Home Novel Thriller/Aksi SMACK O
Bab 32

"Terima kasih banyak kerana telah memudahkan laluan saya."

Sofea kelihatan ceria berbual di telefon bimbit. Rambut 'Bob'nya yang dihembus angin senja, dipintal-pintal sambil berbual. Mengangguk beberapa kali dengan senyum lebar, mungkin setuju apa yang dikatakan Amir di hujung talian.

"Errr... duit kopi Encik Amir tu, nanti saya bank-in kejap lagi, ye."

Sofea mematikan perbualan tidak lama kemudian. Telefon bimbitnya, Iphone 4 yang begitu nipis dan canggih, diselitkan di poket belakang 'Skinny jeans' Levi's-nya dengan begitu mudah. Berdiri di hujung bahagian 'loading bay', gudang yang disewa syarikatnya bersama Reno, di kawasan perindustrian di Pasir Gudang, pandangan ditujukan.

Dari tempat dia berdiri, di satu sudut agak sunyi, dapat dilihat Sofea dengan jelas para pekerjanya sedang tekun menjalankan tugas. Matanya awas memerhatikan mereka memunggah kotak-kotak ke dalam sebuah van berwarna putih. Di badan van itu ada tertulis dengan jelas perkataan 'Smack-O', berwarna merah darah.

"Salleh!" laung Sofea tiba-tiba sambil melambai-lambai, "Salleh Kausari!"

Di hujung sana, di sebalik hingar-bingar yang sedang berlangsung, kelihatan susuk seorang pemuda baharu sahaja melangkah keluar dari gudang menuju ke sebuah van. Dia menoleh saat terdengar namanya dipanggil. Dijulang tinggi tangannya membalas lambaian Sofea. Tanpa lengah, Sofea dihampiri apabila menyedari dia dikehendaki.

Mengenakan 'overall' berwarna putih, butang-butang menghala ke dada dilepaskan, memperlihatkan rantai emas agak tebal tergantung dengan megah di lehernya. Begitu juga di pergelangan tangan, bangle emas tebal berkilau memancar-mancar dipanah sinar mentari senja.

Salleh Kausari tampak begitu tegap. Kulitnya yang agak gelap, rambut lurus mencecah bahu, menampakkan lagi bengis raut wajahnya. Cara berjalan mengepak, persis seorang samseng.

"Selamat petang, 'Lady boss'," ucap Salleh Kausari dengan senyum ceria dan penuh hormat sebaik Sofea didekati. Pen di tangan, diselitkan ke celah telinga. Fail yang dipegang erat di sisi pinggang, jelas menggambarkan dia adalah seorang berjawatan penting di situ.

"Selamat petang. Macam mana semua, okey?" suara Sofea mesra. Mata galak menyambut 'Orang kuat'nya.

"Semua berjalan lancar. Licin dan aman, macam mana yang 'Lady boss' mahukan."

"Bagus! Saya suka! Ini baru namanya 'Orang terpercaya'. Pikul amanah dengan baik!"

Salleh Kausari mengangguk, berbinar mendengar pujian Sofea. Pada masa yang sama, mata jantannya melirik secara sembunyi-sembunyi menelanjangkan Sofea tanpa pengetahuannya. Sofea yang berkemeja merah jambu, berpakaian serba ketat dan kasut bertumit tinggi, tidak dinafikan memang tampak menggoda.

"Itu barang-barang nak hantar ke mana?" tanya Sofea sambil bibir dimuncungkan ke arah van milik syarikatnya itu.

"Itu semua untuk ke Tanjung Pelepas, boss."

"Banyak trip lagi?"

"Tak, bos. Itu trip terakhir untuk hari ni. Yang lain, awal-awal lagi semua dah beres," jelas Salleh Kausari. Suara garaunya penuh dengan keyakinan diri.

Sofea mengangguk puas. Senang hati mendengar segalanya berjalan lancar. Pipi kanan lalu digaru dengan telunjuk. Ada sesuatu yang penting melintas di benak. Salleh Kausari dipandang.

"Ubat-ubat untuk kawasan sini macam mana, semua dah hantar?"

