TUBUHNYA berdiri tegak di hadapan sebuah cermin meja solek. Beberapa kali dia menarik kemudian menghembus nafasnya. Peristiwa semalam masih lagi berlegar-legar di dalam kotak fikirannya. Setiap kali dia memejamkan mata pasti gambaran objek itu muncul dalam ingatannya. Hendak bertanya kepada Izz, entah kenapa dia berasa serba-salah. Silapnya juga kerana menerjah masuk bilik abangnya itu tanpa keizinan. Tapi kalau dia tak masuk sampai ke sudah dia tidak tahu wujudnya objek itu di dalam rumahnya.
"Mama... mama dah siap ke? Bila kita nak keluar?" Nampak sangat si kecil ini tidak sabar mahu keluar. Dari tadi, dia ke hulur ke hilir di ruang tamu menunggu Indira bersiap.
"Ya, sayang. Mama dah siap. Uncle Qarizh belum sampai lagi tu."
"Siapa cakap belum sampai? Uncle dah sampai. Dia dekat luar tu."
Terjegil mata Indira mendengar jawapan yang keluar dari mulut Alana. Masakan dia tidak sedar lelaki itu sudah sampai. Qarizh tidak menghantar pesanan ringkas atau menghubunginya pun.
"Oh, ya ke? Okeylah. Jom, jom..." Segera Indira menyilangkan beg pada tubuhnya sebelum mencapai tangan kecil Alana lalu menuruni anak tangga bersama-sama.
"Uncle, mama dah siap!" jerit Alana dengan penuh keterujaan sebaik saja Indira memakaikan kasut kesukaannya yang boleh menghasilkan lampu lip-lap.
Qarizh memusingkan tubuhnya. Kaca mata biru yang terletak pada matanya diturunkan sedikit dengan senyuman lebar. Dapat juga dia melepaskan rindu pada gadis pujaannya ini. Semalaman dia tidak dapat melelapkan matanya kerana wajah Indira terbayang-bayang dalam kotak ingatannya. Nampak sangatlah dia tengah angau sekarang ni. Parah sudah keadaan Tengku Qarizh Nadim ini.
"Sorry, aku lambat. Aku ingat kau belum sampai. Kau pun tak chat aku."
Qarizh menggelengkan kepalanya. "Tak apa. Aku baru aje sampai sebenarnya."
"Kau nak ajak aku pergi mana ni? Sampai cakap dengan angah aku yang kau nak ajak aku keluar seharian ni." Indira membantu Alana masuk ke dalam perut kereta kemudian dia membuka pintu penumpang bersebelahan dengan pemandu. Tangannya direhatkan di atas bibir pintu manakala kaki kanannya sudah masuk ke dalam kereta.
"Hari ni kan, hari cuti. Aku nak ajak kau release tension. Lusa dah nak kerja lagi. Nak kena hadap kerja yang menimbun tu," jawab Qarizh sambil tersenyum kecil. Tubuhnya ditolak masuk ke dalam perut keretanya sebelum menghidupkan enjin kereta.
Indira tidak menjawab. Sebaliknya dia hanya menganggukkan kepala seraya dia menolak tubuhnya masuk ke dalam kereta. Sempat lagi dia mengerling ke arah belakang, memeriksa keadaan Alana.
"Kebetulan pulak hari ni angah aku ada outstation sampai dua hari. Kau pun macam tahu-tahu aje nak ajak keluar. Kalau kau tak ajak pun, aku memang dah rancang nak jalan-jalan dengan Alana."
Qarizh menggenggam stereng keretanya sebelum kepala ditoleh ke belakang. Kereta mula mengundur ke belakang keluar dari garaj rumah gadis itu. "Sampai hati kau. Tak nak ajak aku."
Indira menjongketkan keningnya seraya memandang ke arah Qarizh yang sedang fokus pada pemanduannya. Biar betul mamat ni nak merajuk dengan dia. Tak padan dengan muka beku. Ada hati nak merajuk.
"Eh, eh. Kenapa aku dengar nada suara kau macam merajuk aje. Kau pandai merajuk, eh?" tanya Indira sebelum melepaskan tawanya. Geli hati pula melihat wajah cemberut milik Qarizh itu. Alana yang berada di belakang turut ketawa.
"Kau ingat aku apa? Robot, tak ada perasaan ke?" Qarizh memutarkan bebola matanya. Nasib baik sayang, kalau tidak dah lama dia luku kepala gadis itu.
