KAD JEMPUTAN yang diterima dipandang dengan hatinya yang panas menggelegak. Perlahan dia mengenggam kad tersebut sehingga renyuk seribu sebelum dibaling ke lantai. Zafi selaku orang kanan Yazir, menggantikan tempat Hilmi hanya memandang ketuanya dengan pandangan kosong. Yasmin yang berdiri di sebelah Zafi hanya bersilang tangan sambil berkerut-kerut. Hatinya turut sakit melihat Yazir begitu.
"Ibu, apa ni ibu? Kenapa dia boleh terlepas jadi suami lelaki tak guna tu? Patutnya Yazir la, ibu! Yazir!" tempelak Yazir sambil menepis segala bantal yang ada di atas katil itu.
"Sabar, Yaz. Jangan macam ni. Nanti kamu sakit. Ibu akan buat sesuatu agar mereka tak akan bahagia selagi anak ibu macam ni. Yazir berikan ibu masa, okey?" pujuk Yasmin sebaik saja dia melabuhkan punggung di sebelah anak lelakinya itu. Rambut Yazir dibelai lembut.
Yazir mendiamkan diri. Tubuh Yasmin dipeluknya erat dengan wajahnya berkerut-kerut menahan marah. Yasmin mengusap belakang tubuh Yazir, cuba untuk menenangkan amarah anaknya itu.
"Yaz nak Dira jadi milik Yaz. Yaz cuma nak itu saja. Yaz tak nak benda lain dah. Yaz yakin yang Yaz akan bahagia dengan Dira. Gadis yang berjaya curi hati Yaz."
Yasmin tidak menjawab. Sebaliknya hanya menganggukkan kepalanya. Ikutkan hati, sebenarnya dia tidak suka dengan Indira. Dia terpaksa menyembunyikan perasaannya itu demi hati si anak. Untuk Yazir, dia sanggup buat apa saja. Kerana Yazir saja yang dia ada ketika ini. Dari kecil, dia menatang Yazir bagaikan minyak yang penuh. Semuanya dilakukan seorang diri tanpa suami di sisi.
"Ibu akan buat apa saja untuk anak ibu. Cuma satu saja yang ibu mintak. Jangan tinggalkan ibu. Okey?"
Yazir sekadar menganggukkan kepalanya. Dia hanya mendiamkan diri di dalam dakapan Yasmin. Kepala otaknya ligat memikirkan tentang majlis perkahwinan Indira dan Qarizh tidak lama lagi. Terketap-ketap bibirnya menahan marah.
"Jangan harap korang akan bahagia..."
DIA melemparkan pandangannya ke luar tingkap dengan dahinya yang berkerut-kerut. Bibirnya terherot sedikit ke tepi. Tali pinggang keledar keselamatan ditanggalkan dari tubuhnya lalu dia membawa dirinya keluar dari dalam kereta. Saif turut keluar dari dalam kereta. Dia hanya menggelengkan kepala melihat gelagat adiknya itu. Tadi kata mahu terus ke markas abang tiri mereka. Ini tukar haluan secara mengejut. Katanya mahu mengikutinya memandangkan Kizo sekarang berada di luar kerana ada urusan yang hendak dibuat.
"Kenapa tak terus je ke markas Abang Kizo, dekat sanakan ada Indira?"
"Ala... halau pulak. Lempang karang. Adik nak ikut pun tak boleh." Haura mencebikkan bibirnya. Tangan naik bersilang ke dada.
"Masalahnya, dalam markas ni semua kawan abang aje yang ada. Ketua abang pun keluar."
"Hah! Kalau dia keluar, mesti dia keluar dengan Kak Dira, kan? So, tak salahlah kalau adik ikut abang sampai Abang Kizo ambil adik kat sini?"
Terbuntang mata Saif mendengarnya. Nak pula abang tirinya itu datang ke sini. "Hah, serius?"
Haura menganggukkan kepalanya. "Tapi abang kena hantar adik kat depan jalan tu sana. Dia tak mau berhenti depan-depan rumah ni. Ada jembalang agaknya. Payah sangat." Dia memutarkan bebola matanya.
"Haih... yalah. Macam-macam..." Saif menggelengkan kepalanya. Dia membuka kunci pintu lalu dedaun pintu ditolaknya perlahan. Kelihatan suasana rumah agak bersepah, kawan-kawannya sedang melepak di ruang tamu sambil memasang lagu rentak disko.
