'Mereka ada kaitan.'
Amru mengurut dagu
memikirkan butir SMS yang baharu sahaja diterima. Dinding di hadapan diarahkan
pandangan. Mata berkedip-kedip cuba membayangkan.
Tanpa lengah, SMS itu kemudian dibalas. Amru
mengangguk-angguk puas. Ada membuahkan hasil nampaknya. Walaupun sedikit,
walaupun apa yang diinginkan tidak begitu jelas dan cerah.
'Hati-hati. Pegang peranannya baik-baik. Jangan sampai
ketara. Bahaya!' - Bunyi SMS yang dibalas Amru.
Meletakkan telefon bimbitnya di atas meja, Amru menyandar.
Mata terpejam. Kerusi kerja yang empuk baharu sahaja diganti, terasa begitu
sekali selesa dan nyaman dengan penghawa dingin di dinding menghembus lembut.
Fikiran dibiarkan melayang ke mana-mana. Merehatkan minda
bila berkesempatan. Tugas-tugas yang banyak belum lagi dapat diselesaikan,
benar-benar menyedut tenaganya, secara fizikal juga mental. Senyuman kecil
menjalar di bibir saat bayangan Reno melintas ruang mata. Genggamannya dikepal.
Erat-erat.
Kembali membuka mata tidak lama kemudian saat kedengaran
pintu pejabatnya diketuk. Amru memperkemaskan diri dan membetulkan duduk.
"Masuk masuk,"
menggema suara Amru menjemput. Pecah kesepian pejabatnya.
"Selamat pagi, tuan," seorang pemuda berpakaian
kemas dan berbadan tegap, petugas Amru, menyapa dengan hormat sebaik melangkah
masuk.
"Selamat pagi.
Sila duduk."
"Ini fail yang tuan mintak tadi," suara petugas
itu sebaik melabuhkan punggung.
"Hah, sampai pun. Lengkap tak semua info yang saya
nak?"
"Lengkap, tuan.
Semua info yang tuan perlukan ada di dalam fail ini. Saya dah periksa semuanya
dan memastikan."
Lebar senyum Amru
sambil mencapai fail yang dihulur petugasnya. Menyandar menyilang kaki, fail
itu dibelek.
Amru tampak santai dan ranggi dengan berbaju T dan seluar
jeans, serta sepatu Adidas kulit berwarna putih. Penampilannya, sama sekali
tidak memperlihatkan dia seorang yang punya kedudukan, seorang yang dihormati
di kalangannya.
"Ada apa-apa lagi tuan mahukan yang saya boleh
bantu?" tanya petugas itu sebentar kemudian penuh hormat.
Amru mengangkat muka. Raut wajah tenang dan bersinar.
Senyum dikibar buat petugas itu yang sentiasa bersiap melaksanakan tugas yang
diarah.
"Hmmm... " Amru mengurut dagu, lalu
menyelak-nyelak kandungan di dalam fail itu, "okey, nanti jika ada apa-apa
yang saya perlukan, saya panggil awak. Biar saya semak dulu. Awak boleh pergi
sekarang. Terima kasih banyak."
Amru menitipkan
senyuman, sebelum petugas itu dengan penuh hormat meminta diri.
Ditinggalkan sendirian, fail itu diletak di atas meja dan
dibuka. Badan ditegakkan. Mata perlahan merayap. Penuh tumpuan. Satu-persatu
helaian kertas yang ada diselak, meneliti segala maklumat yang tertera.
Amru senyum lagi. Sinis kali ini! Pancaran sinar mata
memberitahu dia sangat berpuas hati dengan segala maklumat yang baharu
diterimanya tadi, yang diinginkan sangat dan begitu sekali penting.
Menutup kembali fail
itu, Amru menyandar. Dinding di hadapan dilekatkan pandangan. Merenung,
seolah-olah dia sedang menonton sebuah tayangan filem di dinding itu.
'Tupai oh tupai. Kalau tak ada tanah mungkin kau tak kan
jatuh. Tapi kau lupa, tanah sentiasa bersiap-sedia menanti saatnya. Menanti
saat bila kau akan jatuh!' bisikan hati diiring gelak kecil.
Seperti hendak memuaskan hati, fail itu kembali dicapai.
Diselak lagi perlahan satu-persatu. Mata tajam meneliti. Mengangguk-angguk
sebentar kemudian bagaikan isi kandung sudah pun dihafal.
Mencapai telefon pejabat, Amru membuat panggilan. Fail itu
ditepuk-tepuk di peha sementara menanti panggilan dijawab. Raut wajah Amru
tampak tenang, tetapi serius. Berdehem-dehem membetulkan kerongkong.
