Home Novel Thriller/Aksi Bidadari Encik Mafia (Completed)
Epilog

Tiga tahun kemudian....

"ARGH! Sakit, sakit. Jangan tarik!" jerit Hilmi dengan dahinya berkerut-kerut apabila rambutnya ditarik-tarik. Belakang badannya dipijak-dipijak. Kalau hari-hari macam ni, mahu patah dua badannya. Berat badannya pun semakin susut angkara kanak-kanak yang terlebih aktif ini.

Haura yang sedang mengendong si kecil bernama Shadrina Najla, hanya menggelengkan kepala melihat suaminya dibuli oleh anak-anak Qarizh. Nasib badanlah, kena jaga kembar tiga tu sementara mama dan papa mereka bekerja. Hilmi pula dibenarkan pulang awal oleh Qarizh hari ini. Sukalah si kembar tiga itu apabila Hilmi ada di rumah. Seronok membuli. Kalau bawah jagaan Haura, semuanya baik-baik belaka. Mendengar kata. Tidak banyak ragam. Mudah urusan Haura menjaga mereka.

"Ya Allah, yang tolong abang!" Hilmi sudah tidak dapat menahan sakit pada belakang badannya. Mana tidaknya, tiga orang sekali gus memijak-mijak belakangnya.

"Abang ni pun. Siapa suruh mintak dia orang urutkan? Kan dah mendapat. Dia orang tu dahlah lasak kalau main dengan abang. Baik abang layan puteri abang ni. Dari tadi duk tengok aje abang, hah." Haura mendekati suaminya yang tertiarap di atas karpet ruang tamu.

"Along, angah, Nawfal... jangan buat ayah macam tu. Sakit ayah tu," pinta Haura dengan penuh lemah-lembut.

Serentak si kembar tiga itu berlari ke arah Haura. Dipeluknya kaki Haura sambil tersengih-sengih. Suka dapat menyakat Ayah Hilmi. Tu pun rasa masih tidak puas lagi.

"Aduh... dah macam orang tua dah abang ni..." Terbongkok-bongkok Hilmi bangun sebelum menghenyakkan punggungnya di atas sofa.

"Nah, Ina main dengan ayah, ya. Ibu nak buat abang-abang ni susu." Shadrina Najla diletakkan di atas riba Hilmi. Anak kecil itu hanya memerhati saja sambil menghisap ibu jari.

"Jom, ikut ibu," ajak Haura sambil memimpin tangan Nahiz dan Nawfal. Nadhmi sudah terlebih dahulu berlari ke dapur. Memang tabiatnya suka berlari-lari sampai berdentam-dentam lantai berbunyi.

"Anak ayah comel-comel ni. Kejapnya dia dah besar. Hmmm... wanginya anak ayah ni..." Hilmi mengucup-ngucup kedua-dua belah pipi anak perempuannya itu berkali-kali. Mengekek Shadrina ketawa apabila dicium oleh ayahnya.

"Anak ayah ni. Muka macam ayah, kan? Hmm... sebab ayah masa kecil pun comel..." Angkat bakul sendiri Hilmi ni.

"Amboi, bang. Puji diri sendiri ke?" Haura menyindir sambil mencekak pinggang kanannya.

"Eh, betul apa abang cakap. Shadrina Najla ni banyak mewarisi muka abang. Al maklumlah anak perempuan biasanya ikut belah ayah dia."

Haura mencebik. Sabar ajelah melayan suaminya itu.

"Kalau sayang nak anak kita mewarisi sayang, sayang mengandunglah lagi. Kita try dapatkan lelaki. Biasa lelaki ikut muka ibu dia. Kan Ina, kan?" Hilmi menggomol-gomol Shadrina sehingga anak kecil itu tertawa suka.

Pup!

