KERINGAT yang meleleh pada permukaan dahinya dikesat kasar dengan menggunakan lengan baju. Dua susuk tubuh yang berada di hadapannya harus dikejar. Dia tidak mahu dirinya kalah dalam pertandingan Hari Sukan Peringkat Daerah ini. Sejak di bangku sekolah rendah lagi, sudah menjadi kebiasaan dia membolot semua pencapaian akademi mahupun kokurikulum. Orang lain tidak mampu merampas tempat pertama. Hanya dia saja yang kekal berada di tempat yang pertama.
"Adik cepat! Adik!" jerit kedua-dua orang abangnya yang duduk di ruangan sorakan.
Dia menggelengkan kepala lalu sempat mengerling ke arah abang-abangnya dengan menayangkan wajah toya. Dia terus memecut melepasi dua orang yang berada di hadapannya tadi. Tidak menghiraukan orang di sekelilingnya. Suara sorakan yang tadinya bingit di gegendang pendengarannya kini kedengaran sayup. Matanya dipakukan pada garisan penamat yang tidak jauh dari tempat dia berlari sekarang.
"Yahooo! Adik aku menang." Si abang kedua melompat kegembiraan dengan sorakan tinggi diberikan kepada si adik yang berjaya melepasi garisan penamat. Si abang pertama hanya menggelengkan kepala melihat telatah adiknya itu. Memalukan sungguh.
"Hoi! Aku memang tak puas hati dengan kau. Apasal setiap kali pertandingan luar sekolah, aku kena bertanding dengan kau, huh?" Seorang pelajar perempuan menghampiri dia dengan riak wajah yang tidak puas hati. Dengan beraninya, dia menarik kasar kolar baju sukan milik Indira Callista.
Indira memandang tangan gadis itu dengan pandangan kosong. Tiada riak. Dia membiarkan saja apa yang perempuan di hadapannya ini mahu lakukan padanya.
"Hoi, kau bisu ke apa? Aku tanya ni!"
"Aku tak ada masa nak jawab soalan kau. Siapa suruh kau lembap sangat? Larilah laju-laju, itu pun nak aku ajar ke? Bodoh." Selamba saja dia merendahkan gadis di hadapannya itu. Peduli apa dia? Dah memang dia target untuk menang dalam pertandingan ini. Baik tak perlu masuk pertandingan kalau asyik nak beralah dengan pesaing. Dah nama pun pertandingan. Lainlah kerja berkumpulan.
"Kurang ajar kau budak! Biadab!" Perempuan sudah mengangkat penumbuknya mahu dilepaskan pada wajah bersih milik Indira Callista.
"Argh!" Dia menjerit kuat tatkala tangan yang berada di kolar baju Indira direntap sebelum dipusingkan sehingga berbunyi tulangnya. Peluang untuk patah sangat tinggi.
"Kau nak ke aku patahkan tangan kau yang berkudis ni?" Indira menyelak lengan baju budak perempuan itu sehingga ke paras siku.
"Jangan..." Beberapa kali budak perempuan itu menggelengkan kepala. Tahu takut. Sebelum nak serang, tak soal selidik dulu macam mana perangan seorang Indira Callista. Mungkin dia ingat Indira seperti junior-junior yang lain. Cengeng. Hati tisu.
"Lain kali sebelum serang, akal tu kasi bekerjasama dengan otak sekali. Jangan nak tahu main serang orang secara membabi buta saja." Indira melepaskan tangan budak perempuan itu dengan kasar sehingga terundur beberapak tapak ke belakang. Sepantas kilat, budak perempuan itu melarikan diri bersama dengan gengnya.
Indira menggelengkan kepala. Dia terus berlalu meninggalkan padang stadium itu kerana mahu pergi ke tandas. Mujur saja dia tak terkucil di situ. Sempat pula ada orang yang mahu menyerangnya. Dah tak ada kerja agaknya.
"Hoi, duit mana duit? Aku dah suruh kau bawa duit untuk aku, kan?"
"Kau memang tak serik kena bulikan? Agaknya kena belasah separuh nyawa pun kau tak kisah."
"Jangan ganggu aku... aku tak ganggu korang pun...," lirih saja suara si mangsa.
Seorang budak lelaki berpakaian sukan berwarna kuning dan seorang lagi berwarna merah itu melepaskan tawa berdekit-dekit seperti orang hilang kewarasan akal saja. Wajah mangsa buli mereka habis lebam dikerjakan hanya kerana tidak memberi mereka wang saku yang diminta semalam.
"Memang terdesak sangat nak duit sampai nak buli orang, ya? Memang mak bapak korang tak ambil tahu pasal kebajikan korang ke?" perli Indira yang baru saja keluar dari tandas perempuan. Dia terdengar suara-suara orang bercakap di belakang tandas. Tergerak hati pula mahu memeriksa apa yang berlaku.
"Kau siapa? Asal nak masuk campur? Tak takut ke kena penumbuk aku?"
