TUBUHNYA dipusingkan beberapa kali ke kanan dan ke kiri. Wajahnya berkerut-kerut melihat penampilannya sendiri di hadapan cermin meja solek. Entah berapa jam dia menghabiskan dengan hanya menilik pakaiannya itu. Biar betul Qarizh menyuruh dia memakai seperti ini untuk ke parti hari jadi itu. Dia mana biasa pakai gaun-gaun seperti puteri kayangan ini. Sudahlah boleh tahan seksi juga gaun yang diberikan oleh Qarizh ini.
"Biar betul dia suruh aku pakai macam ni? Ke wayar dalam otak dia dah putus? Dia tahukan yang aku tak minat pakai gaun macam ni. Aduh..." Indira bermundar-mandir di dalam biliknya. Masa hanya berbaki sejam saja lagi sebelum Qarizh sampai mahu menjemputnya.
"Dira, kau dah siap ke? Lagi sejam ajekan Qarizh nak datang ambil kau?" soal Aditya yang berdiri di luar bilik Indira.
"Haaa... ya. Aku tengah siap lagi ni."
Aditya menggelengkan kepalanya. Perempuan memang kalau bersiap lama betul. Termasuklah Indira Callista. Nampak saja brutal. Tapi perangai perempuan tulen tetap ada dalam dirinya. Memang tak boleh lari.
"Aku nak keluar dulu ni. Apa-apa call aku tau. Ingat pesanan angah dengan Abang Kizo tu. Jangan lupa."
"Ya, ya. Aku ingat. Hati-hati keluar tu."
"Okey." Aditya terus menuruni anak tangga lalu menghidupkan enjin motorsikalnya. Tak sampai beberapa saat, dia terus menunggang motorsikalnya meninggalkan pekarangan rumah.
"Nak tukar ke tak, eh? Kalau nak tukar, nak pakai baju apa? Sempat ke kalau nak tukar? Tapi nanti Qarizh marah pulak aku tak pakai baju yang dia bagi ni. Ah... sudah. Serabut kepala otak aku."
Indira menghenyakkan punggungnya di atas katil. Rambutnya diselakkan ke belakang dengan perasaan sebal. Matanya ditunakkan ke arah cermin meja solek yang berada di hadapannya.
"Gaun ni memang cantik. Tapi sesuai ke aku pakai gaun macam ni? Inilah kali pertama aku pakai gaun macam ni. Bila tengok balik, nampak cantiklah pulak." Bukan main Indira mengangkat bakulnya sendiri. Dalam tidak sedar, dia memuji dirinya sendiri.
"Biasanya kalau lelaki yang pilihkan apa-apa baju mesti sesuai dengan perempuan tu. Ini mesti Qarizh yang pilihkan. Jadi mestilah sesuai dengan aku, kan?" soalnya pada diri sendiri. Bibirnya menguntum sebuah senyuman kecil.
"Pakai sajalah. Bukan selalu Qarizh nak belanja aku gaun comel macam ni. Mana tahu hari ini mood dia baik. Bolehlah aku luahkan perasaan dekat dia lepas habis parti tu nanti." Indira melepaskan tawa kecil. Dia membelek-belek penampilannya buat kali terakhir sebelum membetulkan sedikit rambutnya yang dilepaskan begitu saja.
"Siap!" Tangannya ditepuk beberapa kali. Beg disilangkan pada tubuhnya. Langkah disusun keluar dari bilik lalu menuruni anak tangga demi tangga sehingga sampai ke tingkat bawah. Kelihatan beberapa orang anak buah Izz dan Kizo sedang membuat tugasan masing-masing.
"Dah siap dah?" soal Hadi, salah seorang anak buah Izz dan Kizo.
"Sudah. Ada dengar bunyi hon kereta tak?" soal Indira dengan penuh teruja. Tidak sabar dia mahu bertemu dengan Qarizh untuk sekali lagi. Meskipun lelaki itu masih bersikap dingin dengannya. Indira tekad untuk memujuk lelaki itu sehingga Qarizh berlembut hati dengannya.