"Aduh! Ya Allah, yang. Terkejut abang. Abang ingat apalah tadi hinggap dekat muka abang yang handsome ni." Bantal kecil yang hinggap di mukanya tadi, dialihkan ke tepi. Nasib tak kena anaknya. Ibunya pun ajak main baling-baling bantal pula.

"Abang tu, mengada sangat. Dulu masa nak bersalinkan Ina, dia yang menangis tersedu-sedan. Siap cakap lagi, abang tak sanggup nak tengok sayang sakit macam ni. Lepas ni, abang tak paksa dah sayang mengandung lagi kalau macam nilah sakitnya." Haura mengajuk percakapan Hilmi sewaktu dia ditahan di wad. Menunggu masa untuk melahirkan anak pertama mereka ketika itu.

Hilmi tersengih. "Ya, ya. Abang tak paksa. Abang gurau aje, sayang. Betullah abang cakap tu. Abang tak sanggup tengok sayang mengerang sakit macam tu. Pilu hati abang..."

"Hah, mula dah buat drama sedih. Nak throwback-throwback. Sudah, abang susukan Ina. Haura dah siap pam dah tadi. Lepas tu, abang tidurkan dia. Dah pukul 8:00 malam dah ni."

Hilmi menganggukkan kepalanya. Punggung diangkat sekali gus mendukung Shadrina yang sudah merengek-rengek kecil. Mungkin dengar perkataan susu terus saja merengek. Pantang nampak susu. Sebab tu, badan pun montel. Dukung lama-lama, lenguh urat sendi tangan Hilmi dan Haura dibuatnya.

"Bu... biya papa denan mama nak bayik ni? Ama along tundu..."

Haura menundukkan kepalanya sambil tersenyum. Kepala Nahiz diusap perlahan. Dia menarik tangan si kecil itu ke sofa lalu punggungnya dilabuhkan perlahan.

"Along rindu papa dengan mama, ya? Sekarang baru pukul 8:00 malam. Biasakan dia orang ambil korang pukul 9:30 malam macam tu. Kalau mengantuk, tidur sini dulu. Nanti ibu kejut macam biasa."

Nahiz memanjat naik ke atas sofa untuk duduk bersebelahan dengan Haura. Begitu juga dengan Nadhmi. Manakala Nawfal merengek mahu duduk di atas riba Haura.

"Penat, ya. Main lasak tadi dengan ayah. Korang makin lama makin besar. Berat badan pun dah naik. Jangan buat macam tu dekat ayah sangat. Kesian dia. Nanti sakit, korang yang susah hati, kan?"

Serentak si kembar tiga itu menganggukkan kepala. Haura memeluk mereka sekali gus sambil mengucup dahi mereka.

"Ibu sayang korang. Dah besar jadi anak yang baik, okey?" pesan Haura kepada mereka.

"Bayik ibu. Kitaoyang pun ayang ibu denan yayah. Kitaoyang nak jadi hero tuk dedek Ina," ujar Nadhmi sambil tersengih. Nahiz dan Nawfal mengangguk-anggukkan kepala mereka.

Haura tersenyum. Untung anak perempuannya itu nanti. Sudah ada tiga orang bodyguard yang setia mahu menjaganya nanti. Tak adalah dia susah hati sangat nanti. Dah ada jejaka-jejaka yang tolong jagakan puteri dia dan Hilmi.

"PENAT, sayang?" soal Qarizh sebaik saja keluar dari perut kereta. Dalam mindanya, sudah tidak sabar mahu bertemu dengan tiga orang hero kecilnya itu. Rindu seharian tidak jumpa.

Indira senyum. Kepala dibawa geleng sekali. Perut yang sudah sedikit membonjol diusap lembut. Sedar tak sedar, kandungannya sudah genap tiga bulan hari ini. Kemungkinan besar, anak keempatnya ini seusia Shadrina Najla.

"Penat sikit aje, hubby. Tak sabar nak jumpa triplets. Rindu. Kesian dia orang tunggu kita. Sabtu dengan Ahad aje ada masa untuk dia orang. Hari lain, kita sibuk uruskan syarikat."