"Uish, dayus betul. Beraninya nak bagi penumbuk dekat perempuan. Takutnya saya. Tolong!" Indira acah-acah menayangkan reaksi takutnya sebelum bertukar serius kembali.
"Minah ni memang betul-betul mencabar. Kau blah sekarang sebelum betul-betul penumbuk ni melekat dekat muka kau. Jangan kau menangis pulak."
Indira tersenyum senget sambil tangan naik bersilang ke dada. Harap aje ada rupa tapi perangai mengalahkan sampah masyarakat. Sekolah tak habis lagi, ada hati nak jadi gengster. Dengan tubuh kurus kering macam penagih dadah saja. Ish, ish.... Sempat lagi Indira mengutuk dua orang lelaki di hadapannya ini sehingga tergeleng-geleng kepalanya.
"Asal kau geleng-geleng? Dah miring dah otak kau?"
Indira tersengih sebelum menganggukkan kepalanya. Dia hanya membiarkan saja dua orang lelaki itu mendekatinya.
"Kau memang betul tak nak blah, kan? Rasakan!" Budak lelaki berpakaian sukan berwarna kuning itu sudah meleraikan langkahnya mahu melepaskan tumbukan pada wajah Indira. Namun...
"Aduh, mak. Sakit! Mak tolong!" Terjerit-jerit dirinya sehingga terpanggil si ibu yang sedang duduk di rumah tatkala Indira menangkap penumbuknya kemudian dipusingkan sehingga berbunyi tulang lalu ditolak kasar sehingga terhentak pada dinding.
"Eh, panggil mak? Mak kau datang ke hari ni?" sindir Indira sebelum dia mengalihkan pandangannya ke arah budak lelaki yang berpakaian warna merah itu.
"Kau dah kenapa?" soal Indira pelik apabila budak lelaki itu mengundurkan langkahnya dengan tubuhnya yang menggigil hebat. Mungkin terkejut tengok perempuan seperti Indira Callista ini dalam hidupnya.
"Nak rasa penangan aku tu tak? Kawan baik kau tu dah rasa dah sampai panggil mak dia. Kau nak panggil siapa? Ayah?"
"Tak... tak... aku minta maaf!" Dia terus membuka langkah besar meninggalkan sahabatnya yang terduduk di atas lantai.
"Eh, aku belum tunjuk skil aku dekat kau lagi dah lari? Dasar pengecut betul. Setakat pusing tangan sampai bunyi tulang aje pun. Bukannya sampai tulang tu terkeluar." Indira menggeleng-gelengkan kepalanya. Konon nak jadi pembuli tapi pengecut. Memalukan saja.
"Hoi, kau blah sekarang. Semak pemandangan aku. Kau nak blah atau aku tolong kau untuk kau pergi dari sini dengan cara baik punya?"
Si budak lelaki berbaju kuning tadi bingkas bangun sambil menggelengkan kepalanya. Bagaikan terpelanting tubuhnya melarikan diri saat melihat jelingan Indira. Sungguh menyeramkan!
"Kau okey?" Indira menghulurkan tangannya kepada si mangsa buli yang hanya duduk diam dengan keadaannya yang lebam dan luka pada bahagian muka.
Perlahan dia menganggukkan kepala sebelum membalas pandangan Indira. Bagaikan ada cahaya spotlight yang menerangi wajah Indira sehingga berkerut-kerut dahinya menahan silau yang menganggu penglihatannya.
"Aku nak nasihat kau ni. Kau lelaki kut. Patutnya kau kena lawan dia orang balik. Belajar seni mempertahankan diri." Nasihat Indira berlari masuk ke dalam otaknya supaya dapat disimpan kemas.
"Dalam dunia ni, tak semua orang sentiasa boleh bantu kita termasuklah ahli keluarga kita. Dalam kubur nanti, kau keseorangan juga. Dekat dunia ni, janganlah tunjuk diri kau tu lemah sangat. Bangkit dan lawan orang yang hentam kau."
Indira bangkit berdiri sebelum menepuk-nepuk bahunya seolah-olah memberi semangat. Dia hanya mampu merenung wajah Indira yang bercahaya terang itu. Langsung tak berkerdip kelopak matanya melihat wajah gadis itu. Putih dan bersih dari segala jerawat dan jeragat.
"Ya Allah, abang. Abang okey tak ni?" Si adik berlari mendapatkan abangnya yang tersadai di atas lantai itu.
"Bawa abang kau pergi bilik rawatan. Karang melarat pulak."
Si adik bersungguh-sungguh menganggukkan kepalanya. "Terima kasih. kak. Sebab tolong abang saya."
Indira menganggukkan kepala. "Sama-sama."
Sebaik saja Indira hilang dari pandangannya. Dia terus rebah tidak sedarkan diri. Si adik sudah semakin cuak lalu menjerit memanggil kawan-kawannya untuk meminta bantuan.