Home Novel Thriller/Aksi Bidadari Encik Mafia (Completed)
BEM 15

ENTAH ke berapa kali dia mendengar Qarizh melepaskan keluhan panjang. Sekejap meraup wajahnya. Sekejap meramas rambutnya. Dah serupa orang tidak terurus saja. Apalah yang menyerabutkan fikiran lelaki itu? Indira sendiri yang melihat pun naik serabut kepala dibuatnya.

"Kenapa ni, Qar? Kau fikir apa sampai macam ni sekali? Serabai dah rambut kau tu aku tengok. Kau dekat ofis sekarang ni. Jangan lupa pula," tegur Indira setelah sekian lama mendiamkan diri. Dia sendiri tidak tahu apa tujuan Qarizh memanggilnya.

"Dira, Qas betul-betul marahkan aku pasal Yazir tu. Aku tak tahulah apa yang ada dalam fikiran dia tu. Dia lebihkan Si Yazir tu daripada aku. Dan sekarang ni, dia cakap. Dia dah tak nak kau jaga dia lagi. Dia dah duduk dekat rumah mak long. Apa aku nak buat sekarang ni? Puas dah aku pujuk."

Indira terdiam. Hatinya terusik sedikit. Qasrina dah tak nak dia, sebagai penjaga? Pergaduhan mereka kelmarin sampai dia pun terpalit sekali? Memang patut pun, Qasrina seharian tidak keluar dari bilik semalam. Dia hanya duduk di ruang tamu. Dia masak pun, kawan-kawan Qarizh yang makan. Puas dia panggil Qasrina untuk makan. Tapi langsung tak bersahut.

"Jadi, aku dah tak jadi penjaga Qasrina lagi?"

Qarizh angguk sekali. Dan sekali lagi dia meraup wajahnya. Benar-benar dia kusut dengan masalahnya itu. Indira turut bersimpati dengan Qarizh. Dia tahu yang Qarizh benar-benar risau akan keselamatan adiknya memandangkan ramai musuh yang muncul tanpa dijangka.

"Mungkin salah aku juga sebab buat dia macam tu. Aku dah gagal jadi abang untuk dia. Aku terlalu ikutkan ketakutan aku. Takut kehilangan dia. Dan sekarang aku bakal kehilangan dia. Dia nak pindah duduk dengan mak long aku. Aku bukan tak nak percaya mak long dengan Yazir tu. Tapi, entah kenapa hati aku kuat mengatakan yang dia orang bukanlah baik mana seperti yang aku fikirkan."

"Walaupun dia orang keluarga kau?"

Qarizh angguk sekali lagi. "Sebab dia orang selalu menghilang bila kami dalam kesusahan. Waktu arwah mama dan papa aku meninggal dunia, tak ada seorang di antara mereka yang datang. Alasan dia orang sampai sekarang aku tak boleh terima."

Indira terdiam. Berkira-kira mahu tanya atau tidak. Alasan apa yang diberikan oleh Mak Long Yasmin dan Yazir itu?

"Yazir memang dah tak ada ayah ke?"

"Mak long aku dah bercerai dengan pak long aku. Sebabnya pun aku tak tahu kenapa." Bahunya dijungkit sekali. Nafas dihela perlahan sambil matanya dipejamkan buat seketika. Mungkin cuba untuk mencari ketenangan.

"Erm, alasan apa yang dia orang bagi dekat kau sampaikan kau tak boleh terima?"

"Dia orang dekat Pulau Perhentian. Tengah bercuti masa tu. Dia orang tak dapat nak balik sebab dia orang dah beli tiket penerbangan balik tu. Dua hari selepas tu baru dia orang balik. Itu pun sekadar melawat kita orang. Kubur arwah mama dengan papa aku tak tahulah dia orang melawat ke tidak."

Indira angguk sekali. Faham akan perasaan lelaki di hadapannya ini. Sudahlah kehilangan mama dan papa sekali gus. Ada saudara-mara pun lebih pentingkan percutian berbanding kematian. Siapa saja yang tak sakit hati? Kalau dia terkena pada dirinya sendiri, pasti dia sama seperti Qarizh.

"Kau nak aku pujuk Qas?"

"Boleh ke? Qas tu kepala batu sikit. Dia susah nak dengar pujukan orang kalau dah tengah marah macam tu sekali."

"Boleh je. Aku cuba. Dan sebenarnya, aku pun tak pandai sangat nak memujuk orang. Tapi disebabkan aku kesiankan dekat kaulah aku tolong. Nanti aku pergi ke sana sendiri. Kau tak payah ikut. Nanti takut dia tak nak jumpa pulak."