Qarizh mengangguk kepala. Setuju dengan kata-kata isterinya. Mujur ada Haura yang sudi menjaga mereka. Kalau nak dihantar di bawah jagaan pusat asuhan, memang dia susah nak lepaskan. Nak nak lagi, banyak kes mendera sampai mati.

"Ibu, papa denan mama dah ampaiYay, yay!" beritahu Nawfal sambil terlompat-lompat suka di hadapan pintu pagar. Dia seorang saja yang masih belum tidur. Dua orang abang kembarnya sudah diulit mimpi sejam jam yang lalu.

"Suka betul Nawfal nampak kita." Indira tertawa kecil.

Qarizh tersengih.

"Sorry la, Haura. Abang dengan kakak lambat sikit hari ni. Jalan sesak pulak. Ada kemalangan," kata Indira sebaik saja Haura membuka pintu pagar rumahnya. Tubuh adik kesayangannya itu dipeluk erat.

"Tak apalah, kak. Faham. Macam tak biasa. Along dengan angah dah tidur dah tu. Penat sangat dapat smackdown Abang Hilmi. Abang Hilmi pun dah pengsan atas katil tu dengan Ina. Haura suruh dia tidurkan Ina, dengan dia tidur sekali." Haura menggelengkan kepala.

Qarizh ketawa. Indira pula tersengih.

"Kesian Si Hilmi kena layan anak-anak abang ni, hah. Apa pun terima kasihlah sudi jaga dia orang. Sampai Haura sanggup tak kerja." Qarizh melangkah masuk ke dalam. Dengan penuh berhati-hati, dia mendukung tubuh Nahiz dan Nadhmi.

"Tak apalah, bang. Abang Hilmi tak bagi Haura kerja. Suruh jaga Ina. Dia pun macam abang juga. Tak percaya kalau nak hantar dekat pusat asuhan. Katanya tak tenang nak buat kerja."

Qarizh angguk sekali. "Betul tu."

"Esok abang dengan kakak pergi macam biasa?"

"Haah. Macam biasa, Haura," jawab Indira.

"Okeylah kalau macam tu. Hati-hati balik." Haura melambaikan tangannya ke arah mereka. Rumah sebelah-sebelah aje pun. Gaya melambai, macam rumah tu jauh sangat. Rumah ini, Qarizh yang hadiahkan kepada Hilmi sempena perkahwinan mereka tiga tahun yang lalu.

SEUSAI membersihkan badan, Qarizh terus merebahkan dirinya di atas katil. Bibirnya tersenyum apabila merenung ke arah wajah anak kembar tiganya itu. Automatik penatnya hilang. Diusap kepala mereka bertiga dengan penuh kasih sayang. Indira yang sedang menyikat rambut hanya tersenyum memerhatikan suami dan anak-anaknya itu.

"Kejap aje dia orang dah besarkan, sayang?" soal Qarizh. Anak matanya masih lagi memerhatikan mereka tidur. Lena. Langsung tidak terganggu.

"Ya, hubby. Dan tak lama lagi, yang dalam perut ni pun nak join abang-abang dia. Pengsanlah Hilmi nanti." Indira ketawa kecil.

"Haha... betul tu. Abang pun salute dekat Hilmi. Melayan habis-habisan anak-anak kita ni. Kena smackdown pun. Melayan lagi. Nasib baik dengan Haura dia orang ni mendengar kata. Dengan Hilmi aje kuat menyakat."

Indira tersengih.

"Lepas ni, Nawfal dah boleh panggil acik. Along, angah dan acik."

Qarizh angguk.

"Yang dalam perut tu?"

"Adik." Laju saja Indira menjawab.

"Eh, adik? Tak nak tambah lagi ke, yang?" Qarizh sudah tersenyum nakal.

