Home Novel Thriller/Aksi Bidadari Encik Mafia (Completed)
BEM 8

SEPERTI biasa pada waktu pagi-pagi begini, Izz akan menyediakan sarapan pagi. Dara Alana yang sudah siap berseragam sekolah, berpimpinan tangan menuruni anak tangga bersama dengan Indira menuju ke dapur untuk menikmati santapan pagi yang dibuat oleh Izz. Qarizh tidak lagi kelihatan batang hidungnya. Mungkin masih lena dibuai mimpi.

"Eh, Qarizh mana? Dia tak turun sekali?"

Indira mengerling ke tingkat atas. Bahunya diangkat sekali. "Entahlah. Tidur lagi agaknya."

"Pergilah kejut. Sarapan sama-sama."

"Erk... adik juga kena kejut? Abangkan lelaki, pergilah kejut."

Izz memandang toya ke arah Indira. Tangannya dinaik bersilang ke dada. "Kejut dari luar bilik. Bukan suruh masuk dalam bilik tu pun."

"Yelah. Yelah."

Dengan penuh keterpaksaan, Indira mendaki anak tangga semula satu per satu dengan perasaan malasnya yang melampau. Izz Benazir memang suka membuli dia. Sepatutnya lelaki kenalah kejut lelaki. Ini terbalik pula.

Tok! Tok!

"Qarizh, kau dah bangun belum?"

Sepi.

Indira menggaru kepalanya yang tidak gatal. Hendak memulas tombol pintu terasa serba-salah. Mahu dibuatnya lelaki itu tidak memakai baju atau seluar. Tak ke sendiri yang niaya?

"Qarizh!" jerit Indira.

Krek...

Pintu bilik tetamu dibuka luas dari dalam membuatkan Indira mengundur setapak. Dah menjerit baru reti nak bangun. Susah sangat nak sahut panggilan dia.

"Dah pukul berapa?" soal Qarizh sambil menganyah biji matanya dengan dalam keadaan dirinya tidak berbaju.

"Pukul..." Kepala didongakkan sekali gus percakapannya terhenti tatkala badan Qarizh yang tidak berbaju itu menyapa penuh kornea matanya. Air liurnya ditelan kesat. Lantas, dia menghalang pandangannya dengan telapak tangannya. Kalau dibiarkan, mahu mimpi ngeri dia tujuh hari tujuh malam.

"Pukul lapan pagi dah," jawab Indira.

Qarizh memandang kosong ke arah Indira sebelum pandangannya beralih pada tubuh badannya sendiri. Beberapa saat kemudian, dia kembali masuk ke dalam biliknya lalu pintu dikunci. Langsung tak memberi apa-apa respons pada Indira. Ditinggalnya gadis itu begitu saja.

"Haish! Panas hati aku dengan mamat nilah. Tanya orang lepas tu membisu pulak. Satu hari nanti, tak boleh cakap langsung baru tau. Nikmat nak bercakap tu kena tarik," bebel Indira sambil menuruni anak tangga.

"Apalah yang adik angah sorang ni bebelkan? Tak habis membebel saja kerjanya. Ada apa tak kena? Qarizh dah bangun belum?" tegur Izz yang sedang menikmati bihun goreng buatannya sendiri. Sesekali dia menyuap bihun goreng ke dalam mulut Alana.

"Tak ada apa."

"Ye ke? Muka dah macam tikus cencurut je tu. Apa yang tak ada apanya?"

"Hihihi! Muka mama macam tikus cencurut." Dara Alana melepaskan tawanya. Geli hati mendengar Izz menggelarkan Indira sebagai tikus cencurut.

"Hah, eloklah tu. Suka sakat orang."

Izz tertawa kecil sambil memandang ke arah Alana yang sudah mendiamkan diri. Tahulah Izz yang Alana takut sekiranya Indira marahkan dirinya. Memandangkan Alana memang rapat sangat dengan adik perempuannya itu sejak lahir lagi.

"Yelah. Makan tu. Angah dah goreng bihun kesukaan adik. Makan banyak-banyak."

Bihun goreng dicedokkan ke dalam pinggan sebelum ditolak perlahan ke arah si adik. Indira mencapai garpu di sebelah kanannya kemudian garpu itu dipusing-pusing di dalam pinggan sehingga bihun goreng itu bergulung lalu disumbatkan ke dalam mulutnya.

"Sorry, lambat," ucap Qarizh yang baru saja melabuhkan punggungnya di atas kerusi bersebelahan dengan Indira.

"It's okay. Makanlah. Lepas ni, korang nak pergi mana?"

"Tak tahu," jawab Indira dengan nada malas.

