Home Novel Thriller/Aksi Bidadari Encik Mafia (Completed)
BEM 38

TAJAM anak matanya merenung susuk tubuh yang berdiri di hadapannya. Kedua-dua belah tangannya dikepal sehingga tegang uratnya. Dadanya berombak laju dek menahan marah. Bila-bila masa saja gunung amarahnya boleh meletus. Sedaya-upaya ditahan memandangkan keadaannya yang belum pulih sepenuhnya.

"Maafkan saya, bos. Saya dah hampir berjaya culik Indira. Tapi ada malaun tak guna yang kacau rancangan saya."

Yazir menumbuk kuat tempat pemegang sofa yang berada di sebelah kirinya. "Kau tak cekaplah, Zafi! Takkan perempuan kecik macam tu kau tak boleh nak melawan?"

"Tapi bos. Mula-mula saya memang lawan dengan budak kecik tu. Tiba-tiba ada seorang lelaki ni serang saya secara tiba-tiba sebelum saya sempat pengsankan budak perempuan tu."

Yazir melepaskan dengusan kasar. Dari duduk, dia terus bangun sambil mencapai tongkat yang tersandar di tepi sofa. "Sial. Ada saja yang suka mengacau rancangan aku. Aku tak kira, Zafi. Aku nak kau terus-menerus perhatikan mereka sampai kau dapat perempuan tu."

Zafi menganggukkan kepalanya berkali-kali. Terasa sengal tubuh badannya ketika ini. Terpaksalah dia tahan selagi ketuanya tidak memberikan arahan untuk dia masuk ke dalam bilik. Sedar-sedar saja, dia keseorangan saja di lot parkir itu. Memang tak guna betul. Begitu mudah dia ditewaskan oleh lelaki itu. Takkan dia menyerah kalah begitu saja. Lihat sajalah apa yang bakal dibalas semula kepada lelaki itu nanti.

"Dah, kau masuk bilik sana. Rawat luka-luka kau tu. Lusa baru kau perhatikan mereka semula. Nanti aku suruh yang lain perhatikan dulu sementara menunggu kau pulih semula."

"Terima kasih, bos. Saya masuk dulu." Laju saja Zafi melangkah masuk ke dalam biliknya. Nafas panjang dilepas lega. Lagi-lagi bila menolak tubuhnya ke atas tilam yang empuk itu. Aman rasanya. Mujur dapat ketua yang memahami anak-anak buahnya. Dapat cuti sehari. Bolehlah dia berehat sepuas hati.

"Apa yang anak ibu termenungkan tu?" soal Yasmin sebaik saja melabuhkan punggung di atas sofa bersebelahan dengan Yazir. Rambut anak bujangnya itu dibelainya perlahan. Bibirnya terlakar sebuah senyuman kecil.

"Ibu, kenapa ibu lambat sangat nak dapatkan Dira untuk Yaz? Sebenarnya ibu buat kerja ke tidak? Kenapa langsung tak apa-apa update daripada ibu?"

Yasmin membungkam. Dia langsung tidak sangka yang Yazir akan menanyakan soalan itu. Bukannya dia tidak buat. Masalahnya ada banyak perkara lagi yang hendak dia selesaikan. Dia mahu singkirkan keturunan orang yang pernah membuatkan dirinya menderita. Itu yang utama dalam rancangannya ketika ini.

"Bukan ibu tak buat, sayang. Ibu cuba yang terbaik. Bukan senang nak dapatkan Dira tu semula. Sekarang dah ramai yang menjaga dia. Yaz kenalah faham. Dulu bolehlah kita culik dia sebab masa tu kumpulan kita masih lagi teguh. Ini ibu tengah usaha nak aktifkan semula kumpulan kita."

Yazir mencebikkan bibirnya. Dia melentukkan kepalanya pada bahu si ibu. "Yaz tak sukalah tengok dia orang bahagia bersama. Duduk sebumbung pulak tu. Mesti Si Qarizh tu tengok syok sangat peluk hak milik Yaz, ibu. Sedangkan Yaz dekat sini, merana disebabkan dia. Mana boleh macam tu."

Yasmin menganggukkan kepalanya. "Ya, sayang. Ibu faham. Ibu akan cuba, okey?"

"Tak apalah. Yaz dah bertindak dah pun. Kalau tunggu ibu, tahun ni belum tentu Yaz dapat kahwin dengan Dira."

"Yalah. Terpulang pada Yaz apa yang Yaz nak buat. Ibu sentiasa ada dengan Yaz."

"Yes. Jawapan nilah yang Yaz suka dengar. Ibu memang the best. Yaz sayang ibu sangat-sangat."

Yasmin hanya senyum. Tangannya ligat membelai rambut Yazir.

"Ibu... telefon ibu bergetar tu. Siapa yang telefon?" Dipandangnya telefon bimbit milik Yasmin yang bergetar-getar di atas meja kopi.

