Home Novel Thriller/Aksi Bidadari Encik Mafia (Completed)
BEM 41

LAMA dia merenung ke arah skrin komputer sebelum melepaskan dengusan marah sambil meramas rambutnya sehingga serabai. Belikatnya disandar kasar ke kusyen kerusi. Terbias kerut-kerut marah pada wajahnya. Tetikus dicapai kemudian digerakkan ke kanan dan ke kiri beberapa kali. Indira yang berdiri di sebelahnya merenung skrin komputer tersebut dengan tempoh yang agak lama.

"Yazir memang nak jatuhkan aku, Dira."

Indira menoleh sedikit ke arah Qarizh yang berada di sisinya. Bahu suaminya diusap lembut. Cuba menyalurkan ketenangan yang ada. Dia sendiri juga terkejut yang Yazir setekad ini. Lelaki itu memang benar-benar mencabar mereka.

"Yang dia nak jatuhkan ni syarikat keturunan keluarga dia juga. Agaknya otak dia tercicir waktu dalam proses pemulihan kesihatan dia." Selamba saja Indira mengejek Yazir. Mengundang tawa dari Qarizh.

"Kenapa ketawa?" soal Indira sambil mengerutkan dahinya.

"Tak adalah. Aku rasa kelakar, aku ketawalah. Takkan aku nak menangis pula." Qarizh memutarkan bebola matanya. Ketawa pun salah ke?

Indira hanya tersengih.

Tok! Tok!

Qarizh mengangkat wajahnya ke arah pintu biliknya sebelum mengalihkan pandangannya ke arah Indira. Kepala dibawa angguk sekali memberikan keizinan kepada Indira untuk membuka pintu bilik pejabatnya.

"Sorry, saya lambat datang!" Ceria Si Haura menyapa mereka sambil mengangkat kedua-dua belah tangannya ke udara. Happy-go-lucky sungguh!

Indira tersenyum. Dia memaut bahu Haura rapat ke sisi tubuhnya. "Tak lambatlah. Okey saja. Haura dari mana? Sorang saja ke?" soalnya sambil kepala terjengah-jengah ke arah luar bilik. Namun tiada kelibat lain. Bermakna Haura seorang saja ke sini.

"Abang Hilmi hantar Haura ke sini. Dia tunggu dekat bawah."

Qarizh dan Indira menganggukkan kepala mereka sekali.

"Abang Qar nak mintak tolong Haura apa?"

"Kau tengokkan ni. Hari tu kau dah selesaikan tapi dia orang godam semula. Dia orang tak duduk diam, Haura."

Haura berdecit. Kaki dihentak-hentak sepanjang dia melangkah ke arah Qarizh. Mulutnya muncung. Sudah seperti kekasih hati Donald Duck bernama Daisy. Indira hanya menggelengkan kepala saja melihat telatah Haura. Manakala Qarizh hanya memerhati saja.

"Oh! Senang aje ni. Abang Qar sana sekejap. Biar Haura buat." Selamba saja Haura menghalau tuan pengurus syarikat ini. Siap mengibas-ngibas tangannya lagi, menyuruh Qarizh beralih dari tempat duduknya.

Indira tertawa kecil. Lengan Qarizh dirangkul lalu menarik suaminya itu duduk di atas sofa yang terletak di tepi meja kerja Qarizh.

"Sayang nak makan apa nanti?" soal Qarizh. Kepalanya dilentukkan di atas bahu si isteri. Terasa berat pula kepalanya ketika ini. Mungkin terlalu banyak berfikir tentang syarikatnya ini.

"Tak kisah. Janji perut kenyang."

"Kalau tak kenyang jugak?" Qarizh sengaja ajak bergurau. Mahu menghilangkan rasa bosannya sementara menunggu Haura menyelesaikan masalah di dalam sistem syarikatnya.

"Makan lagi. Sampailah kenyang," jawab Indira. Melayan saja telatah Qarizh.

"Nanti akak dah gemuk, abang jangan tinggalkan pula. Haura bagi eagle sidekick nanti. Baru terbelalak biji mata abang tu." Haura mencelah. Fokusnya masih lagi pada komputer. Tetapi masih sempat lagi mencelah perbualan pasangan suami isteri itu.

"Eh, mana ada tinggal. Pandai-pandai saja." Qarizh laju menafikan.

"Memanglah sekarang tak tinggalkan lagi sebab belum gemuk." Haura menjeling.

Indira ketawa melihat wajah Qarizh. Nampak sangat yang Qarizh sudah tewas dengan kata-kata Haura yang cukup selamba itu. Dah tak tahu mahu membalas apa lagi. Ada saja jawapannya. Reda sajalah.

