Home Novel Thriller/Aksi Bidadari Encik Mafia (Completed)
BEM 34

TANGAN naik bersilang ke dada. Belikatnya disandarkan pada kerusi. Dia hanya merenung kosong ke arah luar tingkap. Tiada satu pun yang menarik perhatiannya kini. Dia tertanya-tanya, kenapa sepertinya Indira terburu-buru hendak ke tandas? Dan dia perasan ada air jernih bertakung pada tubir mata gadis itu. Menangiskah dia di dalam tandas? Gara-gara tidak mahu dia nampak.

"Dia nak menangis? Macam tak percaya pulak aku. Dia tu kan hati brutal. Bukannya hati tisu macam perempuan lain. Tak akanlah aku baru kasar sikit dah nak menangis?" Qarizh membuat andaian sendiri. Tangannya ligat mengusap dagunya sambil dahinya berkerut halus.

Qarizh melepaskan dengusan kasar setelah beberapa minit dia mengelamun memikirkan tentang Indira. Lama benar gadis itu ke tandas. Entah apa yang dia buat pun, dia sendiri tidak tahu. Tidak betah dia hendak menunggu lama, punggungnya diangkat lalu membawa langkah ke kaunter untuk membuat pembayaran. Sementara menunggu juruwang itu memulangkan baki wangnya, anak matanya meliar memerhatikan suasana sekeliling restoran itu. Tiba-tiba saja dia tidak sedap hati. Jantungnya berdegup kencang.

Ada apa-apa terjadi pada Indira ke?

"Ini bakinya, encik. Terima kasih. Datang lagi."

Qarizh menganggukkan kepalanya lalu dia melangkah ke lorong belakang di mana terletaknya tandas di dalam restoran itu.

"Kau nak apa lagi, Yazir? Tak cukup lagi ke kau dah seksa zahir dan batin aku dua tahun lepas?" soal Indira dengan nada suaranya cukup keras. Bibirnya diketap menahan marah yang membara di dalam hati.

Yazir hanya tersenyum kecil. Sungguh dia rindu untuk melihat wajah gadis di hadapannya ini. "Aku nak minta maaf dekat kau, sayang. Aku akan bertanggungjawab untuk segalanya. Kau hanya jadi isteri aku saja. Aku janji akan bahagiakan kau."

Indira mengherotkan bibirnya ke tepi. Terasa mahu ketawa pula mendengar ucapan Yazir sebentar tadi. Geli hati dibuatnya. Macam tak ada rasa bersalah langsung lelaki ini. Mahu saja dia melayangkan penumbuk pada wajah Yazir itu. Tak padan dengan menggunakan tongkat.

"Lupakan sajalah niat kau tu. Aku akan berkahwin dengan Qarizh. Muktamad."

Yazir menggelengkan kepalanya laju. Pergelangan tangan Indira direntap sehingga gadis itu terdorong merapatinya. Indira cuba mahu melepaskan pergelangan tangannya. Namun, Yazir lebih kuat mengenggam pergelangan tangannya itu sehingga terasa perit.

Buk!

Qarizh meluru ke arah Yazir lalu sebiji penumbuk padu hinggap tepat pada rahang Yazir sehingga lelaki itu terundur beberapa langkah ke belakang. Indira ditarik ke belakang tubuhnya. Nafasnya tidak mampu dikawal lagi. Dada berombak laju menandakan yang gunung amarahnya sudah meletup.

"Siapa izinkan kau untuk sentuh dia? Dia bukan perempuan murahan seperti yang kau sangka selepas kau dah berjaya sentuh dia. Jangan harap aku akan biarkan kau untuk sakiti dia lagi," ujar Qarizh memberi amaran kepada Yazir.

Yazir ketawa. Kepalanya digeleng-geleng beberapa kali. Indira di belakang hanya mendiamkan diri sambil mengusap pergelangan tangannya yang merah dek dicengkam oleh Yazir tadi. Sengaja dia merapatkan dirinya dengan belakang tubuh Qarizh. Mahu memanaskan hati Yazir.

"Indira, kau milik aku, Dira. Apa yang susah sangat kau nak faham perasaan aku ni? Huh!" tengking Yazir. Mukanya sudah merah padam dek menahan marahnya. Rahang yang terasa sakit tidak dihiraukan sama sekali.

