SUARA halus yang bermain-main di gegendang telinganya membuatkan dirinya tersedar. Sekali gus seluruh tubuh badannya terasa sakit dan juga dingin. Kepalanya memberat bagaikan ditimpa dengan runtuhan batu-bata. Lambat-lambat dia menggagahkan diri untuk mengangkat kelopak mata. Tangan kanannya naik memegang kepala seraya pandangan yang masih kabur dialihkan ke kanan dan juga ke kiri.
"Hey, beautiful. Dah bangun ke? How's your sleep?"
Suara teguran itu membuatkan Indira terkejut besar. Beberapa kali kelopak matanya cuba diangkat sehingga pandangannya kelihatan jelas. Satu susuk tubuh tegap yang tidak berbaju dan hanya bertuala sedang duduk di hujung katil sambil mengusap betisnya.
"Kau... kau siapa?" Indira terus merentap kakinya dari pergelangan tangan lelaki itu. Kemudian tubuhnya diangkat sebelum belikatnya bersandar pada kepala katil. Ketika itu juga, dia terasa tubuhnya bebas dari berpakaian. Hanya dibaluti dengan selimut tebal.
"Ai, sayang. Lupa I ke? Kita baru aje berjumpa hari tu. Cuma you aje yang sombong tak nak pandang I." Yazir mengukirkan senyuman sinis. Meleret. Dengan menayangkan wajahnya miangnya itu.
"Kau buat apa dengan aku?" tengking Indira. Kolam air matanya sudah bertakung. Dia sendiri tidak pasti apa yang terjadi. Dia tak boleh nak ingat apa-apa sekarang ni. Dalam fikirannya hanya memikirkan Qarizh. Di mana lelaki itu?
"I tak buat apa-apa. I was playing with you. Not more than that."
Indira sedaya upaya menahan air matanya dari mengalir. Dia tak boleh tunjuk yang dirinya sedang ketakutan dan lemah ketika ini. Dia kena kuat dan lawan lelaki yang bertopengkan syaitan itu.
"Aku tanya kau sekali lagi. Apa kau dah buat dengan aku? Mana Qarizh? Aku dekat mana sekarang ni? Jangan main-main dengan akulah!" Bergema-gema nada suara Indira menengking Yazir.
"Ah alah perempuan ni, nak tinggi-tinggikan suara dekat I apa hal? Qarizh? You rasa dia tu baik sangat ke? Haih... bodoh juga perempuan ni. Ingatkan bijak pandai sangat." Selamba saja Yazir menghina Indira. Punggung diangkat lalu dia menolak pintu gelangsar almari untuk mengambil baju dan seluar.
"Aku tanya tu jawablah. Apa yang susah sangat kau nak jawab?"
"Qarizh tak ada. Dia yang hantar you dekat I. Dia jual you dekat I. Sekarang ni, you dekat rumah I. Is that clear for you?"
Dung! Jantung Indira bagaikan direntap keluar dari tubuhnya. Beberapa kali dia menggelengkan kepala. Bibirnya dikemam sehingga merah. Tak... Qarizh tak akan buat dia macam ni. Dia kenal Qarizh macam mana. Qarizh tak akan tergamak buat dia macam ni.
"Penipu. Kau reka cerita aje, kan? Kau nak apa sebenarnya?"
"I nak you. Nak you jadi milik I seorang saja." Yazir menoleh sedikit ke belakang seraya bibirnya tersungging sebuah senyuman sinis.
"Gila. Kau memang gila. Kau buat apa dengan aku?" amuk Indira. Mahu terkeluar anak tekaknya dari tadi menengking lelaki itu.
"Kalau you sedar dalam keadaan you tak berpakaian macam tu, you rasa apa yang I buat dekat you?" balas Yazir yang sudah siap berpakaian. Sikat yang berada di atas meja kecil berhadapan dengan cermin dicapai. Kemudian, dia menyisir rambutnya dengan menayangkan wajah yang sepertinya tidak membuat apa-apa kesalahan.
