SEKEPING gambar yang berada di tangannya ditatap lama. Wajahnya tanpa reaksi. Hatinya menjerit-jerit merindukan gadis itu. Dia memang sudah tergilakan gadis itu. Dirinya tekad. Sehingga mati pun dia tak akan lepaskan gadis itu. Gadis itu hanya miliknya. Selamanya miliknya. Inilah dinamakan cinta itu buta. Parah apabila mencintai manusia melebihi mencintai Tuhan.
"Yazir...," panggil Yasmin sebaik saja dia melangkah masuk ke dalam bilik anak bujangnya itu. Mereka baru saja sampai ke Malaysia setelah dua tahun berada di Australia kerana merawat dirinya sehingga pulih seperti sediakala.
"Hurmph..." Yazir hanya menggumam. Tidak ada niat mahu menyahut seruan ibunya itu.
Kedua-dua belah pemegang kerusi roda itu dipegang erat oleh Yasmin. Perlahan dia menolak kerusi roda anaknya itu masuk ke dalam bilik semula. "Jangan duduk dekat luar sangat. Yaz kan belum sihat lagi."
"Yaz nak ambil angin..."
"Ya, ibu tahu. Sekarang ni, Yaz kena makan ubat."
Yazir sekadar menganggukkan kepalanya. Pandangannya tidak dialihkan langsung ke arah suasana luar melalui pintu gelangsar balkoni yang tidak ditutup. "Indira dekat mana, ibu? Ibu kata dia tak ada dekat Malaysia. Dia dekat mana?"
Perbuatan Yasmin terhenti seketika tatkala mendengar soalan yang ditanya oleh Yazir. Dia melepaskan keluhan panjang. Sungguh dia tidak berminat setiap kali Yazir bertanyakan tentang gadis itu. Entah apa yang gadis itu menjampi anaknya sehingga Yazir tidak mampu melupakannya.
"Ibu sendiri tak dapat maklumat tu lagi sampai sekarang. Yang pastinya dia pun berada di luar negara."
"Yaz nak ibu cari dia. Suruh anak-anak buah kita tu cari dia sampai dapat. Yaz nak dia. Ibu faham, kan?"
Yasmin hanya menganggukkan kepalanya. Malas mahu bercakap lebih. Dia kena banyak beralah memandangkan keadaan Yazir masih belum sihat sepenuhnya. Akan dia tunaikan saja apa yang diminta oleh satu-satunya anak bujangnya itu. Untuk mencari gadis bernama Indira Callista itu tidaklah sesusah mana pun. Upah sesiapa saja yang handal dalam pencarian pasti sekelip mata akan menemui maklumat yang dikehendaki.
"Apa cerita pasal lelaki sial yang dah buat Yazir jadi macam ni? Dia masih hidup lagi?"
"Kali terakhir ibu dengar pasal dia, dia mengalami kemurungan yang agak teruk lepas adik dia tu mati."
Bibir Yazir tersungging sebuah senyuman. Sangat sinis. Perlahan-lahan dia menganggukkan kepalanya. Hatinya suka mendengar jawapan yang disampaikan oleh si ibu.
"Lagi-lagi bila Indira tak ada dengan dia. Makin gilalah dia tu gamaknya." Yazir melepaskan tawa sehingga terenjut-enjut bahunya.
Yasmin hanya senyum. Tidak berkata apa-apa. Dia menyuap sebiji ubat ke dalam mulut Yazir kemudian segelas air disuakan pada bibir si anak. "Lepas makan ubat ni, ibu nak Yaz berehat okey? Ibu nak buat kerja sikit."
Yazir menganggukkan kepalanya. Suka saat dirinya sakit. Dibelai sepenuh kasih dan sayang oleh si ibu. Teringat lagi situasi di mana dia baru saja sedar dari koma setahun yang lepas. Kelihatan wajah ibunya sembap dan pucat. Pasti menangis setiap hari kerana dirinya.
"Terima kasih ibu sebab jaga Yaz," ucap Yazir sebaik saja tubuhnya dibaringkan di atas tilam dengan bantuan Yasmin.
Yasmin senyum. Kepala dibawa angguk sekali. Rambut Yazir disebak ke belakang. "Untuk anak ibu. Ibu sanggup buat apa saja. Yazir cepat sembuh. Ibu rindu nak tengok anak ibu macam dulu lagi. Ibu hanya ada Yazir saja."
Yazir menarik tangan Yasmin lalu kekura tangan ibunya dikucup lembut. Dia tahu akan penderitaan yang dilalui oleh ibunya itu sejak dia kecil lagi. Ibu dan dirinya dihina dan dihalau oleh ayah kandungnya sendiri. Begitu juga dengan ahli keluarga sebelah ayahnya. Mulai saat itu, dia tidak pernah langsung bertanyakan tentang Tengku Harun. Sudah dianggap lelaki itu mati dalam hidupnya.
