Home Novel Thriller/Aksi Bidadari Encik Mafia (Completed)
BEM 32

"SELAMAT hari lahir, Yazir. Semoga kau bahagia selalu di samping ibu kesayangan kau," ucap Qarizh sambil tersungging sebuah senyuman. Senyuman yang tiada siapa tahu apa makna di sebaliknya. Indira hanya berdiri di belakang Qarizh. Takut-takut dia hendak bertentang mata dengan lelaki yang pernah merosakkan hidupnya.

Yazir memalingkan wajahnya ke arah kanan. Pada masa yang sama, dia terkejut melihat kehadiran Qarizh pada malam ini. Dia sungguh tidak menyangka lelaki ini masih lagi boleh teguh berdiri. Dan sepupunya itu masih lagi tahu tersenyum. Sungguh dia fikirkan Qarizh sudah tidak dapat meneruskan kehidupannya setelah Qasrina meninggalkan dunia dua tahun yang lepas sekali gus Indira yang turut menghilangkan diri.

"Qa... Qarizh..." Sepatah nama sepupunya yang sudah dianggap musuh terlahir dari dua ulas bibirnya dengan reaksi terkejut. Kawan-kawan di sekelilingnya sudah berkerut-kerut dahi. Pelik.

"Kenapa kau terkejut sangat ni, Yaz? Sorry tau. Aku tak bawa hadiah. Aku tahu last minute. Kau pun langsung tak jemput aku, kan? Kata aje aku ni sepupu kesayangan kau. Kenapa kau tak invite aku, weh?" Qarizh melepaskan tawa kecil seraya kepalanya digeleng sekali.

"Oh, lupa. Aku jadi sepupu kau cuma dalam mimpi saja. Dalam realiti sebenarnya kita musuh. Am I right, Tengku Yazir bin Tengku Harun?" Sengaja Qarizh menyebut nama penuh Yazir kerana dia tahu latar belakang mengenai lelaki itu. Dia dihalau oleh ayah kandungnya sendiri ketika dia semasa kecil. Sungguh dia bersimpati akan nasib lelaki itu. Patut pun perangai macam haram.

Yazir berdeham. Konon-konon mahu menyelesakan anak tekaknya sebelum bersuara. Perlahan dia mengukirkan senyuman sambil kepala dibawa angguk sekali. "Terima kasih sebab sudi datang ke majlis hari lahir aku. Tak apa. Aku pun tak nak terima hadiah daripada musuh. Takut-takut bukak hadiah tu bom meletup pula, kan?" Dia melepaskan tawa kecil. Bagai memulangkan paku buah keras.

Qarizh ketawa. Kepalanya terangguk-angguk buat beberapa kali. "Oh, ya. Aku tak keseorangan hari ini. Aku ada bawa someone special. Dan tak lama lagi, kita orang akan berkahwin." Mahu saja Qarizh meledakkan tawanya itu. Namun terpaksa ditahan. Pasti Indira dan Yazir ketika ini sudah terkejut besar. Terutamanya gadis itu. Dia langsung tak tahu-menahu rancangannya pada malam ini. Seronok rasanya dapat kenakan orang yang pernah menyakiti hatinya!

"Siapa?" soal Yazir dengan keningnya hampir bercantum sesama sendiri. Tangannya dibawa silang ke dada. Jantung di dalam tubuh badannya bagaikan mahu melantun keluar. Entah kenapa dia berasa tidak sedap hati secara tiba-tiba. Siapakah bakal isteri Qarizh itu?

"Indira Callista. Cinta mati aku." Lengan Indira yang berlapikkan lengan baju itu ditarik lembut sehingga gadis itu berdiri di sisinya dengan jarak mereka agak rapat. Indira kaku, tak mampu bersuara. Qarizh nak berkahwin dengannya? Apa yang sudah merasuki otak lelaki ini?

Jantung Yazir bagaikan berhenti berdegup. Seolah-olah sudah melayang keluar dari tubuh badannya. Kedua-dua belah tangannya yang bersilang tadi sudah dijatuhkan ke sisi lalu digenggam erat sehingga uratnya menegang. Mahu saja dia menghayunkan tongkatnya itu tepat pada kepala sepupunya itu.