"Kau memang setanlah!" Indira menyambar pakaiannya yang bertaburan di atas karpet. Dengan sepantas kilat dia menyarung pakaiannya dalam keadaan kelam-kabut. Tangan dan kakinya sudah tidak sabar mahu menyentuh wajah lelaki itu.
Yazir hanya tersenyum senget apabila memandang Indira yang sudah berdiri dari katil. Dia tahu pasti perempuan itu akan menyerangnya. Tapi sengaja dia buat-buat tidak nampak. Tangan masih ligat menyisir rambutnya sehingga kemas.
"Hoi!" jerit Indira sekali gus menerjah belakang tubuh Yazir. Leher lelaki itu dipaut dari belakang sehingga menyebabkan Yazir terundur beberapa tapak ke belakang.
"Uhuk! Uhuk!" Yazir terbatuk-batuk apabila dia gagal menyedut oksigen dengan baik dek tercekik dengan pautan tangan Indira pada lehernya.
"Kau memang cari nahas dengan aku. Kau nak aku bunuh kau ke, huh?" amuk Indira. Dirinya sudah seperti dirasuk syaitan. Sama sekali dia tidak dapat menerima yang kesucian dirinya dirampas oleh Yazir.
Kedebuk! Kedua-dua mereka jatuh terbaring di atas katil. Indira mengunci pergerakan tubuh Yazir dengan menggunakan kudrat kedua-dua belah kakinya. Tangan kirinya merentap rambut lelaki itu manakala tangan kanannya menekan halkum Yazir.
"Uhuk! Uhuk!" Yazir tidak dapat meloloskan dirinya daripada Indira. Kudrat perempuan itu sangat kuat sehinggakan dia sendiri tidak mampu melawannya semula.
"Le... lepaskan... I!"
"Aku tak akan lepaskan kau selagi kau tak mampus!" Indira menekan perut Yazir dengan menggunakan tumit kakinya. Kemudian tubuh Yazir dihenyakkan di atas tilam sekali gus punggungnya dihentak kuat ke atas perut lelaki itu.
"Uwerkkk!" Yazir memuntahkan isi perutnya.
"Kau silap cari pasal dengan akulah, Tengku Yazir. Kau memang tak guna. Berani-beraninya kau sentuh aku. Sampai kau mampus pun, aku tak akan maafkan kau. Tuih!" Indira meludah tepat mengenai wajah Yazir yang sudah semakin memucat itu.
Yazir tidak dapat berbuat apa-apa. Seluruh badannya terasa senak. Perutnya terasa sebu. Tekaknya terasa perit dek memuntahkan isi perutnya tadi di atas tilam. Indira memang tekad nak membunuh dirinya.
Indira memandang Yazir dengan pandangan yang menjengkelkan. Dia bangkit berdiri kemudian mencapai beg silangnya yang berada di atas kabinet hiasan. Dia kena keluar dari sini. Dia sendiri tidak tahu sudah berapa hari dia tidak sedarkan diri. Tubuhnya masih lagi terasa lemah. Tapi dia tidak boleh terlalu ikutkan kelemahan tubuhnya itu. Dia kena kuat dan lepaskan diri dari lelaki setan itu.
"Indira!"
Indira berpaling ke belakang dek terdengar namanya diseru seseorang. Dahinya berkerut-kerut. Susuk tubuh itu dipandang dengan seribu satu soalan.
"Hilmi, kenapa kau ada dekat sini?"
Hilmi hanya memandang kosong ke arah Indira. Soalan gadis itu dibiar sepi tanpa jawapan.
"Kau nak pergi mana?" soal Hilmi. Wajahnya kelihatan sedikit menegang.
"Kau pun sama dengan Yazir tu ke? Kau khianat Qarizh?" Soalan dibalas dengan soalan. Sama sekali Indira tidak boleh menerima situasi yang terjadi ketika ini. Dalam ramai-ramai orang kenapa mesti Hilmi yang menjadi pembelot?
