"Jangan kasar-kasar letak dekat hidung tu. Nanti
ronyok pulak!"
Sofea hanya tersenyum dengan sendaan Anna. Tidak
mempedulikan apa yang dikata, mawar itu dirapatkan ke hidungnya yang mancung
kecil. Dalam-dalam dihidu. Mata terpejam. Rapat! Jauh diri terbawa oleh
keharuman yang menusuk. Tiba-tiba wajah Reno melintas. Berlegar di ruang mata
ketampanannya. Terbayang betapa segak jejaka idamannya itu.
Teringat dahulu di suatu ketika pernah juga dia diberi
bunga yang serupa. Namun setakat itu sahaja. Seperti bunga itu sendiri yang
layu di tangan, begitulah juga harapan Sofea. Sehingga kini tidak pernah Reno
meluahkan apa-apa perasaan terhadapnya. Tidak ada apa-apa perkembangan sama
sekali di dalam hubungan mereka.
Namun tidak
dinafikan, memang Sofea sudah lama dalam diam menaruh hati pada Reno. Meletak
harapan sejak pertama kali berempat mata dengannya. Jejaka yang mempunyai
segala yang diinginkan di mata dan hati lawan jenis, sememangnya Reno begitu
memikat. Dalam diam, setiap detik dan saat, pemuda tampan itu dipuja.
'Akan aku pastikan, engkau akan menjadi milik aku, Reno.
Aku akan berusaha. Demi cinta, nyawa pun sanggup aku gadai!' gema hati kecil
Sofea yang paling dalam.
Pertemuan di cafe tadi terbayang kembali. Dengan sendiri
merangkak di ruang mata senda-gurau dan kemesraan Reno yang sememangnya pandai
mencuri hati. Perlahan di hati Sofea senyuman menjalar, melilit setiap penjuru
perasaannya.
Lain pula dengan
Anna, senyum menyimbah penuh di muka memerhatikan gelagat Sofea. Bangga bunga
pemberian pujaan hati, mampu membuai perasaan teman baiknya juga.
Sepertimana Sofea di
saat itu, begitu jugalah Anna, Reno melintas dibenak. Terbayang wajah
tampannya. Pemuda yang baru dikenali tiga bulan lalu di salah sebuah disko di
Johor Bahru, dalam masa yang begitu singkat bukan sahaja Reno telah berjaya
mencuri hatinya, malah Reno adalah degupan jantung hatinya. Di setiap hela
nafas, setiap saat, Reno sahajalah di dalam ingatan.
Namun Reno bagi Anna, bukanlah lelaki sebarangan. Reno
sebenarnya, adalah lelaki buruannya!
"Aikk! Engkau
pun terbuai? Tadi mengata orang, akhirnya kau pun sama?" usik Anna.
"Pasal baunya sedap. Itu sebab aku terbuai."
Anna gelak kuat. Gelak mengejek. Sofea pula seperti biasa,
muka selamba.
"Itulah, lain
kali jangan suka mengata orang kalau diri sendiri pun sama! Kan dah terkena
muka sendiri."
"Tak apa. Muka aku jenis muka tebal. Sebal dan
kebal!"
Berderai lagi ketawa Anna. Dicubit mesra lengan mulus Sofea
yang hanya tersenyum lebar.
"Dah! Cium sikit-sikit sudah! Jangan lama-lama. Nanti
mamat malang tu teringatkan kau, aku pulak nanti yang susah!"
"Alaa... tak heranlah aku. Pujaan hati aku lagi
gantenglah dari mamat malang kau. Macam artis Korea lagi mukanya!"
"Alaaa, Korea
konon! Entah-entah macam Bangla. Siapa tahu?" Anna menarik pipi membuat
muka. Mengejek!
"Siapa tahu engkau cakap? Hmmm, kau belum jumpa dia
lagi. Bila kau dah jumpa nanti, kalau hati kau tak cair kira nasiblah tu."
"Tak payahlah
aku nak jumpa pujaan hati kau tu. Pujaan hati aku pun tak kuranglah hebatnya.
Pun macam artis Korea juga. Hati kau pun aku boleh gerenti mesti cair bila
tengok dia."
"Cehh! Orang,
Korea, dia pun Korea. Entah-entah kau punya yang macam Bangla. Bunga ni aku
cium pun macam ada bau rempah je! Sikit-sikit macam bau bawang pun ada."
"Aikk! Tadi kau cakap baunya sedap?"