"Uih... ini markas ke kandang lembu? Bersepahnya! Ini kalau Abang Qarizh tu nampak, mahu terbang satu rumah ni," ujar Haura cukup selamba sambil mencekak pinggangnya. Pandangannya ditunakkan ke arah kawan-kawan Saif yang terkejut memandang ke arahnya.
"Siapa pula kau bawa balik ni?" soal Airiel dengan dahinya berkerut seribu.
"Ini..."
Belum sempat Saif menjawab pertanyaan Airiel, Haura terlebih dahulu menekup mulut abangnya itu lalu tersengih. "Nama saya, Haura Sahirah. Adik kesayangan Hazim Saif. Salam perkenalan!"
Semua pandang dengan penuh tanda soal. Mungkin ada yang di antara mereka tidak tahu yang Saif mempunyai adik perempuan.
"Kau ada adik ke, weh?" soal Zane.
"Fuh! Tak sangka aku kau ada adik." Thakif mencelah.
"Aku ingatkan kau bawa balik awek kau tadi. Tak macam rupa adik kau pun." Irham pun menyelit.
Saif memegang kepalanya sambil menggeleng. Pening dia macam ni.
Airiel turut menggelengkan kepalanya. "Hah, aku nak keluar kejap ni. Ada hal sikit."
Mereka hanya menganggukkan kepala.
"Korang buat apa?" Selamba saja Haura melabuhkan punggungnya bersebelahan dengan Hilmi yang hanya mendiamkan diri dari tadi. Pandang pun tak lepas.
"Lepak saja, cik adik," balas Zane sambil tersengih.
"Nah!" Irham menghulurkan setin air Milo kepada Haura.
"Wah, Milo!" Begitu teruja Haura mencapai tin minuman itu. Senyumannya begitu lebar sekali. Milo ialah minuman kesukaannya.
"Dik, kau jangan nak merayau. Abang nak buat kerja sekejap."
Haura sekadar menganggukkan kepalanya. Dia bangun lalu meletakkan air minumannya di atas meja kopi. Dia meninggung di hadapan kabinet kaca yang terletak bertentangan dengan televisyen.
"Ada PS5 ke?" Haura menoleh ke belakang. Meminta jawapan salah seorang daripada mereka.
Serentak Hilmi dan Adiyan menganggukkan kepala. Haura tersenyum sambil menepuk kedua-dua belah tangannya. "Jom main game Tekken!" ajaknya sambil mengambil empat buah controller yang terletak di dalam laci kabinet kaca tu.
"Jom! Siapa nak lawan dengan Haura?"
Terkebil-kebil mereka berlima memandang gadis kecil di hadapannya itu. Tak padan dengan ketot, mahu mengajak permainan yang ganas.
"Aku, aku!" Thakif mengangkat tangannya. Diikuti dengan Zane dan Irham.
"Korang berdua next turn, eh?" Haura mengenyitkan matanya ke arah Hilmi. Dia perasan lelaki itu dari tadi tidak lepas memandang ke arahnya.
Hilmi senyum kecil. Kepala diangguk sekali. Adiyan di sebelah turut menganggukkan kepala. Haura mengambil tempat duduk di tengah-tengah. Antara Hilmi dan Adiyan. Manakala Zane, Irham dan Thakif duduk di bawah.
Sedar tidak sedar, sudah dua jam mereka menghabiskan masa dengan bermain pelbagai permainan. Hilmi yang tadinya tidak banyak bercakap, sudah mula bersuara banyak apabila Haura rajin menyapanya. Begitu juga dengan Adiyan.
"Fuh... penatnya..." Haura melepaskan keluhan panjang sambil meletakkan controller di atas ribanya.
"Haura tunggu Saif ke?" soal Hilmi.
"Hurm... tak. Tunggu abang sorang lagi. Dia kata nak ambil tadi."
Hilmi menganggukkan kepalanya. Tak tahu pula dia yang Saif mempunyai ramai adik-beradik. Fikirkan lelaki itu hanya anak tunggal saja. Lagi-lagi dia terkejut yang Saif mempunyai seorang adik yang secantik Haura.
"Adik..."
Haura mendongakkan kepalanya ke arah Saif yang baru saja menuruni anak tangga. "Apa dia?"
"Abang dah tunggu dekat luar. Balik nanti adik tolong Dira tu siapkan barang untuk majlis perkahwinan dia. Abang pun suruh adik tidur sana sampai habis majlis. Adik bawa baju, kan?"
Haura menganggukkan kepalanya. "Okey! Baik, bos!" Dia bangun lalu membuat tabik spring ke arah Saif.
"Temanlah orang!" Haura mencebikkan bibirnya ke arah Saif.
