Home Novel Thriller/Aksi Bidadari Encik Mafia (Completed)
BEM 23

GUGUSAN kunci yang berada di dalam genggamannya ditenung lama. Beberapa kali dia melepaskan nafas kasar. Mata dipejam buat seketika sebelum dicelik semula. Hari ini, dia tekad untuk mencari jalan keluar dari neraka buatan ini. Tubuh yang serasa lemah seratus peratus tidak dihiraukan. Yang penting sekarang ni, dia mahu melepaskan diri dari perangkap manusia yang bertopengkan syaitan itu.

"Akak...," panggil Qasrina sebaik saja dia membuka mata. Kepalanya terasa berat. Pening. Berkerut-kerut dahinya memerhatikan gerak-geri Indira yang sedang menyarungkan jaket pada tubuhnya.

"Akak nak pergi mana?" soal Qasrina buat sekali lagi.

Namun sayang, Indira langsung tak menjawab persoalannya. Dibiarkan saja soalan itu sepi bagai ditiup angin. Mindanya sudah terbang jauh. Tidak lagi memikirkan persekitarannya. Kuasa amarah sudah mengawal sepenuh tubuhnya.

"Akak..."

"Jangan sentuh akulah!" Indira menepis tangan Qasrina yang mendarat pada lengannya sehingga gadis itu terundur beberapa langkah ke belakang. Dia menoleh sedikit ke arah Qasrina dengan pandangan penuh membara.

"Akak, Qas nak ikut akak. Qas pun nak keluar dari sini." Qasrina separuh merayu.

"Aku tak kisah kau nak ikut atau tak. Kau dengan aku dah tak ada apa-apa hubungan. Aku nak kau ingat sampai mati. Aku tak nak dekat dengan orang yang pernah bunuh darah daging aku."

Jantung Qasrina bagaikan dirobek keluar dari tubuhnya. Pedih hatinya setiap kali ayat itu terpacul dari bibir Indira. Sungguh dia tidak dapat menerima dirinya dituduh sebegitu. Dia langsung tak tahu-menahu mengenai kematian arwah along dan kak long Indira Callista.

"Kak... jangan tuduh Qas macam tu. Qas tak tahu apa-apa. Semua ni berlaku dengan begitu pantas. Qas tahu akak marah sebab Qas..."

"Shh! Aku tak nak dengar apa-apa pun yang keluar dari mulut kau. Aku serabut. Aku tak ada masa nak dengar penjelasan kau." Indira mencantas percakapan Qasrina dengan kasar. Matanya menjeling Qasrina yang berdiri di sisinya.

Qasrina hanya membisu. Kolam air matanya sudah bertakung sehingga pandangannya kabur. Hatinya terasa dengan sikap Indira. Dia hanya memerhatikan saja gadis itu yang sedang menapak mendekati pintu bilik. Tangan Indira sudah mendarat pada tombol pintu bilik.

"Kak."

Pergerakan Indira terkunci seketika tatkala Qasrina menyerunya. Perlahan dia memalingkan wajah menghadap Qasrina. Keningnya terjongket tinggi.

"Kalau apa-apa jadi pada Qas, maafkan Qas. Qas sayangkan akak. Qas dah anggap akak macam keluarga Qas sendiri. Kalau Qas tak ada, tolong jagakan abang untuk Qas. Dia dah tak ada sesiapa." Hiba intonasi suara Qasrina tatkala dia mengungkapkan ayat itu. Entah kenapa secara tiba-tiba saja dia ingin berkata begitu. Jantungnya laju mengepam. Dada dipalu dengan debaran yang hebat. Sepertinya yang akan berlaku pada hari ini.

Indira terdiam. Ungkapan ayat Qasrina cuba dihadam di dalam kepala otaknya. Namun sekarang ini, fokusnya lebih kepada mencari jalan keluar. Tak betah lagi dia hendak duduk di dalam perangkap ini lama-lama.