"Sampai mati pun, aku tak akan maafkan kau, Harun. Kau penyebab ibu menderita. Kau penyebab aku hidup tanpa merasai kasih sayang seorang ayah. Jangan pandang kami sebelah mata. Kau menangis air mata darah sekalipun, aku memang tak pandang kau dah."
SEDAYA-UPAYA dia menahan air matanya dari berguguran ke pipi. Kedua-dua batu nisan yang terukir nama penuh arwah ibu dan ayahnya diusap perlahan. Perasaannya sebak. Walaupun dia tidak berapa ingat memori bersama kedua-dua orang tuanya itu, dia sangat merindui mereka. Sama seperti dia merindui arwah Ilman dan Kaisara.
"Mak... babah... maafkan Dira sebab jarang menziarahi. Dira tak berapa sihat. Sekarang Dira dah sihat. Dira rindu sangat dekat mak dengan babah."
Aditya dan Dimas yang berdiri di belakangnya hanya mendiamkan diri sambil memegang kitab Yaasin. Dia turut berasa sedih mendengar luahan gadis itu.
"Dira balik dulu, ya. Nanti Dira datang lagi. Assalamualaikum..." Dia menegakkan semula tubuhnya perlahan sebelum memalingkan tubuhnya ke arah dua orang lelaki yang setia menunggunya. Bibirnya mengukirkan sebuah senyuman.
"Jom, kita jalan-jalan nak?" ajak Indira.
"Jom." Aditya menganggukkan kepalanya. Dia dan Dimas beriringan jalan bersama dengan Indira sehingga ke kereta yang diparkir di seberang jalan.
Qarizh menolak perlahan hud di kepalanya. Dahinya berkerut seribu. Jantungnya berdetak tidak normal. Laju. Dia sangat kenal akan susuk tubuh yang baru saja keluar dari tanah perkuburan itu. Dia sendiri baru saja lepas menziarahi kubur arwah Qasrina, mama dan papanya.
"Dira ke tu? Dia melawat kubur siapa? Kubur arwah Aldi bukan ke, dekat hujung sana?" Semakin berlapis-lapis dahinya memikirkan soalan yang berlegar-legar di dalam kepala otaknya itu.
"Dua orang lelaki tu siapa pulak? Kau memang sengaja nak seksa aku ke apa, Dira?" Kedua-dua belah tangannya digenggam erat. Perasaan marah mula menguasai dirinya. Dia tidak sangka yang dia akan terserempak dengan Indira setelah dua tahun gadis itu menghilangkan diri.
"Tak apa, Dira. Kau mainkan perasaan aku. Giliran aku mainkan perasaan kau. Baru kau rasa apa yang aku rasa. Jangan ingat aku akan lepaskan kau macam tu saja. Dua tahun untuk aku dah cukup terseksa."
Segera dia memboloskan dirinya masuk ke dalam perut kereta. Brek tangan diturunkan. Gear yang berada di huruf P diubah kepada huruf D. Pedal minyak dipijak rakus agar dia tidak kehilangan jejak kereta yang dipandu oleh lelaki bersama Indira itu. Nombor plat kereta itu turut dihafal di dalam ingatannya.
INDIRA memerhatikan suasana restoran sebaik saja dia melabuhkan punggung di atas kerusi. Aditya membawa dirinya ke Alamanda Shopping Centre yang terletak di Putrajaya. Secara automatik, dia teringatkan segala kenangan yang pernah tercipta. Dari pertemuaan dia bersama Qarizh dan saat dia meluangkan masa bersama dengan arwah Qasrina. Sewaktu dia menziarahi kubur arwah ibu dan ayahnya, dia sempat melawat kubur arwah Qasrina. Tanah kubur Qasrina ketika itu basah. Sepertinya ada yang melawat sebelum dirinya.
"Dira... kau okey?" soal Aditya sambil mengusik hujung lengan baju milik Indira. Dua kali dia dan Dimas memanggil gadis itu langsung tiada sahutan. Entah apa yang Indira menungkan sehinggakan tidak sedar akan suasana sekelilingnya.
"Huh? Apa dia?" Indira sedikit terkejut sekali gus lamunannya sebentar tadi berderai begitu saja.
"Kau nak oder apa? Aku dengan Dimas dah dua kali panggil kau. Kau tak dengar. Kau termenungkan apa?"
"Ya, yalah kak. Pikirin apa kamu?" Dimas mencelah sambil menopang dagunya.
"Erm... tak ada apa. Oder ajelah apa-apa. Aku makan aje." Indira mengukirkan senyuman nipis.
