GAMBAR bersaiz kecil yang muat diletakkan di dalam dompetnya diusap perlahan. Entah kenapa hari ini, perasaan rindu pada arwah Ilman Renaldi membuak-buak di dalam hatinya. Setiap kali dia melihat Dara Alana, sepertinya Ilman berada di hadapannya. Masih segar lagi pesanan Ilman dan Kaisara sehari sebelum mereka meninggalkan dunia.
"Along takut yang along tak dapat nak jaga adik lagi. Semuanya abang serahkan dekat angah. Giliran dia pegang tanggungjawab along. Tolong jaga dan didik Alana bila along dengan kak long tak ada nanti. Itu saja pesanan abang. Dan pegang ayat yang pernah along ajar tu sampai bila-bila."
Matanya terpejam rapat bila suara arwah bermain di gegendang telinganya. Dia kena kuat. Hatinya harus cekal. Dia tidak boleh lembik mahupun lemah sama sekali.
"Kak, jauhnya termenung," tegur Qasrina yang baru saja menuruni anak tangga.
"Hah, tak adalah. Akak tunggu kaulah. Dah siap ke?"
Qasrina tersenyum lalu kepala dibawa angguk sekali. "Jomlah."
Indira bangkit berdiri sebelum mengekori langkah Qasrina keluar dari rumah. Hari ini, Alana tinggal bersama dengan Izz di rumah memandangkan Izz tidak bekerja. Katanya kerja dari rumah saja.
"Tak apa ke, kalau akak ikut ni? Nak jumpa keluarga kau je pun," soal Indira sebaik saja mereka berdua melepasi tubuh ke dalam perut kereta Qarizh.
"Ala, temanlah Qas. Walaupun keluarga, terasa kekok juga sebab dah lama tak jumpa. Abanglah punya pasal. Sibuk sangat sampai nak jumpa saudara-mara sendiri pun tak sempat. Akak kan penjaga Qas. Kenalah ikut." Qasrina tayang sengih.
Indira hanya diam dan kepalanya diangguk kecil. Kepalanya berpaling ke luar tingkap. Kelihatan Qarizh sedang bercakap dengan telefon bimbit. Entah apa yang dibual sampaikan berkemut-kemut muka lelaki itu. Kadangkala, terdetik hatinya memikirkan tentang Qarizh. Lelaki itu ada melakukan apa-apa pekerjaan lain selain menjadi CEO ke? Bukan main sibuk macam dia seorang saja yang uruskan syarikat itu. Sedangkan syarikat itu kepunyaan keturunan keluarganya. Tak akanlah dia seorang saja yang urus syarikat tu?
"Abang ni, cakap dengan siapa? Lama betul. Kematu dah punggung orang tunggu abang," bebel Qasrina apabila si abang sudah masuk ke dalam kereta. Punggung pun tidak panas lagi, sudah mendengar bebelannya yang memeriahkan suasana di dalam kereta itu.
"Hal kerja."
Qasrina mengajuk percakapan Qarizh. Indira yang berada di sebelah Qarizh hanya menggelengkan kepala. Sekejap beku. Sekejap senyum. Tak tahulah kenapa dengan lelaki ini. Dia sendiri pun keliru dengan personaliti lelaki ini. Tak akan ada spilt personaliti pula?
"Jauh ke, rumah saudara kau tu?"
"Dalam sejam 30 minit sampailah. Kalau kau penat, tidurlah dulu. Nanti dah sampai aku kejutkan."
Indira angguk. Sempat dia mengerling ke belakang. Patutlah senyap. Rupanya Qasrina sudah melabuhkan tirai di tempat duduk belakang. Baru saja mereka bergerak, sudah lena seperti itu. Penat sangat gamaknya. Tak tahulah buat kerja apa sampai penat sangat.
"Indira..."
"Hmm?"
"Aku nak pesan dekat kau. Kalau ada sesiapa tanya pasal kau, kau cakap aje yang kau kerja dengan aku. Dan, kau rapat dengan Qas. Jangan cakap yang kau penjaga Qas pula."
"Okey. Tu aje pesanan kau?" Kening dijongket sebelah.
"Jangan cepat percayakan orang."
Indira terdiam. Lambat-lambat dia menganggukkan kepala. "Erm, kau ada masalah ke? Aku tengok muka kau tegang aje dari tadi."
"Tak ada apa. Aku boleh handle. Kau jangan risau."
