Home Novel Thriller/Aksi Bidadari Encik Mafia (Completed)
BEM 9

TERKEKEH-KEKEH Qasrina dan Indira ketawa sehingga terhinggut-hinggut bahu mereka tatkala Saif dan Thakif membuat lawak. Perkenalan di antara Indira dan kawan-kawan Qarizh membawa satu makna pada dirinya sendiri. Dia tak pernah berasa seronok seperti ini. Begini rupanya kalau mempunyai kawan sendiri. Lagi-lagi yang jenis masuk air. Kering gusi dia ketawa dibuatnya.

"Abang Saif ni, sudahlah! Senak perut Qas tau." Tersandar tubuhnya ke kusyen sofa sambil kepala digeleng-gelengkan dengan matanya terpejam. Letih.

Indira di sebelah Qasrina tertawa kecil sambil menggelengkan kepalanya. Matanya beralih ke arah jam segi tiga yang tergantung pada dinding bilik lepak itu. Sudah menunjukkan pukul satu petang. Namun kelibat Qarizh dan juga Alana masih tidak kelihatan. Pantas dia mengeluarkan telefon bimbitnya lalu aplikasi WhatsApp ditekan.

"Mama!" jerit Alana dari tingkat bawah. Jeritannya yang mampu menggegarkan suasana rumah sehinggakan mereka yang berada di dalam bilik lepak terkejut besar.

"Anak siapa yang sesat dalam rumah ni?" soal Zane kepada kawan-kawannya.

Hilmi, Saif, Thakif, Irham dan Airiel mengangkat bahu mereka tanda tidak tahu.

"Alana!" sahut Indira sambil melompat ke belakang sofa lalu berlari menuruni anak tangga. Aksinya membuatkan mereka melongo seketika sebelum terdengar suara tawa Qasrina bergema.

"That's my sister!" Qasrina ikut berlari mengekori Indira yang sudah berada di tingkat bawah.

"Anak mama dah balik. I miss you, baby." Tubuh Alana dibawa ke dukungannya.

"Eh, mana abang?" Berkerut dahi Qasrina cuba mencari susuk tubuh abangnya namun tidak kelihatan.

"Uncle dekat luar," jawab Alana sambil menuding jari ke arah pintu utama, memberitahu bahawa Qarizh berada di halaman luar rumah.

Qasrina terus membawa langkahnya sehingga ke luar rumah. Kelihatan Qarizh sedang duduk di atas motorsikalnya sambil kaki kanan diletakkan di atas paha kiri. Siku kirinya pula ditahan pada cermin meter motorsikal. Tangan kanannya khusyuk menatal skrin telefon bimbitnya.

"Abang..."

"Hmm?" Qarizh mengangkat wajahnya. Matanya bertembung dengan mata si adik dengan dahi yang berkerut-kerut. Dah kenapa adiknya seorang ini, berkerut semacam?

"Abang buat apa dekat luar? Ada apa?"

"Ada orang call aku."

"Siapa?"

"Kawan."

Qasrina mencebik. Berapa puluh ribu kawan yang abangnya ada. Asal tanya saja, jawapannya mesti sama. Kawan.

"Kawan tu tak ada nama ke?"

Qarizh melepaskan keluhan panjang sebelum menyingkapkan rambutnya ke belakang. "Orang upahan aku."

Kening Qasrina hampir bercantum. "Abang still cari budak perempuan tu ke?"

Qarizh angguk.

"Serius?"

Qarizh angguk sekali lagi. Berat betul bibirnya mahu menjawab pertanyaan adiknya itu.

"Kalau dia dah kahwin macam mana? Tak ke sia-sia pencarian abang tu?" soal Qasrina. Sengaja menguji kesanggupan abangnya yang menunggu kehadiran seseorang setelah 10 tahun yang lalu. 10 tahun lalu tau! Bukan sembarangan penantian.

Qarizh diam. Hatinya sama sekali menidakkan apa yang disoalkan oleh Qasrina. Hatinya kuat mengatakan gadis itu masih belum berpunya. Tapi, kalau apa yang Qasrina tanyakan itu menjadi kenyataan? Macam mana dengan dia?

"Kau nak makan malam dekat mana hari ni?"

"Tengoklah tu. Orang tanya ada saja nak mengelat."

Qarizh diam seketika. "Pukul lapan kita gerak. Aku nak rehat sekejap. Penat." Kakinya mengorak langkah masuk ke dalam rumah.

Indira yang mencuri-curi dengar perbualan mereka bersama Alana cepat-cepat melarikan diri ke tingkat atas. Dia mahu menukar pakaian si kecil itu kemudian mahu memberi anak saudaranya itu makan.