"Beres, boss. Yang utama harus diutamakan. Nanti lambat hantar, menggelepar pulak pesakit-pesakit," jelas Salleh Kausari dengan gelak kecil. Begitu juga dengan Sofea, gelaknya jelas memberitahu dia sangat berpuashati dengan urusan yang sudah dilaksanakan oleh orang yang diletakkan kepercayaannya itu.

Sofea kembali menujukan pandangan ke arah pekerja-pekerjanya yang sedang sibuk itu. Tangan kanan mengurut dagunya yang bujur sirih. Dahi dikerut.

"Kiriman apek tu, bagaimana, dah sampai?"

Terperanjat Salleh Kausari. Matanya yang sedang leka memerhatikan bentuk tubuh Sofea dengan asyiknya, tidak menyangka pertanyaan itu tiba-tiba datang.

"Errr... errr... sudah, boss. Pagi tadi. Pagi tadi sampai."

"Dah sampai? Mana dia?"

"Err... ada di pejabat saya, boss. Di tempat biasa. Di tempat yang paling selamat dan aman," Salleh Kausari memaksakan senyum. Cuba mengajak Sofea bersenda.

"Mari, saya nak tengok."

Salleh Kausari mengangguk dan mempersilakan Sofea ke pejabatnya dengan penuh hormat. '

TIDAK DIBENARKAN MASUK!' Kata amaran yang menjerit di papan tanda, tergantung di muka pintu pejabat Salleh Kausari yang tertutup rapat, langsung tidak mendapat perhatian Sofea. Tidak dipedulikan sama sekali. Memutar tombol pintu itu, menonong dia melangkah masuk.

Penghawa dingin yang kedinginannya merusuh ruang pejabat sederhana besar itu, tajam menggigit kulit mulus Sofea. Memeluk tubuh, lengan yang terdedah digosok-gosok.

Kerusi kerja Salleh Kausari, Sofea menghempaskan punggung tanpa dijemput. Berdecit saat punggungnya mendarat di kusyen empuk kerusi itu. Mata galak tidak berkedip mengekori 'Orang kuat'nya menuju ke sebuah peti besi yang terletak di satu sudut agak tersembunyi. Salleh Kausari yang menggunakan 'safety boot', derap langkah menggema ruang sepi pejabat.

"Ini dia, boss. Semua ada di dalam," kata Salleh Kausari tidak lama kemudian sambil menyodor sebuah beg kulit 'haversack' berwarna hitam di atas meja kerjanya.

"Ini semua yang sampai tadi?"

Sofea menjulang kening saat anak mata mereka bertemu. Sinar matanya tajam, menusuk mencari kepastian.

"Semua, boss. Tinggal nak packing saja."

Tanpa lengah Sofea mengheret beg itu mendekatkan ke arahnya. Diraba beg itu yang beratnya ada sekitar 20 kilogram. Dibelek-belek lalu diletak ke pangkuan.

Salleh Kausari yang duduk di kerusi menghadap Sofea, memantau reaksi bos perempuannya. Raut wajah tenang. Sesekali menjeling ke arah pintu pejabat yang separuh berkaca, dengan mata penuh awas.

Zip beg itu perlahan dibuka Sofea. Matanya menyusup ke dalam beg tersebut. Merayap memeriksa. Tangan lalu diseluk. Perlahan meraba isinya yang terasa seperti batu di jalanan, berukuran kepala ibu jari dan kasar menggerutu-gerutu.

Sofea mengangkat muka. Bersinar-sinar matanya. Salleh Kausari dipandang. Tepat-tepat di muka. Senyuman manis dilayangkan.

"Puas hati! Sangat puas hati! Okey Salleh, awak tunggu list yang nanti saya beri, baru awak packing," kata Sofea kemudian.

"Baik, boss. Sentiasa siap tunggu arahan."

Sofea mengangguk. Senyuman di wajah menceritakan kepuasan di hati. Beg itu dizip kembali, dan diserahkan semula kepada Salleh Kausari yang tanpa lengah menyimpan di tempatnya. Tempat yang selamat dan aman. Tempat yang jauh daripada pengetahuan pekerja lain, selain yang tertentu.

Mencapai telefon bimbitnya yang tadi diletak di atas meja, Sofea menyandar. Jari-jemari pantas memicit muka skrin mengirim SMS.

'Okey, semua dah settle.' - bunyi SMS yang dikirim.


Previous: Bab 31
Next: Bab 33

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.