"Aku bukan milik sesiapa pun. Kau tak boleh paksa aku untuk faham perasaan kau. Sedangkan kau sendiri tak pernah faham perasaan aku. Kalau kau betul sayangkan aku, kau tak akan sakiti aku." Tertahan-tahan suara Indira apabila membidas semula percakapan Yazir.

Qarizh terdiam sejenak saat mendengar ayat terakhir yang keluar dari mulut Indira.

Yazir menggelengkan kepalanya. "Kau hak aku. Selamanya hak aku. Sebab aku dah tinggalkan kesan aku dekat tubuh badan kau. Dan tak akan ada lelaki yang nakkan kau." Sinis Yazir membalas. Langsung tidak mahu mengalah.

"Siapa cakap tak akan ada lelaki yang nakkan dia? Aku sendiri akan berkahwin dengan dia tak lama lagi."

Yazir mengenggam kedua-dua belah tangannya erat. Uratnya mula timbul. Bibirnya diketap kuat. "Kau tunggu, Qarizh. Aku akan pastikan aku dapat langkah mayat kau depan anak-anak buah kau nanti. Biar dia orang menyesal sebab dah salah pilih ketua."

"We will see," balas Qarizh dengan senyuman sinis pada dua ulas bibirnya.

"Jom, sayang. Kita balik. Layan orang gila ni sampai esok pun tak balik," ajak Qarizh dengan penuh lemah-lembut.

Indira hanya menganggukkan kepalanya. Gelaran 'sayang' yang terpacul dari bibir Qarizh sedikit pun tidak mencuit hatinya. Dia mengerling ke arah Yazir buat seketika sebelum mengikut langkah Qarizh.

"Korang tak akan selamanya bahagia. Aku akan hancurkan sehingga Indira menjadi isteri aku."

SEPANJANG dalam kereta, mereka berdua hanya menyepikan diri. Indira dari tadi hanya termenung jauh sambil dagunya ditongkat. Qarizh pula memandu dengan hanya menggunakan sebelah tangannya saja. Sebelah tangannya lagi ditahan pada bibir pintu lalu kepalanya ditongkat. Situasi tadi bermain di dalam fikirannya.

"Kalau kau betul sayangkan aku, kau tak akan sakiti aku."

Sebaris ayat itu berulang-ulang kali bermain di dalam kepala otaknya. Entah kenapa, ayat itu menyentapkan sekeping hatinya sehingga kini. Dia sayang dan cintakan Indira. Tapi adakah perbuatannya sekarang ini menyakiti hati gadis itu?

"Kita nak pergi mana ni, Qar? Rasanya bukan jalan balik ni." Indira mula bersuara apabila melihat Qarizh hanya terus saja dari tadi sehingga mereka masuk ke lebuh raya.

"Cari barang perkahwinan. Alang-alang aku free hari ni. Kenapa? Kau ada hal ke?"

Indira senyum. Kepala digeleng sekali. "Tak adalah. Aku tak ada hal apa-apa pun. Cuma tanya saja sebab kau tak ada cakap pun nak pergi beli barang kahwin sekali."

"Lagi dua minggu kita nikah. Kau okey?"

"Tak cepat sangat ke?"

"Dah 12 tahun aku tunggu kau. Kau nak suruh aku tunggu berapa lama lagi?"

Indira hanya senyum. "Maaf. Aku okey aje. Nanti aku maklumkan pada angah. Harap-harap dia boleh clearkan jadual dia nanti untuk attend majlis akad nikah kita."

Qarizh hanya menganggukkan kepalanya. Tumpuan diberikan sepenuhnya kepada pemanduannya. Cuba tidak untuk terus-menerus mengingati kejadian tadi.

Sejam kemudian, mereka sampai di hadapan sebuah bangunan deretan butik dan juga kedai-kedai. Kafe dan restoran turut ada. Qarizh menarik brek tangan lalu mematikan enjin keretanya. Dia mengerling ke arah sebelahnya. Kelihatan Indira lena sehingga tidak sedar yang mereka sudah pun sampai. Entah bila masa gadis itu terlelap pun, Qarizh tidak perasan. Pandangannya jatuh pada pergelangan tangan Indira yang merah itu. Perlahan tangannya mahu mengusap pergelangan tangan gadis itu.

