Home Novel Thriller/Aksi Bidadari Encik Mafia (Completed)
BEM 45

TERPISAT-PISAT dia hendak mencelikkan matanya. Kali ini, suasana berubah tidak seperti kali pertama dia mencelikkan mata. Tiada lagi bau ubat-ubatan menusuk ke rongga hidungnya. Apa yang dia tahu sekarang ini, dia bukan lagi berada di wad hospital. Sepertinya dia berada di sebuah bilik yang boleh dikatakan agak mewah designnya.

"Puan, dah sedar ke? Puan nak apa-apa?"

Indira mengerling ke arah sisinya. Susuk tubuh yang baru saja melangkah masuk ke dalam bilik, sepertinya pembantu rumah baru saja kalau dilihat melalui penampilan.

"Saya dekat mana, ya?" Perlahan Indira menyandarkan tubuhnya pada kepala katil berlapikkan bantal. Macam mana dia boleh ada di sini? Bukan ke, dia berada di hospital?

"Dekat rumah Tengku Harun."

Berlapis-lapis dahi Indira dibuatnya. Siapa pula Tengku Harun? Tak pernah lagi dia mendengar nama itu. Qarizh pun tiada menyebut nama itu. Tapi berketurunan Tengku juga. Ah, sudah. Berapa ramai orang baru lagi yang hendak dia kenal ini?

"Dah bangun ke?" Suara garau itu membuatkan Indira sedikit terkejut.

"Sia... siapa?"

"Saya Tengku Harun."

Oh, inilah lelaki yang bernama Tengku Harun. Fikirkan orang muda. Rupanya sudah tua. Mungkin sudah berpangkat ayah. Bila lihat dari suasana rumah, sepertinya lelaki itu tinggal bersendirian bersama dengan pembantu rumah.

"Saya kena balik, Tengku. Suami saya mesti tunggu saya dekat rumah." Perlahan Indira menolah tubuhnya untuk bangun. Rasa sengal di seluruh badan tidak dihiraukan. Apa yang penting sekarang ni, dia perlu pulang ke rumah. Sudah berapa lama dia berada di luar ini. Pasti Qarizh sedang mencarinya.

"Indira Callista. Perempuan yang Yazir cinta, kan?"

Soalan Tengku Harun membuatkan pergerakan Indira terkunci secara mengejut. Terkaku seluruh tubuh badannya. Dalam hati terlalu berharap yang lelaki ini tiada kaitan dengan Yazir. Jangan buat dia rasa takut ketika ini.

"Tengku... siapa?" Dengan keberanian yang ada, Indira menentang pandang dengan Tengku Harun.

"Saya ayah dia. Ayah kandung."

Dunia Indira bagaikan berhenti dari berputar. Masaklah dia macam ni. Sekarang dia kena berhadapan dengan ayah kandung Yazir. Entah apa rancangan yang bermain dalam minda lelaki tua itu.

"Saya kena balik, Tengku. Saya minta maaf. Terima kasih sebab..."

Belum sempat Indira menghabiskan bicaranya, Tengku Harun menangkap pergelangan tangan Indira sehingga gadis itu terduduk semula di atas katil. Pandangannya dipakukan pada seraut wajah Indira.

"Tengku, lepaskan saya..."

"Kalau dengan cara ini, saya boleh dapat balik keluarga saya. Saya terpaksa simpan awak, Indira."

Laju Indira menggelengkan kepala. Semua orang yang berkaitan dengan Yazir, semuanya sudah gila. Kenapa mereka semua suka menganggu kebahagiaannya dan Qarizh?

"Jaga dia. Jangan sampai dia terlepas. Saya nak bawa anak saya ke sini. Kemas rumah dan masak makanan kesukaan anak saya," arah Tengku Harun kepada pembantu-pembantu rumahnya.

"Tengku! Lepaskan saya!" jerit Indira sambil menampar-nampar dedaun pintu bilik yang sudah tertutup rapat.

"Tengku!" Tubuh Indira melorot jatuh ke atas lantai. Terenjut-enjut bahunya melepaskan tangisan. Kenapa dia harus dipertemukan dengan orang yang berkaitan dengan Yazir? Sampai bila dia harus hadap situasi seperti ini?

Dia lelah....

Dia mahukan Qarizh....

"INDIRA mana?" Qarizh menjerit bagai orang gila sebaik saja dia sedarkan diri. Susuk tubuh yang dicarinya tidak kelihatan membuatkan dirinya tidak keruan. Dia takut pisang berbuah dua kali. Dia tidak mahu Indira tersakiti lagi.

"Kau jangan nak terpekik-terlolong, Qar. Kau juga yang sakit nanti," ujar Izz dengan nada tegang. Sampai-sampai saja, dia terus menerima berita daripada doktor yang Qarizh baru saja sedarkan diri. Tepat pada masanya.