Yasmin mencapai telefon bimbitnya lalu matanya ditunakkan ke arah nama yang terpapar pada skrin telefon bimbitnya itu. Dia melepaskan keluhan kasar. Baru saja dia hendak meletakkan semula di atas meja, Yazir bertindak pantas mengambil telefon bimbitnya dari tangannya.

"Oh... jantan ni nak apa lagi, ibu? Nak buat ibu menderita lagi ke?"

Yasmin hanya diam. Tidak tahu hendak beri jawapan apa pada Yazir. Acap kali, Harun menghubunginya. Bukan itu saja, malah lelaki itu boleh dikatakan setiap hari bertemu dengannya. Hanya kerana mahu menuntut sebuah kemaafan daripadanya dan Yazir.

"Kau nak apa call ibu aku ni? Tak puas lagi apa yang kau dah buat dekat aku dengan ibu ke?" herdik Yazir sebaik saja dia mengangkat panggilan itu. Kemarahannya membuak-buak bila melihat nama itu terpapar pada skrin telefon bimbit Yasmin.

"Yazir ke ni?"

"Jangan sebut nama akulah. Aku jijik dengar suara kau sebut nama aku. Kau dah mati dalam hidup akulah. Aku tak ada bapak macam kau!"

"Yazir... maafkan ayah, nak. Jangan marahkan ayah macam ni sekali. Ayah sedar yang ayah salah."

"Tuih! Baru sekarang kau nak sedar? Selama berpuluh tahun kau buang ibu dengan aku, baru sekarang kau nak cakap kau salah? Kepala otak kaulah!"

Yasmin melepaskan keluhan kasar. Dia rasa rimas pula mendengar amukan Yazir. Sepertinya dia menjadi serba-salah dengan Harun. Bekas suaminya itu.

"Yaz, ayah nak sangat jumpa dengan Yaz dan ibu. Kita keluar makan sama-sama macam keluarga lain. Boleh tak, nak? Sekali pun jadilah. Asalkan ayah dapat luangkan masa dengan korang berdua."

"Dalam mimpi sajalah, weh. Kita orang tak layak nak makan semeja dengan kau. Kau lupa ke apa yang kau pernah cakap dekat aku dan ibu. Kita orang ni sampah ajelah!" Semakin lama semakin melengking nada suara Yazir sehingga bergema suasana ruang tamu rumahnya itu.

"Yazir, cukup." Yasmin merampas telefon bimbitnya lalu dia bangun dari duduknya. Segera dia membawa langkahnya ke luar rumah. Mahu bercakap dengan Harun tanpa Yazir mendengar perbualan mereka berdua.

"Ibu jangan nak berbaik dengan jantan tu! Kalau ibu berbaik juga, ibu tak akan dapat jumpa Yazir lagi. Selamanya!" ugut Yazir dengan suara lantangnya sebelum dia mendaki anak tangga untuk masuk ke dalam bilik.

Yasmin yang dengar akan ugutan anak lelakinya itu hanya melepaskan keluhan panjang.

"Maafkan abang, Min. Tolong, abang merayu maafkan abang. Abang teringin sangat nak meluangkan masa dengan Min dan Yaz."

"Lupakan saja niat kau tu. Aku dengan Yaz tak akan pernah lupakan apa yang kau pernah buat dekat kita orang. Kau dengar sendiri apa yang Yaz cakap tadi. Sudahlah. Putus asa sajalah. Kita orang tak akan maafkan kau sampai bila-bila. Dah berpuluh kali aku cakap dengan kau, Harun."

Harun menangis teresak-esak di hujung talian. Menambahkan lagi perasaan serba-salah di dalam hati Yasmin.

"Abang minta maaf, Min. Abang mengaku yang abang berdosa besar dengan korang. Abang rindu sangat dekat korang berdua."

Yasmin hanya mendiamkan diri. Dia sudah tidak tahu mahu membalas apa lagi. Berkali-kali dia mengulang ayat yang sama. Harun masih lagi tidak berputus asa mahu menuntut kemaafan daripada mereka.

"Abang... sayang..."

Tak betah Yasmin mahu mendengar ayat yang diungkapkan oleh Harun itu, jarinya menekan punat merah sekali gus panggilan itu ditamatkan tanpa sempat Harun mengungkapkan penuh ayatnya itu.

"Serabut kepala aku ni. Satu-satu masalah yang datang. Bilalah aku nak bahagia macam ni?"

QARIZH tersedar dari lenanya. Entah bila masa dia terlelap di atas sofa ini pun dia sendiri tidak ingat. Tangan dibawa naik menyentuh pipinya yang terasa sengal. Mungkin penangan tamparan daripada Indira semalam. Pandangannya dihentikan ke arah tangga. Keluhan dilepaskan. Wajahnya diraup kasar. Sudah jam lapan pagi, mujur dia tidak terlajak hari ini. Sudahlah ada banyak masalah yang dia harus hadap di pejabat nanti. Serabut kepala otaknya ketika ini.

