"Ayaaahhh... "
Langit terasa begitu cerah di saat teriakan
tersayang menjamah telinga. Baginya, tidak ada satu suara pun lagi enak
didengar. Tidak ada satu suara pun yang dapat menyejukkan rasa, selain dari
mendengar suara belahan jiwa. Segala penat lelah, segala macam bentuk masalah
yang siang tadi menconteng hari, berterbangan begitu sahaja dari pundak seperti
debu ditiup angin. Segala sesuatu yang menyempitkan, tiba-tiba terasa lapang.
Senyuman Azlan penuh gemilang saat melihatkan
Izwan terkedek-kedek berlari mendapatkannya, ceria dengan tangan luas terbuka.
Bagi Azlan, perasaan yang sedang melilit di saat itu, tidak ada yang dapat
menandingi.
Dengan lincah menongkat kapcainya,
mencangkung di halaman rumah membuka juga tangan seluas-luas, Azlan
bersiap-sedia menyambut bintang hati yang sedang meluru ke arahnya. Mata Azlan
bersinar, seolah-olah menyambut bulan jatuh ke riba.
"Ayahhh... " teriak Izwan lagi dengan
manja. Senyuman menyambut kepulangan ayah yang dinantikan, mencerminkan
kerinduannya.
"Cepat lari, sayang. Cepat! Ayah dah tak
sabar nak peluk Iwan! Cepat, sayang!"
Bagi Azlan, tidak ada lagi nikmat yang paling
ternikmat ketika Izwan dengan manja jatuh ke dalam rangkulannya. Izwan yang
menyeringai kegembiraan, adalah bayangan perasaan Azlan sendiri.
Memejam mata, anak itu dengan erat didakap.
Terasa di saat itu jiwa mereka bersatu. Saling melengkapkan. Saling berpelukan,
dicium ubun-ubun Izwan dengan mesra dan penuh kasih-sayang.
"Cayang ayah satu ni, hmmm busyuk
betullah. Belum mandi ye? Hah! Kenapa belum mandi? Busyuk tau!"
Dicium, digomol anak itu seolah-olah esok
tidak ada hari lagi. Tangan mungil itu dicapai, kemas-kemas Azlan genggam, lalu
dicium dengan penuh kasih-sayang.
"Iwan belum mandi. Iwan tunggu ayah. Iwan
nak mandi sama-sama dengan ayah," suara anak comel itu riang.
Meronta-ronta dengan senang hati geli-geman digomol ayahnya. Rasa rindu
seharian berpisah, akhirnya terubat sudah.
"Ibu Iwan mana? Tak nampak pun,
ayah?" tanya Azlan sambil menggendong anaknya masuk ke dalam rumah. Mata
liar mengitar.
"Ibu kat bilik. Tidur. Ibu sakit,"
beritahu anak kecil itu sambil tangan leka menggentel-gentel telinga ayahnya.
Dipandang telinga Azlan, seolah-olah ia adalah barang mainan.
"Ibu sakit? Sakit apa?"
"Ibu tadi cakap, ibu sakit kocek."
Kata-kata Izwan yang belum lagi mengerti
apa-apa tentang kehidupan, menerkam Azlan. Mahu tergelak atau pun bersedih, dia
sendiri pun tidak pasti. Mencium pipi Izwan, Azlan menuju ke kamar.
Dikuak sedikit pintu kamar yang rapat
tertutup. Mata liar menyusup. Kelihatan di atas katil usang pemberian mertuanya
lima tahun lalu, Aisha sedang berbaring, miring menghadap dinding. Sama ada dia
sedang tidur atau pun hanya berbaring sahaja, Azlan kurang pasti.
"Hah, Iwan. Kan tadi pagi ayah janji nak
belikan Iwan gula-gula? Hah... tengok ayah pegang janji ayah," kata Azlan
sambil menyeluk beg samping yang digantung di bahu. Kegirangan Iwan
mendengarnya. Kedua belah tangan dikepak-kepak.