Siapa yang Qarizh cari? Dia upah orang untuk cari siapa? Dagunya diusap seketika sebelum tangan mencapai beg Alana yang berada di tepi kaki sofa. Dalam hatinya tertanya-tanya dengan apa yang dibualkan oleh Qarizh dan Qasrina di luar tadi.

BINGKAI gambar yang terletak di atas meja komputernya dicapai perlahan. Anak matanya dipakukan pada dua susuk tubuh yang sedang tersenyum bahagia di dalam gambar itu. Jari telunjuknya mengelus lembut wajah arwah mama dan papanya.

"Qar, kalau jadi apa-apa dekat mama dengan papa nanti lindungi adik ya?"

"Mestilah mama, papa. Qar akan jaga dan lindungi adik. Tapi kenapa mama dengan papa cakap macam tu? Qar tak sukalah."

"Setiap di antara kita pasti melalui fasa perpisahan. Qar kena reda."

Mata dipejamnya erat. Terngiang-ngiang pesanan arwah papanya beberapa tahun yang lalu sebelum mereka kembali ke rahmatullah. Ketika itu, putaran dunia Qarizh terhenti seketika. Sungguh sukar untuk dia menerima yang dirinya dan juga Qasrina kehilangan kedua-dua orang tua yang disayangi.

"Papa, mama... maafkan Qar. Qar buat semua ni supaya Qar tak nak sesiapa pun sentuh adik." Kepalanya dibawa geleng beberapa kali. Dia memegang status menjadi seorang mafia sejak usianya 20 tahun. Kedua-dua belah tangannya ini sudah banyak menyeksa dan membunuh manusia yang pernah mengacau keamanan dia dan Qasrina. Rahsia terbesarnya ini hanya diketahui oleh Qasrina dan juga anak-anak buahnya.

"Perlu ke aku tanya Adiyan, siapa yang berani kacau keamanan aku dengan Indira malam tu?" Tangan kanannya digenggam erat sehingga urat hijaunya tegang.

Tanpa membuang masa memikirkan perkara itu lagi, tubuhnya diangkat lalu dibawa keluar dari biliknya. Pintu bilik yang dikhaskan untuk lepak, ditolak perlahan. Kelihatan anak-anak buahnya sedang membuat hal masing-masing. Kelibat Qasrina, Indira dan Alana tidak kelihatan di dalam bilik itu. Pasti mereka sedang tidur di dalam bilik Qasrina.

"Qar..."

Kepalanya dipaling ke belakang. Kelihatan Airiel sedang berdiri di hadapan tangga sambil merenung ke arahnya.

"Hmm...."

"Kau nak ke mana?"

"Bukan urusan kau." Dingin.

"Aku tanya kau ni, Qar. Kau nak ke mana?" soal Airiel sekali lagi. Tidak mahu mengalah. Susah benar dia mahu melihat batang hidung sepupu lelakinya yang seorang ini.

"Markas aku. Kau nak sibuk kenapa? Dah tak ada kerja?" sindir Qarizh. Dia masih tidak boleh menerima kehadiran Airiel di dalam rumahnya ini. Hanya disebabkan Qasrina lah, dia membiarkan Airiel menetap di rumahnya.

"Kau masih tak dapat nak maafkan aku? Kau tak percayakan aku?"

"Susah." Sepatah saja jawapannya.

"Tapi, aku harap sangat kau boleh maafkan aku Qar. Aku rindukan kau. Aku tahu aku salah."

"Bagi aku masa," jawabnya lalu menuruni anak tangga meninggalkan Airiel seorang diri di tingkat atas.

Airiel melepaskan keluhan sebelum melangkah masuk ke dalam bilik istirahat itu.

"Bos."

Qarizh mengangkat wajahnya. Susuk tubuh Hilmi menyapa kornea matanya.

"Hmm..."

"Malam ni bos nak keluar?"

Qarizh angguk. "Aku keluar dengan dia orang. Kenapa? Ada apa-apa ke?"

"Saya cuma nak bos hati-hati saja. Sejak dua menjak ni, saya rasa semakin ramai musuh yang perhatikan kita."

"Aku tahu. Aku dapat rasakan yang musuh-musuh aku dah banyak munculkan diri tanpa aku tahu sebabnya. Tak akan disebabkan gudang senjata yang baru kita buat tu?"

Hilmi diam seketika sebelum menjawab soalan Qarizh. "Mungkin itu salah satu jawapannya."

"Aku nak kau ketatkan semua sekuriti kita dekat gudang. Kau pantau satu per satu. Apa-apa kau roger aku."