Tidak lagi dia menyoal lelaki itu. Sepertinya ada masalah yang menimpa Qarizh. Kalau tidak, masakan wajah lelaki itu kelihatan tertekan?
"ASSALAMUALAIKUM!" Qasrina memberi salam sambil jari telunjuk menekan loceng rumah beberapa kali.
"Waalaikumussalam. Ya Allah, Qasrina rupanya! Qarizh pun ada. Rindunya mak long pada korang berdua." Tubuh si anak saudara perempuan ditarik ke dalam dakapannya erat.
"Tulah mak long. Dah lama tak jumpa, kan? Maafkan kita orang sebab sibuk sangat uruskan syarikat tu."
Tengku Yasmin tersenyum sebelum kepalanya digeleng sekali. "Tak apa, sayang. Mak long faham. Kebetulan korang datang ni, Yazir baru aje balik dari UK dua minggu yang lalu. Marilah masuk. Mak long baru habis masak."
"Mesti sedap, kan? Qas rindu nak makan masakan mak long."
"Jom. Mesti Qas bertambah-tambah punya."
"Sebelum tu mak long, ni Qas nak perkenalkan Indira Callista. Dia dah macam kakak Qasrina sendiri."
Yasmin hanya kekal tersenyum. Kepala dibawa angguk sekali. Tangan dihulur untuk berjabat tangan dengan Indira.
"Assalamualaikum mak cik."
"Waalaikumussalam. Panggil aje mak long. Dah lama ke Indira kenal dengan Qas dan Qar?"
"Baru beberapa bulan mak long." Indira tayang senyum kekok. Tak pernah dia beramah mesra dengan keluarga orang lain.
Yasmin angguk. "Marilah, masuk. Qar kamu sihat?" Pandangan dialihkan ke arah Qarizh yang berdiri tegak di sebelah Indira.
"Sihat, mak long." Tangan dihulur untuk bersalaman dengan mak longnya itu.
Tak lama itu, muncul satu susuk tubuh yang mengenakan t-shirt kosong berwarna kelabu dan seluar tracksuit hitam. Pandangannya dipakukan ke arah tingkat bawah. "Eh, ibu. Siapa tu?"
"Sepupu Yaz sendiri tak kenal dah?" perli Yasmin.
"Qarizh? Qasrina?"
Qasrina tersenyum lebar manakala Qarizh hanya menayangkan wajah bekunya. Sama sekali tidak teruja berjumpa dengan sepupunya itu. Indira hanya diam membisu. Tidak tahu dia sepatut mencelah atau tidak. Lebih baik dia berdiam diri. Takut-takut tersalah cakap. Diri sendiri yang malu.
"Ya Allah, korang. Lama tak jumpa doh. Korang sihat?"
"Sihat je Abang Yaz. Dah lama tak jumpa Abang Yaz. Mesti syokkan dah habis belajar?"
Yazir tayang sengih. Kepala dibawa angguk sekali. "Syoklah juga. Tapi bosan, tak tahu nak buat apa dekat rumah ni."
"Dah tu, tak reti nak datang pejabat ke? Lama juga aku tunggu kau datang ofis tu. Sampai ke sudah aku tak nampak batang hidung kau. Mak long kata kau dah dua minggu balik sini. Berehat sakan ke?" Laju saja Qarizh mencelah percakapan Yazir. Dari perjalanan ke sini tadi, dia berasa sebal dengan sikap sepupunya yang seorang itu. Sikap lepas tangan. Langsung tidak bertanyakan tentang syarikat itu. Seratus peratus diserahkan kepadanya. Walhal syarikat itu ada perkongsian setiap seorang di antara mereka.
"Aku baru rancang nak datang isnin depan ni. Tup-tup kau dah terpacak dekat dalam rumah aku ni. Terkejut aku tau." Yazir sengaja membuat-buat ketawanya itu. Tidak ikhlas.
"Alasan kau tak boleh pakai. Kau dari dulu memang sama je. Tak ambil kisah." Qarizh menjeling sebelum dia melangkah ke ruangan meja makan dengan kedua-dua belah tangannya diselukkan ke dalam poket seluar. Terlalu sebal hatinya ketika itu. Lagi-lagi melihat wajah Yazir yang langsung tidak bersalah.
"Maafkan abang, mak long dan Abang Yaz. Abang mood dia ke laut sikit hari ini? Dari rumah tadi, dia memang angin satu badan. Tak tahulah kenapa. Ada masalah dekat syarikat tu kut." Qasrina seperti biasa membela abangnya itu. Dalam hati sudah tertanya-tanya, kenapa abangnya terlalu marah pada Yazir?
