Home Novel Thriller/Aksi Bidadari Encik Mafia (Completed)
BEM 36

LAMA dia berdiri di balkoni biliknya sesudah saja dia membersihkan diri dan menukar pakaian kepada sehelai pijama tidur. Entah apa yang difikirnya dia sendiri tidak tahu. Bercampur-aduk. Sepatutnya dia bergembira dapat menikahi gadis pujaannya selama ini. Selama 10 tahun pencariannya, dan hari ini gadis itu sudah menjadi isterinya. Tamat saja majlis akad nikah dan jamuan tadi, dia langsung tidak bercakap dengan Indira. Sekadar mengangguk dan menggelengkan kepala saja.

"Qar..."

Qarizh memejamkan matanya sesaat sebelum dia mencelikkan kembali matanya. "Hmm..."

"Tak tidur ke? Dah lewat malam ni."

"Kau tidurlah dulu, kalau kau dah mengantuk. Aku belum mengantuk lagi."

Indira mengemam bibirnya. Sangkaannya meleset. Fikirkan kalau mereka sudah berkahwin, Qarizh tidak akan bersikap dingin lagi dengannya. Rupa-rupanya sama sahaja. Izz sudah pun menjelaskan semuanya kepada Qarizh begitu juga dengan dia. Kenapa susah sangat suaminya itu mahu memahami keadaannya?

"Tak apalah. Dira tunggu Qar dekat katil."

Qarizh melepaskan dengusan halus. Dia memusingkan tubuhnya menghadap Indira. Anak matanya tajam menikam sepasang anak mata redup milik isterinya itu. "Aku dah cakapkan yang aku tak mengantuk lagi. Aku memang jenis tidur lambat. Kalau dah mengantuk, dipersilakanlah tidur dulu. Tak usah nak tunggu aku."

Jeda.

"Tak payah nak tunjuk isteri mithali sangat." Sambung Qarizh dengan nada perlahan sebelum dia menapak keluar dari dalam biliknya.

Indira memegang dadanya yang terasa perit. Perit kerana disindir sebegitu rupa. Dia cuma mahu meluangkan masa bersama dengan Qarizh sebagai suami dan isteri buat kali pertamanya.

"Besar betul salah aku dekat kau, Qar. Sampai kau sanggup cakap macam tu dekat aku. Aku ni siapa? Aku ni dah jadi isteri kau, Qar. Kau cakap kau akan lindungi aku. Apa maksud kau sebenarnya?"

Tubuhnya dijatuhkan di atas tilam seraya menarik selimut tebal sehingga ke paras bahunya. Siling bilik ditenungnya lama sehingga tidak sedar air matanya mengalir. Bayangan memori lama tiba-tiba saja menerpa kotak ingatannya membuatkan perasaan sebak semakin menggunung di dalam hatinya.

"Aku cuba untuk jadi isteri yang terbaik, Qar. Tapi, kau jangan salahkan aku suatu hari nanti kalau aku tak dah boleh nak hadap semua ni."

Qarizh melabuhkan punggungnya di atas kerusi meja makan sebaik saja dia mengambil sekotak minuman berasaskan soya dari dalam peti sejuk. Suasana rumah keluarganya ini sunyi. Tiada lagi suara ceria milik Qasrina menyapa gegendang telinganya. Tiada lagi suara mama dan papanya yang selalu bergelak-tawa di meja makan ini.

Dia tidak lagi duduk di markasnya itu. Sekadar datang sekiranya ada hal kecemasan saja. Dia sudah membuat keputusan untuk duduk di rumah keluarganya ini semula setelah dia bernikah dengan Indira. Airiel sesekali akan tidur di sini. Cuma hari ini, sepupunya itu tidur di markas. Mungkin tidak mahu menganggu privasi mereka berdua sebagai suami dan isteri.

"Kenapa susah sangat aku nak terima penjelasan Izz dengan Dira? Kenapa setiap kali aku cuba nak dengar dan terima penjelasan dia orang, hati aku akan jadi sakit. Macam kena tikam. Salah aku ke semua ni? Indira dah jadi isteri aku. Salah satu impian aku dah tercapai. Tapi kenapa aku tak gembira?"

Soalan demi soalan bermain di dalam fikirannya. Sudah beberapa kali melepaskan keluhan panjang. Wajahnya diraup kasar. Dahinya ditepuk-tepuk agar fikiran bercelaru itu dapat diusir. Tetapi tidak sama sekali. Semakin banyak soalan yang bertandang di dalam fikirannya itu.