Telefon bimbit yang berada di sebelah kusyen dicapai lalu dihidupkan. Terpapar beberapa ikon WhatsApp di notifikasi. Semuanya daripada Nadihah.

Nadihah (PA)

Assalamualaikum, Tengku. Saya nak beritahu Tengku yang saya dah dapat beberapa maklumat tentang laporan kewangan tu. Penolong pengurus kewangan sendiri yang menyelewengkan duit syarikat. Dan sekarang ni, dia tak datang kerja. Saya jumpa surat perletakan jawatan dekat atas kaunter depan.

Telefon bimbit itu dicampak ke atas sofa. Rambutnya diramas kasar sehingga serabai. Hatinya mendongkol geram. Kenapa dia boleh terlepas pandang semua ni? Tak pernah kejadian ini berlaku selama dia menguruskan syarikat itu.

"Ni mesti muslihat jantan tak guna ni. Aku dah agak dah yang dia tak akan duduk diam. Cemburu sebab aku boleh dapatkan Dira sampai dia jadi isteri aku." Qarizh tersengih. Dia bangun dari duduknya.

Indira baru saja turun ke anak tangga yang terakhir. Dia sudah bersiap-siap sepertinya mahu keluar. Qarizh yang memandangnya dengan wajah berkerut-kerut sedikit pun tidak endah.

"Kau nak pergi mana?"

"Keluar." Hanya sepatah saja yang lahir dari bibirnya. Dia membetulkan jaket kulit yang tersarung pada tubuhnya. Rambut yang sudah separas bahu itu diselakkan ke belakang. Dek melepaskan geram semalam, dia memotong rambutnya sendiri di dalam kamar mandi.

"Ke mana?"

"Bandar."

Qarizh mengetap bibirnya. Tidak suka bila dirinya dilayan acuh tidak acuh oleh Indira. Memikirkan yang dia sudah terlambat mahu ke pejabat. Segera dia membawa diri ke tingkat atas untuk membersihkan dirinya.

Indira tidak peduli. Sama seperti Qarizh tidak mempedulikan dirinya. Sepasang kasut berjenama Adidas berwarna putih dikeluarkan dari dalam rak kasut.

"Hai, akak!" sapa Haura yang sudah berdiri di hadapan pagar rumah. Kelihatan Aditya sedang menunggu di dalam kereta Indira yang dipinjamnya semalam.

"Hai, sayang akak. Sekejap!" balas Indira sambil tersenyum lebar.

Haura tersenyum lebar. Gembira hatinya melihat senyuman yang mekar pada dua ulas bibir kakak kesayangannya itu. Mujur ada Indira yang boleh menjadi teman rapatnya. Kalau tidak, dia akan bergaul dengan kawan-kawan abangnya saja.

"Kita nak pergi mana pagi-pagi ni?" soal Indira kepada Haura. Lengan si gadis itu dipautnya lalu mereka melangkah bersama-sama ke kereta.

Qarizh yang mengintai mereka dari sebalik langsir bilik, mengetap bibirnya kuat sehingga merah apabila ternampak susuk tubuh Aditya yang duduk di bahagian pemandu kereta isterinya itu.

"Kau cabar aku, Dira," ujarnya perlahan lalu melangkah masuk ke dalam kamar mandi. Pintu dihempas kuat sehingga bergema suasana bilik. Mujur pintu itu tidak tercabut.

"Jalan-jalan cari gaduh!" Haura melepaskan tawa. Sengaja dia bergurau dengan Indira. Mahu menghidupkan suasana ceria di antara mereka. Tak mahu Indira mengingati kejadian semalam.

"Boleh jugak tu. Akak pun dah lama tak cari gaduh dengan orang."

"Amboi, kak. Bukan main seronok hari ini. Tak nak share dengan Haura ke?"

"Boleh! Tapi bukan sekarang. Akak lapar. Bawa akak pergi makan." Indira mencebikkan bibir sambil mengusap perutnya yang sudah berlagu-lagu.

"Eh, boleh saja. Abang Adit pun tanya Haura tadi nak makan dekat mana pagi ni? Dia pun lapar agaknya sebab tadi Haura dengar perut dia berbunyi." Semakin galak Haura ketawa. Dedaun pintu kereta ditariknya dari luar lalu memboloskan diri masuk ke dalam kereta. Dia duduk di hadapan manakala Indira duduk di bahagian belakang.

"Amboi... bukan main kau, Haura. Diam-diam sudah." Aditya malu.

"Ala... malu ke? Haha!"

