pandang sebelah mata. Aku pandang guna dua-dua biji mata aku. Sekarang ni, aku malas nak layan kau. Aku nak cepat."
"Tak kisah pun kau nak cepat ke lambat ke. Kau berhambus sebelum aku tibai kau cukup-cukup."
Lelaki itu mengangkat keningnya. "Kau betul cabar aku ni? Tak menyesal?"
"Heh. Langsung tak menyesal, weh. Kita tengoklah siapa yang tumbang."
Tanpa pengetahuan lelaki itu, Haura sudah pun menghantar simbol kecemasan kepada Saif melalui WhatsApp. Seluk saja tangan ke dalam begnya kemudian dengan menggunakan kepakarannya. Dia berjaya menghantar simbol kecemasan itu kepada abangnya tanpa melihat. Hebat betul Haura Sahirah ini.
"Haura!" jerit Indira apabila lelaki itu tiba-tiba saja berlari lalu menerkam tubuh Haura sehingga mereka berdua berguling di atas jalan parkir kereta itu.
Indira mengetap bibirnya. Dia sendiri sepertinya janggal mahu mengeluarkan bakat yang sudah lama tidak diasah. Tapi kalau dibiarkan, takut-takut Haura gagal menewaskan lelaki itu. Dia tidak mahu ada nyawa yang terkorban lagi kerana dia. Cukuplah dulu....
"Kak, masuk kereta! Jangan bagi dia tangkap akak!" pesan Haura kepada Indira sambil bergelut dengan lelaki itu dengan menggunakan kudrat kewanitaannya.
"Tapi..."
"Kak, please!"
Indira teragak-agak. Segera dia membawa tubuhnya masuk ke dalam kereta lalu dikunci. Terketar-ketar tangannya mengeluarkan telefon bimbitnya. Hanya nama Qarizh saja yang berada di dalam ingatannya ketika ini. Nombor kontak Qarizh ditekan dan deringan berbunyi. Namun, suaminya itu menolak panggilannya serta-merta. Terkilan Indira dibuatnya. Dia sekarang berada dalam keadaan kecemasan. Tidakkah suaminya itu risau sekiranya apa-apa terjadi padanya.
"Indira, kenapa kau nak berharap dengan orang yang endah tak endah dengan kau? Selama ni kau boleh jaga diri kau sendiri. Kenapa sekarang tak boleh? Jangan jadikan kejadian dua tahun lepas itu sebagai alasan. Takkan kau nak biarkan Haura keseorangan bergelut dengan penjahat tu?" gumam Indira pada dirinya sendiri. Dia masih lagi dalam keadaan teragak-agak. Sama ada mahu keluar semula dan membantu Haura ataupun duduk saja di dalam kereta seperti yang disuruh oleh Haura.
Kedung!
Indira terperanjat apabila tubuh lelaki itu tercampak di atas bonet kereta. Matanya beralih ke arah susuk tubuh yang berdiri di hadapan keretanya. Berkerut-kerut dahinya melihat susuk tubuh itu. Sepertinya dia kenal.
"Haura okey?" soal Aditya kepada Haura sambil membantu gadis itu untuk bangun.
Haura angguk sekali. Dia bangun. Darah yang mengalir dari tepi bibirnya dikesat kasar menggunakan belakang telapak tangannya.
"Kurang ajar!" Lelaki itu masih belum mahu mengalah. Dia bangun lalu berlari ke arah Aditya dan Haura sambil mengeluarkan pisau lipat dari dalam kocek seluar jeansnya.
Aditya memusingkan tubuhnya ke belakang lalu menunduk manakala Haura berganjak ke tepi. Aditya mengambil kesempatan itu dengan menyepak kaki lelaki itu sehingga jatuh terbaring di atas jalan parkir. Dengan perasaan geram yang semakin membuak-buak, Haura terus menghenyakkan punggungnya di atas perut lelaki itu lalu menghadiahkan beberapa buah tumbukan padu tepat mengenai wajah lelaki itu tanpa henti.