"Aku tahu. Aku kena ambil risiko tinggi selepas berkahwin dengan Indira. Yazir tak akan duduk diam. Dan aku sendiri pun tak akan duduk diam selagi dia masih hidup...."

DARI tadi dia tidak dapat melelapkan matanya. Fikirannya asyik memikirkan tentang Indira. Sejak gadis itu sudah berkahwin dengan Qarizh. Hidupnya tidak lagi tenang. Resah-gelisah sehingga mengundang aura negatif menyerap masuk ke dalam fikirannya. Semakin tidak sabar dia hendak memusnahkan rumah tangga Qarizh dan Indira. Tak akan dia berduduk diam selagi Indira belum menjadi isterinya.

"Argh! Kusut kepala otak aku macam ni. Semua sebab si tak guna tu dah rampas kebahagiaan aku." Tubuh diangkat kasar lalu mencapai tongkat yang tersandar pada meja lampu tidur yang terletak bersebelahan dengannya.

Dia melangkah keluar dari dalam bilik. Anak mata meliar melihat suasana sekeliling. Ada cahaya di tingkat bawah. Ini bermakna sama ada ibunya atau anak-anak buahnya masih lagi belum tidur. Segera dia menyambung langkahnya dengan menuruni anak tangga sehingga ke tingkat bawah.

"Bos?" sapa Zafi sambil berdiri lalu mendapatkan Yazir yang sedang mendekatinya.

"Mana ibu aku?" Punggungnya dilabuhkan di atas sofa bertentangan dengan Zafi.

"Puan Tengku dah tidur dalam bilik dia. Kenapa bos belum tidur?"

"Aku tak boleh nak tidur. Fikiran aku serabut. Aku tak tenang selagi Indira tak jadi milik aku. Isteri aku. Aku nak dia secepat mungkin jadi kepunyaan aku."

Zafi menganggukkan kepalanya faham. "Bos nak suruh saya buat apa?"

"Aku nak kau intip dia orang. Sampai masanya aku nak kau culik Indira tu. Sekarang ni, aku nak kau perlahan-lahan hancurkan rumah tangga dia orang. Terutama sekali kepercayaan jantan tu dekat bini dia. Kalau nak tunggu ibu aku, makin sakit kepala aku ni duk fikir macam-macam."

Zafi sekali lagi menganggukkan kepalanya. "Baiklah. Esok saya akan mulakan tugasan yang bos suruhkan. Ada apa-apa lagi, bos?"

"Bukan setakat intip dia orang berdua. Intip sekali orang yang dekat dengan dia orang. Hancurkan semuanya kalau boleh. Aku tak nak keturunan mereka satu pun yang wujud dekat muka bumi ni. Kau menyamar ke apa ke. Aku tak kisah. Asalkan bila sampai masanya aku nak Indira tu ada depan. Kau dah bersedia."

Terangguk-angguk kepala Zafi menerima arahan yang diberikan oleh Yazir.

"Soal upah kau. Nanti aku gandakan bila kau dah berjaya laksanakan semua tugas kau tanpa gagal."

Zafi senyum kecil. Kepala dibawa angguk sekali. "Baik, bos."

Yazir tersenyum lebar. Dia menggosok kedua-dua belah tangannya. Sungguh dia tidak sabar mahu berjumpa dengan Indira buat sekali lagi. Dan ketika itu, Indira sudah pun menjadi miliknya. Sepenuhnya.

PAGI-PAGI lagi Qarizh sudah bangun awal. Dia melakukan rutin harian yang biasanya dia buat sebelum dia menjadi suami kepada Indira Callista. Dia dah terbiasa buat sendiri. Langsung tidak dikejutnya Indira yang masih lagi lena di atas katil. Tali leher dipakainya sendiri sambil berdiri di hadapan cermin. Semalam baru saja mereka diijabkabulkan, hari ini Qarizh sudah mahu masuk ke pejabat. Langsung tidak mahu meluangkan masanya bersama Indira.

"Qar... Qar nak pergi ofis ke?" soal Indira dengan nadanya serak basah dek baru saja tersedar dari lena. Dia menggosok-gosok kedua-dua belah matanya supaya penglihatannya tampak jelas. Dahinya berkerut halus. Qarizh tak ambil cuti ke?