Qarizh senyum kecil. Kepala dibawa angguk sekali. "Aku minta maaf kalau susahkan kau. Patutnya aku yang kena pujuk adik aku tu. Tapi kau pulak yang kena. Aku memang tak boleh tenang kalau dia tak ada depan mata aku."

"Aku faham. Aku tahu perasaan kau tu sama macam angah risaukan aku. Aku cuba tau, Qar. Aku tak tahulah kalau pujukan aku Qasrina 'makan' atau tidak."

Qarizh senyum. "Ada fail yang aku kena sign lagi ke?"

"Fail yang tu saja. Tak ada lagi dah. Aku minta diri dulu." Punggung diangkat lalu fail dipeluk rapat ke dada. Dia seorang saja yang bekerja hari ini memandangkan Qasrina tidak hadir ke tempat kerja. Merajuk sakan budak tu dengan abang dia. Aduhai... ingatkan hati kebal macam dia tak adalah nak merajuk bagai. Ada juga sifat macam tu.

Ting tong! Ting tong!

YAZIR yang sedang menonton televisyen sudah menyumpah-seranah tetamu yang mengacau ketenangannya. Tak boleh lihat dia senang betul duduk dalam rumah ni. Dahlah kena paksa berkebun dekat belakang rumah tadi. Kalau tak dibuat, mahu bernanah telinganya mendengar bebelan Tengku Yasmin.

Dengan perasaan malas yang semakin memberat, Yazir bangun dari duduknya lalu dia melangkah dengan longlai ke pintu utama.

"Ya, nak apa?" soalnya lalu kepalanya didongak perlahan. Anak matanya bertembung dengan anak mata Indira. Terkaku dirinya seketika. Kenapa baru dia perasan sekarang? Indira Callista seorang gadis yang cantik dan wajahnya putih mulus serta anak matanya yang sedikit bersinar itu membuatkan Yazir bagaikan tidak bernyawa.

"Qasrina ada? Aku nak jumpa Qas sekejap."

Fuh! Bahasa dia boleh tahan kasar. Tapi cantik orangnya. Macam bidadari. Aku harap sangat yang dia ni single lagi. Bolehlah aku masuk line. Bosan asyik jumpa bidadari yang tak berapa nak bidadari tu kat kelab malam.

"Dia ada dalam bilik rasanya. Mungkin penat baru lepas berkebun dengan ibu aku. Ada apa nak jumpa dia?"

"Bukan urusan kau. Ni hal perempuan. Aku nak jumpa dia. Tapi aku tak nak masuk. Aku nak jumpa dia dekat depan rumah ni saja. Aku call dia langsung tak berjawab. Tak tahulah apa salah aku sampai dia pinggirkan aku sampai macam ni sekali."

Yazir sekadar angguk. Dia sendiri pun tak tahu, kenapa Qasrina tiba-tiba saja mahu tinggal bersama mereka? Walhal pertalian mereka tidaklah serapat mana pun.

"Aku panggil dia sekejap. Kau tunggulah. Kalau tak nak turun, aku heret dia."

Indira tidak melayan. Hanya angguk sebelum dia menapak ke kereta Qarizh yang dia pinjam.

"YA, sekejaplah. Ya Allah, roboh pintu tu karang!" marah Qasrina sambil tangan sebelah naik mencekak pinggangnya sendiri. Baru saja dia hendak melelapkan mata. Bagaikan ada gempa bumi yang menimpa dirinya. Terkejut dia mendengar bunyi ketukan yang bertalu-talu semakin lama semakin kuat. Tak reti menyabar betul abang sepupunya itu.

"Apa benda? Qas baru nak lelap."

"Kakak angkat kau tu dekat bawah. Dia nak jumpa kau. Dia tunggu kat luar."

Qasrina melepaskan keluhan panjang. Ini mesti datang nak memujuk dia. Tak boleh ke, bagi dia masa beberapa hari untuk lepas tension. Dia masih lagi sakit hati dengan perangai abangnya yang seorang itu. Buat dirinya seperti halimunan saja.

"Ya, sekejaplah. Qas turun. Dah sana..." Qasrina menghalau sambil menolak tubuh sasa milik Yazir.

"Haa... kau turun. Tak turun siap kau. Aku heret kau."

"Ya, ya. Dah sanalah!"

Pintu ditutup sebelum dia mencapai jaket nipis lalu disarungkan ke tubuhnya. Rambut dibetulkan sedikit. Kaki mengorak langkah keluar dari dalam biliknya lalu menuruni anak tangga satu demi satu dengan perasaan malas.

"Kak...," seru Qasrina sebaik saja dia berdiri di belakang Indira.