"Aku kalau sekali aku dah warning. Tapi kau buat tuli aje. Memang makan penumbuk akulah. Tak pun kau terasa sangat nak makan siku aku. Kan?" amuk Haura. Tak cukup dengan menumbuk, dia menyiku perut lelaki itu berkali-kali sehingga lelaki itu memuntahkan isi perutnya bercampuran darah.
"Lembik! Bodoh!" Haura menyepak betis lelaki itu berkali-kali.
"Eh, eh... pengsan dah? Tadi bukan main cakap besar." Haura mengejek.
Aditya menggelengkan kepalanya. Dia menarik tangan Haura menjauhi lelaki itu lalu menuju ke Indira yang baru saja keluar dari kereta.
"Akak!" Haura memeluk tubuh Indira.
"Ya Allah, bengkak bibir Haura. Macam mana kalau abang...."
"Tak apalah, kak. Sikit aje. Pandai-pandailah Haura bagi alasan nanti. Haura lindungi akak jugak. Bukannya cari gaduh."
Indira hanya mengangguk kecil. Dia membalas pelukan Haura kemudian anak matanya dialihkan ke arah Aditya yang tampak risau merenungnya.
"Kau okey, Dira? Kau ada luka dekat mana-mana? Kenapa korang tak cakap dengan aku nak keluar? Aku boleh temankan. Haish..."
"Tak terfikir pulak kena serang malam ni...," jawab Indira dengan wajahnya penuh rasa serba-salah.
"Kan Abang Kizo dah pesan. Musuh muncul tak kira masa."
"Maaf..." Indira menundukkan wajahnya. Haura di sebelah hanya mengusap bahu Indira. Dia pun silap juga kerana mengajak Indira keluar bersama-sama tanpa membawa orang lelaki bersama mereka. Konon fikir yang dia kuat sangat. Padahal menahan sangat pada tepi bibir yang berdenyut-denyut sakit. Nak tak nak, kenalah tahan. Nanti Indira semakin risau melihatnya.
"Dah tak apa. Lepas ni, nak ke mana-mana. Ajak sesiapa. Terutamanya lelaki. Haura pun ada abang, kan?"
Haura mencekak pinggangnya. "Cakap pasal abang. Mana dia, eh? Haura dah bagi simbol kecemasan. Sampai sekarang tak nampak batang hidungnya, last-last Abang Adit yang sampai. Ini boleh mendatangkan marah ni."
Aditya menggelengkan kepalanya. Indira hanya memandang ke arah Aditya dan Haura secara bersilih ganti.
"Adik! Adik!" Kedengaran suara seseorang menyeru Haura.
Haura tidak menyahut sebaliknya memalingkan tubuhnya ke arah susuk tubuh yang sedang berlari ke arahnya. Tangannya masih statik berada di kedua-dua belah pinggangnya. Saja dia menayang wajah marah. Bengis.
"Aduh... semput abang..."
"Baru sekarang nak muncul? Acara bergusti dah tamat dah. Abang lambat."
"Adik okey tak? Ni kenapa berdarah macam ni? Matilah abang nak kena jawab dengan Abang Kizo. Sorry la. Kita orang kena tahan dengan polis tadi. Salah ambil jalan terserempak dengan sekatan jalan raya."
"Haaa... padanlah muka. Lain kali alert sikit. Nasib baik ada Abang Adit yang selamatkan adik. Kalau tak...."
"Adik... jangan cakap macam tu. Maafkan, abang. Please...."
Haura mencebikkan bibirnya. Kasihan pula dia melihat Saif yang masih lagi tercungap-cungap dek berlari tadi. Kelihatan Hilmi dan Zane baru saja sampai di belakang Saif.
"Haura, Haura okey?" Tanpa segan-silu, Hilmi menarik pergelangan tangan Haura menjauhi dari mereka. Tangannya naik menyentuh tepi bibir Haura yang membengkak. Darahnya sudah mengering.
"Auch!" Haura menepis tangan Hilmi. Suka-suka saja menyentuh anak dara orang. Depan abang dia pula itu. Memang mencari nahas betul Si Hilmi ni.
