Home Novel Komedi/Romantik Komedi BILA CINTA MENGGILA (SAAT CINTA MEMBARA~AYAT-AYAT GATAL)
BILA CINTA MENGGILA (SAAT CINTA MEMBARA~AYAT-AYAT GATAL)
AD Rahman Ahmad
24/11/2014 06:56:05
92,846
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Bab 25
Dengan senyuman lebar Yazid melangkah keluar dari perut kereta. Lagaknya, seperti sahaja dia seorang bos besar. Jalannya sudah berbeza. Tidak seperti selalu dan biasa. Dengan penuh bergaya, perlahan dia melangkah menuju ke arah keluarganya. Sinar matanya berkilau seperti sang suria menyinar di pagi hari.

Berdiri di muka pintu utama, seisi keluarganya dengan rasa penuh teruja memandang Yazid berjalan meninggalkan Jaguar hitam pekat itu di perkarangan rumah. Hairan. Kagum. Ada rasa tidak percaya juga. Berdiri sederet, bertiga memerhatikan dengan mulut ternganga. Biji mata membesar, menceritakan apa yang sebenarnya sedang dirasai mereka.

"Yazid ke?" Tanya ayahnya kuat. Tersenyum dari jauh, tenang Yazid mengangguk. Senyumannya melebar hingga ke telinga.

"Ya Allah! Anakku!" Pekik ibunya yang tidak dapat lagi mengawal rasa terharu. Tidak dapat lagi membendung perasaan yang datang menderu-deru. Berlari mendapatkan Yazid dengan tangan luas terbuka. Rona wajah memerah. Air, sarat bertakung di kelopak mata.

"Emakku..." pekik Yazid sambil berlari ke arah ibunya dengan tangan luas terbuka juga. Aura M.G.R digantungkan di wajah.

"Eh, eh! Dah kenapa dengan mak dan abang kau tu? Macam filem Tamil pulak aku tengok!" Kata ayah Yazid, bengang melihatkan aksi isteri dan anaknya yang agak berlebihan.

Haiza tidak menjawab. Dia juga masih tercengang. Tiba-tiba dia meluru, turut menyertai ibunya berlari mendapatkan Yazid, "abangku..."

"Astaghfirullahalazim... Ini dunia kartun ke apa?" Gerutu ayahnya sambil mengurut dagu.

Di pertengahan jalan Yazid terhenti melangkah. Kedua tangannya menjulur ke depan bagaikan menahan ibunya dan Haiza dari meneruskan niat mereka.

"Nanti, mak... Haiza. Ini kereta bukan saya punya. Bos saya bermurah hati kasi bawak balik kereta ni selagi saya masih kerja dengan dia," jelas Yazid, jujur.

"Emak tak peduli! Emak tak peduli! Kereta bos kau ke... kereta kau ke... kereta lembu ke... mak tak peduli. Mak nak peluk kau juga. Mak bangga mengandungkan kau, nak. Mak bangga!" Kata ibunya dengan linangan air mata.

"Za pun sama. Tak peduli. Nak peluk abang juga! Nak peluk abang juga!"

"Yalah, yalah, peluk ajalah!" Yazid memberi keizinan.

Begitu Yazid diterkam ibunya dan Haiza. Dengan linangan air mata, di tengah-tengah perkarangan rumah, bertiga mereka berpelukan. Keadaan yang sedang berlangsung ketika itu, seperti sahaja di dalam filem, 'Batu belah-batu bertangkup'.

Dari jauh, masih berdiri di muka pintu, ayah Yazid memerhatikan adegan itu. Entah kenapa, sebak hatinya tiba-tiba. Tidak dapat menahan diri dari pilu yang mulai membanjiri rasa. Kain pelikat lusuh yang dipakai, hadiah ulang tahun perkahwinan dari isterinya dua tahun lalu, disingsing.

"Anakku Yazid!" Pak Atan, dengan tangan kiri luas terbuka, berlari mendapatkan anaknya dengan linangan air mata juga. Berlinangan di pipi, air mata buaya.