"Nahhh... ni dia janji ayah tadi. Naahh!
Tengok, gula-gula yang besar buat Iwan. Besar kan?"
Dengan senyum lebar Azlan menghulur bungkusan
plastik yang berisi dengan pelbagai jenis gula-gula. Besar juga bungkusan
plastik itu, tetapi sebenarnya gula-gula yang ada isinya tidak sebanyak mana.
Azlan hanya sekadar ingin menunjukkan pada Izwan, mendidik anaknya, apa yang
dijanji, harus dikota.
"Suka tak?" Izwan tidak menjawab
pertanyaan Azlan, tetapi tangannya mengepak semakin pantas. Menyeringai, mata
tajam memanah bungkusan yang dihulur ayahnya.
"Okey... sekarang Iwan pergi duduk dekat
depan sana makan gula-gula dulu. Biar ayah rehat kejap, lepas tu kita mandi
sama-sama. Okey tak? Suka tak?"
Izwan mengangguk riang menerima bungkusan
itu. Apa yang dikatakan Azlan mungkin tidak diberi tumpuan. Mata tidak
berganjak ke arah lain selain apa yang sedang dipegangnya. Terkedek-kedek
meluru ke ruang tamu sebaik Azlan melepaskannya dari gendongan.
"Makan pelan-pelan, sayang. Jangan
sampai tercekik pulak," Izwan terus berlari memekik-mekik riang tanpa
mempedulikan pesanan Azlan. Riang hanyut di dalam dunianya yang diterajui
imaginasi.
Sebaik Izwan hilang dari pandangan, perlahan
Azlan melangkah menghampiri isterinya. Duduk di hujung katil, Azlan
menjengahkan leher menatap isterinya yang seakan sedang lena. Bahu Aisha dengan
lembut disentuh. Wajah tenang itu, yang seluruh kulit tubuh tidak pernah
menjamah walau sebarang bentuk barang kemas semenjak mereka berumahtangga,
diamati dengan penuh kasih-sayang.
Azlan
sangat-sangat bersyukur kepada Allah, kerana telah mengamanahkan Aisha menjadi
teman hidupnya. Orang yang dikenali sejak dari bangku sekolah, bercinta, lalu
bersama mengambil keputusan nekad untuk berumahtangga. Teringat renungan
isterinya pagi tadi. Renungan yang menceritakan segala pengorbanan selama
menjadi isteri, juga segala keinginan yang tidak kesampaian yang selama ini
hanya dipendam. Azlan mengerti semua itu.
'Abang akan berusaha, sayang. InsyaAllah,
tidak esok, pasti lusa akan abang adakan. Abang mahu yang terbaik buat Aisha
dan Izwan. Abang mahu kita semua hidup gembira dan bahagia bersama selamanya.
Abang berjanji, abang akan lengkapkan semua keinginan Aisha dan anak kita di
suatu hari nanti. Abang akan usahakan. Abang akan cari jalan. Sabar sayang,'
suara hati kecil Azlan berbibisik penuh tekad.
Terbayang di hadapan mata, yang tersayang,
Aisha isterinya berkilau dan bergemerlapan. Lengkap seluruh tubuh badan dengan
segala macam bentuk perhiasan, emas dan permata.
Merebahkan badan di katil, tangan isterinya
digamit dengan penuh kasih-sayang. Diramas dengan cinta, tangan yang telapaknya
sudah semakin kasar seiring masa selama menjadi isterinya.
"Bang... " panggil Aisha tiba-tiba,
memaling dan menatap wajah lelah suaminya yang seharian teguh menyahut cabaran
hari. Sinar mata mereka berpelukan, "Sha tak masak hari ni. Kalau abang
nak makan, Sha gorengkan telur."
"Sha sakit? Sakit apa, Sha?" tajam
Azlan merenung wajah isterinya. Mengamati wajah yang lelahnya begitu menyerlah.