"Amboi... aku ada depan mata, suka-suka kau aje sentuh adik aku." Saif menarik lengan Haura lalu bahu adiknya dipeluk kemas.
Hilmi menggaru kepalanya yang terasa gatal secara tiba-tiba. Tindakan itu betul-betul luar kawalannya. Entah kenapa, dia terlalu risaukan Haura. Lagi-lagi melihat tepi bibir Haura yang membengkak itu.
"So... sorry, weh. Aku tak sengaja. Tu spontan."
"Spontan... spontan... nasib baik aku yang nampak. Kalau Abang Kizo yang nampak, mahu melayang kau atas badan lori pasir tu." Saif menjuihkan bibirnya ke arah sebuah lori pasir yang lalu di hadapan mereka.
Hilmi hanya tayang sengih. Malu dengan perbuatannya sendiri. Dah disampuk angau cinta ke apa ni?
"Sudahlah. Saif... kau bawalah adik kau balik. Rawat dia. Aku akan balik dengan Dira."
"Kau datang sini naik apa?" soal Indira dengan kerutan di dahi.
"Naik bas. Saja ronda-ronda bandar tadi. Jumpa kawan sekejap. Lepas tu, secara kebetulan terserempak korang dekat sini."
Indira menganggukkan kepalanya. "Jomlah, kita balik. Dah pukul 11:30 malam dah ni. Lewat sangat. Takut Qarizh dah sampai rumah dulu."
"Abang Mi, mintak tolong ambilkan barang-barang Haura dekat dalam kereta akak. Tanya akak mana satu barang Haura. Bye!" ujar Haura selamba lalu memanjat belakang tubuhnya abangnya.
Saif menayang wajah reda. Mujur adiknya sakit. Kalau tidak, mahu saja dia melepaskan tubuh adiknya jatuh ke bawah. Satu hal pula, adiknya boleh tahan kuat mengadu. Mahu bernanah telinganya nanti kalau Si Kizo membebel.
BEBERAPA kali dia melepaskan dengusan kasar. Bermundar-mandir dari tadi seperti cacing kepanasan. Skrin telefon bimbit dikerling sekali. Masih tiada balasan daripada Indira. Dikerling pula jam petak yang tergantung pada dinding ruang tamu. Hatinya mendongkol geram. Wajahnya diraup berkali-kali secara kasar.
"Mana pulak dia ni pergi? Aku chat tak balas. Aku call tak angkat! Masuk peti suara je!" amuk Qarizh. Dia menumbuk belakang badan sofa berkali-kali melampiaskan kemarahannya yang ditahan-tahan dari tadi.
Krek...
Kedengaran bunyi pintu utama dibuka dari luar oleh Indira. Qarizh mengangkat pandangannya lalu merenung dalam ke arah susuk tubuh Indira yang baru saja menutup dedaun pintu.
"Kau pergi mana, hah?" tengking Qarizh tanpa boleh bersabar lagi. Suaranya lantang ibarat halilintar sehingga bergema suasana ruang tamu itu.
Terangkat kedua-dua belah bahu Indira dek mendengar tengkingan Qarizh itu. Takut-takut dia hendak berdepan dengan suaminya itu. Besar sangatkah salah dia malam ini?
"Kau pergi mana? Aku tanya kau ni. Asal kau diam?"
"Keluar dengan Haura," jawab Indira dengan nada suaranya sedikit bergetar.
"Sampai malam macam ni? Aku bagi kau kebebasan. Naik lemak kau, ya!"
Indira diam. Tidak tahu jawapan apa yang harus dia berikan kepada Qarizh lagi. Dia sedar, apa saja jawapan yang keluar dari mulutnya sama sekali tidak akan diterima oleh suaminya itu.
"Indira Callista!"
Indira masih lagi diam. Entah kenapa, hatinya menjadi panas. Sedikit pun lelaki itu tidak pernah faham akan dirinya. Dia dan Haura diserang tetapi suaminya itu langsung tidak tahu.