"Balik rumah aku, bang. Nak bawa Indira sekali untuk mulakan kerja dia."

Izz mengangguk-anggukkan kepalanya. "Baguslah kalau macam tu. Hari ini, angah tak dapat nak ambil Lana dekat tadika. Nanti adik ambilkan, boleh?"

"Tak apa, bang. Biar aku yang ambil. Lagipun aku nak ke pejabat hari ini. Ada urusan sikit."

Indira menoleh ke arah sisinya. Sisi wajah Qarizh ditenungnya lama. Boleh percaya ke lelaki ini mahu menjemput anak saudaranya itu pulang? Dibuatnya dia terlupa, macam mana?

"Kau beria-ria je, Qarizh. Tak payahlah. Biar aku yang ambil. Karang kalau kau terlupa ke? Atau terlepas waktu, macam mana? Kesian Lana tunggu lama-lama..." Indira membantah.

"Aku ke pejabat nak tanda tangan beberapa fail lepas tu ada kerja yang aku nak sampaikan dekat wakil aku. Tu saja. Bukan aku attend mana-mana meeting pun. Jangan risau. Aku akan ambil dia. Nanti kau bagi alamat dekat aku."

Indira mahu membantah buat sekali lagi. Akan tetapi, niatnya terbantut tatkala bertembung mata dengan si abang. Bulat mata Izz merenung ke arah dirinya. Lihat saja dari pandangan seperti itu, sudah dia tahu yang Izz mahu dia ikut saja apa yang dikatakan oleh Qarizh.

"Fine." Malas hendak berbahas, dia menyambung semula menyuap bihun goreng ke dalam mulutnya. Sebal di hati hanya Tuhan saja yang tahu.

DARA ALANA bersalaman dengan Indira dan Qarizh sebelum dia meloloskan diri masuk ke dalam perut kereta Izz untuk pergi ke tadikanya. Indira saling berbalas lambaian dengan Alana. Qarizh pula sedang mengeluarkan motorsikal berkuasa tinggi miliknya itu dari dalam garaj rumah Indira.

"Angah gerak dulu. Apa-apa roger. Jangan senyap je."

Indira mengucup tangan Izz. Kemudian, bibirnya dicebikkan. "Angah tu pesan suruh roger-roger tapi orang call payah sangat nak angkat. Macam mana nak roger?"

Izz tersengih. Terkena balik pula dia dengan Indira. Dah sibuk sangat sampai tak sempat nak pandang telefon bimbitnya itu.

"Jangan marah, sayang. Chat la angah, okey. Tata!"

Cepat-cepat Izz masuk ke dalam kereta. Tidak mahu berdebat dengan Indira yang sepertinya sudah mengumpul tenaga mahu berbahas dengan dirinya. Kalau hal kerja, memang dia kalah dengan Indira. Semestinya dia yang kena semula. Al maklumlah, menjadi seorang arkitek bukan sesuatu pekerjaan yang senang. Kadangkala, nak dekat waktu balik barulah dia dapat periksa semua perbualan yang menimbun-nimbun di dalam aplikasi WhatsApp.

Vroomm! Qarizh menghidupkan enjin motorsikalnya. Hendal minyak dipusingnya sekali sehingga motorsikalnya mengaum kuat menyebabkan Indira terkejut.

"Jangan nak buat show depan rumah aku, weh. Terkejut aku, gila," marah Indira sambil melangkah mendekati Qarizh yang sudah duduk di atas motosikalnya.

Qarizh tidak membalas sebaiknya mendiamkan diri. Sempat dia mengerling ke arah halaman depan rumah Indira. Kereta Izz sudah pun tidak kelihatan lagi.

"Boleh gerak sekarang?"

"Kejap. Beg aku tertinggal."

Segera Indira berlari anak masuk ke dalam rumahnya lalu mencapai beg galasnya yang diletakkan di atas sofa. Kemudian dia mendekati semula Qarizh sambil menggalas begnya pada bahu.

"Jom."

Helmet di tangan Qarizh dicapai lalu dipakaikan pada kepalanya.

"Aku kena bawa laju sebab tak nak musuh-musuh semalam serang kita."

Indira angguk. Sama sekali tidak kisah sekiranya Qarizh mahu memecut motorsikalnya ala-ala perlumbaan di Sepang. Malam semalam pun, dia menunggang motorsikal Qarizh seperti tubuhnya sendiri mahu melayang ke udara. Mujur ilmu menunggang motorsikal yang diajar oleh arwah abang sulungnya masih melekat dalam kotak ingatannya.