"Kau jangan nak merepek, Qas. Kalau kau nak keluar dari sini, ikut aku. Kau jangan nak buat ayat minta simpati. Jangan harap aku makan dengan ayat kau tu," balas Indira bernada kosong. Beberapa kali dia cuba memulas tombol itu, namun dia gagal. Pintu itu seperti biasa dikunci dari luar.

"Cari benda yang boleh bukak pintu ni. Aku nak keluar. Aku yakin dia orang tengah tidur sekarang ni," arah Indira kepada Qasrina.

Qasrina meliarkan anak matanya ke suasana ruangan bilik tidur itu. Mata ditajamkan cuba untuk mencari sesuatu yang boleh membuka pintu tersebut. Laci meja solek yang berada di penjuru bilik ditarik satu per satu.

"Kak, klip ni boleh?" Satu klip kecil berwarna perak ditunjukkan kepada Indira.

Segera Indira merampas klip tersebut lalu ditonyoh-tonyoh ke dalam lubang kunci pintu sehingga terbuka. Bibirnya tersungging sebuah senyuman sinis. Qasrina yang memerhati turut tersenyum kecil. Segera dia merapatkan diri di belakang tubuh kakak angkatnya itu.

Anak mata mereka membelingas ke persekitaran rumah. Sunyi. Sepertinya tiada orang di dalam rumah ini. Tapi mustahil pula mereka ditinggalkan berdua saja di rumah. Pasti mereka berada di tingkat bawah.

"Kau ni, kunci kereta pun boleh tercicir ke? Muda-muda pun dah nyanyuk. Belum tua bangka lagi," ejek Yazir seraya menggelengkan kepalanya. Tangan naik bersilang ke dada. Angkuh sungguh wajahnya memerhatikan Hilmi yang sedang mencari kunci kereta di setiap pelosok sofa di ruang tamu.

Langkah Indira dan Qasrina terhenti dek terdengar suara Yazir yang berada di tingkat bawah. Mereka saling berpandangan antara satu sama lain. Qasrina menghantar ekor matanya ke tingkat bawah. Mahu melihat Yazir dan Hilmi dengan lebih jelas. Manakala Indira pula, sepertinya tercari-cari sesuatu untuk dijadikan senjata.

"Masalahnya, aku tak pernah tercicir pun. Baru ni aku perasan tak ada dalam poket seluar aku. Aduh, masalah betullah." Hilmi meramas-ramas rambutnya dengan kasar. Sungguh kepala otaknya serabut ketika ini.

"Kau carilah betul-betul. Aku nak spend time dengan bidadari aku kejap." Bibir Yazir sudah terherot sebelah. Mindanya sudah terbang memikirkan Indira Callista yang berada di dalam bilik. Sungguh dia tidak sabar mahu menyentuh wajah dan tubuh gadis itu sekali lagi.

"Pergilah kau. Tak habis-habis. Dari tadi itu aje yang kau cakapkan."

Yazir mencebik. Sempat lagi dia meraba poket seluarnya. Jarum suntikan yang sudah diisi dengan dadah sangat diperlukan setiap kali dia mahu bersama dengan Indira. Biarkan gadis itu berada dalam dunianya. Dan ketika itu juga, mudah untuk dia melepaskan nafsunya itu.

"Dia nak naik atas, kak. Macam mana?" bisik Qasrina pada Indira.

Indira memejamkan matanya seketika. Cuba untuk mengumpul kekuatan yang masih tersisa. Dia gagal menemui benda yang boleh dijadikan senjata. Jadinya, dia kena berlawan dengan lelaki itu sekali lagi dengan menggunakan kudrat kewanitaannya. Harap-harap lelaki itu akan tewas.

"Aku akan lawan dengan dia. Kau terus keluar dari sini. Jangan toleh belakang lagi," pesan Indira kepada Qasrina sebelum dia menyembunyikan dirinya di sebalik dinding yang berhampiran dengan penghadang tangga.