"Ya, ya. Nak temanlah ni. Sabar!" Saif menjeling kecil ke arah adik bongsunya itu.
Haura melambai tangannya ke arah kawan-kawan Saif. Tanpa dia sedar, getah rambutnya tercicir di atas sofa bersebelahan dengan Hilmi. Haura pun ketika itu sudah berlari ke arah Saif yang sedang memakai kasut di halaman rumah.
"Eh..." Hilmi baru saja hendak memberikan getah rambut itu kepada tuannya semula. Tapi melihatkan dua beradik itu sudah pun hilang dari pandangannya membuatkan langkahnya terbantut. Getah rambut itu dia genggam. Tidak sedar, bibirnya menguntumkan sebuah senyuman.
"Bila tengok Haura, teringatkan arwah Qasrina. Rindunya...," gumam Hilmi perlahan sebelum dia mendaki tangga untuk naik ke tingkat atas.
HAURA tersenyum lebar melihat penampilan Indira yang sangat jelita dengan busana pengantin yang tersarung pada tubuh gadis itu. Tidak lama lagi, Indira akan menukar statusnya kepada seorang isteri Tengku Qarizh Nadim. Namun, hatinya masih lagi berbelah bahagi dengan sikap lelaki itu. Lelaki itu benar-benar ikhlaskah mahu memperisterikannya?
"Haura... kenapa senyum macam tu?" tegur Indira.
"Cantik sangat! Macam Puteri Disney!" puji Haura sambil memeluk lengan Indira. Suka benar dia melihat penampilan Indira yang tampak begitu berlainan sekali hari ini.
"Betul ke? Akak takut aje busana ni tak kena dengan akak..."
"Hish! Kena sangatlah. Lagipun akak nak bernikah saja, kan? Simple dan cantik sangat! Sesuai!"
Indira tersenyum. Dia memeluk bahu Haura lalu menganggukkan kepalanya. "Terima kasih, Haura. Haura nak tahu tak? Waktu Haura sambung belajar, akak sunyi sangat. Walaupun dulu, kita tak ada berapa rapat sangat. Tapi akak dah anggap Haura macam adik akak sendiri. Sikap Haura buatkan akak teringatkan seseorang."
"Auch! Akak ni sweet sangat pulak hari ni. Terharu Haura mendengarnya. Siapa kak? Tak nak share dengan Haura ke?"
Indira tersenyum nipis. "Dia dah tak ada. Umur dia pun sebaya dia dengan Haura."
"Dia dah tak ada?" Dahi Haura berkerut seribu.
"Dia dah meninggal dunia. Nama dia Qasrina. Dia adik kepada Qarizh."
Haura menganggukkan kepalanya sekali. Agak terkejut juga bila dapat tahu, adik perempuan Qarizh yang seusia dengannya sudah pun kembali ke rahmatullah. Betullah, ajal tidak kira usia. Jangan sangka, bila dah tua saja kena bertaubat. Dan ketika usia tua saja, ajal menjemput. Walhal, ajal menjemput tak kira masa.
"Kesiannya. Mesti Abang Qarizh tu sedih sangat, kan?"
Indira senyum kecil. Kepala diangguk sekali. Tidak mahu dia bercerita tentang hal itu lagi. Mujur saja Haura tak banyak bertanya tentang kematian Qasrina.
"Akak dah ready ke? Tadi Haura tengok dah boleh dikatakan ramai juga yang dah sampai. Jomlah."
"Akak berdebar sebenarnya..."
"Haura kan ada. Genggam tangan Haura ni." Tangannya dihulurkan kepada Indira.
Indira menyambut huluran tangan gadis kecil itu lalu digenggam erat. Jantungnya sangat aktif ketika ini. Langsung tak membantu dia untuk menenangkan diri. Dalam hati berdoa, agar semuanya berjalan dengan lancar.
Matanya meliar melihat suasana sekeliling sebaik saja keluar dari bilik persalinan yang sememangnya disediakan di dewan masjid ini. Kelihatan Qarizh sudah pun duduk berhadapan dengan tok kadi sambil berborak-borak dengan Izz dan juga Kizo. Indira bagaikan tidak percaya sahaja yang dia bakal menjadi seorang isteri dalam beberapa minit saja lagi. Sepertinya keputusan itu diputuskan secara terburu-buru, namun Indira tetap mahu hidup bersama dengan Qarizh. Dia tahu, hanya Qarizh saja yang mampu membahagiakan dirinya.
"Kak... okey?" bisik Haura sebaik saja mereka berdua melabuhkan punggung di belakang Qarizh.