Mendengarkan, dalam erat pelukan ibunya dan Haiza, Yazid mendongak. Terjungkit kedua kening melihat ayahnya sedang berlari menuju ke arahnya, dengan kelajuan maksimal.

"Ayahanda! Eh, Ayahanda pulak! Maaf silap. Ayahku!" Jerit Yazid juga sambil menantikan dengan penuh ikhlas diri diterkam ayahnya.

Mak Bella, jiran mereka yang baru pulang dari kedai terkedu melihat aksi yang sedang berlaku. Berdiri di tepi lorong di luar rumah keluarga Yazid, Mak Bella menggaru-garu dagu dengan dahi mengerut. Lama dipandangnya dengan memicingkan mata. Sebentar kemudian dia memandang sekeliling.

'Eh, apa ni! Aku tengah bermimpi ke?' Bisik hati Mak Bella.

"Atan..." teriak Mak Bella sesaat kemudian dengan aura seorang Mak cik kepoh gred 'A' sedang mencari kepastian.

"Hei, Atan..." teriak Mak Bella lagi. Ayah Yazid yang sedang beremosi berpelukan dengan seisi keluarga, menjengahkan kepala.

"Aku ni tengah bermimpi ke apa?" Selamba Mak Bella.

"Bermimpi?" Balas ayah Yazid agak marah, "cuba Mak Bella cubit pipi sendiri. Tengok sakit ke tak! Baru boleh tahu, Mak Bella tu mimpi ke tak!"

Terbejat Mak Bella, bagaikan dada dipanah oleh kata-kata itu. Berkerut mukanya.

"Huh! Menyombong pulak! Menyampah aku!" Menjeling tajam, Mak Bella terus sahaja beredar menyelusuri tepian lorong itu.

"Psssttt! Pssssttt..." menjengah leher Mak Bella saat terdengar ada suara bisikan bagaikan memanggilnya.

"Pssssttt! Pssssttt!" Kedengarannya semakin nyaring. Kepalanya memutar mencari suara itu.

"Bella! Sini... Sinilah kejap!" dipanggil Mak Bella saat bertemu mata dengan Mak Trisha, yang sedang tercongok duduk di bawah pohon mangga berhadapan rumahnya.

"Apa kebenda kecoh-kecoh tadi tu?" Tanya Mak Trisha sebaik Mak Bella mendekati.

"Apa kecoh-kecoh?" jawab Mak Bella dengan muka ala-ala Mak Dara dalam filem 'Ibu mertuaku'. "Keluarga si Atan-lah! Huh... macam jakun aja anaknya si Yazid tu bawak balik kereta besar! Bersorak sakan berpeluk satu keluarga depan rumah. Macamlah kereta tu baru dibeli keluarga sendiri. Menyampah aku!"

"Owwhhh..." Mak Trisha men'duck-face'kan bibirnya, "kereta siapa tu sebenarnya?"

"Kereta siapa lagi, kalau bukan kereta bos Yazid!" Mak Bella menjelaskan sambil mencekak pinggang, "Aku jumpa dengan Zila tadi pagi dekat pasar..."

"Zila mana pulak? Siti Rozilah, bini Atan tu ke?" Potong Mak Trisha.

"Iyalah, siapa lagi! Tak kan bini Atan tu, Novelis Asmah Hashim pulak! Kau ni pun!" Kata Mak Bella sambil menjeling manja.

"Habis tu, apa dia kata?" Mak Trisha bertambah ghairah mencungkil cerita.

"Zila beritahu aku... Yazid tu baru dapat kerja jadi drebar Datin! Ini mesti kes meminjamlah. Apa lagi!" Jelas Mak Bella sambil menggulung anak mata.

"Owhhh... gitu sekali ye! Hei, Bella... biasalah tu. Bila selama ni hidup cuma naik 'Kancil'... tetiba dapat rimau... gitulah jadinya! Sebenarnya kalau boleh bukan nak berpeluk kat tengah laman rumah aja, tapi... nun, kat tengah lorong tu biar orang kampung semua tahu! Hmmm... menyampah jugak aku dengar bila kau bawak mulut dengan cerita-cerita macam ni!"