Qasrina terkebil-kebil. Apa yang harus dia lakukan sekarang ni? Biarkan Yazir nampak akan dirinya atau dia juga patut bersembunyi? Aduh... Indira langsung tak membantunya ketika ini.

"Hoi, Qas! Kau buat apa dekat luar ni? Macam mana kau boleh keluar? Indira mana?" Yazir mula cuak melihat kewujudan Qasrina yang berdiri di hadapan tangga.

"Err..." Qasrina hilang jawapan.

"Kau nak lari ke? Tak semudah tu kau nak larilah!" tempik Yazir.

Qasrina hanya mendiamkan diri. Dia buntu ketika ini. Hanya menunggu saja Indira menyerang lelaki itu dari belakang.

"Arghhh!" Yazir mengerang sakit apabila pinggangnya dilutut oleh Indira. Dia jatuh tergolek di atas lantai.

Hilmi yang sedang mencari kunci di tingkat bawah, terhenti buat seketika tatkala telinganya mendengar bunyi bising yang berada di tingkat atas. Segera dia menyusun langkah naik ke tingkat atas. Pistol yang berada saku belakang seluarnya dikeluarkan.

"Qas?" seru Hilmi dengan dahinya berkerut. Kemudian, dia mengalihkan pandangannya ke arah Indira dan Yazir yang sedang bergelut di atas lantai.

"Indira!" jerit Hilmi.

Indira tidak melayani panggilan Hilmi. Dia mencekik leher Yazir sekuat hatinya sehingga urat leher lelaki itu menegang.

"Indira, lepaskan dia! Kau nak aku tembak kau ke?" ugut Hilmi.

Bibir Indira terherot ke tepi. Sinis. Dirinya sudah seperti seorang psiko. Perlahan dia bangun dari duduknya. Kaki kirinya ditekan di atas dada Yazir. Tubuhnya dipaling menghadap Hilmi yang sedang mengacukan pistol ke arahnya.

"Kau nak bunuh aku? Serius, Hilmi?" Indira ketawa. Kepalanya digeleng-geleng beberapa kali.

"Aku serius, Indira. Kau jauhkan diri kau dari dia!" arah Hilmi.

"Tembaklah kalau kau berani. Sebab aku tahu yang Yazir tak akan izinkan kau sentuh aku. Yalah, dia kan obses sangat dengan aku."

Yazir memejamkan matanya tatkala dadanya terasa senak dipijak kuat oleh Indira. Nafasnya juga tersekat-sekat. Tidak dapat menghirup oksigen dengan sempurna.

"Indira, aku bagi tahu kau sekali lagi. Jauhkan diri kau dari dialah!" tengking Hilmi.

Indira senyum. Kakinya diangkat dari terus memijak dada Yazir. "Dah. Puas?"

Hilmi mendengus kasar. Dia merapati Indira dengan muncung pistol masih disasarkan pada tubuh gadis itu. "Yaz, kau okey tak? Boleh bangun?"

Yazir dengan lemah mengangkat tubuhnya untuk bangun. Berkerut-kerut dahinya cuba menarik nafas. Beberapa kali dia melepaskan nafas yang panjang. Barulah dia dapat menghirup udara oksigen dengan sempurna.

"You ni memang gilalah, sayang. Sakit dada I dibuatnya. You suka seksa I, kan? Nasib baik I sayangkan you. You buat I makin menggila dekat you." Yazir berdiri lalu mendekati Indira.

Bam! Bam! Bam!

Bunyi hentakan pintu utama di tingkat bawah mengganggu konsentrasi mereka. Qasrina menjengahkan kepalanya ke bawah. Kelihatan beberapa orang anak buah Qarizh sudah berjaya memecah masuk ke dalam markas milik Yazir dan Yasmin ini.

"Yazir! Hilmi! Korang turun sekarang sebelum aku penggal kepala korang satu-satu!" jerkah Qarizh. Anak matanya meliar mencari susuk tubuh mangsanya pada malam ini. Amarahnya sudah berada di paras yang sangat tinggi. Dan tak akan mampu turun balik selagi dia tidak dapat melampiaskan kemarahannya itu.