"Haah. Aku ingatkan kau robot yang tak ada perasaan. Yalah, muka tu selalu ketat aje. Kadang-kadang aku geram sampai terasa nak tanggalkan muka ketat kau tu pakai spana."
"Wah, wah... dalam diam kau mengutuk aku rupanya. Aku betul-betul merajuk nanti. Kau yang menggelabah nanti. Aku dah lama tak keluarkan skil merajuk aku tau."
Semakin galak Indira ketawa. Sungguh dia tercuit hati dengan Qarizh. Tak sangka lelaki ini pandai melawak rupanya. Walaupun hambar.
"Aku suka tengok kau ketawa, Dira. Bila kau ketawa, aku pun senang hati tau. Tak adalah aku susah hati, kan?"
Indira menghabiskan saki baki tawanya sebelum terdiam seketika. Ayat Qarizh sebentar tadi sedikit sebanyak membuatkan dia rasa terharu. Tak sangka ada lelaki yang prihatin akan dirinya. Wujud seorang lelaki yang sanggup menanti kehadirannya semula selama 10 tahun.
"Kau ni. Tak payahlah nak buat ayat manis sangat. Nanti kena penyakit kencing manis. Kau yang susah nanti." Indira cuba menukar topik. Tak betah dia sekiranya Qarizh melontarkan ayat-ayat manis seperti tadi. Manis hanya dirinya saja yang tahu.
"Ala, kalau aku sakit. Kau kenalah jaga aku. Aku ada kau aje. Qas dah tinggalkan aku. Semua orang kalau boleh nak tinggalkan aku."
"Kenapa kau cakap macam tu? Mana ada aku nak tinggalkan kau. Kau aje kawan yang paling rapat aku ada. Angah pun sekarang asyik sibuk aje dengan kerja dia. Masa aku dengan dia dah semakin singkat. Alana pun sama." Indira mengalihkan pandangannya ke arah cermin pandang belakang. Kelihatan Alana sedang termenung ke arah luar tingkap. Mungkin tak dengar apa yang dikatakan olehnya tadi.
"Bila Qas tinggalkan aku, aku rasa sunyi. Aku rindu dia. Tapi dia lebih pilih kebebasan daripada aku. Aku terima sebab puncanya daripada aku juga. Tak patut aku buat dia macam tu. Aku terlebih overprotective."
Indira menggelengkan kepalanya perlahan. "Kau tak salah. Kau boleh ubah semua tu. Ada sebab kau buat macam tu dekat dia. Hidup kau dengan dia tak macam orang lain kat luar sana. Aku pun sebenarnya terkilan dengan Qas. Aku pun rindu dekat dia. Tapi entahlah. Dia nak sangat duduk sana."
Qarizh terdiam. Tidak membalas apa yang diomongkan oleh Indira. Ikutkan hati, mahu saja dia mengheret adiknya itu balik ke rumahnya semula. Tapi dia sedar, perbuatannya itu akan membuatkan hubungan dia dan Qasrina semakin menjauh. Dia tak nak kehilangan Qasrina. Satu-satunya darah daging yang dia ada. Sesekali dia ada menyuruh salah seorang anak buahnya memantau keadaan Qasrina dari jauh. Semata-mata untuk keselamatan gadis itu.
MATAHARI yang tadinya bercahaya terik sudah berganti dengan bulan mengambang yang sangat cantik. Cahayanya tidak terlalu terang dan juga tidak terlalu malap. Seharian mereka bertiga meluangkan masa bersama. Menonton wayang, makan dan juga membeli-belah. Sempat juga mereka menyinggah di sebuah pusat hiburan keluarga dan kanak-kanak. Alana yang paling teruja sekali apabila dapat bermain dalam indoor playground selama dua jam. Puas hatinya!
"Sekejap saja masa berlalu. Tengok-tengok dah pukul lapan malam. Kau penat?" soal Qarizh sambil mengerling ke arah jam tangan yang terlilit pada pergelangan tangannya. Tangan sebelahnya pula mendukung tubuh Alana yang sudah pun lena dibuai mimpi di atas bahunya. Penat sangat bermain tadi.
"Betul tu. Penat tapi seronok gila hari ni dapat spend time dengan kau. Dah lama aku tak keluar macam ni lama. Dulu masa aku sekolah, rajinlah juga arwah along dengan angah aku bawa aku jalan-jalan macam ni."
Qarizh hanya senyum. Namun hatinya sedikit terusik setiap kali Indira menyebut tentang arwah alongnya itu. Setiap kali itu juga, dia dihimpit dengan perasaan serba-salah. Kalau gadis ini tahu kemalangan alongnya itu selepas bertemu dengannya, adakah Indira akan membencinya?