"Kau dah nampak aku pakai macam ni, mestilah nak pergi ofis. Tak akan aku nak pergi tepi pantai pulak, kan?" sindir Qarizh selamba. Dia mencapai briefcasenya yang terletak di atas sofa single bersebelahan dengan almari baju. Sudah beberapa hari dia tidak masuk ke pejabat sebenarnya, tergerak hati pula dia mahu ke pejabat hari ini.

Indira terdiam. Bangun saja dari tidur sudah mendapat sindiran daripada suami sendiri. Dulu dia pernah berangan sekiranya dia sudah berkahwin. Dia akan membantu si suami bersiap untuk ke tempat kerja dan bersarapan bersama-sama. Tapi... itu sekadar angan-angan sahaja.

"Dira nak salam." Segera Indira menarik tangan Qarizh. Namun, Qarizh terlebih dahulu menariknya semula menyebabkan Indira tersentak.

"Aku tak biasa lagi. Nanti-nantilah. Bagi aku masa. Aku nak gerak dulu. Kau nak pergi mana-mana pergilah. Tak payah nak beritahu aku. Aku mungkin balik malam. Ada hal aku nak uruskan malam ni dekat markas."

Indira hanya memandang sepi ke arah Qarizh yang sudah pun melangkah keluar dari bilik mereka. Perlahan tubuhnya jatuh ke atas karpet bilik. Tangan naik menyentuh dadanya yang terasa sakit. Ditumbuk-tumbuknya berkali dengan berharap sakit itu akan hilang. Tapi perbuatannya hanya sia-sia saja.

"Kenapa aku jadi lemah sangat bila hadap situasi macam ni? Aku nak kembalikan Indira Callista yang dulu. Macam mana? Kenapa aku biarkan dia buat aku macam ni? Kenapa aku tak boleh nak sekuat dulu?"

Teresak-esak Indira melepaskan tangisannya. Tangannya menepuk-nepuk karpet bilik itu beberapa kali. Mahu melepaskan sakitnya. Tapi tiada yang apa yang berbeza. Tetap sama. Malah semakin sakit hatinya.

"Ya Allah, akak... akak kenapa ni?" Haura yang baru saja habis mendaki tangga ke tingkat atas segera berlari ke arah Indira. Duduk bersimpuh di sebelah gadis itu. Kedua-dua belah bahu Indira digenggamnya.

"Haura... dari mana?" Terkejut Indira dengan kehadiran Haura yang tiba-tiba saja muncul.

"Haura saja datang, nak ajak akak jalan-jalan hari ni. Kebetulan pula terserempak dengan Abang Qar dekat garaj rumah. Dia nak pergi kerja. Akak kenapa ni? Sakit dekat mana-mana?"

Indira menggelengkan kepalanya. Kepalanya disembamkan pada dada Haura. Dia sendiri tidak tahu mahu mengadu atau tidak pada Haura. Ini urusan dan aib rumah tangganya sendiri. Sepatutnya dia dan Qarizh yang uruskan.

"Akak pening kepala je. Tiba-tiba dada akak rasa sakit. Haura jangan risau, ya."

Haura membelai rambut Indira perlahan. Jarinya menyeka air mata Indira dari terus mengalir. Bibirnya diketap perlahan. Patut pun dia rasa lain sewaktu hari pernikahan Indira dan Qarizh. Dia dapat bau yang tidak menyenangkan setiap kali dia bertembung mata dengan Qarizh. Pasti lelaki itu berbuat sesuatu yang menyakiti hati Indira.

"Jom, kak. Kita keluar nak? Cari ketenangan. Haura bosan sorang-sorang. Abang Kizo dengan Abang Saif kerja. Haura tak tahu nak buat apa. Nak cari kerja macam tak sampai lagi moodnya."

Indira menganggukkan kepalanya seraya tersenyum. "Tunggu sekejap. Akak pergi mandi. Haura tunggu dekat bawah dulu, ya. Kalau haus, pergilah minum dekat dapur."

Haura membalas senyuman Indira sekali gus menganggukkan kepalanya. Dia bangun dari duduknya lalu menuruni anak tangga. Terkumat-kamit mulutnya mengutuk Qarizh. Kedua-dua belah tangannya dikepal-kepal dek geram.

"Aku kena cari tahu ni. Siapa yang aku boleh tanya, ya? Kalau tanya abang-abang aku tu belum tentu dia orang nak bukak cerita. Dah masak sangat dah dengan perangai dia orang."