"Lepas ni, Haura pergi ke mana?" Indira memicit-micit kepala Qarizh yang terlentuk di atas bahunya. Suaminya sudah pun memejamkan mata.

"Abang Hilmi ajak jalan-jalan."

"Korang berdua ada apa-apa ke? Aku tengok semenjak ni bukan main rapat," perli Qarizh. Matanya masih lagi terpejam.

"Kawan saja. Kenapa? Abang pun tak suka ke Haura rapat dengan Abang Hilmi? Kenapa semua orang macam tak suka aje Haura rapat dengan dia, ya? Anyone mind to give some explaination?"

Indira membisu. Begitu juga dengan Qarizh. Kalau ada jarum yang jatuh ketika ini, pasti akan dengar. Nampaknya Qarizh sudah silap menanyakan soalan. Tak terfikir pula yang Haura akan bertanyakan soalan seperti itu. Sudahnya dia tiada jawapan untuk diberikan kepada Haura. Takkan dia mahu membuka cerita hitamnya dua tahun lepas? Apa yang Hilmi sudah lakukan kepada mereka? Kalau tak disebabkan dia memberikan peluang kepada Hilmi, Hilmi takkan hidup sehingga ke hari ini.

"Dah settle ke belum tu? Lama lagi ke?" Laju saja Qarizh mengubah topik. Dari terlentuk di atas bahu Indira, terus saja mengangkat punggung lalu berdiri di belakang kerusi kerjanya. Memerhatikan gerak-geri Haura yang cuba memusingkan semula pihak musuhnya.

"Tengah loading. Harap lepaslah. Haura dah guna kod yang Abang Kizo ajar sebelum ni. Hari tu, dah guna kod Abang Saif ajar pun dia orang masih dapat tembus. Memang licik betul. Abang Kizo punya kod tak pernah lagi dapat ditembus oleh sesiapa."

Qarizh sekadar menganggukkan kepalanya. Gadis bertubuh kecil bernama Haura Sahirah ini memang seorang yang pakar dalam IT. Lagi-lagi dalam bab godam-menggodam. Jarang ada perempuan pakar dalam segala hal ini. Biasanya lelaki saja.

"Yes! Yes!" Haura bangkit dari duduk. Kemudian dia menari-nari penuh kegembiraan. Bibirnya melengkung senyuman lebar. Suka bila kodnya dapat mengalahkan pihak musuh di sebelah sana.

"Kod kali ni, dia orang tak boleh tembus dah. Confirm punya! 100%!"

Qarizh tersenyum. Bahu Indira yang berada di sisinya dipaut rapat ke dada. Dia berharap yang syarikatnya akan pulih semula seperti dulu. Sekarang ini, dia perlu fokuskan untuk berdepan dengan Yazir. Sampai bila takkan selesai selagi dia tidak mara ke hadapan.

"Terima kasih, Haura. Nanti aku belanja kau makan bila semua ni dah selesai."

Haura mengangkat ibu jarinya. Laju saja dia meminta diri, memandangkan Hilmi sudah menunggunya lama di tingkat bawah bersama dua orang anak buah Qarizh.

"Sayang, dah ready nak jumpa Yazir?" soal Qarizh sambil menyandarkan belakang tubuhnya pada bibir meja kerjanya. Wajah Indira yang berada di hadapannya ditenung lama.

"Do we need to attack them? Again?" Soalan berbalas dengan soalan. Keningnya dijongket sebelah.

"If we need to. Kalau Yazir main kasar, we have too."

Indira menganggukkan kepalanya sekali bersama dengan senyuman kecil.

"Dira ikut saja. Janji Qar ada dengan Dira."

"And I will always be with you, Indira Callista," jawab Qarizh sambil mengenggam kedua-dua belah tangan isterinya.

TANGAN kanan dikepalnya sebelum dilayangkan ke dinding berkali-kali tanpa kenal erti sakit lagi. Kekura tangannya sudah mengalirkan darah merah. Namun, dia masih lagi melayangkan penumbuknya ke dinding. Zafi cuba untuk menenangkan ketuanya namun tidak berjaya. Berkali-kali dia ditolak sehingga terundur beberapa langkah ke belakang.

"Arghhh!"

Yasmin yang baru saja melangkah masuk ke dalam rumah terkejut dek terdengar jeritan Yazir yang menggemakan suasana rumah. Terkocoh-kocoh dia mendekati anak bujangnya itu. Tangan yang berdarah diraih sebelum menarik tubuh Yazir masuk ke dalam dakapannya.

"Sayang ibu, kenapa ni nak? Kenapa kamu cederakan diri kamu?" lirih Yasmin menyoal sambil membelek-belek wajah Yazir yang tegang itu.