Hadi menggelengkan kepalanya. "Aku tak dengar bunyi hon apa-apa. Belum sampailah tu. Tunggulah dekat bangku depan tu. Sekejap lagi sampailah tu. Ni kau pergi parti tu sampai pukul berapa?"
Indira menyilangkan tangannya ke dada. Tangannya naik mengusap dagunya sambil bibirnya terherot sedikit ke tepi. "Tak pastilah sampai pukul berapa. Biasanya kalau parti habis lewat, kan?"
Hadi sekadar menganggukkan kepalanya. Saja dia bertanya, boleh dia agak-agak masa pulang adik kepada ketuanya itu. "Kau hati-hati. Jangan ingat dah tak ada musuh yang nak kacau kau. Ingat apa pesanan abang kau tu."
Indira mencebikkan bibirnya. Termasuk Hadi, sudah dua kali dia menerima pesanan yang sama. Takut betul yang dia tidak pandai jaga diri. Mungkin terkesan dengan kejadian dua tahun yang lalu. Tapi kali ini, dia tidak akan lalai lagi. Dia akan jaga dirinya sebaik mungkin. Dengan adanya Qarizh, pasti lelaki itu akan melindunginya.
Pin! Pin!
"Haa... dah sampai dah tu. Hati-hati," beritahu Hadi sambil memandang ke arah pintu utama yang sudah dibuka oleh Indira. Laju betul budak ini. Macam pelesit.
"Okay, Abang Hadi. Bye!" Indira melambaikan tangannya ke arah Hadi sebelum berlari anak ke arah kereta Qarizh yang sudah diparkirkan di hadapan rumahnya. Dahinya berkerut melihat dua susuk tubuh yang baru saja keluar dari dalam kereta. Mana Qarizh?
"Dira... dah siap?" soal Hilmi perlahan. Takut juga dia hendak bersua muka dengan gadis ini. Jangan main-main dengan tumbukan dan tendangan dia. Boleh senak satu badan. Adiyan yang berdiri di sebelah Hilmi hanya mengukirkan senyuman kekok. Ini kali pertama dia bertemu mata dengan buah hati kesayangan Qarizh itu. Ini kalau silap langkah, mahu dia terlantar semula di atas katil.
"Kau..." Seluruh tubuh Indira terkaku melihat kewujudan Hilmi di hadapan matanya. Serentak itu segala bayangan dua tahun lepas bermain di dalam fikirannya. Dan disebabkan Hilmi juga Qasrina meninggal dunia di tempat kejadian itu.
"Kau... sihat?" Hilmi sedaya-upaya mengawal gugupnya apabila melihat Indira sepertinya terkejut melihat dirinya ini.
Pang!
Nafas Indira laju. Dalam tidak sedar, dia sudah menghadiahkan satu tamparan padu tepat mengenai pipi kiri Hilmi. Terkesima Hilmi dibuatnya. Perlahan dia menyentuh pipinya yang terasa pijar. Dan mungkin sekarang ini sudah merah padam. Boleh tahan juga tamparan yang diberikan oleh Indira.
"Berani kau tunjukkan muka kau dekat aku, huh!" tengking Indira.
Adiyan memandang Indira dan Hilmi bersilih ganti. Apa yang harus dia lakukan sekarang ini?
Qarizh yang berada di dalam kereta hanya menggelengkan kepala. Dia sudah agak yang Hilmi pasti akan menerima habuan daripada Indira. Perlahan dia menurunkan tingkap di sebelahnya. "Dira..."
"Qar, kenapa dia ada dekat sini?" soal Indira dengan wajahnya menunjukkan yang dia sangat tidak puas hati.
"Marilah masuk. Jangan marah macam tu."