"Qas, okey?" soal Indira dengan nadanya kedengaran prihatin. Hampir beberapa bulan dia menjaga Qasrina, jadi dia sudah terbiasa. Layanan Qasrina sama seperti dia melayani Alana.

Qasrina angguk. "Qas okey je. Kenapa kakak datang sini?"

"Kenapa Qas buat keputusan terburu-buru macam ni? Tak fikirkan perasan Qar ke? Diakan abang Qas."

"Dah bertahun-tahun Qas fikirkan dia. Tapi dia buat Qas macam patung saja. Akak tak rasa apa yang Qas rasa. Akak baru aje muncul dalam hidup kita orang."

Indira tersentap. Perlahan-lahan dia menganggukkan kepalanya sekali. Peluang untuk memujuk hati Qas sepertinya tipis. "Tapi kenapa sampai nak pindah ke sini? Duduk sajalah kat rumah dengan abang. Nak datang sini, datanglah. Akak boleh teman. Akakkan masih lagi penjaga Qas."

Qasrina menggelengkan kepala. "Qas nak freedom. Qas tak nak sesiapa kongkong life Qas. Biar Qas yang buat keputusan sendiri. Qas dah besar. Dah 23 tahun. Bukannya kecil lagi. Qas ada hak nak tentukan life Qas. Akak pun tak patut sebenarnya jadi penjaga Qas. Macam Qas ni budak kecil. Langsung tak bagi Qas peluang untuk buat apa yang orang sebaya Qas buat." Panjang lebar jawapan yang keluar dari mulut Qas.

Indira terdiam. Tak tahu lagi apa yang harus dikatakan lagi. Memang betul kata Qarizh. Qasrina seorang yang keras kepala. "Tak apalah. Kalau itu yang kau pilih. Akak pun tak nak paksa kau. Tapi akak jaga kau ikhlas. Akak senang berkawan dengan kau memandangkan kita sekepala. Cuma akak nak pesan dekat kau. Ni pun selalu arwah along akak yang pesan dekat akak. Nak bebas tak salah tapi jangan terlalu bebas sampaikan termasuk dalam perangkap yang selamanya kau tak akan bebas."

Jeda. Hati Indira sedikit terusik tatkala mengingati pesanan arwah Ilman.

"Itu aje akak nak kau ingat. Dalam dunia ni tak semua orang yang boleh kau percaya. Ada yang buat baik bersebab. Kau patut bersyukur yang kau ada abang yang terlalu sayangkan kau. Terlalu takut kehilangan kau. Dia kirim salam dekat kau. Suruh kau jaga diri. Apa-apa call aje dia. Dia selalu ada untuk kau."

Qasrina sedikit terkilan dengan kata-kata Indira. Dia tahu yang kakak angkatnya itu sepertinya terasa hati dengannya. Salah ke dia buat keputusan begini? Mak Long Yasmin merupakan ibu saudaranya. Tak salah, kan?

"Tak apalah. Akak pun tak ada benda nak cakap lagi. Sia-sia aje kalau akak pujuk kau sebab kau dah tetap dengan pendirian kau. Berdiri teguh dengan pilihan kau. It's okay. Kita orang ada selalu untuk kau kalau kau perlukan kita orang. Aku gerak dulu." Bahu Qasrina ditepuk lembut sebelum menarik pintu kereta.

"Kak..." Sangat perlahan suara Qasrina menyeru Indira. Sayang, Indira sama sekali tidak dengar seruannya. Gadis itu sudah memboloskan tubuhnya masuk ke dalam perut kereta. Kedengaran enjin kereta sudah pun dihidupkan.

Qasrina mengemam bibirnya sehingga merah. Entah kenapa dia terkesan dengan pesanan Indira. Dia sedar yang abangnya selalu berkorban untuknya. Terlalu sayangkan dia kerana takut kehilangan dirinya. Kerana hanya mereka berdua yang bergantung sesama sendiri selepas arwah mama dan papa meninggal dunia.

Apa aku buat ni? Aku dah lukakan hati abang ke? Tapi dia pun ada buat aku kecil hati. Dia buat aku macam aku ni budak lagi. Sedangkan aku boleh aje bantu dia dekat Mestika Royal Holdings tu. Tapi.... Argh! Sakit kepala aku fikirkan. Baik aku tidur lagi bagus.

Wajahnya diraup sekali sambil melangkah masuk ke dalam rumah. Yazir yang dari tadi memasang telinga di tepi dinding tembok itu langsung dia tidak perasan. Tanpa sedar, bibir lelaki itu ternaik sedikit sebelum dia melangkah keluar dari pagar rumah. Ada urusan yang perlu diselesaikan.


Previous: BEM 14
Next: BEM 16

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh nurshaza