Dia sendiri tak terfikir perkara itu akan terjadi. Dan sehingga sekarang, dia ada juga mencari manusia yang telah menjadi punca Ilman Renaldi dan Kaisara Sufia terlibat dalam kemalangan. Seperti yang Hilmi sendiri cakap, musuh-musuhnya terlalu licik. Lagi licik daripada dirinya.
"Dira, boleh aku tanya kau sesuatu?"
"Apa dia? Tanya ajelah."
"Kalau apa-apa berlaku di antara kita, kau akan tinggalkan aku?"
Dahi Indira berlapis. Dia menoleh ke arah Qarizh yang sedang berjalan di sisinya. "Maksudnya? Aku tak faham. Apa yang berlaku?"
"Aku cakap, kalau."
Indira tertawa kecil seraya kepalanya digeleng sekali. "Kau ni, Qar. Suka tanya soalan pelik-pelik. Kau takut sangat yang aku tinggalkan kau ke?"
"Ya, aku takut." Jujur Qarizh.
Indira terdiam seketika. "Aku tak akan tinggalkan kau. Tak ada sebab aku nak tinggalkan kau."
Qarizh senyum. Kepala dibawa angguk sekali. "Aku lega dengar jawapan kau. Aku janji yang aku tak akan sakitkan hati kau. Lagi-lagi kalau kau dah terima aku nanti, Dira."
Indira kembali terdiam. Jantungnya berdetak laju. Perihal beberapa hari yang lepas menerjah semula ke dalam kepala otaknya. Dia terlupa tentang luahan Qarizh. Dan pada yang sama, dia masih belum bersedia untuk masuk ke dalam alam percintaan. Entah kenapa dia rasa takut untuk masuk ke alam itu. Setiap kali memikirkan perkara itu, pasti debaran memalu dadanya.
"Bagi aku sedikit masa lagi, Qar. Aku masih belum bersedia pasal semua ni. Kau faham, kan?"
"Ya, aku faham. Aku setia menunggu kau dengan penuh kesabaran. Untuk kau, apa saja yang aku boleh buat."
"Tengok tu. Buat ayat manis lagi. Suka, kan?"
Qarizh ketawa begitu juga dengan Indira.
"Jomlah. Kau nak balik ke? Atau nak pergi mana-mana lagi, sebab aku cakap dengan angah sebelum jam 10 kita balik."
Indira memerhatikan suasana sekeliling. Pusat membeli-belah pada malam ini tidaklah terlalu ramai pengunjung. Biasanya hari macam ni ramai. Entah kenapa hari ini tidak ramai. Mungkin belum masuk gaji lagi.
"Mall ni macam sunyi aje. Ramai yang dah balik agaknya. Kita pergi tempat lainlah. Pergi makan dekat restoran terdekat sini ke?" Indira memberi cadangan.
"Okey juga. Tulah pasal. Biasanya ramai orang. Hari ini tak ramai pula." Qarizh bersetuju dengan cadangan Indira. Sama-sama mereka melangkah keluar dari bangunan pusat membeli-belah itu lalu mendekati kereta yang diparkir olehnya tidak terlalu jauh.
Indira mengambil Alana dari dukungan Qarizh. Mata Qarizh meliar sekeliling. Hatinya diketuk dengan perasaan yang tidak enak. Sepertinya ada yang sedang memerhatikan mereka bertiga. Mujur dia sudah menyuruh anak-anak buahnya mengikutinya hari ini. Harap-harap mereka tidak terlalu jauh dengannya.
"Arghh!" Qarizh menjerit kesakitan apabila terasa mata pisau menembusi belakang tubuhnya. Laju dia memusingkan tubuhnya menghadap si musuh yang menyerangnya secara tiba-tiba.
Indira terkejut besar. Tubuh Alana dipeluk erat. Terpisat-pisat mata Alana tatkala pelukan pada tubuhnya semakin ketat.
"Qarizh!"
"La... lari, Dira!" suruh Qarizh dengan suaranya yang tersekat-sekat kerana menahan sakit.
Indira berasa serba-salah. Tak patut dia meninggalkan Qarizh seorang diri. Musuhnya kali ini bukan seorang tetapi ramai. Macam mana Qarizh nak lawan dengan musuh seramai itu?
"Hurmphhh!" Indira meronta-rontakan tubuhnya apabila terasa seseorang menekup mulutnya dari belakang dengan sehelai kain. Tidak sempat dia hendak melarikan diri. Secara automatiknya terasa tubuhnya terasa lemah. Alana yang berada di dukungannya sudah menangis.