Hilmi angguk. "Baik, bos."

"Aku nak pergi markas. Kau ikut aku."

Hilmi tidak menjawab sebaliknya mengekori langkah Qarizh sehingga ke kereta yang terletak di dalam garaj.

Ada apa dengan musuh-musuh aku ni? Dia orang nak apa sebenarnya? Nak aku mati ke? Soal Qarizh pada dirinya sendiri dengan penuh tidak puas hati.

Buk! Buk! Buk!

HABIS wajah Adiyan dipenuhi dengan lebam akibat ditumbuk secara bertubi-tubi oleh Qarizh. Sepertinya Qarizh melepaskan amarahnya pada dirinya yang dalam keadaan tidak bermaya itu. Adiyan langsung tidak beri dipeluang kedua untuk menebus kesalahannya.

Rancangan sendiri membuatkan masa depannya gelap. Tidak memikirkan risiko yang perlu dia hadap sedangkan dia sudah berkhidmat dengan lelaki itu selama tiga tahun sebelum dirinya menarik diri dari kumpulan Qarizh. Jadi, sepatutnya dia boleh berhati-hati merancang untuk menjatuhkan Qarizh.

"Hoi, sial! Aku tanya kau. Siapa yang cuba serang aku dengan kawan aku, huh? Kau tahu semuanya, kan? Disebabkan kaulah, keamanan aku semakin terganggu!" Nada suara Qarizh semakin melengking menyebabkan suasana ruangan itu bergema-gema. Anak-anak buah yang diam tidak berkutik. Siapa saja yang berani membuka mulut tatkala si ketua sedang dirasuk dengan amukan membara?

Adiyan menggeleng-gelengkan kepalanya. Sungguh dia tidak tahu musuh-musuh Qarizh yang menyerang lelaki itu. Selama ini, dia tidak pernah bersengkokol dengan mana-mana kumpulan mafia yang lain. Dia bina kumpulannya sendiri kerana iri hati dengan apa yang Qarizh ada. Dirinya ingin juga menjadi ketua seperti Tengku Qarizh Nadim. Tapi, dia silap dan dia sedar yang dia tidak layak menjadi seorang ketua.

"Aku... tak tahu, Qar. Sungguh aku... aku tak tahu..."

"Kau fikir aku percaya ke cakap kau? Dasar pengkhianat!" tengking Qarizh. Segala urat di dalam badannya semakin menengang.

"Qar, sumpah Qar aku tak tahu apa-apa...."

"Bodoh!" Qarizh menendang kaki kerusi yang diduduki oleh Adiyan sehingga tumbang.

Kedebuk!

Qarizh menerpa di atas tubuh bekas anak buahnya itu lalu beberapa biji tumbukan padu dilepaskan tepat mengenai wajah dan dada Adiyan sehingga lelaki itu terbatuk-batuk kerana senak.

"Q... Qar..." Adiyan tak pernah jemu mencuba untuk meraih simpati pada Qarizh.

"Bos, bawa bertenang." Hilmi yang berani mencelah kemarahan Qarizh segera menarik kedua-dua belah bahu ketuanya itu jauh daripada Adiyan.

"Lepas!" Tangan Hilmi ditepis. Nafasnya berombak dengan laju bagaikan baru saja lepas berlari secara maraton.

"Kau memang nak aku bunuh kau, kan?" tempik Qarizh sambil anak mata dipaku tajam pada wajah Adiyan yang sudah dibasahi dengan peluh bercampuran darah.

Adiyan hanya mampu menggelengkan kepala dengan dahinya yang berkerut-kerut seribu. Sedaya-upaya menahan kesakitan yang semakin menjalar pada wajah dan tubuhnya badannya. Qarizh memang betul-betul tekad tidak mahu memberikan dia peluang.

"Hilmi, aku nak kau soal dia sampai dia jawab. Rakam! Aku nak keluar."

Tidak sempat Hilmi mahu menjawab, Qarizh terus membawa langkahnya keluar dari markasnya menuju ke kereta. Tubuhnya disandarkan kasar pada badan kereta. Wajahnya diraup beberapa kali kemudian rambutnya diramas ganas. Sungguh hatinya panas dan sakit apabila tidak mengetahui musuh yang berani menganggu ketenteraman hidupnya.

"WAH! Cantiknya Dara Alana ni. Macam princess la!" puji Qasrina kepada Alana yang baru saja keluar dari biliknya sambil berpimpinan tangan dengan Indira.

"Mama yang dress up kan macam princess," kata Alana dengan senyuman manis pada bibir nipisnya itu.