"Ishak... " bergetar suara Amru sebaik
panggilannya dijawab, "awak datang ke pejabat saya sekejap."
Beberapa detik
kemudian, orang yang dihajatkan sudah pun berada di pejabat Amru. Pantas, siap
dan amanah petugas Amru itu memunculkan diri.
Berpakaian ranggi, kurus tinggi lampai, rambut agak
kusut-masai mencecah bahu, pemuda itu tampak sugul. Berempat mata duduk
menghadap, raut wajah masing-masing serius. Kedua-duanya, bibir kemarau
senyuman.
"Bagaimana
perkembangan, okey?" menyandar menyilang kaki, Amru bertanya. Aura seorang
berpangkat dan berkedudukan, menyerlah di suaranya. Cahaya sinar mata seperti
sang raja rimba.
"Sejauh ni
alhamdulillah, tuan. Berjalan lancar semuanya. Tak ada apa-apa masalah,"
nada suara petugas Itu mengkhianati penampilannya. Tidak sejajar apa yang
diperlihatkan. Suaranya tegas dan bertenaga.
"Seperti yang dirancang?" mata Amru melilau,
merayap ke segenap susuk tubuh petugas yang berada di hadapannya.
"Seperti yang dirancang, tuan. Sejauh ni semuanya
berjalan lancar. Licin seperti yang diinginkan, tuan."
Amru mengangguk-angguk mengerti. Berpuashati dengan laporan
yang diberi petugasnya itu. Mata tajam merenung. Memantau keadaan pemuda itu.
"Habis, awak
ada pergi check-up tak?"
"Ada, tuan. Tiap minggu tak pernah lepas."
"Bagus. Pastikan awak sentiasa dalam pemerhatian
doktor. Saya tak mahu terjadi apa-apa ke atas diri awak. Jangan sampai parah
tak terkawal."
"Saya tahu,
tuan. Itu akan saya pastikan. Sejauh ni, semuanya terkawal."
"Bagus bagus. Itu yang saya nak dengar."
"Hmm... ada apa-apa lagi, tuan? Jika tak ada apa-apa,
saya nak bersiap-siap pergi turun padang."
"Nak bersiap turun padang? Sekejap lagi?" Petugas
itu hanya mengangguk menjawab pertanyaan Amru.
"Hmmm... baiklah, awak boleh pergi sekarang. Apa-apa
perkembangan baru, jangan lupa beritahu saya."
"Siap, tuan. Ada apa-apa perkembangan, tuanlah orang
pertama yang akan saya beritahu."
"Baik. Hati-hati. Selamat menjalankan tugas."
Bingkas dan memberi hormat, petugas itu beredar. Amru
memerhatikan setiap susunan langkahnya yang berjalan seperti seorang wira. Rasa
kagum dan simpati, serona di wajah Amru.
"Ishak... " panggil Amru ketika petugasnya sudah
berada di muka pintu.
"Saya, tuan," jawab petugas itu tegas penuh
hormat sebaik menoleh.
"Saya minta maaf kerana telah menyusahkan awak. Saya
janji, akan memastikan awak kembali seperti dulu setelah selesai segalanya.
Saya bertanggungjawab."
Sejak dari tadi, barulah kali ini petugas itu tersenyum.
Amru membalas, dengan berat hati. Terharu melihat keadaan fizikal petugasnya
yang selama ini telah memikul amanah, menjalankan tugas dengan cekap dan baik.
"Demi memastikan apa yang kita semua impikan tercapai,
anggap saja apa yang saya buat ini adalah satu pengorbanan. Tuan, tanpa
pengorbanan, tak kan wujud istilah cinta."
Amru mengacung ibu jari. Berbesar hati mendengar apa yang
dikatakan. Kagum dan bangga dengan petugas yang begitu komited dan berdedikasi.
Sanggup berkorban, meletakkan nyawa dan keselamatan sebagai cagaran demi
mencapai matlamat dan tujuan yang diinginkan.
Perlahan Amru meletakkan kepala di penyandar sebaik pintu
pejabatnya ditutup. Mata kembali dipejam. Rasa bersalah yang bersarang di dada
diusirnya jauh-jauh. Fikiran dibiarkan melayang merayau. Entah mengelamun,
entah memikirkan sesuatu.
Kembali membuka mata sebentar kemudian, telefon bimbit
dicapai. Jari ligat menari menekan kunci kekata mengirim SMS. Tersenyum setelah
sudah, apa yang siap dikirim dibaca.
'Reno, bila free jom ngeteh. Rindu pulak dengan kau.'
Amru senyum. Sinis!