"Sure? Tak kisah apa-apa?"
Indira menganggukkan kepalanya. "Ya, tak kisah. Janji perut kenyang."
Aditya tersenyum lalu mengangkat punggungnya untuk menuju ke kaunter. Pesanan dibuat sebaik saja dia membelek menu yang terletak di atas kaunter. Dimas sibuk membelek telefon pintarnya. Indira menyambung semula lamunannya sambil menongkat dagunya. Matanya meliar melihat suasana sekeliling.
Qarizh yang dari tadi mengekori Indira menghentikan langkahnya di hadapan tingkap cermin yang boleh menampakkan suasana dalam restoran itu. Agak tersembunyi sedikit di belakang pasu bunga hiasan. Hud di kepala diperbetulkan agar dirinya tidak diketahui oleh Indira.
"Kau dengan siapa tu, Dira?" lirih nada suara Qarizh menyoal. Dia perhatikan saja Indira yang sepertinya duduk termenung dengan seorang remaja lelaki. Seorang lagi lelaki masih berdiri di kaunter menunggu pesanan siap.
"Aku rindukan kau..." Telapak tangannya perlahan naik menyentuh permukaan cermin tingkap itu. Hatinya meronta-ronta mahu berjumpa dengan gadis itu. Akan tetapi, ada satu perasaan yang menghalangnya dari terus berbuat demikian.
Ego.
"Aku sangat rindukan kau. Tapi, kau dah seksa aku. Kau buat aku macam tak ada perasaan. Tak sepatutnya kau tinggalkan aku macam tu saja. At least, beritahu aku. Dan mungkin aku akan bertolak-ansur dengan kau."
Sudah beberapa minit dia teguh berdiri di situ. Dia asyik memerhatikan Indira yang kadangkala tersenyum, kadangkala tertawa bersama dengan dua orang lelaki itu. Menambahkan lagi panas dan sakit di dalam hatinya. Bagaikan ditoreh-toreh dengan lembing api. Tangan kanannya digenggam erat sehingga urat menimbul. Begitu juga dengan wajahnya yang mula menegang kerana menahan perasaan marah yang melampau.
"Aku tak akan lepaskan kau, Dira. Tak akan...," ujarnya perlahan sebelum dia pergi dari situ. Tidak betah untuk dia terus berdiri di situ. Lagi-lagi melihat senyuman yang mekar pada bibir Indira Callista. Sedangkan dia terseksa menanggung seribu satu perasaan yang semakin berkecamuk.
Indira menoleh ke sisi. Dari tadi sebenarnya dia perasaan dirinya seperti diperhatikan seseorang. Tapi dia cuba mengusir perasaan itu. Mungkin hanya perasaan dirinya saja. Sebab itu dia saja buat-buat ketawa dan tersenyum agar dapat mengelak dari terus berfikiran negatif.
"Dah kenyang ke? Lepas ni, nak pergi mana?" soal Aditya sebaik saja dia menyedut saki baki air minumannya sehingga habis.
"Yuk, kita jalan-jalan pusing mall. Aku mau liat suasana di dalam mall ini," jawab Dimas sambil tersengih seperti kerang busuk. Impiannya mahu berjalan ke luar negara sudah tercapai. Memang dia tak akan sia-siakan peluang yang ada ini.
"Erm... jomlah." Aditya mengangkat punggungnya diikuti dengan Dimas dan Indira.
"Aku nak pergi tandas sekejap. Korang tunggulah dekat bangku sana tu dulu."
Aditya dan Dimas serentak menganggukkan kepala mereka. Punggung dilabuhkan di atas bangku coklat yang ditunjukkan oleh Indira sebentar tadi. Indira menyambung semula langkahnya menuju ke tandas awam. Dia mempercepatkan langkahnya agar cepat masuk ke dalam tandas. Bukan kerana dia sudah tidak tahan. Kerana dia terasa seperti seseorang mengekorinya. Jantungnya berdetak laju secara tiba-tiba.
"Fuh... kenapa dengan aku ni? Cuak sangat. Padahal tiada siapa pun yang ikut. Perasaan aku aje ni. Entah apa yang merepek aku fikir dalam kepala otak ni."
Dia berdiri di hadapan singki. Wajahnya diperhatikan melalui cermin. Ikatan rambutnya dikemaskan sedikit agar selesa. Paip air dipusing perlahan lalu mencuci kedua-dua belah tangannya.
Bum!
Bahu Indira terangkat tatkala mendengar bunyi hempasan pintu tandas sekali gus bunyi pintu itu dikunci. Jantungnya kembali aktif seperti tadi. Kali ini, lebih laju degupan jantungnya. Teragak-agak dia mahu memalingkan tubuh ke belakang. Mahu melihat gerangan yang mengunci pintu itu.