Indira sekadar menganggukkan kepalanya. Dia mengerling ke arah belakang tubuh Qarizh. Lelaki itu tampak segak dengan baju Melayu hasil dari pemilihannya sendiri. Tidak sedar, bibirnya menguntumkan sebuah senyuman kecil. Tapi tampak berseri-seri. Gembira yang tidak terkata.
Haura senyum. Dia mengalihkan pandangannya secara rawak. Dan pandangannya terhenti ke arah Hilmi yang segak berbaju Melayu berwarna royal blue dan juga kaca mata hitam terselit di tengah baju lelaki itu.
Hilmi sedikit tersentak tatkala anak matanya bertembung dengan anak mata coklat keperangan milik gadis bernama Haura itu. Gadis itu hanya mengenakan baju kebarung berwarna royal blue sama sepertinya. Adakah ini secara kebetulan?
"Baiklah. Pengantin perempuan pun dah ada. Boleh kita mula?" Tok Kadi sudah mula bersuara. Dia membetulkan posisi kedudukannya sebelum tangannya dihulur untuk berjabat dengan Qarizh.
Qarizh angguk sekali. Dari tadi sudah bersedia. Dan dia tidak sabar mahu Indira menjadi isterinya. Tapi dia sendiri keliru dengan dirinya sendiri. Adakah dia benar-benar ikhlas akan perkahwinan ini? Ataupun sekadar mahu menyakiti perasaan Indira saja?
"Baiklah. Tengku Qarizh Nadim bin Tengku Muzaphar."
"Ya, saya."
"Aku nikahkan dikau dengan Indira Callista binti Dzulfahmi dengan mas kahwinnya sebanyak RM80 tunai."
Qarizh menarik dan menghembus nafasnya. "Aku terima nikahnya Indira Callista binti Dzulfahmi dengan mas kahwinnya sebanyak RM80 tunai."
Tok Kadi menggoncangkan sekali tangan mereka lalu menganggukkan kepalanya. "Sah?"
"Sah." Izz dan Kizo membalas pertanyaan Tok Kadi itu.
"Alhamdulillah..." Doa dibaca oleh Tok Kadi.
Indira mengemamkan bibirnya. Entah kenapa, hatinya tiba-tiba saja sarat dengan perasaan sebak. Dia teringat akan percakapan Qasrina dua tahun lepas sebelum gadis itu menghembuskan nafas yang terakhir.
"Kalau apa-apa jadi pada Qas, maafkan Qas. Qas sayangkan akak. Qas dah anggap akak macam keluarga Qas sendiri. Kalau Qas tak ada, tolong jagakan abang untuk Qas. Dia dah tak ada sesiapa."
Indira menundukkan kepalanya walaupun dia sedar yang Qarizh sudah pun melutut di hadapannya bersama dengan sebentuk cincin di tangan lelaki itu. Sedaya-upaya dia tidak mahu mengalirkan air mata di hadapan orang ramai termasuklah Qarizh.
"Akak dah berkahwin dengan abang Qas. Akak akan cuba jaga dia untuk Qas. Maafkan akak...," gumam Indira, hanya dia seorang saja yang mendengar bisikannya sendiri.
"Indira Callista."
Perlahan Indira mendongakkan kepalanya dengan senyuman manis terbit pada bibirnya. Tangan dihulur untuk mengucup tangan Qarizh buat kali pertama sebagai suami dan isteri.
Qarizh hanya mendiamkan diri. Sebentuk cincin emas permata itu disarungkan pada jari manis isterinya. Sebuah kucupan dilabuhkan pada dahi Indira. Dan ketika itu juga, ramai tetamu yang hadir merakamkan momen-momen indah itu.
"Aku akan lindungi kau sampai hujung nafas aku, Indira," ucap Qarizh secara tiba-tiba. Hanya dia dan Indira saja yang dengar akan kata ucapannya itu.
Indira tidak mampu membalas apa-apa. Dia sendiri terkejut mendengar ucapan yang lahir dari mulut suaminya itu.
"Tahniah kakak dan abang. Semoga kekal sehingga ke jannah!" ucap Haura dengan penuh perasaan teruja. Tubuh Indira dipeluknya erat.
"Terima kasih, adik," balas Qarizh. Dia tidak sengaja memanggil Haura dengan panggilan adik.
"Sama-sama, Abang Qar." Haura sejenis yang memang tidak kisah hanya membalas saja bersama dengan senyuman.