"Angah, aku gagal. Aku gagal lindungi Dira. Maafkan aku, ngah..." Qarizh menghentak-hentak kepalanya pada kepala katil. Berkali-kali.

"Abang Qar... jangan buat macam tu...," pujuk Haura. Tangannya menghalang kepala Qarizh dari terus dihentak pada kepala katil.

"Tak ada gunanya kau nak sakitkan diri kau, Qar. Kau berehat. Aku dengan Kizo nak keluar cari Dira. Apa-apa nanti aku bagi tahu kau." Izz mengangkat punggungnya lalu melangkah keluar dari wad Qarizh. Wajahnya diraup sekali. Kenapalah hidup adiknya menjadi mainan mereka? Sama sekali dia tidak boleh terima. Dari mula sampai sekarang, mereka tak habis-habis menyakiti Indira.

"Kau bahagikan kumpulan. Satu kumpulan jaga sini. Satu kumpulan ikut aku," suruh Izz pada Kizo.

Kizo menganggukkan kepala. Tanda arahan Izz diterima. Saif yang berdiri di hadapannya, dikerling sekali. Faham-fahamlah Saif akan maksud kerlingannya itu.

"Kita kena buat grup. Separuh ikut dia orang. Separuh tinggal sini," beritahu Saif kepada rakan-rakannya.

"Biar aku temankan Qar."

Saif menoleh ke arah Airiel yang baru saja muncul. Lelaki ini memang macam chipsmore. Sekejap muncul, sekejap hilang. Dah macam halimunan. Tapi Saif tahu, lelaki ini ada halnya tersendiri.

"Mi, Yan, Zane dengan aku akan ikut Abang Izz dan Abang Kizo. Yang lain stay sini." Saif sudah mengeluarkan arahannya selaku penolong kanan setia Qarizh.

"Okey, cun," jawab Adiyan. Kepalanya diangguk sekali.

"Adit, kau ikut aku. Kita jaga Qar," ajak Airiel.

Aditya tidak banyak cakap. Tak membantah. Dia hanya turuti saja ajakan Airiel melangkah masuk ke dalam wad. Saif dan rakan-rakannya yang lain sudah berlari anak mengejar langkah Kizo dan Izz yang sudah keluar dari bangunan hospital. Tinggallah Thakif dan Irham yang berada di ruangan menunggu. Bertindak berjaga-jaga.

YAZIR merenung wajah Harun yang berada di hadapannya. Yasmin juga terkejut dengan kedatangan Harun secara tiba-tiba. Lihat-lihat saja sudah terpacak di hadapan pintu rumah. Pada mulanya, memang teruk dia kena sembur dengan Yazir. Tapi semburannya terhenti di saat Harun menyebut nama penuh gadis kesayangan Yazir.

"Kau saja nak perangkap aku ke apa? Nak aku terima kau jadi bapak aku? Sebab tu kau guna nama Indira?"

Harun menggeleng sekali. Bibirnya terbit sebuah senyuman. Lebar.

"Indira memang betul-betul ada dekat rumah ayah. Ayah tak sengaja terlanggar dia... urgh!"

"Kau langgar dia?" tengking Yazir betul-betul di hadapan wajah Harun. Kolar kemeja ayahnya selamba saja direntap kasar.

"Yazir..." Yasmin cuba menegur tindakan anaknya itu.

"Ayah tak sengaja, nak. Dia lari dan ayah tak sempat nak tekan brek. Tapi dia dah sedar. Dia dah okey."

Yazir melepaskan kolar baju kemeja Harun sehingga ayahnya terduduk di atas karpet ruang tamu. Dadanya berombak laju. Sakit hatinya bila dengar Indira kemalangan disebabkan ayahnya. Pada masa yang sama, dia gembira kerana Harun menemui Indira. Mudahlah dia untuk menewaskan Qarizh.

"Bawa Indira ke sini."

"Yaz dah boleh terima ayah?"

"Mungkin. Bawa dia dulu. Baru kau tahu jawapan yang sebenar." Yazir terus mendaki anak tangga untuk ke tingkat atas. Dia sudah mampu berjalan seperti biasa walaupun perlahan. Tidak memerlukan lagi pertolongan daripada tongkat.

"Kau nak ambil dia dekat rumah ke? Lepas tu, datang sini semula?" soal Yasmin. Sungguh dia berasa malas ketika ini. Sungguh dia tidak menyangka Harun akan menemui Indira. Terkejut juga lelaki itu menyimpan Indira di rumahnya. Betul-betul tekad mahu mengambil hati Yazir.