"Hish, sudahlah. Nak makan dekat mana ni?" soal Aditya. Laju saja dia menukar topik. Malu dirinya disakat oleh Haura dari tadi. Perut ni pun tak beri kerjasama langsung. Selamba saja mengeluarkan bunyi yang agak kuat sehingga Haura dapat mendengarnya.

"Makan dekat mamaklah," jawab Indira sambil tersengih. Terasa pula dia mahu makan menu di restoran mamak. Sudah lama dia tidak lepak di situ.

"Cun." Aditya menganggukkan kepalanya. Gear ditukar kepada D lalu pedal minyak dipijak sehingga kereta kembali bergerak ke jalan raya.

"Luka Haura semalam dah baik ke? Abang Kizo ada cakap apa-apa?"

Haura menganggukkan kepalanya sambil tersengih. "Buat kali pertamanya dia tak membebel akak. Mungkin sebab dia tahu yang Haura nak lindungi akak. Abang Saif telefon dia. Minta maaf. Abang Kizo nasihat dia sekejap saja. Tak lama lepas tu dah matikan panggilan. Biasanya dia akan membebel."

Indira hanya senyum kecil. Semua orang sanggup berkorban untuknya. Sampai bila dia mahu menyusahkan orang lain? Termasuklah Qarizh, suaminya sendiri. Entah sampai bila dia harus berdepan dengan Qarizh dalam keadaan begini. Kalau suatu hari nanti, jodoh mereka tidak berpanjangan. Dia tidak akan salahkan sesiapa. Dia akan cuba untuk terima apa yang terjadi. Kalau dulu, dia boleh lalui macam-macam situasi. Takkan situasi seperti ini dia tidak boleh nak lalui?

FAIL di tangan dicampaknya ke meja semula sehingga salah satu fail yang berada di atas meja terjatuh ke atas lantai. Rambutnya diramas kasar sehingga serabai. Penat saja tadi dia menyisir rambutnya dengan kemas. Belikatnya disandarkan kasar ke kusyen kerusi.

"Kurang ajar mamat tu! Kau tunggu. Aku akan heret kau. Face to face dengan aku!" amuk Qarizh. Bengis mukanya ketika ini.

Nadihah yang dari tadi berdiri di hadapannya hanya mendiamkan diri. Gerun dia melihat Qarizh ketika ini. Belum pernah lagi dia melihat majikannya marah seteruk ini. Dia sendiri pun tak sangka. Penolong pengurus kewangan itu berani membuatkan kerja haram seperti ini. Menyelewengkan duit syarikat sehingga beratus ribu tanpa sesiapa pun yang perasan.

"Berapa pelabur yang dah tarik diri?"

"Hampir tujuh orang, Tengku."

Qarizh angguk sekali. Matanya mengerling ke arah jam yang terlekat pada dinding bilik pejabatnya itu. Hari ini, dia harus menghabiskan masa untuk menyelamatkan syarikatnya. Tidak mahu syarikatnya bankrap hanya disebabkan kecuainnya ini.

"Aku nak kau cetak semua penyataan kewangan untuk satu tahun ni. Aku nak semak satu-satu. Lepas tu, kau cetak profil dia. Aku nak kau cari dia sampai dapat. Jangan laporkan pada polis dulu. Aku nak berdepan dengan dia dulu."

Nadihah meneguk kesat air liurnya. Boleh tahan besar juga tugasnya kali ini. Dia kena celikkan matanya besar-besar untuk membantu majikannya menyelamatkan syarikat ini.

"Baik, Tengku. Saya minta diri dulu."

Qarizh hanya angguk. Dia memandang susuk tubuh Nadihah yang sedang melangkah keluar dari dalam biliknya sehingga hilang dari pandangannya.

"Kenapa aku kena hadap semua ni? Aku tak layak nak bahagia ke? Sejak arwah mama dan papa tinggalkan aku, aku tak pernah rasa bahagia. Ditambah lagi Qasrina tinggalkan aku. Bertambah sengsara hidup aku. Aku ni jahat sangat ke?"

Dia mengalihkan pandangannya ke arah bingkai gambar perkahwinan dia dan Indira. Tidak sedar, air matanya mengalir ke pipi.

"Aku minta maaf, Dira. Aku tahu aku ego. Aku cinta dan sayangkan kau. Bila kau tampar aku, aku tahu yang kau tersakiti dengan kata-kata aku. Aku silap. Sepatutnya aku boleh bahagia bersama dengan kau. Impian inilah yang selama ini aku nanti-nantikan. Tapi aku tak hargai bila dah dapat."

Qarizh menundukkan wajahnya. Air matanya yang mengalir semakin deras cuba diseka.

"Tunggu aku, sayang. Aku nak kena selamatkan syarikat keluarga aku ni. Jangan tinggalkan aku. Maafkan aku...."


Previous: BEM 37
Next: BEM 39

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh nurshaza