"Biasalah! Lain
di mulut, lain di pinggan!"
Pecah lagi gelak
Anna. Tidak dapat menahan lawak dan usikan Sofea yang begitu selamba dan
bersahaja. Diurut-urut perutnya. Sofea, perlahan bibir merekah senyuman. Cuba
menahan gelak akan lawak bodohnya sendiri.
Mawar itu sekali lagi dicium Sofea. Sekali lagi kelopak
mata rapat tertutup. Membuka mata sebentar kemudian, Anna yang sedang
memerhati, dipandang.
"Nanti kau nak
ikut aku tak?" tanya Sofea. Tiba-tiba.
"Ikut kau? Ikut kau pergi mana tu?"
"Pergi City Square."
"City Square? Ada apa nak pergi sana?"
"Alamak, kau ni banyak tanyalah. Penat aku nak
jawab!" Sofea menjeling sambil memuncungkan bibir. Tetap nampak cantik
walaupun buat muka mengejek.
"Aikk! Tanya nak pergi sana buat apa pun malas nak
jawab?" Anna menepuk manja peha Sofea. "Melampau betullah kau
ni!"
Menggeleng Sofea sambil membuat muka. Dibiarkan Anna
mengambil mawar itu semula dan dirapatkan ke hidungnya.
"Aku nak cari hadiah untuk 'business partner' aku. Nak
ikut tak?"
"Hmmm, nak beritahu cari hadiah pun susah. Pelik betul
aku!"
"Agak-agak kau, belikan dia apa bagus untuk hadiah
hari lahir? Biar dia selalu ingat dan kenang aku?"
"Dia tu lelaki ke perempuan?"
"Lelaki,"
Sofea menyandarkan kepala, memejam mata bagaikan sedang memikir sesuatu.
Bayangan Reno kembali berlegar.
"Kalau aku, aku belikan dia jam."
"Jam? Sebab apa?" Sofea membuka mata
mendengarnya. Pandangan ditujukan ke dada dinding.
"Sebab pada
aku, lelaki bukan saja nampak lebih segak pakai jam, tetapi boleh sama-sama
menghitung saat menuju ke hari bahagia," lebar senyum Anna dengan
penjelasannya itu.
"Hmm... tak agak-agak kawan kita ni bermadah.
Menyampah! Tapi betul juga apa yang kau cakap tu. Bagus juga kalau aku belikan
dia jam. Otak kau ni memang betul geliga. Boleh buat batu cincin betullah!
Kenapa dari tadi aku tak teringat?"
Anna senyum. Berasa senang mendengar pujian itu.
"Bila hari
lahir dia?" tanya Anna.
"Esok. Itu sebablah kejap lagi nak keluar pergi beli.
Takut tak sempat pulak nanti." "Esok dia punya 'birthday'?"
"Tengok! Dah terangkan dia tanya lagi. Nanti tak
jawab, marah! Merajuk! Melayan pulak, aku yang penat. Issshhh! Pelik betullah
kau ni! Ye, esok dia punya 'birthday'!"
Terpana Anna mendengar. Anak mata membesar. Rasa
terperanjat jelas kelihatan di wajahnya. Reno kembali terbayang bermain di
benak. Melambai-lambai.
"Yang kau tiba-tiba buat muka macam cicak tertelan
kapur tu kenapa pulak? Apa hal? Dah beritahu pun lagi nak merajuk? Kau ni
betul-betul memang macam nenek aku kat kampung! Sajak betul kalau kau berdua
duduk sebumbung!"
Anna tiba-tiba
hilang kata-kata. Sofea sama sekali tidak dilayan. Dinding di hadapan, mata
dituju. Reno terasa begitu sekali dekat di mata. Dia baharu teringat, tetapi
ingat-ingat lupa.
Hari lahir Reno!
Bila?
Sepengetahuannya, jika tidak silap jatuh pada bulan ini.
Harinya.... Ya, tetapi harinya bila? Esok jugakah?
Anna mengetap bibir. Kening dalam melengkung. Perasaan yang
tadi enak, kini berubah gundah. Galau jadinya tiba-tiba.
Harinya, bila? Atau sebenarnya dia yang tersilap.
"Hello! Dah kenapa dengan kau?" gegar Sofea.
Anna hanya menggeleng. Bila hari lahir Reno yang
sebenarnya, menjadi tanda tanya. Berlegar terus di kepala!
"Kau nak ikut
ke tak nak?"
"Tak nak...
" lirih Anna perlahan.