Indira menjeling. Lain ditanya. Lain pula jawapan yang dia dapat. Panas hatinya ketika ini. "Aku tanya, kan? Asal kau tak jawab?"
"Yang mati tu adik aku. Bukan adik kau. Tak payahlah kau beria-ria sangat nak marah dia. Aku dah settlekan dia selama kau tak ada. Kau apa tahu? Tup-tup hilangkan diri aje. Ni kau pergi tampar dia apa hal?"
Zup! Ini kali kedua Indira tersentap dengan omongan Qarizh sebentar tadi. Lelaki itu tidak sudah-sudah mengungkit hal yang sama. Balik-balik dia yang kena semula.
"Masuklah cepat. Nak gerak dah ni," suruh Qarizh dengan nada tegas. Kalau tak tegas, sampai esoklah Indira mahu cari fasal dengan Hilmi. Lihat dari reaksi muka pun, Qarizh sudah tahu yang Indira tidak puas hati dengan Hilmi.
"Weh, kau... kau drive la. Sengal otot pipi aku ni," bisik Hilmi kepada Adiyan.
Adiyan menggaru kepalanya yang tidak terasa gatal. Lambat-lambat dia menganggukkan kepalanya. Gerun dia melihat Indira sebentar tadi. Boleh tahan juga gadis itu menampar Hilmi sehingga sengal otot pipi lelaki itu dibuatnya. Nasib baiklah dia tak kena. Kalau tak... siapa yang nak memandu kereta itu nanti?
"Dah, jangan marah-marah. Tak baik. Cuba senyum sikit. Aku baru nak gembira. Kau dah kacau mood aku," ujar Qarizh sambil memandang ke arah Indira yang duduk di sebelahnya. Kereta pun sudah meluncur ke jalan raya, dipandu oleh Adiyan.
"Siapa tak terkejut kalau musuh dalam selimut pun ikut sekali," sindir Indira sambil mengerling ke arah Hilmi yang duduk di hadapan bersebelahan dengan Adiyan.
"Dia dah kena balasan dengan aku. Tak usahlah kau nak marah sangat. Dua tahun aku dah bagi pengajaran secukupnya. Itu pun kalau tak serik lagi tak tahulah. Aku terus bunuh saja kalau memang jenis kebal." Selamba saja Qarizh berkata begitu. Hilmi yang duduk di hadapan sudah menelan air liurnya kesat.
Indira hanya mendiamkan diri. Dia ingin tahu juga pengajaran apa yang Qarizh sudah berikan kepada lelaki itu. Dia pun sudah sedia maklum yang Qarizh merupakan seorang mafia seperti angah. Jadi, tak adalah dia terkejut sangat kalau Qarizh cakap macam tu. Tapi janganlah lelaki itu betul-betul maksudkannya. Ngeri dia mendengarnya.
ADIYAN memarkirkan kereta di dalam pekarangan rumah agam itu. Kelihatan orang ramai sudah memenuhi kawasan rumah Tengku Yasmin. Boleh tahan meriah juga parti hari kelahiran Yazir pada malam ini. Melilau anak mata Indira memerhatikan suasana rumah agam tersebut. Berkerut-kerut dahinya.
"Jom...," ajak Qarizh sambil menarik pergelangan tangan Indira lalu melangkah masuk ke dalam rumah itu.
Entah kenapa, jantung Indira tiba-tiba saja berdegup kencang. Sepertinya ada sesuatu yang berlaku. Dia menjadi takut. Rimas melihat suasana sekelilingnya. Ramai orang dan juga bunyi lagu yang membingitkan suasana. Sudah serupa kelab malam saja gamaknya.
"Kita dekat rumah siapa ni?" soal Indira. Dia merapatkan dirinya ke Qarizh. Takut-takut dia kehilangan jejak lelaki itu.
"Rumah sepupu aku."