"Haha! Kau jangan nak buat lawaklah, Qar? Aku tahu kau suka prank aku. Yalah, kaukan sayang sangat dekat aku ni?"

Qarizh ketawa besar sehingga kepalanya tergeleng-geleng. Mabuk agaknya lelaki di hadapannya ini. Sayang tahi kucing!

"Eh, aku tak prank la. Kita akan berkahwinkan, sayang?"

Jantung Indira bagaikan mahu putus saja dari tangkainya. Ditambah pula, panggilan 'sayang' meniti pada bibir lelaki yang dicintainya itu. Dia sendiri keliru. Patutkah dia gembira? Atau apa?

"Ya..." Itu saja yang mampu keluar dari mulut Indira. Dia dalam keadaan keliru. Terkesima. Tak tahu jawapan apa yang harus dia berikan kepada Qarizh. Sudah sah-sahlah lelaki itu mahu jawapan yang positif. Lagi-lagi depan Yazir.

Tawa Yazir mati mendadak. Anak matanya tajam merenung ke arah Qarizh dan Indira bersilih ganti. Kepala digeleng beberapa kali. "Kau tak akan miliki dia, Qarizh. Sampai mati. Aku akan buat apa saja dan korang berdua tak akan bersama sekali aku masih hidup. Indira kepunyaan aku. Dia milik aku!"

"Aku bukan milik kau." Keras nada suara Indira menafikan percakapan Yazir. Siapa lelaki itu hendak mengaku dia adalah kepunyaan Yazir? Memang sah otak Yazir sudah terputus wayarnya.

"Kau milik aku, sayang. Selamanya. Akukan dah pernah sentuh kau. Ke kau dah lupa? Aku kenalah bertanggungjawab, kan?"

Pang! Tak semena-mena Yazir menerima habuan dari telapak tangan Indira. Entah bila masa, gadis itu berdiri di hadapannya. Sepantas kilat. Tup-tup saja dia dah kena penampar sedas. Boleh tahan sengal otot pipinya itu.

Adiyan dan Hilmi yang memerhatikan dari jauh hanya menggelengkan kepala. Terutamanya Hilmi. Sewaktu Yazir ditampar oleh Indira, dia turut memegang pipinya. Bekas tamparan tadi masih lagi terasa. Ditambah pula melihat Yazir ditambah. Terasa ngilu pula.

"Kau jangan sembarangan cakap, ya. Aku tak kenal kau. Dan kau jangan nak memandai buat aku ni macam perempuan simpanan kau. Aku bukan perempuan seperti yang kau fikirkan, Yaz. Memang kau dah sentuh aku. Tapi tak bermakna aku nak terima kau untuk bertanggungjawab ke atas aku. Aku tak perlukan semua tu. Kenapa kau tak mati aje, eh? Hidup menyusahkan hidup orang saja!" tengking Indira di hadapan orang ramai.

Lagu yang membingitkan suasana serta-merta terhenti. Begitu juga dengan aktiviti dan pergerakan tetamu-tetamu yang hadir. Ada yang tercengang. Ada yang menonton babak hangat itu dengan tekun sehingga mulut ternganga. Dan ada juga yang, merakam. Tak lain, tak bukan mahu ditularkan di media sosial. Itulah yang menjadi trending terkini.

"See. Dira pun tak nak dengan kau walaupun kau pernah rosakkan hidup dia sampai dia jatuh sakit. Kau memang tak guna, Yazir. Aku nak cakap lebih-lebih takut pecah tembelang kau dekat sini. Ramai pula yang hadir majlis kau. Tak pasal-pasal viral kau satu Malaysia. Kau sendiri juga yang susah," sindir Qarizh sambil tersenyum senget.

Buk! Buk! Dek hatinya terlalu panas. Yazir melepaskan dua buah tumbukan padu tepat mengenai rahang dan wajah Qarizh sehingga musuhnya itu terundur beberapa langkah.

Terbuntang mata Indira kerana terkejut melihat Qarizh ditumbuk oleh Yazir. Segera Indira berdiri di hadapan Qarizh agar Yazir tidak mampu meneruskan aksinya.

"Ke tepilah!" marah Yazir. Sudah bertongkat pun, masih lagi mahu cari gaduh. Memang dasar manusia tak sedar diri!

