"Boleh ke kau kasi anak aku makan dengan keadaan kau
yang macam gini? Boleh? Kau seharusnya cermin diri dulu sebelum ada hati nak
jadi menantu aku! Faham?"
Teringat Reno akan ungkapan ayah Umairah, kekasih lamanya
saat mendengar lagu 'Teringin' dendangan Shima dari corong radio kereta, lagu
kegemaran Umairah. Kata-kata ayah Umairah, datang bagaikan api yang membakar,
melenyap, menghanguskan segala harapannya. Reno tidak akan pernah lupa. Tidak
akan pernah lupa kata-kata itu sampai bila-bila!
Kata-kata itulah
yang sebenarnya telah merubah haluan hidupnya. Rasa sakit hati diri dihina,
dipandang rendah kerana dia miskin dan tidak berharta, membuat dia mengambil
keputusan meninggalkan kampung halaman. Membulatkan suara, bertekad ingin merubah
nasibnya. Selebihnya, kini hanyalah satu sejarah.
Membuang pandang ke
sisi jendela kereta, dengan mata berkaca Reno memaksakan senyuman. Terbayang
wajah Umairah yang sudah pun lama berumahtangga. Peristiwa itu juga sudah lebih
dari lima tahun berlalu. Hidupnya sendiri pun kini sudah berubah. Berbeza!
Tidak lagi seperti dahulu, miskin dan hina.
'Moga kau bahagia, Mira. Hidup di samping pilihan orang tua
engkau. Moga kau bahagia. Aku doakan dari jauh kebahagiaan kau!' bisik hati
kecil Reno sambil berdesup meredah jalanraya ke tempat tujuan.
Santai di satu sudut agak terpencil jauh dari
pelanggan-pelanggan yang sedang bersarapan, Sofea seperti sudah tidak sabar
ingin bertemu yang dipuja. Jam berjenama Gucci terletak kemas di pergelangan
tangan, sekejap-sekejap dijeling. Terasa begitu lambat sekali jarum jam mahu
mencecah angka sepuluh.
Sofea berusaha
bertenang. Cawan kopi di atas meja yang masih lagi hangat, diangkat. Dirapatkan
ke bibirnya yang merah menyala dan sederhana tebal.
"Dah lama sampai?"
Hampir tersembur
kopi yang sedang dihirup Sofea saat terdengar ada suara garau tiba-tiba
menyapa. Suara jantan itu bagaikan dengan sendiri mengangkatkan mukanya. Sofea
mendongak.
Tergamam!
"Err.. err... baru juga," tergagap Sofea. Tidak
berkedip mata menatap Reno yang tiba-tiba muncul di sisi.
"Ingatkan dah lama tunggu," balas Reno santai.
"Tak jugak. Baru sampai dalam lima belas minit."
"Kira, kerusi pun belum hangat lagilah, ye?"
Sofea hanya tersenyum dengan usikan Reno. Menggulung manja
senyumannya. Menyimbah-nyimbah sinar di wajah.
Tidak dinafikan, sebagai seorang peragawan sambilan, Reno
punya susuk yang menarik. Dia punya paras rupa yang bagus. Tinggi, segak, dan
raut wajah yang tampan serta senyumannya manis. Boleh dikatakan, dia tidak
mempunyai apa-apa masalah untuk menundukkan lawan jenis jika mahu.
Sofea memerhatikan
Reno melepaskan kacamata hitamnya dan menarik kerusi di hadapan. Berkemeja
putih dan dilepaskan tiga butang teratas, mengenakan seluar tempah berwarna
hitam dan blazer yang warnanya serupa, kejantanannya bukan sahaja menyerlah,
malah menggoda. Luruh tersungkur jiwa Sofea jadinya.
"Apa hal dengan 'customer' tu? Apa cerita? Ada yang
tak kena?" tanya Reno sebaik melabuhkan punggung. Perlahan mengangkat muka
tampannya memandang Sofea. Sinar mata galak. Tajam merenung.
Panjang Sofea menarik nafas. Dalam-dalam dihela. Renungan
Reno yang tajam, sorot matanya, benar-benar menusuk. Benar-benar membuatkan
jiwa bergelora. Jadi tidak tentu arah Sofea.
Reno pula, kelihatan
tenang. Raut wajah tidak memperlihatkan apa-apa riak. Seolah-olah reaksi Sofea
yang dapat dibacanya, adalah sesuatu perkara biasa.