"Kita... dah sampai ke?" soal Indira yang tersedar secara tiba-tiba. Laju saja Qarizh menarik semula tangannya. Mujur tidak kantoi, dia mahu menyentuh tangan Indira.

"Haa... dah sampai. Jomlah," jawab Qarizh sekadar basa-basi. Segera dia melangkah keluar dari dalam kereta.

Indira menyilangkan beg pada tubuhnya lalu keluar dari perut kereta. Matanya meliar melihat suasana sekeliling.

"Kau nak masuk butik yang mana?"

"Aku tak arif sangat bab-bab butik ni. Kita tengok ajelah yang mana-mana dulu. Kita cari design yang simple sajalah, eh?"

Qarizh menganggukkan kepalanya. Mereka sama-sama melangkah masuk ke dalam sebuah butik yang diberi nama D'Roses Boutique. Rambang mata Indira melihat pakaian yang dipamerkan di dalam butik itu. Dari satu mannequin ke satu mannequin disentuhnya. Qarizh yang berada di belakang hanya mengekori saja langkah Indira.

"Kenapa ikut aku aje? Tak pilih baju untuk kau?"

"Aku nak kau pilihkan. Semua kau yang pilih. Aku tinggal bayar saja."

Indira hanya tersenyum. "Kau tak kisah ke kalau aku pilihkan? Kut-kut bukan citarasa kau nanti."

"Kau bakal isteri aku. Dan kau bukan baru aje kenal aku. Dah boleh dikatakan lama juga. Mesti kau tahu mana citarasa aku." Qarizh senyum kecil.

Hati Indira berbunga-bunga melihat senyuman kecil yang terbit pada bibir Qarizh. Biar pun hanya kecil dan nampak seperti acuh tidak acuh. Itu sudah cukup membuatkan hatinya tercuit melihat senyuman itu. Dapatlah hilangkan sekejap perasaan rindunya pada lelaki itu.

"Kalau macam tu, kau duduklah kat sofa tu. Aku pilihkan."

Qarizh akur. Dia melabuhkan punggungnya di atas sofa yang terletak di sebelah rak-rak pakaian pengantin itu. Matanya tidak lepas memandang ke arah Indira yang sedang leka memilih pakaian untuk majlis pernikahan mereka yang akan berlangsung tidak lama lagi.

JAM sudah menunjukkan tepat pada angka 10 malam. Barulah mereka kenal erti penat. Seharian mereka membeli segala barang persiapan untuk perkahwinan mereka. Dah alang-alang semuanya ada dekat situ. Qarizh menyuruh Indira memilih kesemuanya. Nanti cuma datang ke sini untuk mengambil busana pengantin yang sudah siap ditempah. Pekerja butik itu memerlukan masa selama seminggu untuk membuat persiapan dan menyiapkan busana pengantin Indira dan juga dirinya.

"Penat?" soal Qarizh sebaik saja mereka sampai di tepi kereta.

Indira hanya tersenyum. "Penat tu memanglah penat. Tapi rasa seronok dapat luangkan masa dengan kau sampai malam macam ni. Dah lamakan kita tak keluar macam ni?"

Qarizh terdiam. Lambat-lambat dia menganggukkan kepalanya. Dedaun pintu kereta ditarik. Matanya meliar memerhatikan suasana sekeliling. Baru dia perasan, lokasi parkir itu sudah kosong dan sunyi. Hanya keretanya saja yang ada di situ. Perasaan tidak enak mula menjengah ke dalam hatinya.

"Kenapa Qar? Ada apa-apa ke?" Indira turut memerhatikan suasana sekeliling sama seperti Qarizh.

Qarizh tidak menjawab sebaliknya mengeluarkan telefon bimbitnya dari dalam kocek seluarnya lalu satu kod yang diciptanya dihantar kepada Saif melalui aplikasi WhatsApp. Kod itu dicipta agar mereka faham akan maksud Qarizh. Sekiranya dia dalam kesusahan atau kecemasan. Dia akan menggunakan kod itu.

"Masuk kereta," arah Qarizh kepada Indira.