"Jangan. Sentuh. Dia."

Bibir Yazir terherot ke tepi. Laju saja tangannya naik menolak Indira sehingga gadis itu terundur ke belakang dan tidak sempat mengawal imbangan tubuhnya lalu jatuh ke dalam kolam renang yang berada di belakangnya.

Kedebush!

Qarizh terkejut. Dia menoleh ke arah Yazir dengan melepaskan dengusan kasar. "Kau memang sial, Yazir. Hidup kau tak akan aman selamanya." Beberapa kali Qarizh cuba menenangkan dirinya. Mahu saja dia menyerang Yazir. Tapi bukan masa yang sesuai. Dia tidak mahu identitinya begitu terdedah kepada orang ramai. Habis nanti dirinya ditular.

"Indira!" Qarizh berlari ke arah Indira yang sudah pun naik semula ke atas.

Indira mendongakkan kepalanya. Mujur saja dia pandai berenang. Tak adalah dia kena panic attack tadi. Cumanya basah lencun juga dia akhirnya. Haih... nasib apalah mandi percuma malam ini. Sudahlah sejuk! Mengigil seluruh tubuh dibuatnya.

"Kau okey tak? Sakit dekat mana-mana?" Jelas terpancar wajah Qarizh begitu risaukan Indira. Jaket yang tersarung pada tubuhnya disangkutkan pada kedua-dua belah bahu gadis itu.

Indira tidak menjawab soalan Qarizh sebaliknya dia merenung wajah itu dalam. Terkejut dengan keprihatinan lelaki itu. Inilah Tengku Qarizh Nadim yang dikenalinya sewaktu mereka rapat dulu. Sungguh dia sangat rindukan lelaki di hadapannya ini.

"Qarizh..."

"Aku tanya ni. Kau okey ke tidak? Ada tertelan air ke apa? Tu air klorin, bahaya kalau kau tertelan banyak."

Perlahan Indira menggelengkan kepalanya. Yazir hanya menyaksikan Qarizh dengan Indira dengan perasaan sebal. Terhincut-hincut dia berjalan menggunakan tongkatnya untuk berlalu dari situ.

"Kau memang sengaja cari nahas, Qarizh. Kau dengan mak bapak kau sama aje. Suka menyakitkan hati aku!" Yasmin yang dari tadi memerhatikan adegan itu dari tingkat atas, menyumpah-seranah anak saudaranya itu dan Indira.

"Jom. Kita balik. Belum masanya untuk aku lepaskan dendam aku dekat jantan tak guna tu. Ramai sangat orang. Line tak clear." Qarizh menarik pergelangan tangan Indira lalu berlalu dari situ, menuju ke keretanya. Pandangan mata orang ramai langsung tidak diendahkannya.

"Qar... betul ke kau nak kahwin dengan aku? Kau serius?" soal Indira dengan penuh harapan. Berharap apa yang terpacul dari mulut Qarizh sebentar tadi adalah benar. Bukan kerana mahu mempergunakannya untuk membalas dendam pada Yazir.

"Kenapa kau tak nak? Aku tak paksa," balas Qarizh dengan nada bersahaja. Kosong. Pandangan pun tidak dialihkan ke arah Indira yang berada di sebelahnya.

Adiyan dan Hilmi yang berada di hadapan mengerling sesama sendiri. Mungkin terkejut mendengar ketua mereka bakal berkahwin tak lama lagi. Tapi atas motif apa Qarizh mahu berkahwin dengan Indira? Lelaki itu masih mencintai gadis itu lagikah?

"Tak. Aku tak cakap yang aku tak nak. Aku cuma terkejut aje. Aku sebenarnya nak beritahu kau sesuatu. Tapi aku rasa macam tak sesuai pula waktu sekarang ni."

"Cakap ajelah. Tak usah bermadah sangat. Kau takut kawan-kawan aku dengar ke?"

Indira mengerling ke arah Adiyan dan Hilmi yang berada di hadapan. Malu pula dia hendak memberikan jawapannya kepada Qarizh. Tapi sampai bila dia mahu menyimpan perasaannya itu?

"Aku... aku..." Indira mengenggam kedua-dua belah tangannya. Cuba mengumpul kekuatan.