'Erkkk... Aku bawak mulut?' Terkedu Mak Bella mendengar ayat Mak Trisha. Terbelalak mata. Tangan kanan meraba-raba bibirnya.

"Habis... apa lagi dia orang buat lepas tu? Guling-guling satu keluarga depan rumah?" Tanya Mak Trisha lagi.

"Satu keluarga kau, dia orang guling-guling depan rumah! Terkinja-kinja macam beruk kena belacan! Aku tengok pun naik meluat. Loya tekak aku ni! Ni hah, ni hah!" Mak Bella meneruskan hikayat sambil telunjuk menuding-nuding tekaknya.

"Huh... geli pulak aku dengar cerita kau, Mak Bella! Meluat!"

"Mak... mak..." Rihanna anak bongsu Mak Trisha yang berusia sembilan tahun, berdiri di muka pintu memanggil, "mak... ayah panggil!"

"Nantilah!" Jerkah Mak Trisha, mata dibeliakkan, "beritahu ayah, mak tengah sibuk gali cerita ni! Nanti mak datang!"

"Kenapa suami kau tu sibuk sangat? Suruh kau solat? Pergilah solat dulu. Nanti ada masa kita sambung lagi."

Berpaling, Rihanna menyampaikan pada ayahnya, "ayah... mak cakap, mak tengah sibuk gali dosa. Nanti mak datang, mak cakap."

Terbelalak Pak Rayyan suami Mak Trisha mendengar celoteh anaknya. Langsung sahaja dijengahkan kepalanya. Dari tingkap ruang tamu, jelas dapat dilihat isterinya dan Mak Bella, mulut mereka terkumat-kamit sedang bermesra lidah.

Mengeluh panjang Pak Rayyan dengan situasi dilihatnya. Menggeleng kesal dijodohkan dengan seorang perempuan yang hobinya suka mengumpat hal orang dan jiran tetangga. Apa yang sangat ditakutkan, sikap buruk itu nanti akan menurun pula pada anak-anaknya. Hiba sekali hatinya saat mengingatkan.

"Ya Allah... tanamkanlah kesedaran pada isteriku dan juga rakan-rakannya. Janganlah mereka terus seenaknya memakan daging saudara mereka sendiri. Berilah mereka kesedaran Ya Allah, bahawa ini adalah satu sikap yang amat buruk. Ampunkanlah dosa-dosa isteriku, Ya Allah. Ampunkanlah dosa-dosa mereka. Amin Ya Rabb," doa Pak Rayyan ikhlas, lahir dari hatinya yang paling dalam.

Diusap Pak Rayyan kepala anaknya Rihanna, saat anak kecil itu datang menghampiri. Anak kecil itu sedang mendongak memandangnya. Pandangan matanya bagaikan matahari senja yang sedang condong ke barat, dibalas Pak Rayyan dengan pandangan sayu dan hiba.

"Nak... bila besar nanti," mencangkung menghadap Rihanna, Pak Rayyan berkata, "jangan sesuka hati mengata atau menghina orang, ye nak. Orang lain tu sebenarnya adalah cerminan hidup kita. Kekurangan dan kelemahan mereka yang Allah perlihatkan, bukan tiket untuk kita mengata tau. Tujuannya untuk kita melihat dan kemudian memperbaiki kekurangan kita sendiri. Sedar itu, nak. Bumi mana tak ditimpa hujan, sayang. Kita ni manusia biasa, tak pernah sunyi dari kesilapan samada kecil atau pun besar. Maka itu sebaiknya apa yang kita lihat, kita belajar. Jadikan pengajaran, bukan untuk diumpat keji, ye sayang. Sikap sebegitu sangat tidak baik dan mengaibkan."

Walaupun Pak Rayyan pasti anak kecilnya itu masih belum mengerti akan pesanannya, namun dia tidak peduli. Sebagai orang tua, mendidik anak itu adalah tanggungjawabnya. Lagi kecil lagi bagus, itulah pegangan Pak Rayyan. Bak kata pepatah, mahu melentur buloh, biar dari rebungnya.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.