Dia mengambil satu gelas kecil yang terletak di atas rak lalu air putih yang berada di dalam jag dituang ke dalam gelas itu. Kepala otaknya sedang ligat memikirkan seseorang yang boleh menceritakan apa yang terjadi sepanjang dia tiada di sini.

"Abang Hilmi? Abang Adiyan? Atau Abang Aditya?"

Bibirnya mengulum senyuman penuh makna. Kepala diangguk sekali.

"Apa susah, heret saja tiga orang tu."

"Heret siapa, Haura?"

Mujur Haura boleh mengawal perasaan terkejutnya itu. Nasib baik dia tak tersedak. Haish... bikin terkejut saja Indira ini. Fikirkan lama lagi hendak bersiap. Rupanya sekejap saja.

"Tak ada apalah. Dah siap ke? Lajunya!" Gelas tadi dibasuh lalu diletakkan semula di atas rak.

"Macam tak kenal akak bersiap macam mana. Simple sudah. Bukan nak berdating mana pun."

Haura tersengih. "Ala... akak nak dating dengan Haura. Tapi tak apa... apa saja akak pakai tetap cun di mata Haura. Jomlah kita merayau seharian ni!" Bahu si kakak dipeluknya rapat.

"Ada-ada saja Haura nilah..." Indira mencuit hidung Haura.

Serentak mereka melepaskan tawa.

FAIL-FAIL yang menimbun di hadapan matanya hanya dipandang kosong. Tidak berperasaan. Tiada ura-ura dia hendak menyemak timbunan fail tersebut. Fikirannya melayang memikirkan Indira. Kadangkala dia tersedar yang mulutnya ini sungguh lancang setiap kali bercakap dengan isterinya itu.

"Apa benda yang kau nak sebenarnya ni, Qar? Kenapa kusut sangat hidup kau ni?"

Dia meraup wajahnya sendiri berkali-kali. Fail yang terbuka di hadapannya ditolak kasar lalu menyandarkan belikatnya ke kusyen kerusi.

Tok! Tok!

Qarizh melepaskan dengusan kasar sebelum dia menyahut ketukan pintu biliknya itu.

"Tengku, saya ada sesuatu nak beritahu," ujar Nadihah selaku PA Qarizh.

"Apa dia?" soal Qarizh dengan nada dingin. Dia mengerling ke arah Nadihah yang berdiri di hadapan mejanya itu.

"Prestasi syarikat dah semakin merundum. Kewangan pun mula merosot. Dan ada beberapa pelabur yang sudah menarik diri."

Berita yang disampaikan oleh Nadihah itu membuatkan kepala otak Qarizh semakin kusut. Dia meraup wajahnya sekali sebelum anak matanya merenung ke arah Nadihah.

"Asal pulak boleh jadi macam ni? Selama ni, aku tak datang lama teratur aje semuanya. Ada orang khianat aku ke apa ni?"

Nadihah tidak tahu mahu memberikan jawapan apa. Dia sendiri pun buntu dengan apa yang berlaku di dalam syarikat ini. Sudah bertahun dia bekerja sini, belum lagi masalah seperti ini terjadi.

"Kau pergi kumpul maklumat sepenuhnya pasal semua benda yang terjadi dekat syarikat ni. Terutamanya tentang kewangan. Bagi aku alasan yang kukuh macam mana kewangan boleh merosot. Senaraikan segala guna pakai duit kewangan. Aku nak tahu apa yang korang dah buat dengan syarikat ni. Aku dapat tangkap, jangan harap aku akan lepaskan!" Penumbuknya dihentak ke atas meja membuatkan kedua-dua belah bahu Nadihah terangkat dek terkejut.

"Ba... baik, Tengku."

"Keluar."

Laju saja Nadihah membawa langkahnya keluar dari bilik majikannya itu. Seriau dia hendak berhadapan lama-lama dengan Qarizh. Tak fasal-fasal teruk dia dimarahinya nanti.

"Pelik aku. Selama ni, okey saja walaupun Tengku jarang masuk. Ni mesti ada yang nak jatuhkan Tengku. Bukan aku tak tahu, ramai aje staf yang tak suka dekat Tengku. Tapi buat muka tembok bekerja dekat sini. Menyusahkan betullah dia orang ni," omel Nadihah sambil melangkah ke biliknya semula.


Previous: BEM 35
Next: BEM 37

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh nurshaza