"Just say it, Indira Callista. Don't waste my time."

Sekali lagi Indira tersentap dengan ucapan Qarizh. Kenapalah bahasa lelaki itu cukup kasar baginya? Kalau dulu, Qarizh akan memandang wajahnya ketika dia mahu bercakap. Sekarang sudah tidak lagi. Tapi kenapa lelaki itu mahu berkahwin dengannya kalau lelaki itu masih lagi bersikap dingin dengannya?

"Aku nak bagi jawapan untuk luahan kau dua tahun yang lepas. Aku... aku sayang dan mula cintakan kau sejak dua tahun yang lalu. Aku baru sedar. Dua tahun kita berpisah, aku tak dapat nafikan perasaan aku yang aku sangat rindukan kau, Qarizh."

Qarizh mengetap bibirnya. Air matanya sudah bertakung. Dia langsung tidak memusingkan kepalanya ke arah Indira. Dia tidak mahu gadis itu nampak akan air matanya yang sudah hampir mahu mengalir ini. Perlahan-lahan dia menganggukkan kepalanya.

"Terima kasih," ucap Qarizh dengan nada perlahan. Posisinya masih statik seperti tadi. Langsung tidak bergerak.

Itu saja jawapan daripada Qarizh? Apa lelaki itu sudah tawar hati dengannya? Sungguh ini bukan yang dia mahu. Berpisah dengan orang yang dia sayang, begitu sukar dia hendak meneruskan kehidupan hariannya. Memang benar, hari-harinya hanya disapa dengan angin rindu pada lelaki bernama Tengku Qarizh Nadim.

Lelaki pertama yang berjaya membuka hatinya.

Lelaki pertama yang membuatkan dirinya kecundang dengan perasaan cinta.

Dan, lelaki pertama yang dia cintai. Tak akan ada lelaki yang boleh mengetuk pintu hatinya. Hanya Tengku Qarizh Nadim yang berada di dalam hatinya.

"Dah sampai. Nanti aku akan cari masa untuk berbincang dengan kau pasal perkahwinan tu. Aku serius dan aku tak main-main. Aku sendiri yang akan beritahu abang kau," ujar Qarizh sambil menghalakan pandangannya ke arah cermin depan kereta. Langsung dia tidak memandang ke arah Indira.

Indira tersenyum. Kepalanya dianggukkan sekali. Sehelai tisu basah dikeluarkan dari dalam beg silangnya lalu ditekapkan lembut pada tepi bibir Qarizh yang sedikit berdarah.

Qarizh terkaku. Sakit pada tepi bibirnya itu cuba ditahan. Tidak mahu ditunjukkan di hadapan gadis itu. Begitu dia sanjung egonya yang sudah meninggi itu.

"Jumpa nanti. Nanti kita chat dekat WhatsApp, ya? Hati-hati tau. Nanti balik rumah, rawat muka tu. Lebam dan luka."

Qarizh tidak memberi apa-apa kata balasan. Hanya mendiamkan diri.

"Ini jaket kau nanti aku akan pulangkan balik bila dah siap basuh nanti. Terima kasih," ucap Indira dengan senyuman masih mekar di bibir. Walhal, hatinya serasa dicucuk-cucuk dengan jarum tajam apabila melihat Qarizh hanya menyepi. Segala percakapannya langsung tidak balas satu pun. Siapa saja yang terasa hati kalau begitu.

"Mi, drive," arah Qarizh kepada Hilmi yang memandu keretanya.

"Baik, bos." Hilmi akur. Dia kembali menukarkan gear kepada D lalu kereta kepunyaan ketuanya itu meluncur laju ke jalan raya.

Indira memejamkan matanya sekali gus air matanya mengalir ke pipi. Kemudian matanya dicelikkan kembali. Tangan naik memegang dadanya yang sarat dengan seribu satu perasaan. Sedih. Sakit. Sentap. Dan sedengannya.

"Kenapa dengan diri aku ni? Kenapa dulu, hati aku boleh kuat bila berdepan dengan apa-apa situasi yang berlaku? Aku nak diri aku yang lama kembali ke dalam diri aku semula. Kenapa hati aku sekarang bagaikan sehelai tisu? Hanya kerana seorang lelaki yang bersikap dingin dengan aku atas kesalahan yang aku sendiri tak minta?" Bergetar nada suara Indira bercakap dengan dirinya sendiri.