"Yaz dah gagal. Gagal nak jatuhkan Qarizh! Yaz nak Indira! Nak Indira!" amuk Yazir. Sudah seperti kanak-kanak yang hajatnya tidak dikabulkan oleh ibu dan ayahnya. Merengek-rengek mahukan benda itu sehingga dapat.

"Jangan macam ni, Yaz. Jangan sakiti diri Yaz sendiri. Jangan buat ibu risau."

"Argh! Ibu tak faham apa yang Yaz rasa. Ibu tak buat pun apa yang Yaz mintak! Mana Indira? Mana dia? Kenapa dia dengan Qarizh? Kenapa ibu tak halang dia? Ibu faham tak yang Yaz nakkan dia!" tempik Yazir. Tubuh Yasmin yang berada di dalam pelukannya ditolak menjauh sehingga jatuh terjelepok di atas lantai.

"Yaz nak Dira! Indira Callista tu Yaz punya!" Yazir meramas-ramas rambutnya sehingga serabai. Sudah seperti orang yang hilang akal kewarasannya.

"Yaz... jangan macam ni, nak. Ramai lagi perempuan lain dekat luar sana. Dira takkan menjamin apa-apa kebahagiaan untuk kamu. Dia dah berkahwin dengan Qarizh."

"Jadi, ibu nak biarkan Yaz macam ni jelah? Menderita! Qarizh tu rampas kebahagiaan Yaz. Dia bahagia atas penderitaan Yaz, ibu!" jerkah Yazir bagaikan dirasuk syaitan.

Zafi berdiri di hadapan Yasmin. Tidak membenarkan Yazir bertindak luar kawalan kepada Yasmin. "Bos, sabar bos. Jangan macam ni. Ni ibu bos."

Tubuh Yazir melorot jatuh ke lantai sambil melepaskan esakan sehingga terenjut-enjut kedua-dua belah bahunya. "Apa yang Yaz buat semuanya tak menjadi. Apa yang dia nak, semuanya dia dapat. Tapi Yaz? Yaz dekat sini terkapai-kapai nak cari kebahagiaan Yaz sendiri!"

Yasmin merangkak ke arah Yazir sebelum menarik tubuh anak bujangnya masuk ke dalam dakapan. Sungguh hatinya perit melihat Yazir mengamuk seperti ini. Emosi anak lelakinya masih lagi belum pulih sepenuhnya.

"Ni semua sebab perempuan yang baru muncul dalam kumpulan Qarizh. Budak tu memang nak kena dengan Yaz! Yaz mesti tamatkan hidup dia! Sebab dialah, rancangan Yaz semuanya gagal!" Terketap-ketap bibir Yazir menahan marah.

Yasmin hanya mendiamkan diri. Dia sendiri buntu. Tidak tahu apa yang harus dia lakukan untuk menenangkan Yazir. Kalaulah Yazir tahu yang dia baru saja pulang dari bertemu dengan Harun. Pasti Yazir akan menempelak hebat. Buat masa ini, biarlah dia merahsiakan perjumpaan mereka. Dia berjumpa dengan Harun pun bukan satu kerelaannya. Lelaki itu yang sibuk mengejarnya tanpa erti jemu. Harus bagaimana dia mahu lakukan lagi. Kalau dimarah macam mana sekalipun, Harun tetap berdegil meraih kemaafan daripadanya.

BELAKANG tengkuknya diusap perlahan. Terasa sengal sendi ototnya ketika ini. Dek malas mahu memandu pulang ke rumah sendiri, akhirnya Indira memberi cadangan kepadanya untuk tinggal di markas. Sekali gus, boleh dia memantau anak-anak buahnya bekerja. Airiel sekarang sibuk menguruskan hal peribadinya. Dia sendiri pun tak pasti apa yang Airiel buat. Sudah jarang nampak batang hidung lelaki itu.

"Qar... ni air." Indira meletakkan secawan Latte di atas meja kopi sebelum melabuhkan punggungnya bersebelahan dengan Qarizh. Pinggang suaminya dirangkul dari tepi sambil menyandarkan dagunya pada dada Qarizh.

"Thanks, sayang," ucap Qarizh sambil membelai rambut Indira. Bibirnya mengulum senyuman tipis.

"Fikir apa lagi?" soal Indira. Dahi Qarizh yang berkerut halus itu diusapnya lembut agar tidak berlapis lagi.

"Pasal sayang. Aku takut yang Yaz akan bertindak bila-bila masa saja tanpa aku jangka."

Indira hanya senyum. Kepala digeleng sekali. "Janganlah fikir sangat. Dira boleh jaga diri Dira la. Lupa ke yang Dira ni siapa?" Keningnya diangkat-angkat.

"Tak kisahlah kau siapa pun, aku suami kau. Aku kena lindungi kau. Bertanggungjawab. Bukannya lepas tangan."