"Aku tak khianat sesiapa pun. Qarizh sendiri yang khianat kau. Dia yang jual kau dekat Yazir. Aku lebih tahu siapa Qarizh daripada kau. Dia seorang licik tak seperti yang kau sangkakan. Dan dia juga menyebabkan along dan kak long kau terbabit dalam kemalangan tu."
Sekali lagi, jantung Indira bagaikan sudah tidak mampu berdegup lagi. Pandangannya semakin berbalam-balam. Kepalanya kembali memberat.
"Apa... apa yang kau mengarut ni, Hilmi? Kau jangan nak buat ceritalah!" marah Indira.
"Kau baru aje kenal dia. Aku dan Yazir yang lebih lama kenal dia. Along dan kak long kau mati disebabkan dia. Dia punca kemalangan tu berlaku."
Air mata Indira gugur tanpa dirinya sedar. Kepalanya dibawa geleng beberapa kali. Mustahil. Qarizh tidak sejahat itu. Dia sayangkan Qarizh. Tak mungkin lelaki itu tega berbuat seperti itu kepadanya.
"Korang semuanya iri hati dengan Qarizh, kan? Sebab tu korang sanggup buat dia macam ni!"
"Tak ada masa kami nak iri hati dengan Qarizh. Qarizh bukan seorang yang baik seperti kamu sangkakan. Mak long lebih kenal dia daripada kamu." Tengku Yasmin mencelah sebaik saja dia berdiri anak tangga yang paling atas.
Indira menoleh ke tepi dengan dahinya berkerut seribu. Fikirannya semakin kusut. Dalam hati tidak habis-habis menidakan semua ini. Dia berharap semua ini hanya khayalan dia saja. Dia cuma bermimpi!
"Mak long kenal along dan kak long kamu siapa. Sebab dia orang tu, orang yang paling rapat sekali dengan Qarizh. Kalau kamu nak tahu, abang-abang kamu tu semua terlibat dalam kumpulan mafia. Termasuk Qarizh. Kamu tahukan apa itu mafia?"
Indira memegang dadanya yang terasa sesak. Sakit. Perit. Air mata semakin lebat membasahi wajahnya. Serta-merta bayangan objek yang dijumpai di dalam bilik Izz Benazir bermain dalam benak fikirannya.
"Argh!" Indira menjerit sekuat hatinya sekali gus tubuhnya bersandar pada dinding sebelum melorot jatuh ke atas lantai.
"Tak mungkin. Ni semua tipu. Korang nak prank aje, kan?" Indira ketawa secara tiba-tiba. Kepalanya tidak sudah-sudah bergerak ke kanan dan ke kiri, berulang-ulang kali.
"Tak ada masa untuk semua tu, Dira. Lambat-laun kamu akan tahu juga siapa orang sekeliling kamu. Tapi apa yang Hilmi katakan semuanya benar belaka. Qarizh penyebab utama abang dan kakak kamu mati. Kalau tak disebabkan budak lelaki tu, mesti abang dengan kakak kamu sekarang hidup bahagia dengan anak perempuan dia, kan?" Tengku Yasmin sengaja menekankan lagi fikiran dan perasaan Indira. Bibirnya terherot sedikit ke tepi.
"Ibu..." Yazir keluar dalam keadaan terhuyung-hayang. Tangannya mengusap-usap perutnya yang masih lagi terasa senak. Kuat betul penangan Indira. Boleh K.O dia macam ni.
"Hah, kamu dah kenapa? Mabuk ke apa? Tak akan dah ratah anak dara orang sampai mabuk macam tu sekali?" Tengku Yasmin menggelengkan kepalanya.
"Bukan sebab tu, ibu. Yaz tak sangka yang perempuan ni agresif nak mampus. Habis dia lanyaknya Yaz ni sampai tak mampu Yaz nak lawan balik."
Tengku Yasmin menepuk dahinya. Anak bujangnya yang seorang ini sangat memalukan betul. Dengan perempuan pun boleh tewas. Bukan anak jantan namanya ni.