Indira akur. Segera dia membuka pintu kereta Qarizh. Akan tetapi, belum sempat dia hendak memboloskan tubuhnya masuk ke dalam perut kereta. Lengannya ditarik belakang oleh seseorang. Qarizh tidak mahu pisang berbuah dua kali. Segera dia berlari ke arah gerangan itu lalu dia menghalakan penumbuknya ke arah gerangan itu.

Namun, sepantas kilat gerangan itu mengelak dengan menundukkan tubuhnya. Qarizh mengetap bibirnya. Dia berdiri di hadapan Indira. Sama sekali dia tidak mengizinkan Indira disentuh oleh sesiapa pun.

"Haish... kacau sajalah. Orang nak jumpa dengan Kak Dira." Gerangan itu menolak hudnya sehingga jatuh dari kepala.

"Ya Allah, Haura!" Indira terus berlari keluar dari belakang Qarizh lalu memeluk tubuh gadis bernama Haura itu.

Berkerut dahi Qarizh melihat kemesraan mereka. Belum pernah lagi dia berjumpa dengan gadis kecil di hadapannya ini. Pandang gadis itu sekali imbas mengingatinya pada Qasrina. Lagi-lagi suara mereka hampir saja sama.

"Haura bila masa balik ni? Abang Kizo tahu tak?"

"Tahu dah. Akak pergi mana?"

"Cari barang kahwin. Bolehlah Haura tolong akak nanti. Untuk majlis pernikahan akak nanti."

Haura tersengih. Kepala diangguk sekali. "Boleh saja. By the way... yang nak tumbuk Haura tadi tu siapa? Takut sangat yang Haura sakitkan akak," perli Haura sambil mengerling ke arah Qarizh yang berada di belakang mereka.

"Oh. Nilah bakal suami akak. Sorry la. Dia tak sengaja tu. Sebab..."

"Oh! Haura faham. Tak perlu jelaskan. Korang nak balik dah ke?" soal Haura dengan nada bersahaja sambil keningnya ternaik sebelah.

Indira menganggukkan kepalanya. "Nak balik dah. Haura datang dengan siapa ni? Pergi mana?"

"Dengan Abang Saif. Heret dia, ajak pergi tengok wayang tadi. Hehehe..." Haura tersengih.

Qarizh terkejut. Dahinya sudah berlapis-lapis. Berkerut-kerut. Tatkala nama Saif meniti di bibir gadis bernama Haura itu.

"Saif?"

Indira turut mengerutkan dahi. Setahu dia, Haura hanya mempunyai seorang abang saja. Abang Kizo itu merupakan abang tirinya yang berlainan ayah. Tapi hubungan mereka adik-beradik bagaikan kandung.

"Oh... akak tak kenal dengan Abang Saif. Abang Saif ni, abang kandung Haura. Ada sebab kenapa Haura tak beritahu akak dulu. Abang Kizo pun tak ada beritahu, kan?"

Perlahan Indira menganggukkan kepalanya. "Sumpah, akak tak tahu yang Haura ada abang kandung. Akak ingatkan Haura ada abang tiri saja."

Haura tersengih. Aduh... terlepas pula dia hari ini. Teruja sangat berjumpa dengan Indira sehingga dia lupa tentang status dia dan Saif.

"Hoi, dik! Kau pergi 7-E ke buat bangunan 7-E?" perli Saif sambil melangkah ke arah mereka. Dia masih tidak perasan akan kewujudan Qarizh dan Indira di situ.

"Ni hah, adik jumpa dengan Kak Dira. Terserempak kat sini."

Langkah Saif terhenti di sebelah Haura sekali gus dia membawa pandangannya ke arah Qarizh dan Indira yang sedang memandang ke arahnya dengan kerutan di dahi.

"Erk... bos..."

Haura ternganga kecil. Tak sangka pula abangnya bertemu dengan majikan sendiri. Tapi dia tak pasti... sama ada majikan untuk kerja hakikinya atau kerja kedua. Hmmm...

"Aku tak tahu pulak kau dengan Kizo tu adik-beradik tiri. Kau cuma cakap yang kau ada adik perempuan aje yang tengah belajar dekat luar negara," ujar Qarizh sambil menyilangkan tangannya ke dada. Keningnya ternaik sebelah.

