"Hensem ke mamat tu? Atau kau seorang
aja yang tengok dia hensem? Menyampah!"
Keharuman kopi-O segar memenuhi ruang sebaik
Anna menuangnya ke dalam cawan. Anna senyum lebar. Kata-kata yang baharu sahaja
dilontarkan sahabatnya itu, kedengaran lucu. Bibir dicebir sambil menggeleng.
Mengejek sahabatnya.
Wajah teruja Sofea, Anna lirik sambil
menghulurkan kopi buatnya. Sahabat yang sudah bersiap hendak ke kerja, seperti
biasa kelihatan anggun dan menarik. Hati Anna berasa senang dapat bersarapan
bersama sambil bersenda. Pagi yang cerah itu terasa ceria.
"Hensem
ke tak?" jawab Anna dengan gelak kecil. Gelak sinis. "Senang kata,
aku yakin engkau pun boleh terpikat bila tengok dia. Hati kau pun boleh
cairlah, beb! Memang hensem sangat-sangat. Aura jantannya, perghhh... tak boleh
angkat."
"Uwekkk! Macam nak muntah pulak aku
dengar. Loya tekak aku tetiba. Eeeee!" usik Sofea juga sambil buat muka.
Roti di atas meja dicapai. Menyapunya dengan jem limau tanpa menghiraukan Anna
yang kian galak ketawa.
Anna, anak kelahiran Kelantan. Mengenali
Sofea tujuh bulan lalu ketika sama-sama berlibur di Pulau Tioman. Menginap di
tempat yang sama ketika di sana, di Kampung Salang, salah sebuah kampung kecil
yang terdapat di pulau itu.
Selama
hampir seminggu berada di sana, peluang terbuka untuk saling mengenali jauh
lebih dalam tentang diri masing-masing. Keakraban dengan sendirinya wujud tanpa
disedar.
Akhirnya, Sofea anak jati Terengganu yang
menginap sendirian di sebuah apartment di Stulang Laut, mengajak Anna menginap
bersamanya apabila dia memutuskan hendak bekerja di Johor Bahru. Peluang
keemasan itu, disambut Anna seperti orang mengantuk disorongkan bantal.
"Aku bukan mengada-adakan ceritalah!
Memang dia tu hensem sangat. Kening tebal, dagu bujur, sinar mata galak.
Senyumnya, mak oii! Boleh terbawak sampai ke mimpi, kau tahu tak. Manis sangat.
Memang manis gila! Gula pun kalah!"
Anna
gelak semakin kuat. Sengaja! Sengaja hendak membuat Sofea yang sudah tampak
bengang, bertambah-tambah lagi bengangnya. Ruang makan, menggema dengan
ketawanya. Memekakkan telinga Sofea.
"Engkau ni aku rasa dah terlalu banyak
sangat baca novel cinta, jadi khayalan kau tu sampai terbawak-bawak ke alam
nyata. Itulah sebabnya kau sejak kebelakang ni, aku nampak macam perempuan tak
betul. Macam dah sewel gitu!"
"Sedapnya mulut kau cakap! Eh, aku bukan
berkhayallah! Ini tak ada kena-mengena dengan novel cinta tahu tak! Memang apa
yang aku cakap ni betul. Dia memang hensem dan menarik. Untuk apa aku nak
bohong? Apa yang aku dapat?" cawan kopi yang sudah berada dekat dengan
bibirnya, diteguk Anna. Mata tidak lepas memandang Sofea yang kelihatan sudah
tidak puas hati.
"Biasalah tu! Bila hati dah suka, asam
Jawa pun rasa macam cokelat! Tunggulah nanti bila dah benci. Itulah. Inilah.
Ada ajalah masa tu nanti yang tak kena! Ex memang hensem pun kata tak hensem.
Benci aku!" dengan roti penuh di mulut, Sofea sinis membebel sambil
menjeling.
"Itu terpulang pada kau nak percaya atau
tak. Engkau tanya, aku jawab. Dan apa yang aku cakap ni, bukan saja nak
ada-adakan cerita. Semua adalah benar dan kenyataan!"
"Habis, ni kira dah saling jatuh cinta
menggilalah? Konon-konon gitulah, ye?" terhenti di pertengahan kopi yang
diangkat Sofea. Sinar mata setajam keris dihunus ke arah Anna.
"Taklah macam tu. Dia pun tak adalah
selama ni pernah cakap yang dia cintakan aku. Tapi sejauh ni aku tengok, dia
begitu mesra dan ambil berat sangat tentang aku. Manis-manis manja gitu dia
layan aku."
Sofea
yang duduk menghadap memandang Anna, Anna mengerdip-ngerdipkan mata seperti
anak patung kuasa bateri. Sengaja mahu membakar hati sahabatnya itu ke tahap
rentung jika boleh.
"Habis, sukalah tu?" Sofea jegilkan
mata. "Eh, mestilah suka! Perempuan mana yang tak suka bila jenis lelaki
idamannya suka dengan dia. Betul tak?"
"Lelaki idaman konon. Menyampah aku
dengar! Nak muntah!" Sofea jeling lagi sambil buat muka mengejek. Muka menyampah
dipertontonkan.
Pantas Anna menutup mulut cuba menahan gelak.
Jika tidak, roti yang sedang dikunyah pasti sudah tersembur keluar.
Seketika sepi diberi ruang mengambil tempat.