"Haih... kamu ni memang memalukan betullah. Hilmi bawa Indira masuk bilik lagi satu. Mak long dah kemaskan bilik tu. Yaz, kamu turun bawah. Ada perkara yang ibu nak bincangkan."
"Aku nak baliklah!" marah Indira. Dia menggagahkan dirinya untuk bangun dengan menggunakan kudrat yang masih tersisa.
Yasmin sama sekali tidak peduli. Dia mengarahkan Hilmi dengan menggunakan ekoran matanya agar anak buah anak lelakinya itu bertindak segera sebelum Indira melepaskan serangan mengejut.
"Lepaslah, weh!" Indira meronta-ronta.
Pang! Dek hilang sabar melihat rontaan Indira, Yasmin melepaskan tamparan padu sehingga terteleng kepala gadis itu. Sudahnya Indira jatuh pengsan di dalam pegangan Hilmi.
"Ibu, kenapa tampar kesayangan Yaz?" Yazir mencebikkan bibirnya. Pipi Indira yang merah padam itu diusapnya lembut. Sayang betul dia akan gadis itu walaupun sudah terkena penangan smackdown Indira.
"Ah, kamu tak payah nak mengada. Karang ibu tambah lagi sakit dekat badan kamu tu. Ibu dah ikut apa yang kamu nak. Sekarang ni, giliran kamu pula ikut apa yang ibu suruh. Jangan nak jadi anak derhaka." Yasmin menuruni anak tangga untuk ke tingkat bawah.
Yazir mengajuk kata-kata ibunya sekali gus langkah dibawa turun ke tingkat bawah. Mengekori ibunya ke ruang tamu.
Hilmi meletakkan tubuh Indira dengan perlahan di atas katil. Rambut yang menutupi dahi gadis itu diselaknya ke belakang. Entah kenapa, hatinya tercuit dengan satu perasaan aneh. Tak akan dia rasa serba-salah dengan apa yang dia buat selama ini? Dia memang sudah lama tidak berkenan dengan Qarizh yang selalu menganggapnya seperti kuli. Dulu ketika Adiyan masih di dalam kumpulan mereka, lelaki itulah yang selalu mendapat perhatian Qarizh.
Hilmi tertawa kecil seraya kepalanya digeleng sekali. "Tak sangka betul Si Adiyan tu tolol sungguh. Dia boleh terfikir nak khianat Qarizh. Walhal dia sebenarnya dipermainkan. Tak pasal-pasal kau kena hadap taring Qarizh."
Indira yang sudah sedar sejak tubuhnya diletakkan di atas katil tadi hanya diam membisu. Telinganya dipasang dengan penuh teliti agar dapat mendengar percakapan Hilmi sendiri. Sedaya upaya dia menahan tangisannya dari terhambur. Seluruh badannya terasa sakit yang menyengat.
Angah... angah dekat mana? Adik sakit, angah. Adik tak kuat. Selamatkan adik.
Indira memejamkan matanya serapat yang mungkin. Tubuhnya dikeraskan agar Hilmi tidak perasan akan dirinya yang sudah sedar dari pengsan. Dia kena tunggu Hilmi keluar dari bilik itu. Dan ketika itu juga, dia harus memikir untuk mencari jalan keluar dari sini.
Dia kena dapatkan penjelasan dari mulut Izz sendiri. Begitu juga dengan Qarizh. Kenapa mereka sanggup merahsiakan hal ini daripadanya? Dia juga ada hak untuk ketahui tentang kematian arwah along dan kak longnya.
Tapi kalau betul, kemalangan itu semua berpunca daripada Qarizh sendiri? Macam mana dia nak terima? Apa akan jadi pada perasaannya? Sayang dan cintanya pada Qarizh baru saja hendak memekar di dalam hati. Akan tetapi, kejadian yang terjadi sekarang ini membuatkan perasaannya itu terasa tawar selagi tidak mendengar penjelasan yang sebenar.