"Bodoh. Macam mana dia orang boleh tahu markas kita dekat sini?" Yazir bengang.

Hilmi sudah seperti cacing kepanasan. Mendengarkan namanya diseru Qarizh membuatkan dirinya dihurung dengan perasaan takut secara tiba-tiba. Automatik. Dia sendiri tidak tahu kenapa.

"Hoi!" jerit Qarizh sekali lagi sehingga menggemakan suasana rumah. Anak-anak buahnya yang lain sedang berbalas serangan dengan anak-anak buah Yazir. Keadaan di tingkat bawah sangat bingit ketika ini dengan pelbagai bunyi.

"Abang!" Tanpa berfikir lagi, Qasrina terus berlari menuruni anak tangga menuju ke arah Qarizh. Air matanya sudah mengalir deras. Sungguh dia rindukan dakapan si abang yang selama ini dia pendam.

Bang! Bang! Bang!

Tubuh Qasrina terkaku. Tiga das peluru yang dilepaskan menerobos masuk ke dalam tubuhnya menyebabkan dia jatuh tersembam di hadapan Qarizh.

"Qasrina!" jerit Qarizh. Jantungnya bagaikan berhenti berdegup melihat tubuh Qasrina yang terbaring lemah di atas lantai.

"Qas... Qasrina..." Indira menekup mulutnya. Tidak percaya apa yang dilihatnya. Dia mengalihkan pandangannya ke arah Hilmi. Akan tetapi, lelaki itu juga seperti dalam keadaan tergamam melihat Qasrina. Dialihkan pandangannya ke arah Yazir yang sedang memegang pistol.

"Kau memang setan, Yazir!" Indira terus menyerang lelaki itu. Tumbukan bertubi-tubi dilepaskan pada bahagian abdomen Yazir sehingga lelaki itu memuntahkan isi perutnya. Pistol yang berada di tangan Yazir ditendangnya sehingga jatuh ke bawah.

Hilmi bagaikan hilang pernafasan. Matanya terpaku pada Qasrina yang berada dalam pangkuan Qarizh. Hatinya bagaikan dirobek-robek ketika ini. Mulutnya sedikit ternganga. Namun tiada apa yang terungkap keluar dari mulutnya.

"Abang... maafkan Qas..."

"Jangan tinggalkan aku, Qas. Tolong bertahan. Aku bawa kau pergi hospital. Aku sayangkan kau. Aku rindukan kau." Kolam air mata Qarizh bertakung sehingga pandangannya kabur. Melihatkan dada Qasrina yang tersekat-sekat mahu bernafas membuatkan dirinya takut.

Takut akan kehilangan satu-satunya adik yang dia ada.

"Qas... pun sayangkan... abang..." Tangan yang diselaputi darah, perlahan naik menyentuh wajah milik abang kesayangannya itu. Hatinya pilu melihat air mata Qarizh yang sudah pun mengalir ke pipi. Sakit pada tubuh semakin menjalar menyebabkan dia gagal untuk bertahan dengan lebih lama lagi.

"Qas minta maaf...," ucap Qas sebelum kedua-dua belah kelopak matanya tertutup rapat sekali gus air mata mengalir dari tubir matanya.

Qarizh menggelengkan kepalanya berkali-kali. Dia menyeru salah seorang anak buahnya dengan nada suara yang cukup lantang. Disuruh Zane untuk membawa Qasrina ke hospital dengan kadar segera.

Zane hanya akur. Dia mencempung tubuh Qasrina yang sudah terkulai lemah itu sekali gus dibantu oleh Irham yang sudah berjaya menumpaskan salah seorang anak buah musuh mereka.

"In... Indira..." Qarizh mendaki anak tangga dengan laju.

"Kau memang nak mampus awal, Yazir," ujar Qarizh lalu merentap kolar belakang baju Yazir sehingga lelaki itu terdorong ke arahnya.