"Ya. Abang akan balik rumah sekejap. Abang akan datang ke sini semula dengan perempuan tu." Harun tersenyum lebar. Berbunga-bunga hatinya melihat senyuman yang terbit pada bibir Yazir sebentar tadi. Terlalu berharap yang Yazir akan menerima dirinya sebagai seorang ayah. Itu saja permintaannya ketika ini.

"Abang ingat Yazir nak datang rumah abang. Abang dah suruh pembantu rumah masakkan makanan kesukaan dia yang macam Min cakap tu. Tapi tak apalah, abang akan bekalkan dan bawa ke sini. Mesti dia suka, kan?"

Yasmin tidak menjawab. Tiada sebarang respons. Hanya pandang kosong saja. Dia sendiri tidak tahu apa yang bermain di dalam fikiran Harun. Terlalu mahukan Yazir menerima dirinya sebagai seorang ayah. Dulu bukan main dicaci, dibuang. Sekarang, dah ludah nak dijilat semula.

"Jangan suka sangat. Kau tak kenal anak lelaki kau tu macam mana. Jangan berharap sangat. Takut kecewa. Jangan cakap aku tak pesan pulak. Dah naik berbuih aku bagi tahu kau."

Harun hanya senyum segaris. Sedikit sebanyak kata-kata Yasmin membuatkan hatinya kembali tidak keruan. Tapi itu tidak membuatkan dia berputus asa. Kalau sampai mati sekalipun, dia sanggup buat. Janji dia dapat kembali bersama dengan keluarga kecilnya. Dia tak dapat nak hidup dengan tenang sekiranya Yazir dan Yasmin tidak menerima dirinya.

"ABANG Qar... Haura suap abang makan, nak tak? Abang Izz suruh abang cepat sembuh." Seperti biasa, dengan suara yang penuh ceria. Haura sedaya-upaya memujuk Qarizh untuk mengisi perutnya.

"Aku tak selera, Haura."

"Alahai, sampai bila pun abang tak selera kalau ikutkan sangat tak selera tu. Ni Haura masak sendiri tau. Bukan beli dekat luar. Sempat tadi, Haura balik ke rumah Abang Kizo. Masak bubur untuk abang." Itulah Haura. Dia takkan pernah jemu untuk memujuk orang sehingga orang itu termakan dengan pujukannya.

Qarizh mengangkat pandangannya. Wajah Haura yang berada di hadapannya, ditenung lama. Membuatkan hatinya rindup ada Qasrina. Dulu kalau dia sakit, Qasrina mesti pujuk dia makan sampai dia nak. Begitu juga dengan makan ubat. Sekarang, Qasrina sudah tiada. Diganti dengan Haura yang mirip seperti Qasrina.

"Yuhuuu... Haura suap?" Haura melambai-lambaikan tangannya di hadapan wajah Qarizh. Sempat pula mamat ni termenung. Jenuh dia menyoal soalan yang sama. Nak makan pun susah. Bukan suruh masak pun. Suruh makan saja.

"Hmmmm...."

"Okay, good. Macam tulah suami Kak Dira. Dengar kata. Cepat sembuh, okey!"

"Kenapa kau beria-ria nak jaga aku? Kita bukan rapat pun." Entah kenapa Qarizh boleh menyoal Haura dengan soalan sebegitu.

"Erm... kenapa eh? Oh... sebab Kak Dira kan kakak kesayangan Haura. Apa yang berkaitan dengan dia. Mestilah berkaitan dengan Haura juga. Dia sayang dan cintakan abang. Dia mesti tak nak tengok abang sakit terlantar macam ni. Mesti dia tengah berharap sekarang, abang akan datang dan jemput dia balik ke rumah. Selamatkan dia. Jadi hero dia. Macam dalam novel."

Jawapan Haura membuatkan Qarizh terdiam sejenak. Ya, dia kena cepat sihat dan selamatkan Indira. Bukan terus-menerus menyalahkan diri kerana gagal melindungi isterinya. Anak-anak buahnya yang lain sibuk mencari keberadaan isterinya. Tapi dia? Masih lagi terbaring di atas katil wad.

"Haura... tolong aku..."

"Tolong apa?"

"Aku nak keluar cari Dira."

"Eh, mana boleh. Abang kan belum sihat lagi. Luka kat badan tu pun baru nak kering." Laju saja Haura menggelengkan kepalanya.

"Takkan aku nak harapkan dia orang cari Dira. Aku suami dia. Aku nak cari dia dengan mata aku sendiri. Aku tak sedap hati, Haura. Tolonglah...," rayu Qarizh.

Haura menggaru tepi pipinya. Haih... dia juga yang kena....


Previous: BEM 44
Next: BEM 46

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh nurshaza