"Entahlah, bang. Tetiba dekat ulu hati
ni rasa macam bisa gitu."
"Tak pergi jumpa doktor?" Rambut
isterinya yang panjang ikal mayang itu mesra Azlan belai. Terasa di saat itu
seakan dia sedang membelai benang-benang sutera. Begitu lembut dan
menyenangkan. Cinta pertamanya, Aisha adalah seorang yang penyayang, penyabar,
juga seorang yang taat akan segala perintah Tuhannya.
"Jumpa doktor? Bang... jumpa doktor tu
pakai duit, bang. Bukan percuma. Duit pasar aja tak lepas, macam mana nak pergi
doktor?"
Azlan
tidak menjawab. Berdiam, dia hanya meramas-ramas tangan isterinya. Tetapi di
sudut hatinya yang paling dalam kuyup dibasahi gerimis. Begitu juga dia berasa
kesal, marah pada diri sendiri kerana tidak mampu memberi Aisha kecukupan yang
wajar.
"Itulah sebabnya saya nak kerja, bang.
Sekurang-kurangnya ada juga sikit kelebihan untuk disimpan buat hari
hujan."
"Sha... apa sekali terjadi pun, abang tak
kan Izinkan Sha kerja. Cari duit itu tanggungjawab abang. Abang nak Sha beri
tumpuan sepenuhnya pada Iwan saja. Kalau abang kerja, Sha pun kerja... siapa nak
jaga Iwan? Pergi hantar rumah mak? Seminggu sekali baru pergi tengok? Gitu? Tak
kan sama orang lain jaga dengan orang tua sendiri yang jaga. Apa gunanya ada
duit, tapi kita hidup berpisah. Abang tak mahu kita hidup macam gitu. Iwan
perlukan kita."
Mengangkat sedikit badannya, wajah Aisha
ditatap. Azlan membelai rambut isterinya lagi seperti membujuk agar Aisha dapat
mengerti apa yang dimaksudkannya tadi.
"Sabar, Sha. Beri abang masa. Jika nanti
ada lubang kerja yang gaji lebih bagus, abang akan tukar kerja. Abang akan
usahakan nanti, sambil-sambil cari kerja lain."
Aisha
berdiam. Pandangan dikalihkan ke dada dinding usang kamar itu. Lama matanya
merenung. Kamar yang telah menjadi sarang cinta mereka semenjak berumahtangga,
suasananya sesuram perasaannya.
"Abang nak makan tak, Sha gorengkan
telur? Abang okey kan makan nasi, goreng telur dengan kicap?" tanya Aisha
sambil membalas tangan Azlan yang meramas tangannya.
"Kenapa tak okey pulak? Bila tengah
lapar, nasi dengan garam pun jadi sedap. Nikmat hanya betul-betul terasa bila
di dalam kesempitan dan memerlukan. Sha okey ke gorengkan abang telur? Sha kan
sakit?"
"Kenapa tak okey pulak? Bila tengok
orang yang kita sayang rasa senang, sakit pun hilang," balas Aisha sambil
mengulum senyum. Azlan gelak kecil. Merenung isterinya, pipi yang gebu itu
Azlan cubit manja.
Ditinggalkan sendirian, Azlan melayan
perasaan. Hati serta-merta kembali tidak enak mengingatkan tuntutan Zaid siang
tadi. Tidak enak memikirkan bahaya yang menanti diri dan anak-isteri. Juga Zaid
yang telah membantu menjadi penjamin peminjam wang haram itu, jika dia tidak
bertindak cepat mengatasi masalah ini.
Azlan
mengangguk mengerti. Hanya satu cara sahaja yang tinggal dan boleh memberinya
nafas dan ruang buat sementara waktu ini. Tidak ada jalan lain lagi. Azlan
mengambil keputusan, esok dia akan tebalkan muka.
Terpaksa!
Tempuh, dan rempuh!