Anak jati Johor, Dila mengenali Reno sejak
dia pertama kali berhijrah ke bumi bertuah itu bertujuan merubah nasibnya. Dila
menyaksikan jatuh-bangun Reno. Menyaksikan bagaimana cekalnya dia, berusaha
menggapai apa yang diimpikan dengan mengguna apa sahaja kaedah yang terhidang
di hadapan matanya.
Namun tanpa pengetahuan Reno, Dila yang
cintanya pernah ditolak Reno yang bersedia hanya berkawan rapat, mengenali Amru
tidak lama kemudian. Melihatkan Dila berpotensi di dalam menjayakan segala
urusannya, Amru menawar Dila bekerja dengannya secara sambilan. Dila bersetuju.
Sejak hari itu, segala maklumat yang diperlukan Amru, khidmat Dila akan
digunakan.
"Dia cakap sama macam yang you cakap
tadi."
"Cakap tentang apa?" tanya Amru.
"Yang tadi you cakaplah I pandai
berlakon tu!"
Amru mengeluh kecil. Dia tidak pasti sama ada
apa yang dikatakan Dila itu adalah benar, atau pun hanya rekaan semata. Tetapi
itu tidak begitu penting baginya. Ada yang jauh lebih penting daripada itu
semua.
Menyandar duduk menyilang kaki, Amru
mengetuk-ngetuk meja dengan jari-jemari. Agak lama juga dia memikir-mikirkan.
Wajah Reno melintas. Memiringkan muka, Dila yang sedang membasahkan tekaknya
dengan minuman yang terhidang, dipandang lurus-lurus.
"Dia tak ada cakap apa-apa pasal I? Mesti
ada kan?" Amru membuka mulut.
Dila senyum. Cukup mengerti maksud pertanyaan
itu. Sedar, ego kedua lelaki yang dikenalinya setinggi langit.
"Jujur kata, walaupun I ni memang
menyampah dengan dia, I tak nafikan dia memang seorang yang 'gentleman'. Sejauh
yang I tahu, dia tak pernah cakap hal buruk tentang you, juga tentang
siapa-siapa. Dia mungkin jahat dan nakal, tapi mulut dia tak jahat dan tak suka
ambil tahu hal orang. Dia begitu fokus dengan impiannya."
"You menyampah dengan dia? Ke sebenarnya
dalam diam you 'admire' dia? Ngaku ajalah!" Amru gelak sinis.
"You jangan asal boleh cakap, okey. I tak
suka!" Dila menjegilkan mata. Suara sedikit meninggi. Telunjuk diarahkan
ke Amru dengan wajah serius.
"Mana tahu, kan? Lain di mulut, lain di
pinggan."
"Apa? Lain di mulut, lain di pinggan?
You cakap periuk kan lagi bagus!"
Pecah ketawa Dila serta-merta. Hilang
tiba-tiba rasa marah. Terasa lucu mendengar ungkapan Amru. Bagaikan
digeletek-geletek di pinggang dia ketawa. Amru pula hanya tersenyum memerhatikan.
Raut wajah tenang.
"Betul tak I cakap?" Amru mengangkat
kening. Merisik!
Dila menggeleng menidakkan. Pada masa yang
sama berusaha membebaskan diri dari terus ketawa. Kelopak mata yang sudah basah
ditekap dengan sehelai tisu. Perlahan agar tidak merosakkan celak yang melukis
alis matanya. Dalam-dalam nafas dihela, Dila menekan mempertahankan pengakuan.
"Tak betul. Sama sekali tak betul. Itu
tidak lain cuma imaginasi you! Khayalan you saja."
"Apa pulak tak betul? Apa pulak
imaginasi I? Apa pulak khayalan I? You sendiri dulu yang beritahu I. Betul tak?
You lupa ke apa? Bukan I yang buat cerita!"
Terkunci mulut Dila. Serta-merta! Teringat
dahulu Amru pernah bertanya, merisik tentang hal Reno. Dila yang mengenali
siapa diri Reno seperti dia mengenali telapak tangannya sendiri, ada Dila
memberitahu Amru ketika itu asal-usul Reno. Memuntahkan segala, siapa diri Reno
sebenarnya, juga perasaannya terhadap Reno.
Memang, Dila tidak dapat menafikan rasa
cintanya terhadap Reno sejak mengenalinya. Sejak Reno masih bergelandangan
lagi. Sejak Reno masih bekerja sambilan di warung sana-sini. Namun, Reno
bertegas hanya ingin berkawan sahaja apabila Dila meluahkan rasa cintanya.
Bertegas, hubungan mereka hanya boleh pergi hingga ke tahap kawan rapat sahaja.
Tanpa
pengetahuan Reno pula, di sepanjang hubungan mereka, rasa cinta Dila bertukar
menjadi dendam. Dendam kerana cintanya ditolak. Bersarang di dada dalam diam
hingga ke hari ini rasa benci terhadap Reno. Begitu juga terhadap Sofea, rasa
benci terhadap perempuan itu, meluap-luap. Tidak senang Dila melihat Sofea
berhubung rapat dengan lelaki yang dipujanya.
"Itu dulu! Memang tak dinafikan I memang
cintakan dia. Tapi sekarang tak lagi," lirih Dila tidak lama kemudian.