Indira mencebik. "Dira tak cakap pun yang Qar lepas tangan. Dira cuma cakap yang Qar tak payah nak kusutkan fikiran tu sangat. Nanti sakit. Rehatkan minda tu. Jangan banyak sangat berfikir."

Qarizh melepaskan nafas panjang. Sisi kepalanya disandarkan di atas kepala Indira. Jari-jemari isterinya dibelai satu per satu. "Aku cuba."

Indira tersenyum. Lengan Qarizh diusapnya lembut. "I love you, Tengku Qarizh Nadim."

"I love you so much, sayang. I am sorry..." Pipi gebu Indira dielus lembut menggunakan jari-jemarinya. Bibirnya tersenyum tipis.

"No need to sorry, Qar. Let it go. Fikir apa yang berlaku sekarang ni. Jangan fikir ke belakang lagi. Takkan bawa apa-apa. Dira sayangkan Qar dan selamanya akan bersama dengan Qar."

"Promise?"

Indira menganggukkan kepalanya. "I am promise."

Qarizh senyum. "Aku tak dapat bayangkan bila kau hilang dari pandangan aku untuk kali ketiga. Cukuplah dua kali kau hilang dari hidup aku. Separuh nyawa aku macam dah tak ada dalam badan aku. Sakit, Dira...." Air matanya mula bertakung di tubir mata.

Indira menggenggam kedua-dua belah tangan Qarizh. Kekura tangan suaminya dikucup lembut. "Sekarang ni, Indira Callista dah jadi isteri kepada Tengku Qarizh Nadim. Kita dah terikat dengan tali perkahwinan yang kita sendiri cipta. Tiada siapa yang mampu memisahkan kita kecuali ajal dan maut."

Qarizh menarik Indira masuk ke dalam dakapannya. "Aku sayangkan kau, Dira. Cinta dan sayang yang wujud dalam hati aku untuk kau tak pernah sikit pun pudar. Hanya kau saja yang ada dalam hati aku. Takkan ada perempuan lain selain kau."

"Maafkan Dira sebab Dira baru nak membalas cinta dan sayang Qar. Tapi Dira nak Qar tahu yang cinta dan sayang Dira juga hanya untuk Qar. Lelaki pertama yang sudi menanti Dira dengan penuh penyeksaan. Dira tak tahu nak balas jasa Qar macam mana."

"Tak perlu balas. Cukup kau ada dengan aku sampai akhir nafas aku."

Indira tersenyum lebar. Dia menyandarkan kepalanya pada dada Qarizh. Matanya dibawa pejam rapat. Menikmati kehangatan yang tersalur dari tubuh suaminya itu.


HAURA yang dari tadi memerhatikan kemesraan antara Qarizh dan Indira di anak tangga atas, tersenyum senang. Gembira hatinya melihat Indira bahagia di samping suaminya. Tidak lagi bersedih dengan sikap Qarizh yang kononnya junjung ego dulu.

"Haura..."

Haura mendongak ke atas. Kelihatan Hilmi sedang berdiri di anak tangga pertama. Sejak bila pula lelaki itu keluar dari biliknya? Kantoi sudah yang dia sedang memerhatikan Qarizh dan Indira di anak tangga ini.

"Ya?" sahut Haura antara jelas tidak jelas.

"Tak tidur lagi ke? Dah lewat malam ni."

Haura tersengih. Kepala dibawa angguk sekali. "Nak tidur tapi tekak ni tiba-tiba haus. Nak turun bawah tapi gelap tadi. Rasa seram pulak nak turun." Terpaksalah dia mereka cerita. Hanya kerana tidak mahu dirinya terkantoi duk mengintai si kakak dan abangnya berkasih di ruang tamu.

Hilmi mengerutkan dahinya. Suasana bawah dikerling seketika sebelum pandangannya ditatap ke arah Haura yang sudah berura-ura mahu naik semula ke tingkat atas.

"Gelap? Abang tengok ada cahaya tu dekat ruang tamu..."

"Tak apalah. Dah tak haus dah. Haura masuk dulu abang! Selamat malam!" Laju-laju Haura melarikan diri masuk ke dalam kamar tidurnya. Kalau menghadap Hilmi tu lama-lama, mahu pecah rahsianya. Niaya!

Hilmi terpinga-pinga memandang ke arah pintu bilik Haura yang sudah terkatup rapat. Perlahan-lahan dia menggelengkan kepala sambil tersungging sebuah senyuman kecil. Tipis.

"Haih... Haura... Haura... macam-macam ragam Haura ni. Selalu buat hati abang tercuit..."


Previous: BEM 40
Next: BEM 42

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh nurshaza