"Ya Allah, hubby. Yang ni pun belum keluar lagi. Ish, dia ni. Suka tayang muka miang macam tu." Indira mencebik. Sikat diletakkan di atas meja solek. Kaki mengorak langkah mendekati Qarizh yang sudah duduk bersila di atas katil.

"Alah, muka miang ni jugaklah yang sayang duk usap-usap memalam. Lagi-lagi masa mengandung. Macam-macam ragamnya. Hah...."

Indira menampar dada Qarizh manja. Suka mengusik dia. Ya, memang betul pun apa yang Qarizh katakan. Setiap kali dia mengandung, manja dia menjadi makin melarat-larat. Sehinggakan dia boleh menangis bila Qarizh tiada di hadapan matanya. Padahal Qarizh tengah membuang dekat dalam tandas tu.

"Macam-macam ragam pun, hubby sentiasa cintakan bidadari hubby ni. Tak pernah tak sayang. Sentiasa dan selamanya. Hanya Indira Callista." Ditarik perlahan tubuh Indira masuk ke dalam dakapannya. Isterinya inilah yang sentiasa ada bersama dengannya ketika dia jatuh dan bangun. Bersusah payah dengannya menguruskan syarikat bersama. Dan yang paling dia tidak mampu membalas jasa Indira adalah mengandung dan melahirkan anak-anak untuknya. Sungguh besar jasa isterinya yang itu.

"Dira pun sayang dan cintakan hubby. Selalu dan selamanya." Pipi Qarizh dikucup.

Qarizh mendekatkan bibirnya pada telinga Indira. Berbisik.

"Sayang sentiasa menjadi bidadari kepada Encik Mafia yang bernama Tengku Qarizh Nadim." Di hujung ayatnya, dia melepaskan tawa kecil. Sengaja mahu melihat reaksi isterinya itu.

Indira tertawa kecil. "Encik Mafia, hmm? Seriuslah...."

Qarizh tergelak. Kepala digeleng sekali. "Tak adalah, sayang. Itu semua hanya tinggal kenangan dan memberikan hubby banyak pengajaran."

Indira senyum. "Oh, ya. Lupa nak bagi tahu hubby. Hubby tahu tak angah dah ada teman istimewa... Dira harap sangat yang hubungan dia orang berkekalan sehingga ke pelamin."

Qarizh ternganga kecil. "Akhirnya setelah sekian lama. Angah nak juga masuk ke alam percintaan. Hubby tumpang gembira. Dia tu susah nak bukakan hati. Sibuk sangat dengan kerja. Mesti perempuan tu, too special for him. Siapa beritahu sayang?"

"Adit bagi tahu. Diakan mengikut saja ke mana angah tu pergi. Kiranya dia ganti Abang Kizo dekat Indonesia sana. Dira happy sangat." Indira tersengih. Suka bila dapat tahu yang Izz sekarang rapat dengan seseorang yang dianggap teman istimewa. Tak lama lagi, dia dapat kakak iparlah.

Qarizh angguk. Rambut Indira dibelai lembut. Bibirnya rapat ke dahi si isteri. Dia turut gembira bila melihat isteri tercinta gembira.

"I love you, sayang. Hubby tak mintak banyak. Cukuplah sayang ada selalu dengan hubby. Hubby akan usaha sebaik mungkin untuk tunaikan semua keperluan dan kehendak sayang dan anak-anak kita." Qarizh menarik tubuh Indira baring di atas katil. Sempat dikerling ke arah si kembar tiga yang masih lagi lena.

"I love you more, hubby. Sayang pun tak mintak banyak. Cukuplah hubby ada dengan Dira. Susah dan senang kita bersama. Menjaga dan mendidik anak-anak kita dengan penuh kasih sayang dan ilmu agama." Tubuh Qarizh dipeluknya erat. Sungguh dia sangat menyayangi lelaki yang bergelar suaminya ini.

Cinta pertama dan terakhirnya sampai mati.

T A M A T


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh nurshaza