"Maaf, bos. Abang saya memang suruh saya senyapkan hal ni sebab..."

"Sebab dia orang kanan kepercayaan Izz Benazir?"

Lambat-lambat Saif menganggukkan kepalanya. Indira di sebelah sudah kehilangan kata-kata. Tak sangka betul dia. Pandai betul mereka menjaga identiti selama bertahun-tahun dan pada hari ini kantoi jua. Dia sendiri pun jarang berjumpa dengan Haura. Beberapa kali saja mereka berjumpa beberapa tahun lepas sebelum Haura menyambung pengajiannya ke luar negara. Gadis itu sebaya dengan arwah Qasrina. Saif pula tidak tahulah usianya berapa.

"Bos, jangan marah saya bos. Saya cuma rahsiakan itu saja."

"Patutlah kau boleh tahu dulu yang Indira tinggalkan aku. Rupanya kau ada orang dalam. Tapi abang kau tak beritahu ke masa tu yang Indira ke Indonesia?"

Laju Saif menggelengkan kepalanya. "Sumpah, bos. Abang saya tu memang tak beritahu lokasi Indira. Dia cuma beritahu yang Indira dah pergi. Kalau saya tanya banyak kali pun, belum tentu dia nak beritahu."

Qarizh menjuihkan sedikit bibirnya lalu menganggukkan kepala. Strict juga abang tiri Saif dan Haura ini. Lihat daripada gaya Saif bercerita boleh tahu yang Kizo seorang yang garang dan tegas.

"Tak apalah. Kau tak salah apa-apa pun. Tu hal peribadi kau. Cuma aku terkejut saja. Kau ada terima kod daripada aku tak tadi?"

Saif menganggukkan kepalanya. "Ada. Saya dah maklumkan pada mereka."

"Tak apalah. Aku ingatkan adik kau ni musuh tadi. Nasib baik dia tangkas elak penumbuk aku. Kalau tak..."

"Heh, jangan pandang sebelah mata. Saya dah belajar semua taktik tu." Bangga Haura menjawab sambil tersenyum lebar. Saif di sebelah sudah menggelengkan kepala. Masak dia macam ni. Perangai adiknya tidak sama seperti dia atau Kizo. Tersesat perangai dia seorang ini.

"Dah, aku nak balik. Kau nak keluar lagi ke, Saif?"

"Tak. Saya nak hantar adik saya balik ke rumah kakak ipar kami."

"Ala... Haura tak nak tinggal dengan kakak ke?" Indira mencebikkan bibirnya.

"Hehehe... Abang Kizo suruh temankan kakak tu dekat rumah. Nanti dia membebel. Esok Haura datanglah ke markas tu, ya?" Haura mengenyitkan matanya ke arah Indira.

Indira ketawa kecil. Perangai Haura memang tak ubah. Masuk air. Gila-gila dan selamba orangnya. "Tak apalah kalau macam tu. Esok kita jumpa, ya."

"Okey! Bye, kakak." Haura memeluk lengan Saif lalu melambai ke arah Indira dan Qarizh.

Saif meminta diri untuk berlalu kepada Qarizh. Qarizh hanya mengangguk. Dia memandang ke arah Haura sambil tersenyum tanpa dia sedar. Melihatkan Haura membuatkan dia rindu pada Qasrina.

"Qar..."

Qarizh masih kaku berdiri. Dia merenung ke arah Haura yang sudah pun masuk ke dalam kereta Saif.

"Qar... nak balik tak?" Indira melambai-lambai tangannya di hadapan wajah Qarizh.

"Huh? Haa... balik. Jomlah..."

Indira menggelengkan kepalanya. Kenapa dia pandang Haura sampai tak lepas? Tak akanlah dah jatuh cinta dengan Haura pula? Eh, sampai ke situ pula dia fikirnya? Allahu... teruk betul pemikirannya melayang sehingga ke situ.

Ataupun... perwatakan Haura membuatkan Qarizh teringatkan arwah Qasrina? Baru dia perasan... sikap Haura ada persamaannya dengan Qasrina.


Previous: BEM 33
Next: BEM 35

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh nurshaza