"Errr... mereka
nak 'shipment' lebih kerap," jelas Sofea. Sinar mata meliar mencumbui raut
wajah Reno yang menyerlah kegagahan dan kejantanannya. Rambut yang berkilau
berminyak, disikat rapi kebelakang, menyedapkan lagi mata Sofea memandang.
"Lebih kerap lagi? Nak seberapa kerap? Tiap-tiap
hari?"
"Sekerap yang boleh." "Sekerap yang
boleh?" "Itu yang mereka cakap," Sofea memberi keyakinan.
Menyatakan yang benar. Mengangguk ringan, Reno senyum kecil. Rona wajahnya
tampak riang. Cafe yang suasanya tenang, mengapung di udara alunan muzik klasik
sentimental, dikitari.
"I dengar ada kapal tenggelam," suara Reno tenang
tanpa memandang Sofea.
"Bukan kita punya. Itu you jangan risau."
"You yakin,
atau saja nak sedapkan hati?" soal Reno. Sinar mata menikam memandang
Sofea. Namun di bibir ditanam senyuman.
"I yang urus ni semua, tentu I tahu," jelas Sofea
dengan senyuman juga. Terjangkit senyuman Reno. Senyumannya seperti biasa,
manis dan menggoda.
"You dah order makan ke belum?" tanya Reno sebaik
melihat pelayan cafe itu mendekati meja mereka.
"Belum. Tunggu
you. I nak makan apa yang you makan."
"Owh, ye ke?
Kalau gitu, kenapa minum dulu? Kenapa tak tunggu aja I nak minum apa?" senda
Reno sambil mengenyit mata. Penuh gaya sehingga Sofea tergelak. Manja gelaknya.
"Minum dulu biar tenang," jelas Sofea. Berkilau
sinar mata merenung Reno.
"Biar tenang?" Reno mengangkat kening sambil
senyum sinis. "Jadi ni kira dah tenang?"
"Okey okey
juga," beritahu Sofea dengan gelak kecil. Tersipu.
Topik perbualan
diketepikan sebentar apabila pelayan itu tiba di meja mereka. Reno menyambut
penuh ramah, hormat dan mesra. Seolah-olah pelayan itu kedudukan sama rata
dengannya.
"Bagaimana Reno, boleh ke you terlayan permintaan
mereka?" tanya Sofea. Disambung perbualan sebaik pelayan itu beredar
seusai mengambil pesanan. Sinar mata merisik memandang Reno yang asyik
memerhatikan pelayan perempuan itu pergi.
Di kerusi empuk itu Reno menyandar. Telunjuk kanan
disinggahkan ke bibir seperti sahaja sedang memikirkan sesuatu. Beberapa detik
kemudian, dimajukan wajahnya. Begitu bau jantan Reno menyengat ke lubang hidung
Sofea.
Reno membuka mulut.
"Tak ada masalah. Itu sebab I nak tambahkan pekerja. Itu sebab I tanya you
dah dapat ke belum. I dah tahu ini akan terjadi. Jika kita beri kepuasan kepada
pelanggan, mereka pasti tambahkan lagi pesanan. Betul tak? Tapi macam mana nak
buat gitu jika kekurangan kakitangan?"
Dalam terbuai rasa dengan renungan tajam Reno, Sofea
mengangguk setuju. Tidak dapat menafikan apa yang dikatakan Reno itu adalah
sesuatu yang benar.
"Untuk cari
pekerja tak jadi masalah juga," Sofea menekan. "I boleh cari. Jika
kita tawar gaji yang lumayan, siapa tak mahu? Betul tak?"
Manis bibir Reno
mengukir senyuman, dengan sendirinya mengajak Sofea turut tersenyum sama.
Kembali menyandar, Reno mengangguk. Setuju dengan apa yang baru dikatakan Sofea
tadi.
"Jadi, siapa kali ini bakal jadi mangsa?"
"Agak-agak?" balas Sofea dengan
pantas sambil menjulurkan tangan mencapai cawan kopinya.
"Susah I nak
agak. Agak-agak ni semua I tak pandai. You sendiri tahu I ni macam mana
kan?"
"Okeylah. Itu
nanti kita boleh lihat, siapa yang kena," sambung Sofea dengan gelak
kecil.
Reno tidak menjawab. Hanya tersenyum. Memanjang, manis dan
menggoda.