Sambil menikmati sarapan yang terhidang, masing-masing melayani perasaan
sendiri.
"Eh, Sofea... " panggil Anna tidak
lama kemudian. "Bila engkau tu cuti lagi? Maksud aku cuti panjang."
"Kenapa?" tanya Sofea. Kopi di tangan perlahan dikembalikan ke atas
meja. Memandang Anna menantikan penjelasan.
"Kita pergi Tioman lagi nak?" mata
Anna bersinar-sinar mencadang. Begitu beriya-iya dan bersemangat.
"Pergi Tioman lagi? Nak buat apa? Kan
kita dah pernah pergi? Pergilah tempat lain. Kau ni pun!"
"Bukan apa! Kau ingat tak yang kita
tengok dia orang selam? Macam best aja aku tengok."
"Jadi apa? Ke sana lagi cuma saja-saja
nak tengok orang pergi selam? Gitu?" Sofea menarik muka. Cadangan Anna
kedengaran seperti tidak masuk akal baginya.
"Bukan gitu maksud aku!"
"Habis apa?" belum sempat Anna
menghabiskan penjelasan, Sofea memotong. Kening tinggi diangkat seperti
mencabar mengajak Anna bergaduh.
"Kita ambik kursus selam nak?"
"Kursus selam? Engkau nak ambik kursus
selam?" Anna mengangguk mengiyakan pertanyaan Sofea. "Engkau tu tahu
berenang ke tak?"
"Berenang?" kening Anna bersatu.
"Berenang memanglah aku tak pandai. Tapi aku bukan nak berenang. Aku nak
menyelam!"
Begitu Sofea tergelak. Kuat! Telunjuk
dituding ke arah Anna, seperti sahaja membalas dendam awal tadi dia
diketawakannya. Besar dan lebar mulut terbuka, menggelakkan kebodohan Anna.
"Yang kau tu tiba-tiba ketawa, apa
cerita? Apanya yang lawak?"
"Aku ketawa bukan kerana lawak! Tapi
ketawa kerana kebodohan kau!" Sofea sambung gelak. Lebih kuat dari tadi.
"Apanya yang bodoh? Apa maksud kau cakap
aku bodoh? Apa pasal pulak?"
Sofea menggeleng-geleng. Rona wajah memerah.
Perlahan berusaha membebaskan dirinya dari terus ketawa. Tidak sampai hati
melihat wajah Anna yang sudah terpinga.
Dicapai kopinya, diteguk sedikit membasahi
tekak. Memandang Anna, menghela nafas, Sofea memberitahunya sesuatu yang selama
ini dia tidak pernah tahu.
"Macam mana kau nak ambik kursus selam,
kalau kau tak tahu berenang?"
"Kan aku dah cakap yang... " Anna
memotong, tetapi dengan pantas pula dipotong Sofea.
"Dengar sini dulu!" tegas Sofea.
Wajah sudah serius. "Untuk pengetahuan kau... kalau kau nak ambik kursus
selam... syarat pertama dan utama, kau harus tahu berenang. Jadi macam mana kau
nak ambik kursus selam kalau kau tak tahu berenang? Macam mana?"
"Macam mana kau tahu, berenang tu syarat
utama jika nak menyelam? Ke kau saja yang memandai?"
"Macam mana aku tahu?" Sofea
menjulang kening. Senyum sinis dilayangkan buat Anna. "Sebab... bisnis
partner aku dia pun penyelam. Dari situ aku tahu. Bukan aku saja nak memandai
buat cerita. Jika aku ni pun tahu berenang... memang dah lama pun aku menyelam.
Buat pengetahuan kau juga... bisnis partner aku tu pun hensem gilalah. Kau pun
boleh terpikat bila tengok dia. Silap hari bulan, mamat yang kau puja tu pun,
habis kau akan tinggalkan!"
Sofea
gelak lagi sambil melirik jam dinding di ruang makan itu. Sudah hampir ke pukul
9 pagi. Kopi yang bersisa dihabiskan.
'Syarat nak menyelam mesti tahu berenang?
Betul ke?'
Penjelasan Sofea seperti satu tamparan tepat
di muka Anna. Terdiam dia. Tidak terluah kata-kata yang sedang menggaung di
hati. Hampa jelas kelihatan di wajahnya. Hampa keinginan mahu menyelam dengan
yang dipuja, kini dia sedar ada tembok besar menghalang.
"Okeylah aku nak jalan dulu. Aku pun dah
tak sabar nak tatap muka bisnis partner aku yang hensem gila tu. Aku rasa dia
pun tengah tertunggu aku yang jelita dan anggun ni," bingkas, Sofea yang
berpakaian suit hitam kesemuanya, dengan gelak memperagakan diri seperti
seorang peragawati di hadapan Anna. Senang hati melihat sahabatnya yang sedang
termangu.
"Jadi kalau kau beriya sangat nak
menyelam, kau pergi belajar berenang dulu. Itu saja jalannya," beritahu
Sofea lagi sebelum beredar ke pejabat.
Anna
meluru ke kamarnya sebaik Sofea meninggalkan apartment mereka. Telefon bimbit
yang terletak di meja solek, dicapai. Duduk di birai katil, dengan pantas
jari-jemari menari mengirim SMS.
'Tuan,
betul ke nak menyelam harus tahu berenang?' bunyi SMS yang dikirim Anna.