QASRINA duduk di ruang tamu sambil menonton siaran televisyen. Sesekali dia mengerling ke arah pintu utama, menunggu kepulangan si abang kesayangan. Seharian dia tidak bersemuka dengan abangnya itu. Malam semalam, hampir dua jam dia bermundar-mandir menunggu kepulangan Qarizh. Namun, batang hidung abangnya langsung tidak kelihatan. Mujur si abang menghantar pesanan ringkas kepadanya melalui WhatsApp.

"Qas, dah sarapan?" soal Airiel yang baru saja turun anak tangga yang terakhir.

"Dah. Abang Saif gorengkan nasi tadi. Abang pergilah makan."

Airiel angguk. Dia cuba mencari susuk tubuh sepupunya yang lagi seorang itu namun sama sekali tidak kelihatan. "Qarizh mana?"

"Dia tak balik. Dia ada hal."

Dahi Airiel berkerut. "Selalu ke dia tak balik rumah?"

"Dulu selalulah juga. Sekarang dah jarang. Mungkin dia dekat pejabat tu. Adalah tu kerja yang tak siap lagi."

"Qas, teman abang makan jom." Airiel senyum.

Remote TV dicapai dari atas meja kopi lalu jarinya menekan punat merah. Punggung diangkat lalu mengekori langkah Airiel sehingga ke meja makan.

"Abang cakap hari ini dia nak bawa balik seorang penjaga perempuan untuk Qas. Abang ni merepek je tau. Qas dah besar kut. Dah 23 tahun. Bukan tiga tahun pun, nak kena ada penjaga semua tu."

Airiel hanya tersenyum. Dia faham apa yang dirasakan oleh Qasrina. "Tak apalah. Baguslah lepas ni Qas ada kawan perempuan. Boleh share macam-macam pendapat. Tak adalah kesunyian lepas ni. Ada sebab kenapa Qarizh buat macam tu. Dia sayangkan Qas."

Qasrina terdiam seketika. Cuba menghadam apa yang disampaikan oleh Airiel. Ada betul juga apa yang abang sepupunya itu katakan. Lepas ini, dia ada peneman yang boleh berkongsi macam-macam pendapat dan masalahnya. Selama ini, dia bergaul dengan kawan-kawan abangnya itu. Tak sama seperti berkawan perempuan.

"Betul juga. Harap-haraplah penjaga tu tak tua sangat. Kalau atas dua tiga tahun daripada Qas, okey juga. Boleh jadikan kakak angkat, kan?"

"Betul tu. Jangan fikir negatif. Fikir positif saja. Nanti Qas juga yang suka dapat kawan perempuan."

Qasrina tersenyum. Memang dari dulu lagi, Airiel pandai menyedapkan hatinya. Hati dan fikiran yang tadinya serabut, serta-merta menjadi tenang mendengarkan kata-kata positif yang dilontarkan oleh Airiel.

"Thanks, abang."

Airiel angguk.

Krek...

Qasrina dan Airiel memalingkan wajahnya mereka ke arah pintu utama yang sudah dibuka dari luar. Pasti Qarizh sudah sampai bersama penjaga yang dikatakan oleh Qasrina sebentar tadi.

"Abang! Balik pun..." Qasrina berlari laju ke arah si abang sebelum tubuh Qarizh dipeluknya erat.

Indira lebih fokus memerhatikan suasana rumah bungalow milik lelaki di hadapannya ini. Design rumah yang sangat menarik perhatiannya. Cantik dan kemas.

"Aku rindu kau juga." Qarizh mengusap kepala Qasrina yang masih lagi memeluk tubuhnya. Tindakan Qasrina itu sudah menjadi kebiasaannya sejak kecil lagi.

Indira yang memandang babak manis itu sedikit terkebil-kebil. Belum pernah dia melihat Qarizh begitu. Fikirkan mamat itu betul-betul heartless, rupanya dia silap. Lelaki itu masih lagi mempunyai perasaan. Mungkin dengan orang tertentu saja.

"Ini dia penjaga yang aku cakapkan semalam. Nama dia Indira. Dia tua dua tahun saja dengan kau."

Qasrina meleraikan dakapan mereka sebelum mendekati Indira. Dia bersalaman dengan gadis berpangkat kakak itu sekali gus tersenyum lebar. Tekaannya tepat sekali. Doanya termakbul. Pandai si abang mencari teman yang sesuai dengan dirinya.

"Boleh saya panggil awak, kakak tak?" Manja Qasrina sambil memegang lengan Indira.

Indira yang sedikit janggal dengan situasi itu, memaksa bibirnya mengukirkan senyuman tipis. Dia tak pernah ada kawan perempuan sebelum ini. Hanya Dara Alana saja yang selalu bersama dengannya.