Nada suara tenang dan bersahaja.
"Sebab cinta you tak berbalas? Tepuk
sebelah tangan gitu?"
"Hello! You jangan cakap pasal ini lagi
boleh tak? I tak sukalah. Menyampahlah I dengar!" Dila menjeling dan
menarik muka.
Tajam Dila direnung Amru. Mengerti Dila
sedang marah. Tidak senang kisah silamnya diungkit. Membetulkan duduknya
kemudian, senyuman nipis Amru titipkan. Cuba menyejukkan hati Dila.
"You dah makan belum?"
"I tak selera!" Dila memberitahu
tanpa memandang Amru.
"Alololo! Janganlah merajuk. Tak cunlah
macam gini. Sesekali jumpa, manis-maniskanlah muka."
"I tak sukalah you cakap pasal tu semua.
Serius ni I cakap!"
"Okey, I mintak maaf. I janji tak cakap
lagi pasal tu semua."
"You janji? Dah berapa kali you janji,
tapi tetap you cakap juga! Apa cerita?" ujar Dila dengan mengangkat muka.
Rasa tidak senang dengan sikap Amru jelas terpancar.
"Okey, ini kali I cakap betul. I tak kan
cakap lagi pasal tu. Ini kali I pegang janji I betul-betul."
Dila
yang wajahnya tampak tegang, perlahan melirik memandang Amru. Tenang, Amru
menawarkan senyuman saat anak mata mereka berlaga.
"I janji!" Amru menekan.
Dila
mengangguk ringan. Mengirim isyarat, memberi Amru peluang sekali lagi buat
mengotakan janji. Sinar mata Dila memberitahu, kali ini akan dipeluknya
erat-erat janji itu.
Menyandar, menongkat dagu, di kegelapan malam
yang mulai melebarkan sayap, Dila tebarkan pandangan. Kegelapan itu, gambaran
cintanya terhadap Reno, yang mungkin tidak akan lagi menyinarkan sebarang
harapan di dalam hidupnya. Kian lama, harapan itu jelas kian kelam dan suram. Sekelam
dan sesuram raut wajahnya ketika itu.
"I janji tak sebut lagi," Amru
ulangi. "Cuma satu perkara yang I rasa pelik... "
"Rasa pelik?" Dila memintas,
"Tentang apa?"
"Info yang you kasi tu. Sampai sekarang I
tak dapat cari bukti. Walaupun I dah pasang orang-orang I menyamar, tetap satu
bukti pun tak dapat. Seolah-olah, perkara ni langsung tak wujud."
"I harap, I boleh beritahu you lebih dari
apa yang I dah beritahu. Tapi... you sendiri tahu... "
"Ye, I faham. Tak ada sindiket yang akan
dedahkan aktiviti mereka dengan senang-senang. You tenang aja. I akan usaha
cari bukti."
Dila
mengangguk-angguk. Pandangan jauh dilepaskan.
"Dila... " panggil Amru lembut,
"nah ambik. You punya ni."
Mengalihkan pandangan, mata Dila jatuh ke
sampul surat kuning yang dihulur Amru di atas meja. Diangkat mukanya, Amru
dipandang.
"Sejauh ni, I memang kagum dengan cara
you menjalankan tugas. Memang terbaik. Itu I tak boleh nafikan. I sangat
berpuashati," jujur Amru memberitahu. "Ambik, itu you punya duit
titik-peluh."
Perlahan
Dila melunjurkan tangan mencapai apa yang diletakkan Amru di atas meja. Membuka
sedikit penutupnya, Dila mengintip isinya. Membesar mata Dila.
Kelihatan, di dalamnya, dari remang-remang
cahaya lampu yang menyinar, bertepek wang note 50 ringgit Malaysia. Amru
kembali dipandang.
"Kenapa ni banyak sangat?"
"Itu tak banyak. Bila sudah selesai
kerja semua nanti, you akan dapat lagi banyak dari ni."
Dila hanya berdiam. Tidak tahu apa yang harus
dikatakan. Sampul surat yang berisi wang itu, digenggam erat-erat. Dipandang
Amru tepat-tepat di muka.
"You hati-hati bila jalankan tugas,"
Amru menyambut pandangan Dila dengan peringatan. "Pastikan semuanya
berjalan lancar dan licin."
Dila hanya mengangguk mendengarkan nasihat
itu. Tidak berkedip mata memandang Amru.
"Dan kekalkan mutu lakonan you. Macam
mana yang I cakap tadi, lakonan you memang kelas dunia. Memang terbaik."
Amru menokok.
Dila menggariskan senyuman nipis. Bayangan
Reno kembali bermain di ruang mata. Melambai-lambai cinta memanggil-manggilnya.
'Reno,
kalau aku tak dapat kau, tak dapat cinta kau... aku akan pastikan tak ada orang
lain akan dapat kau juga. Aku janji!' Dila berbisik di dalam hati.
'Masa
akan memberitahu, Reno. Sama ada kau terlibat atau pun tidak, kita sama-sama
tunggu dan lihat nanti. Aku akan buru kau sampai ke lubang cacing, Reno!' hati
Amru turut berbisik.