Qarizh terdiam seketika. Baru dia sedar yang sebentar tadi dia memanggil Haura dengan panggilan adik. Mujur hanya dia dan Indira saja yang mendengarnya. Kalau Saif atau Kizo dengar, mahunya mereka fikir apa pula.
"Selamat pengantin baru, adik angah. Tak sangka angah yang adik dah berkahwin. Tanggungjawab angah selepas ini Qarizh yang akan ambil alih. Aku harap kau boleh tunaikan permintaan aku, Qar. Dan ingat apa yang aku pesan."
Qarizh membalas pelukan Izz sambil menganggukkan kepalanya. "Insya-Allah, ngah."
Indira mengalirkan air matanya. Dia terus mendakap tubuh Izz dengan erat. Teresak-esak dia menangis. Dari tadi dia cuba menahan tangisannya itu. Tapi bila matanya memandang ke arah wajah Izz. Terus hatinya menjerit-jerit mahu menangis.
"Lah... kenapa menangis ni? Jangan menangis, dik," pujuk Izz sambil mengusap lembut belakang tubuh adiknya.
Haura yang melihat turut merasai apa yang Indira rasa. Seorang adik perempuan yang sudah mendirikan rumah tangga akan mengikuti langkah suaminya selepas ini. Tidak boleh lagi bermesra dan bergurau-senda bersama dengan abang-abang seperti sebelum-sebelum ini.
"Kau dah kenapa, dik?" soal Saif sambil mengerutkan dahinya. Kizo yang berdiri di sebelah Saif hanya mengerling saja ke arah adik perempuannya itu.
"Tak ada apalah. Janganlah tegur. Hish..." Haura mencebikkan bibir lalu dia menyorok di belakang tubuh Saif dan Kizo. Tidak mahu orang nampak yang dia hampir saja mengalirkan air mata.
"Terima kasih untuk semuanya angah. Kalau along ada, dua-dua adik akan peluk erat-erat tak nak lepas. Walaupun adik tak sempat nak merasa lama kasih sayang arwah mak dan abah. Tapi adanya along dan angah membuatkan kehidupan adik sarat dengan kasih sayang yang korang berikan. Along dan angah ibarat mak dan abah. Adik tak tahu nak balas jasa along dengan angah macam mana."
Izz mengetap bibirnya. Hatinya terusik dengan setiap butir kata yang keluar dari mulut adik kesayangannya itu. "Angah tak mintak banyak pun, dik. Cukuplah adik bahagia dengan pilihan adik. Maafkan angah sebab angah buat keputusan terburu-buru sehingga memisahkan korang berdua dua tahun yang lepas. Angah terlalu ikutkan kemarahan angah sampai korang berdua tersakiti sesama sendiri."
Qarizh hanya mendiamkan diri. Kepala otaknya ligat memikirkan pelbagai perkara.
"Angah cuma mintak. Lepas ni, adik jaga diri. Jalankan tanggungjawab sebagai seorang isteri. Kalau ada apa-apa masalah, bincang sama-sama. Elakkan pergaduhan. Jaga masjid yang korang dah bina ni sampai ke hujung nyawa. Tak perlu balas apa-apa jasa angah dan along. Angah pasti apa yang angah cakap ni, akan sama dengan apa yang along cakap kalau dia ada dekat sini."
Indira menyembamkan wajahnya pada bahu abang kesayangannya itu. Biarlah hari ini dia melepaskan segalanya. Lepas ni, belum tentu dia dapat akan sering berjumpa dengan Izz. Kerana angahnya itu akan kembali ke Indonesia semula.
"Mama!"
Indira meleraikan pelukan Izz sekali gus memalingkan wajahnya ke belakang. Bibirnya tersenyum lebar melihat insan kecil yang sangat dirinduinya. Alana berlari masuk ke dalam dewan itu lalu memeluk tubuh ibu saudaranya itu. Kanak-kanak itu masih lagi mamai kerana baru sedar dari lenanya. Mujur ada Aditya yang boleh menjaganya sementara majlis sedang berlangsung.
"Ya Allah, sayang mama. Rindunya!" Tubuh Alana dibawa ke dukungannya. Pipi si kecil itu dikucupnya berkali-kali.
Mereka yang bersama dengan Indira hanya tersenyum saja melihat gelagat mak saudara bersama anak saudaranya.
Qarizh hanya memerhatikan saja. Tapi fikirannya melayang entah ke mana. Serabut fikirannya ketika ini. Seolah-olah dia sedang berperang dengan perasaannya sendiri.
Sama ada dia masih teruskan rancangannya itu?
Ataupun tidak...