"Aku tanya kau ni!" Qarizh menerpa ke arah Indira lalu kedua-dua belah bahu isterinya dicengkam kuat kemudian digoncang beberapa kali agar Indira membuka mulut.
"Aku tak sengaja! Aku dengan Haura tak sedar yang hari dah larut malam...." Panggilannya kepada Qarizh sudah bertukar.
"Aku tak boleh terima alasan kau!"
Tak sempat Indira mahu menghabiskan penjelasannya, Qarizh lebih pantas memotong percakapannya. Sudahnya Indira hanya menundukkan wajahnya dan kembali membisu.
"Asal kau tunduk? Kenapa diam? Aku tak dengar bunyi kereta kau. Mana kereta kau?"
"Aditya pinjam. Esok dia pulangkan semula."
Jawapan Indira menaikkan lagi lava amarah Qarizh. Kedua-dua belah tangannya digenggam sehingga urat hijau menimbul.
"Aku tak tahu pulak yang kau keluar dengan jantan tu. Dia tu siapa? Skandal kau? Lelaki simpanan kau?"
Pang! Dek kerana sudah hilang sabar dengan sikap Qarizh, satu habuan dilepaskan tepat mengenai pipi kanan suaminya itu. Dia tidak sengaja. Tidak mampu lagi menahan sabar.
"Jaga mulut kau tu, Qar. Jangan jadikan aku isteri derhaka. Dan jangan nak guna kuasa veto kau sebagai seorang suami. Kau tanya aku macam-macam soalan tapi bila aku nak terangkan. Kau terus potong. Macam mana aku nak jelaskan perkara yang sebenar?"
Qarizh ketawa. Mengejek bunyinya. Pipinya yang terasa pijar disentuh perlahan. "Oh, tahu pulak nak cakap macam tu. Habis kau keluar dengan lelaki tu tanpa pengetahuan aku boleh pulak?"
"Kau sendiri cakap. Jangan kacau kau. Aku nak pergi ke mana, pun kau tak ambil kisah. Aku keluar dengan Haura. Aditya tu secara kebetulan sebab ada orang serang aku. Nak culik aku. Mungkin nak ulang semula kejadian dua tahun lepas." Sinis Indira membalas semula soalan Qarizh. Biar Qarizh tahu yang dia juga mempunyai hati dan perasaan.
"Kau kena serang?" Suara Qarizh mengendur. Bermakna tadi, Indira dalam keadaan bahaya. Panggilan Indira sebanyak lima kali semuanya dia tolak. Langsung tidak angkat.
"Kau okey tak?" Jantung Qarizh berdegup kencang. Dia mengimbas tubuh Indira dari atas sehingga bawah. Takut. Terlalu takut sekiranya Indira cedera.
"Aku okey, Qar. Jangan risau. Cuma hati aku aje yang sakit dengan perangai kau yang sekarang ni. Aku cuba nak berlembut dengan kau sebagai seorang isteri. Tapi nampaknya, kau dah munculkan semula perangai aku yang lama. Terima kasih aku ucapkan. Perwatakan inilah yang selama ini aku cari. Aku dah jumpa semula."
Qarizh membungkam. Dia merenung wajah Indira lama.
"Aku naik dulu. Aku penat. Kalau aku beritahu kau apa yang jadi pun, kau tak akan percayakan aku. Kalau nak tahu sangat, boleh call anak-anak buah kau. Call Aditya. Call Haura. Kalau kau masih tak percaya juga, aku tak mampu nak cakap apa-apa lagi dah."
Indira terus berlalu meninggalkan Qarizh yang masih lagi tercegat berdiri di situ. Dia melepaskan tangisannya secara perlahan sambil merenung ke arah telapak tangannya yang menampar Qarizh sebentar tadi. Sungguh dia tidak sengaja. Dia dalam keadaan penat dan marah. Tapi sedikit pun Qarizh tidak ambil peduli.
"Aku minta maaf, Qar. Aku tak sengaja. Sumpah, aku tak sengaja," ucap Indira dengan nada perlahan. Hanya dia sendiri saja yang dengar.