Indira terdiam. Jantungnya semakin berdetak tidak seirama. Sepupu Qarizh yang mana satu? Tak akanlah Yazir? Kalau Yazir, apa motif Qarizh datang ke sini? Dan kenapa lelaki itu mengajak dia ke parti Yazir? Lelaki yang pernah merosakkan dirinya dua tahun yang lepas.
"Aku tahu kau tak selesa. Ada sebab aku datang malam ni. Sebab dia nanti kau akan tahu sekejap lagi. Kau jangan risau. Tiada siapa yang sentuh kau malam ni. Aku ada..."
Nak tak nak, Indira hanya akur. Kalau nak patah balik pun, dia mana tahu sangat kawasan sekitar sini. Boleh tahan jauh juga hendak sampai ke rumah ini. Mengambil masa lebih kurang satu jam.
"Aku nak pergi ambil air. Kau tunggu dekat tepi kolam renang sana. Jangan pergi mana-mana," pesan Qarizh sebelum dia menghilangkan diri ke dalam sesakan orang ramai.
"Qar..." Indira melepaskan dengusan kasar. Laju betul Qarizh menghilangkan diri tanpa sempat dia menghalang lelaki itu dari pergi meninggalkannya bersendirian.
"Aduh... lecehlah macam ni. Aku ingatkan parti biasa. Ini dah serupa parti dekat kelab malam aje. Ini kalau angah tahu, teruk aku kena bebel. Ini semua salah Qarizh! Merepek aje dia ni ajak aku pergi parti mengarut macam ni," bebel Indira sambil melepasi dirinya dari sesakan orang ramai.
"Opss... sorry..."
Hampir saja Indira mahu tersungkur masuk ke dalam kolam renang yang berada di hadapannya. Mujur dia sempat berpaut pada penghadang pagar yang berada di sebelah kirinya. Kalau tidak, balik dalam keadaan lencunlah dia malam ni.
"It's okay." Indira senyum dalam keterpaksaan. Kalau ikutkan hati, mahu saja dia sergah lelaki itu. Sudahlah dalam keadaan mabuk. Langgar orang macam tak ada perasaan. Lepas tu, minta maaf dengan menayangkan wajah miang keladi. Rasa nak hempuk saja dengan batu.
"You're so beautiful. Want some?" Segelas air berwarna coklat cair itu disuakan ke arah Indira.
"Sorry. Saya tak minum arak." Indira menolak dada lelaki itu agar menjauhi dirinya. Dia menepis-nepis bau yang menusuk rongga hidungnya. Jangan dia muntah dekat sini sudah. Kuat betul bau arak lelaki ni minum. Teruk betul!
"Ala... minumlah sayang. Boleh release tension. Come la..." Lelaki itu masih lagi memaksa Indira.
"Dia ni dah lama tak makan siku orang agaknya. Aku kata tak nak tu, tak naklah. Paksa-paksa pulak..." Terkumat-kamit bibir Indira memarahi lelaki itu.
"Aku kata tak nak tu, tak naklah!" Dek perasaan bengang sudah mencapai tahap maksima, Indira menghayunkan kakinya tepat mengenai alat sulit lelaki itu sehingga lelak itu mengalami kekejangan lalu terjatuh di dalam kolam renang.
Kedebush!
Indira tersentak. Matilah dia macam ni. Siapa suruh cari fasal dengan dia? Kan dah mendapat.
"Ah!" Indira menjerit terkejut dek pergelangan tangannya ditarik oleh seseorang sehingga mereka berada di bawah sebatang pokok. Agak jauh sedikit dari kawasan kolam renang tadi.
"Kau buat apa, Dira? Aku suruh kau tunggu aku, kan? Yang kau pergi serang orang tu buat apa? Dah tak betul ke?"
Ini kali ketiga, Indira tersentap dengan Qarizh. Dalam satu malam ni, dua kali dia tersentap dengan kata-kata bisa yang keluar dari mulut Qarizh. Dulu lelaki itu bahasanya tidak sekasar sekarang. Dirinya sendiri pun tak tahu kenapa dia cepat sangat tersentap setiap kali Qarizh berkata begitu. Lemah betul hatinya ini. Macam mana dia hendak mengembalikan Indira yang dulu?