"Tak apalah. Streslah tu dekat syarikat tu. Yaz ni pun satu. Jenguk-jenguklah syarikat tu. Kamu pun ada share juga. Nanti share kamu hilang barulah nak menggelabah. Penat dah ibu nasihat. Langsung tak nak dengar."
Yazir mencemik. "Yalah, Yaz pergilah nanti. Janganlah bebel. Orang baru nak happy jumpa sepupu."
Yasmin menggelengkan kepalanya. Tangan Indira dan Qasrina ditarik sehingga ke ruangan meja makan. Kelihatan Qarizh sedang duduk di atas kerusi meja makan sambil menatal skrin telefon bimbitnya.
"Kau okey?" soal Indira dengan nada perlahan sebaik saja melabuhkan punggung bersebelahan dengan Qarizh.
"Lepas makan, balik."
Lain ditanya, lain jawapan yang diberikan. Macam tak kenal Tengku Qarizh Nadim ini. Kepala dibawa angguk sekali. Tak mahu tanya lebih-lebih. Nanti makin naik angin dalam badan lelaki itu nanti.
"ABANG kenapa bad mood semacam? Kita baru nak gembira jumpa mak long dengan Abang Yaz."
Qarizh diam. Dia hanya menumpukan sepenuh perhatiannya kepada pemanduan.
"Tengoklah tu. Orang tanya dia diam aje. Sakit hati macam ni."
Tiba-tiba saja kereta yang dipandu oleh Qarizh berhenti di bahu jalan. Indira di sebelah sudah tidak senang duduk. Janganlah dua beradik ini bergaduh depan dia. Tak suka.
"Kau tak tahu apa yang aku fikir, dik. Dua minggu dia balik, dia langsung tak jenguk kat ofis tu. Semua aku yang kena handle. Siapa yang tak sakit hati?"
Qasrina mencebik. Kepala digeleng sekali. "Abang tu sebenarnya yang selfish. Okeylah, Abang Yaz salah. Dan, abang pun ada salah. Apa gunanya Qas dekat abang? Qas ni abang buat macam tak wujud aje tau! Too much protective. Qas rimaslah abang!" Sudah lama Qasrina menahan sabar. Entah kenapa, hari ini sepertinya dia mahu meluahkan apa yang terpendam di dalam isi hatinya itu.
Qarizh tersentak. Badannya dibawa pusing menghadap Qasrina yang duduk di belakang. Indira hanya memerhatikan mereka menggunakan cermin pandang belakang.
"Apa pandang-pandang? Tak percaya apa yang Qas cakap?" Kedengaran laju pernafasan Qasrina. Dia betul-betul marah ketika ini.
"Kau rimas dengan aku, Qas?" soal Qarizh. Nada suara sepertinya tidak percaya apa yang diomongkan oleh adiknya itu sebentar tadi.
"Ya, Qas rimas. Selama ini, Qas ikut apa saja yang abang arahkan. Tapi, Qas tengok hari ini abang melampau. Tak ada hormat langsung depan mak long. Jagalah sikit hati mak long tu. Dia aje keluarga yang dia ada. Kalau abang nak marah Abang Yaz sekalipun, janganlah depan-depan mak long."
Qarizh diam. Dia sedar kesalahannya tapi pada yang sama hatinya bagaikan remuk mendengar luahan Qasrina. Dia tidak sangka, tindakannya selama ini mengundang perasaan rimas dalam hidup gadis itu.
"Aku minta maaf." Qarizh tidak tahu mahu katakan apa lagi. Gear P berubah menjadi D. Laju saja kereta meluncur kembali ke jalan raya. Matanya yang sedikit berkaca ditahan supaya tidak gugur.
Indira yang perasaan air muka Qarizh berubah. Dia sendiri tidak tahu mahu menyebelahi siapa. Sudahnya, dia hanya membisu dan pandangannya dilemparkan ke arah luar tingkap. Mengamati suasana sepanjang perjalanan pulang ke rumah Qarizh. Permintaan Qasrina, malam ini dia akan menemani gadis itu tidur.
Kenapalah dia orang berdua ni bergaduh disebabkan sepupu dia orang sendiri. Not worth it at all. Benda kecil pun nak bergaduh. Aduhai... perkara boleh bawa berbincang kut.