Tak lama itu, hujan turun dengan lebat. Selebat air matanya kini. Satu-satu bayangan bermain di dalam fikirannya. Dulu kalau dia menangis, pasti arwah Ilman akan datang dan memujuknya sehingga tangisannya berhenti.

"Adik kena kuat. Siapa nak kuatkan diri kalau bukan diri sendiri? Tak semua orang boleh ada sentiasa dengan kita waktu kita berduka. Kalau nak meluah, biarlah kita meluah dekat Sang Pencipta. Kalau meluah dekat manusia, tak semuanya yang boleh menyimpan. Lebih banyak berantai daripada berdiam diri."

Kata-kata arwah alongnya itu terngiang-ngiang di pendengaran telinganya. Air matanya semakin deras. "Along... adik rindu sangat dekat along. Adik dah tak kuat macam dulu. Apa yang adik bina dalam diri adik sendiri selama ni, lesap macam tu saja. Kenapa dengan adik ni, abang?" Teresak-esak Indira melepaskan tangisannya. Dibiarkan saja tubuhnya bermandi hujan lebat itu.

"Dira..."

Indira mengangkat wajahnya dengan linangan air mata. Wajah Aditya menyapa penuh kornea matanya. Dia fikirkan Qarizh akan kembali semula ke sini dan memujuknya. Tetapi, sangkaannya hanya angan-angan saja. Masakan Qarizh dalam keadaan dingin dengannya mahu datang kembali semata-mata mahu memujuknya?

"Adit..."

"Kau kenapa menangis di sini? Siapa buat kau?" Berkerut-kerut dahi Aditya sambil menghampiri gadis itu bersama sebatang payung.

Indira menggelengkan kepalanya. "Tak ada apa. Aku rindukan arwah along. Aku ingat kau dah balik dulu tadi."

"Aku baru aje habis lepak dengan kawan-kawan aku satu universiti dulu. Kau betul-betul okey ni?" soal Aditya dengan penuh keprihatinan.

Indira tersenyum. Kepala dibawa angguk sekali. "Kau ni aku baru nak mandi hujanlah. Kau pergi payungkan aku buat apa?" Bibirnya dicebik.

"Kau fikir ini hujan zaman dulukah? Boleh mandi-manda. Sekarang ni, hujan banyak dengan asid tau. Sebab tu wujudnya hujan asid. Semuanya hasil buatan manusia."

Indira melepaskan tawa kecil. Mula dah Aditya mahu membebel. Laju-laju dia menganggukkan kepalanya. "Hish, kau ni. Ada-ada aje penerangan yang nak dibagi. Dah jomlah masuk. Makin lebat hujan ni. Lena tidur malam ni."

"Itu aku setuju. Aku dah terbayang-bayang katil aku tu. Marilah..."

Mereka melangkah masuk ke dalam rumah bersama-sama.

"Kau memang suka sakitkan hati aku, Dira. Bukan main mesra kau dengan lelaki itu. Apa hubungan korang berdua sebenarnya? Aku tak rasa yang korang berdua hanya berkawan baik."

Hilmi dan Adiyan hanya membisu. Telinga mereka saja yang berfungsi mendengar percakapan Qarizh sendiri.

"Tak lama lagi, kau akan jadi isteri aku. Kau tengoklah apa nasib kau nanti. Jangan harap aku nak berlembut hati dengan kau. Perempuan macam kau ni patut diajar."

Tertelan air liur Adiyan dan Hilmi mendengar percakapan Qarizh yang terakhir itu. Mereka saling berpandangan sesama sendiri. Takut juga kalau-kalau ketuanya itu bertindak kasar pada Indira. Bukankah gadis itu merupakan pujaan hati Qarizh? Masakan Qarizh mahu menyeksa kesayangannya itu?

"Dah, balik," suruh Qarizh.

Hilmi menganggukkan kepalanya. Gear ditukar kepada D. Stereng dipusing ke kanan untuk keluar dari kawasan markas itu.

"Just wait and see, sayang." Qarizh senyum sinis.


Previous: BEM 31
Next: BEM 33

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh nurshaza