Indira perlahan bangun dari lantai. Nafasnya tercungap-cungap dek bergelut dengan Yazir. Kepalanya menoleh ke arah Hilmi yang sedang memerhatikan mereka.

"Jangan harap kau boleh terlepas, Hilmi!" Indira sudah membuka langkah untuk mendekati Hilmi.

Hilmi tersedar. Segera dia berlari menuruni anak tangga dengan laju. Dia hampir saja melanggar Saif yang berada di tingkat bawah.

"Hilmi!" panggil Saif.

"Kau jangan nak lari!" Saif mengejar Hilmi sehingga keluar dari rumah.

Indira turut mengejar langkah Hilmi yang sudah semakin jauh dari mereka. Dia merampas pistol yang berada di genggaman Saif lalu menyasarkan muncung pistol itu ke arah Hilmi.

Bang! Bang! Bang! Dengan penuh perasaan geram yang semakin menebal di dalam hati, Indira melepaskan tembakan berkali-kali secara rawak sehingga salah satu peluru berjaya menembusi kaki Hilmi. Lelaki itu tergolek jatuh ke atas jalan raya.

"Kau pergi tangkap dia. Sekarang!" arah Indira dengan nada suaranya sudah naik seoktaf.

Saif akur. Segera dia bersiul untuk meminta bantuan dari rakan-rakannya yang lain. Indira berlari masuk semula ke dalam rumah. Dia cuba mencari susuk tubuh Yasmin yang dari tadi tidak kelihatan. Ke mana wanita tua itu pergi?

"Mati kau aku kerjakan, Yazir! Berani kau sentuh adik aku!" amuk Qarizh yang bagaikan dirasuk syaitan. Beberapa kali dia membenamkan pisau belati pada tubuh Yazir. Darah yang terpercik pada wajahnya langsung tidak dihiraukan.

"Qar... Qarizh sudah!" Indira terkejut melihat Qarizh seperti itu. Belum pernah dia melihat lelaki itu diamuk marah sehingga mahu mencabut nyawa orang.

"Qarizh!" Indira menolak tubuh Qarizh sehingga lelaki itu terjatuh ke tepi tubuh Yazir.

"Kau gila ke? Kau nak bunuh sepupu kau sendiri!"

"Dia bukan sepupu aku! Dia bunuh adik aku!" tengking Qarizh pada Indira.

Yazir sudah tidak sedarkan diri. Dadanya sudah berombak perlahan. Nadinya juga kian lemah.

"Kau nak jadi pembunuh macam dia jugak ke?" tengking Indira kembali. Urat lehernya sudah menegang.

"Kau tak rasa apa yang aku rasa!" balas Qarizh. Tidak mahu mengalah.

"Aku dah terlebih rasa apa yang aku rasa. Sebab kau along dengan kak long aku mati!"

Qarizh terpempan.

"Kenapa? Kenapa kau diam? Betul, kan? Aku banyak kali cuba nafikan. Tapi melihat keadaan kau seperti ini. Tak guna lagi aku nak nafikan. Disebabkan kau, aku masuk dalam perangkap dia orang. Disebabkan kau juga, Qasrina pergi tinggalkan kau!" Air mata Indira berjuraian laju ke pipi. Dia tidak mampu menahan lagi sakit yang ditanggung ketika ini.

Qarizh menggelengkan kepalanya beberapa kali. Air matanya turut jatuh ke pipi. Sama sekali dia tidak dapat menerima tuduhan yang diajukan oleh gadis yang dicintainya itu.

"Aku tak minta pun semua ni berlaku, Dira. Dia orang semua busuk hati. Dengkikan aku. Aku sayangkan Aldi. Dia orang yang rampas Aldi dari aku!"

Indira mengetap bibirnya sehingga merah. Mata dibawa pejam beberapa saat sebelum dicelik semula. Pandangan ditunakkan ke wajah Qarizh.

"Aku menyesal dengan pertemuan kita ni, Qarizh."


Previous: BEM 22
Next: BEM 24

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh nurshaza