"Boleh aje. Tak ada masalah. Nama adik apa?"

"Qasrina. Panggil Qas aje. Akak jadi penjaga Qas, eh?"

Indira angguk. Qasrina melompat-lompat kecil sambil mengenggam tangan Indira.

"Akhirnya Qas ada juga kawan perempuan merangkap kakak angkat. Lepas ni, Qas dah tak kesunyian lagi."

"Akak cakap awal-awal dengan kau, dik. Akak ni kasar sikit tak macam kakak-kakak yang sopan-santun macam dekat luar sana tu."

Semakin melebar senyuman Qasrina. "Eh, lagi Qas suka. Qas sukakan aktiviti ekstrem!"

Fuh! Geng aku depan ni walaupun dia nampak manja. Mungkin depan abang dia, dia tunjuklah perangai manja dia tu. Bolehlah aku ajak dia pergi gym dengan buat aktiviti ekstrem. Sempat lagi Indira bermonolog di dalam hatinya.

"Aku nak gerak ke pejabat dulu. Lepas tu, aku ambil Lana dekat tadika."

"Siapa Lana?" soal Qasrina dengan kerutan pada dahinya yang sudah berlapis-lapis.

"Anak saudara akak."

Berbintang-bintang mata Qasrina dibuatnya. Teringin sekali hatinya mahu bertemu dengan anak kecil bernama Lana itu. "Dia budak, kan? Bestnya! Dah lama tak main dengan budak-budak."

Bagus. Dua perangai budak ni dah boleh masuk dalam kategori aku. Dia suka aktiviti ekstrem dan sukakan budak-budak. Bolehlah sekepala ni. Cun sangat! Sorak Indira di dalam hati.

"Dia baru umur enam tahun. Tahun depan dah darjah satu. Nanti dia balik, akak kenalkan kau dengan dia. Dia pun peramah orangnya, tak takut sangat dengan orang."

Beberapa kali Qasrina menganggukkan kepalanya. Dia mendekati Qarizh lalu sekali lagi mengucup tangan abang kesayangannya itu. "Abang, malam nanti kita makan dekat luar boleh? Bosanlah terperap dekat rumah."

Qarizh terdiam seketika sebelum menjatuhkan kepalanya. "Boleh. Kau dengan Lana ikut sekali. Lepas tu, aku hantar kau balik."

Indira sekadar menganggukkan kepalanya. Dalam hatinya sudah berkira-kira, takut-takut malam ini mereka diserang lagi. Sepanjang perjalanan ke rumah Qarizh ini pun, dirinya rasa seperti diekori. Hatinya sentiasa tidak sedap.

"Bye, abang! Hati-hati," pesan Qasrina sambil melambaikan tangannya ke arah Qarizh.

Indira pula hanya tercegat di belakang Qasrina, memerhatikan Qarizh sehingga hilang dari pandangannya.

"Kak, jom. Saya kenalkan akak dengan kawan-kawan abang," ajak Qasrina dengan wajahnya yang bersungguh-sungguh.

"Korang memang duduk serumah aje ke? Kau sorang je perempuan duduk dalam rumah ni. Tak takut ke?"

Qasrina menggelengkan kepalanya. "Tak, kak. Dah biasa dari sekolah menengah lagi. Dia orang semua kawan baik abang. Jadi, Qas dah biasa."

Indira diam. Beraninya Qarizh meninggalkan Qasrina seorang diri bersama dengan kawan-kawan lelakinya. Apa-apa jadi, nak salahkan siapa? Angin pula dia bila dapat tahu.

"Bahayalah." Indira menyuarakan ketidakpuasan hatinya.

"Nak buat macam mana, kak? Qas tak ada ahli keluarga lain dah. Abang aje yang Qas ada. Dia orang semua ni pun dah macam abang-abang Qas sendiri. Dia orang baiklah. Jomlah, kak." Qasrina menarik-narik tangan Indira menyuruh gadis itu mengekorinya ke tingkat atas.

"Yelah. Jom..." Nak tak nak, kenalah akur dengan permintaan gadis ini. Kalau tak diikut nanti, mengadu pada abangnya. Sudahlah hari ini hari pertama dia bekerja sebagai penjaga kepada gadis bernama Qasrina iaitu adik kepada majikannya.

Bahaya betul Qarizh tinggalkan Qasrina dengan kawan-kawan dia. Patut pun beria carikan penjaga untuk adik dia. Tapi, kalau aku balik rumah. Mesti Qasrina tinggal seorang diri. Haish, masak betul dapat abang macam ni. Bebel Indira di dalam hatinya.


Previous: BEM 7
Next: BEM 9

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh nurshaza