"Sorry. Dia kacau aku. Paksa aku minum air kencing syaitan tu. Aku tak naklah. Tu yang mendapat tu," jawab Indira dengan nada perlahan. Hujung nada suaranya sedikit bergetar menahan sebak.
Qarizh yang perasan akan perubahan air muka Indira mula tersedar yang dia sudah terkasar dalam bicaranya. Kerana terlalu ikutkan kemarahannya, mulutnya ini bercakap saja tanpa memikirkan perasaan gadis itu.
"Ni... ni air. Minum..." Botol air mineral yang masih sejuk itu dihulurkan ke arah Indira.
Perlahan Indira menyambut botol itu lalu meneguk air itu sedikit bagi menghilangkan rasa dahaga pada tekaknya.
"Kau okey tak?"
Indira tersenyum sambil menganggukkan kepalanya. Anak matanya mengimbas reaksi wajah Qarizh yang sepertinya risau akan dirinya.
"Bos..." Tercungap-cungap nafas Adiyan mencari ketuanya di setiap pelosok rumah ini bersama dengan Hilmi. Akhirnya jumpa juga. Bersenam dia malam-malam ini.
"Apa dia? Aku suruh kau tengokkan Si Yazir tu. Dah turun ke belum mamat tu?"
Adiyan menganggukkan kepalanya. "Dia dah turun guna tongkat."
Qarizh tersenyum sinis. Indira di sebelah sudah mula tidak senang hati. Dia takut hendak berdepan mata dengan Yazir. Dia belum bersedia lagi buat masa ni. Takutnya lain yang jadi nanti.
"Qar... kenapa kita kena datang sini? Kau tahukan yang aku..."
"Kan aku dah cakap. Jangan takut. Aku ada. Dia tak akan berani nak sentuh kau depan orang ramai macam ni. Lagipun dia tak tahu yang kita datang parti dia ni. Kalau nasib kita terserempak dengan dia, aku cuma nak bagi amaran dekat dia. Kau ingat aku akan lepaskan orang yang dah bunuh adik aku ke? Kalau kau ada dekat tempat aku, mesti kau buat benda yang sama."
"Kau nak bunuh dia ke, Qar?"
Qarizh melepaskan dengusan. Soalan Indira dibiarkan tidak dijawab. Biarlah rancangannya hanya dia saja yang tahu. Dia tidak mahu sesiapa pun yang menganggu rancangannya itu.
"Qar..."
"Jom..."
Tak sempat Indira mahu bertanya lagi, Qarizh menarik pergelangan tangannya ke suatu tempat yang tidak ramai orang. Dari jauh, kelihatan Yazir sedang berbual-bual dengan kawan-kawannya sambil bergelak-tawa.
Hati Indira ketika itu menjadi panas. Betul apa yang Qarizh kata. Dia sendiri tak akan lepaskan orang yang dah bunuh Qasrina. Qasrina yang sudah dia anggap seperti adiknya sendiri. Perkenalan mereka sangat singkat. Tak banyak memori yang mereka cipta. Disebabkan manusia durjana seperti Yazir, dia kehilangan insan yang dia sayang. Sama seperti Qarizh.
"Hari ni, kau happy la dululah, Yazir. Esok lusa belum tentu kau akan dapat tersenyum dan ketawa macam tu lagi. Jangan cabar aku, Yazir," gumam Indira pada dirinya sendiri.
Qarizh yang mendengar omongan Indira hanya mendiamkan diri. Dalam tidak sedar, dia mengenggamkan tangannya sehingga urat hijau mula menimbul. Anak matanya ditunakkan ke arah Yazir. Bagaikan ada nyalaan api di dalam anak matanya kini.
"Kau tunggu nasib kau, Yazir."