"Lana nak makan apa hari ni?" soal Qasrina sambil menarik tangan Alana supaya berdiri di hadapannya yang sedang duduk di atas sofa.

Indira melabuhkan punggungnya di sebelah Qasrina. Sesekali mengerling ke arah pintu utama. Tercari-cari kelibat Qarizh yang tidak kelihatan sejak dari tadi. Jadi atau tidak, dia sendiri tidak tahu. Tapi, Qasrina sendiri yang beria-ria menyuruh mereka untuk bersiap makan malam bersama.

"Nak makan seafood boleh tak? Kawan Lana dekat school kan, dia cerita yang dia makan lobster besar sangat!" Alana mendepakan tangannya. Menunjukkan betapa besarnya udang galah yang diceritakan oleh si kawannya itu di tadika.

"Lana tak alergik ke, kak?"

"Setakat ni tak ada. Dia tak cerewet. Semua dia makan. Sama macam arwah daddy dia." Indira tersenyum.

Qasrina menganggukkan kepalanya tanda faham. Pipi si kecil itu diusapnya lembut. Tak pernah lagi dia rapat dengan mana-mana kanak-kanak sebelum ini. Selalu pandang dari jauh saja. Bila dia mengenali Alana, senyumannya tidak pernah lekang pada bibir. Suka bermain dan juga bergurau senda dengan si kecil itu yang sangat petah bercakap.

"Qarizh mana? Lambatnya dia. Kata pukul lapan. Sekarang dah 7:50 malam."

Qasrina menoleh ke sisi. Matanya mengerling ke arah pintu utama yang tertutup rapat itu. Bibirnya diherotkan ke tepi.

"Kejap lagi sampailah tu."

Klek....

Serentak kepala dipanggung ke arah pintu utama yang dibuka oleh seseorang dari luar. Muncul sesusuk tubuh tegap yang sedang melangkah masuk ke dalam dengan wajahnya yang seperti biasa, beku. Tak ada perasaan.

"Hah! Dah sampai pun. Tepat pada masanya," sorak Qasrina lalu mendukung tubuh Alana sebelum mendekati si abang.

Qarizh hanya tersenyum tipis. Indira yang sudah bangun dari duduk dipandangnya sekilas. "Kau okey hari ni? Okey jadi penjaga adik aku?"

Indira angguk. "Aku rasa macam tak layak pula dapat gaji kalau skop kerja aku macam ni. Aku rasa macam tak bekerja."

Qarizh angguk sekali. "Aku memang dah niat nak upah kau. Jangan nak menolak. Kau dah menemani dia seharian macam ni dah dikira bekerja."

Indira senyum. Pertama kali dia tersenyum dengan seikhlas hati membuatkan jantung Qarizh sepertinya berhenti berdetak. Ditenungnya lama senyuman yang sedang bercahaya pada pandangan matanya itu. Dia berdeham perlahan. Mengawal dirinya yang seperti sudah tidak keruan.

"Jomlah, abang," ajak Qasrina sambil menarik lengan Qarizh.

"Ha. Okey." Mujur Qasrina menyelamatkan dirinya daripada terus merenung senyuman yang luar biasa itu. Kepala dibawa geleng sekali.

Indira yang perasan akan perubahan pada air muka Qarizh, berkerut seketika sebelum bahunya diangkat sekali. Langkah digerakkan mengekori dua beradik itu dari belakang.

"Kak, duduk depan!" Senyum Qasrina lalu memboloskan dirinya bersama Alana ke tempat duduk penumpang pada bahagian belakang.

Indira melopong kecil. Bukan ke sepatutnya Qasrina yang kena duduk depan? Sungguh dia dapat rasakan yang Qasrina sengaja duduk di belakang. Tak fasal-fasal dia kena duduk bersebelahan dengan mamat beku itu.

"Masuk, Indira."

Suara garau Qarizh menampar gegendang telinga Indira yang masih lagi tidak masuk ke dalam kereta.

"Ha. Ya, ya...." Segera dia masuk ke dalam kereta lalu memakai tali pinggang keledar. Pandangan dilemparkan ke luar tingkap sambil menopang dagunya.

"Nak makan dekat mana?"

"Restoran Ali Baba Seafood tu. Abang ingat, kan?"

Qarizh tersentak seketika. Sudah lama dia tidak menjejakkan kakinya ke restoran tersebut sejak arwah mama dan papanya meninggal dunia. Dulu, mereka sekeluarga selalu bertandang ke restoran itu setiap hari minggu.

"Okey." Qarizh memejamkan matanya sesaat sebelum gear kereta diubah kepada D. 


Previous: BEM 8
Next: BEM 10

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh nurshaza