"Argh!" Secara spontan, Indira menjerit kecil apabila pergelangan tangannya direntap sebelum belakang tubuhnya terhentak pada dinding tandas.
"Kau siapa? Nak apa?" soal Indira dengan nafasnya yang mulai laju.
"Aku Qarizh. Apa aku nak? Aku nak kau, Indira," jawab Qarizh dengan satu nafas. Hud di kepala ditolak kasar sehingga menampakkan wajahnya dengan jelas. Dia tewas dengan dirinya sendiri. Sungguh dia tidak dapat menahan dirinya lagi dari bertemu dengan gadis yang selama ini dirinduinya.
"Qar... Qarizh..."
"Ya. Aku Qarizh. Kenapa kau terkejut sangat? Kau expect selamanya kau boleh lari dari aku? Kau boleh hilangkan diri kau macam tu saja? Ikut suka hati kau? Macam aku ni tak ada perasaanlah, weh!" Qarizh menampar permukaan dinding tandas itu dengan kuat membuatkan Indira terkejut.
"Qar... aku ada sebab. Bukan aku saja-saja tinggalkan kau. Aku tak ada niat..."
"Kau tak ada niat apa? Kau dah niat dah. Dan kau dah tinggalkan aku selama dua tahun. Apa kau ingat dua tahun tu dua hari ke, hah?" tengking Qarizh sehingga bergema-gema suasana tandas awam itu.
Air mata Indira sudah bertakung. Macam mana dia hendak memberi penjelasan kepada Qarizh? Dia tahu yang lelaki di hadapannya ini sangat marah akan dirinya.
"Ya. Aku tahu. Aku tinggalkan kau bukan tanpa sebab. Bersebab. Aku sakit. Semangat aku jatuh! Tak akan kau tak boleh nak faham aku, Qar?"
Qarizh melepaskan tawa. Mengejek bunyinya. "Aku nak faham kau? Habis aku? Siapa nak faham aku? Semangat kau jatuh? Kau tak boleh terima yang diri kau tu dah kena main dengan Yazir, kan?"
Pang!
Tanpa sengaja, Indira melepaskan tamparan tepat mengenai pipi kanan Qarizh sehingga kepala lelaki itu terteleng ke tepi. Air matanya sudah berguguran jatuh. Hatinya bagaikan disiat-siat tatkala mendengar kata-kata Qarizh yang agak melampau itu.
"Tampar aku, Dira. Tamparlah aku. Tapi kau jangan harap aku akan lepaskan kau, Dira. Dua tahun. Campur 10 tahun yang lalu. 12 tahun, aku tunggu kau macam orang gila! Tapi kau buat aku macam tak ada apa saja. Kau boleh tampar aku lagi? Kenapa, salah ke apa yang aku cakap?"
Indira mengemamkan bibirnya. Cuba menahan esakan daripada terhambur. Dia tidak ada niat pun mahu menampar Qarizh. Perkara itu berlaku secara spontan. Dia sendiri terkejut Qarizh boleh berkata seperti itu kepadanya.
"Kenapa? Kalau aku dah kotor, kau jijiklah dengan aku? Kau tahukan yang aku ni kena main dengan sepupu kau tu bukan atas kerelaan aku! Kau ingat aku perempuan murahan ke?" tengking Indira bersama linangan air mata.
Qarizh terdiam. Baru dia sedar, yang dia sudah tersilap dalam bicara. Terlalu ikutkan hati. Terlalu sanjungkan ego.
"Kenapa kau senyap? Tak ada jawapan? Kau kata kau sanggup tunggu aku selama mana pun. Semua lelaki sama aje. Cakap aje lebih. Tunainya tak pernah. Kalau kau jijik dengan aku, tak apa. Aku terima. Lupakan aku."
Jantung Qarizh bagaikan dipanah petir. Laju saja dia menangkap pergelangan tangan Indira. Menghalang gadis itu dari pergi meninggalkannya. Bibirnya diketap sehingga merah.
"Sekali aku kata, akan aku tunaikan sampai dapat. Jangan harap kau terlepas daripada aku. Sampai mati..."
Qarizh melepaskan tangan Indira dengan kasar lalu melangkah keluar dari tandas awam itu. Hud ditarik semula menutupi kepalanya sehingga ke paras dahi. Indira mengigit bibirnya sekali gus cuba meredakan air matanya dari terus mengalir. Dia tidak mahu Aditya dan Dimas perasaan akan perubahan pada wajahnya.
"Apa kau nak buat sekalipun dekat aku. Aku terima, Qar. Sebab aku sayang dan cintakan kau. Maafkan aku sebab dah sakitkan hati kau. Aku sedar yang aku salah. Aku rindukan kau sangat..."