"Dira! Lana!" jerit Qarizh. Namun dia tidak dapat meloloskan dirinya kerana sudah dikepung dengan musuh-musuh yang menyerangnya tadi itu.
"Mama...." Alana mengongoi.
"Budak tu kau ambil. Perempuan ni masuk dalam kereta aku," arah seseorang yang baru saja keluar dari perut BMW i8.
"Korang memang sial! Tak guna!" maki Qarizh dengan suaranya yang lantang. Tak lama itu, muncul anak-anak buahnya datang untuk menyelamatkannya. Tapi sayang, kereta yang membawa Indira pergi sudah pun hilang dari pandangannya.
Zane dan Irham sempat menyelamatkan Alana dari terus dibawa pergi oleh musuhnya itu. Mujur mereka sempat menyelamatkan anak kecil itu dari diculik. Cuma Indira saja yang tidak diselamatkan kerana gadis itu dibawa dari kereta yang berlainan.
Thakif, Saif dan Hilmi berhadapan dengan musuh-musuh yang mengepung Qarizh. Qarizh pula sudah tersandar pada badan kereta. Pandangannya sudah berbalam-balam. Terpejam rapat matanya saat mata pisau itu ditarik keluar dari belakang tubuhnya itu. Terasa darah deras mengalir membasahi bajunya.
Buk! Buk! Buk!
Saif memberikan tumbukan padu tepat mengenai tulang rusuk si musuh kemudian pisau lipat yang dikeluarkan dari dalam jaketnya ditusuk ke perut lelaki itu sebanyak tiga kali. Darah yang terpercik pada wajahnya langsung tidak dihiraukan.
Sementara Thakif pula membuat backflip sebelum menghantar tendangan pada belakang tengkuk si musuhnya. Glock 18 disasarkan pada perut lelaki itu sebelum melepaskan tembakan.
Bang! Bergema suasana seketika dengan bunyi tembakan itu. Sempat lagi dia memerhatikan suasana sekeliling. Mereka bernasib baik kerana hari ini tidak ada orang yang menyaksikan babak aksi mereka itu. Kalau ada, memang mencari nahas.
"Bos... bos okey ke?" Hilmi memaut pinggang Qarizh lalu ketuanya itu didirikan dengan bantuannya. Wajahnya juga dibasahi peluh bercampur dengan darah.
"Indira... dia..."
"Maaf, bos. Kita orang tak dapat kejar. Budak ni aje kita orang dapat selamatkan." Tercungap-cungap nafas Zane memberitahu Qarizh manakala Irham di sebelah menganggukkan kepala sambil mendukung Alana yang masih lagi menangis teresak-esak kerana ketakutan.
"Bodoh! Bodoh! Semua tak guna!" tempik Qarizh kuat sambil menumbuk badan keretanya berkali-kali.
"Bos, kita kena balik. Banyak darah bos mengalir ni. Nanti bos banyak hilang darah."
Qarizh menggeleng-gelengkan kepalanya. Pandangannya semakin kelabu. Dalam kepalanya asyik terbayangkan keadaan Indira. Macam mana dia nak selamatkan gadis itu?
"Bos!" Hilmi menahan tubuh Qarizh dari jatuh terduduk.
"Weh, bos dah tak sedarkan diri. Kurang ajar punya musuh. Cepat! Kita kena rawat bos sebelum darah dia banyak hilang," ujar Saif seolah-olah dia merupakan orang kanan Qarizh. Walhal Hilmi yang sepatutnya memberikan arahan seperti itu.
Hilmi diam. Tiada respons. Dia hanya mengikut saja Saif dan Thakif yang sedang membantu Qarizh masuk ke dalam kereta. Irham dan Zane pula memandu kereta mereka yang terletak jauh sedikit dari situ.
Di sebalik kejadian tadi, sebenarnya ada sepasang mata yang sedang memerhati. Dari awal Qarizh diserang sehingga habis. Dia kekal berdiri di situ bersama dengan senyuman lebar mekar pada bibirnya.
"You lose, Qarizh. I am the winner. Sedarlah yang diri kau tu lembik. Dari dulu lagi. Sebab tu kau kena buli. Konon nak jadi mafia. Mafia tahi kucing saja kau ni. Tak layak sama sekali. Tak sabar aku nak sentuh perempuan yang sepatutnya menjadi milik aku. Bukan milik kau. Kau silap, Qarizh. Haha!"